Rahsia alam ini hanya Allah SWT yang mengetahui. - Gambar hiasan - Sumber Gambar - Rilekssminda |
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SELEPAS dibincangkan sebahagian berkaitan dengan kekuasaan Allah SWT di mana boleh melakukan apa sahaja. Maka Allah SWT mengukuhkan lagi penghujahan dan alasan bagaimana kuasa-Nya Allah SWT tanpa boleh ditolak banding dan dipertikaikan lagi.
Firman Allah SWT:
Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu? Ya! diakui dan dipercayai berkuasa! dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi Yang Maha mengetahui. (Yasin: 81)
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT
berfirman mengkhabarkan dan mengingatkan kita tentang kekuasaan-Nya yang agung
dalam menciptakan tujuh lapis langit dan yang terkandung di dalamnya berupa
bintang-bintang yang beredar dan tetap, serta mencipta tujuh lapis bumi dan apa
yang terkandung di dalamnya berupa gunung-gunung, batu-batuan, lautan, hutan
dan isinya. Dia pun mengarahkan untuk mengambil dalil tentang dikembalikannya
jasad-jasad dengan penciptaan sesuatu yang agung ini."
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT
memperingatkan manusia, bahawa Dia mampu mencipta tujuh petala langit berserta
bintang dan lain-lainnya serta bumi dengan segala isinya. Allah SWT juga
memperingatkan bahawa Dia yang berkuasa mencipta alam semesta Yang Maha Besar
itu, sudah tentu Dia berkuasa mengembalikan semua tulang-temulang manusia yang
hancur menjadi seperti sediakala."
Sayid Qutub berkata: "Itulah
matahari-matahari yang tidak terhitung banyaknya. Setiap matahari mempunyai
jalan peredarannya masing-masing dan kebanyakannya mempunyai planet-planet
pengikut yang beredar di sekelilingnya seperti bumi beredar di sekeliling
matahari kita."
Semuanya beredar dan berlari dengan tepat
dan tetap, tidak pernah berhenti sesaat pun dan tidak pernah kacau. Jika tidak,
alam ini akan binasa dan bintang-bintang yang besar yang terapung-apung di
angkasa itu akan berlanggaran satu sama lain.
Angkasa raya menjadi tempat terapung-apung
jutaan bintang yang tidak terbilang itu adalah di luar keupayaan kita untuk
menggambarkan dan memahaminya. Ia merupakan sesuatu yang memeningkan kepala
manusia.
Firman Allah SWT:
Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: "Jadilah engkau!." Maka ia terus menjadi. (Yasin: 82)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu, Dia
memerintahkan kepada sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu
pengulangan dan penguat seperti kata penyair, Jika Allah menghendaki satu
perintah, Dia hanya mengatakan satu perkataan, Jadi, maka ia pun jadi."
Al-Maraghi berkata: "Ayat di atas
menunjukkan betapa agungnya kekuasaan Allah SWT sehingga jika Dia menghendaki
sesuatu, ketika itu juga boleh terjadi. Setelah menjelaskan akan keagungan
kekuasaan-Nya, Allah SWT kemudian menyucikan diri-Nya daripada segala tohmahan
batil orang musyrik."
Syed Qutub berkata: "Sama ada sesuatu
itu langit atau bumi, lalat atau semut semuanya sama sahaja di hadapan kalimat kun dan
semuanya akan terus muncul ke alam al-wujud. Di sana tiada yang mudah dan tiada
yang payah, tiada yang dekat dan tiada yang jauh."
Sebaik sahaja wujudnya iradat Allah SWT
untuk menciptakan sesuatu sudah cukup untuk mewujudkan biarpun apa sahaja
sesuatu itu. Allah hanya mendekatkan gambaran urusan penciptaan itu kepada
manusia supaya mereka dapat memahaminya dengan ukuran manusia yang terbatas.
No comments:
Post a Comment