بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, September 28, 2012

Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Aurat-Usah Pandang Yang Zahir Tapi Lihatlah Yang Batin



Anakku Hidup Sekali Biar Bererti
Muka Depan Buku Anakku Hidup Sekali Biar Bererti oleh Anuwar Nursi



ANUWAR NURSI

27 September 2012



APA yang dikatakan sebelum ini adalah cabaran luaran. Sedangkan cabaran dalaman, iaitu terhadap peribadi tidak kurang hebatnya.


Ayahanda percaya kita semua pernah mendengar  pernyataan ini, ‘Usah pandang yang zahir tapi lihatlah yang batin’. Isunya ialah tentang wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Ada golongan berpendapat bahawa tidak semestinya wanita yang tidak menutup aurat itu buruk akhlaknya. Manakala yang bertudung litup itu mulia peribadinya.



Alasan mereka mengenai perkara ini ialah, kita tidak boleh memandang serong terhadap seseorang semata-mata melihat kepada penampilan zahirnya sahaja. Mungkin secara zahirnya, mereka tidak menutup aurat, namun hatinya baik; malah tidak kelihatan pun gadis atau wanita-wanita seperti ini mengganggu atau mencederakan orang lain. Sebaliknya tidak sedikit kita saksikan seseorang yang tunggang tonggek sembahyang (istilah mereka) namun sering pula berbohong dan melakukan maksiat.



Anakku,



Ketahuilah bahawa tiada istilah baik apabila seseorang itu menderhakai TUHANnya. Benar... akan ada mereka yang dikatakan ‘soleh’ tetapi masih melakukan kejahatan. Tetapi, mungkin juga perbuatan yang dilakukannya itu bersebab. Mungkin juga aura solat itu tidak mempengaruhinya. Atau tidak mustahil solat yang dilaksanakannya itu kosong daripada khusyuk dan hakikat ubudiyah.



Hakikinya, sesiapa yang menjalankan kewajipan yang termaktub tetapi telah melakukan kesalahan, maka solat yang didirikannya itu menjadi penebus dan penghapus dosa-dosa yang dilakukan, di samping bertaubat nasuha dan memperbanyakkan istighfar. Sebaliknya golongan yang berterusan melakukan dosa tetapi tidak berusaha menghapusnya dengan memohon keampunan, maka itu adalah kesilapan besar yang telah dilakukan.



ALLAH berfirman:

Dan sesungguhnya AKU Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh kemudian tetap di jalan yang benar. - Surah Taha: 82


Anakku,



Jalan-jalan yang mendorong ke arah maksiat itu tidak terhitung banyaknya waima ia sekecil sebuah iklan yang dipapar di jalanan. Sebenarnya, pakaian mendedahkan aurat yang dipakai oleh wanita merupakan pintu utama yang membangkitkan ghairah seks lelaki.



Prof. Dr. Hamka, pengarang ‘Tafsir Al-Azhar’ berkata tatkala menyatakan tentang etika luaran atau adab berpakaian bagi wanita muslimah, beliau mengingatkan bahawa lelaki yang tergiur ketika melihat wanita cantik, itu adalah lumrah. Jika lelaki tidak bergetar jiwanya memandang perempuan cantik sedangkan dia seorang lelaki, itu sangat menghairankan.



Lebih-lebih lagi jika yang dilihatnya itu memakai pakaian ketat, terbuka, malah aksinya sangat menggoda. Bagaimana reaksi seorang pemuda ketika melihat paha yang sengaja didedahkan? Apakah mereka diam? Jawapannya tidak. Itulah sebabnya Nabi s.a.w ketika melihat Asma puteri Abu Bakar As-Siddiq memakai pakaian nipis dan jarang (pakaian kaasiyatin aariyatin - berpakaian tapi bertelanjang), baginda segera memalingkan muka lalu memerintahkan Asma agar menutupnya baik-baik.



Islam tidak mensyaratkan perlu ada potongan atau fesyen tertentu dalam berpakaian. Asalkan ia longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh, itu sudah mencukupi. Walaupun perkara ini mudah, tapi masih ramai yang tidak tahu serta tidak mengamalkannya. Sebahagian mereka mungkin kerana jahil tapi bersemangat untuk mengikut saranan agama. Mereka menyangka telah menutup aurat dengan sempurna tetapi sebenarnya tidak. Kita dapat saksikan fenomena ini di sekeliling hari ini.



Cuba perhatikan, sebahagian mereka ada yang memakai tudung tapi berseluar ketat. Sesetengahnya pula memakai jilbab (mini telekung), namun pada masa yang sama menyarung baju pendek. Lebih teruk lagi mereka memakai tudung dan pada masa yang sama mengenakan seluar ketat bersama baju sendat. Bahkan ada yang sampai menampakkan sebahagian punggung dan pusat.



Apa yang berlaku?



Fesyen sebeginilah akhirnya melahirkan penjenayah dan perogol. Lalu siapakah yang mahu dipersalahkan? Jika sudah berani menampilkan gaya sedemikian di jalanan, pasti ada harga sebagai bayaran. Oleh itu, tanyalah kepada perempuan-perempuan di luar sana, apakah yang memotivasinya memakai pakaian seperti itu. Jadi, siapakah sebenarnya yang memunculkan gangguan seksual; lelaki atau perempuan?



Walaupun mereka memiliki kecantikan yang tiada tolok banding, tetapi jiwa di dalamnya bersifat kelabu dan menderita sakit. Apakah kita tahu apa yang terjadi terhadap pohon yang kelihatan baik di luarnya, sedangkan teras di dalamnya dimakan anai-anai? Berapa lama ia dapat bertahan sebelum tumbang menyembah bumi? Ayahanda percaya, jika kita tidak ingin dianggap sedemikian maka anakanda harus membuktikannya!



Tidak Menutup Aurat Hanya Dosa Kecil?



Anakku,



Kita berasa aneh apabila ada yang pada zahirnya begitu komited terhadap perintah agama, tetapi kadangkala gagal memahami dan mengamalkannya. Misalnya, cara berpakaian bagi kaum wanita. Sebahagian mereka menyatakan bahawa tidak mengenakan jilbab dan memakai pakaian yang menampakkan tangan, dada, leher atau menampilkan sosok tubuh, itu hanyalah sekadar dosa kecil dan dapat diampunkan dengan hanya menjauhi dosa-dosa besar seperti zina, membunuh, mencuri, meminum arak dan seumpamanya. Mereka menganggap banyak lagi perkara lain yang lebih utama daripada masalah aurat. Mereka beranggapan penampilan zahir tidak perlu diuar-uarkan kerana ia bukanlah suatu masalah besar.



Karut!



Ulama tersohor abad ini menegaskan bahawa seseorang yang beranggapan tidak menutup aurat sebagai dosa kecil adalah tidak benar. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyangkal dakwaan ini dalam bukunya yang bertajuk, ‘Fatwa Antara Ketelitian dan Kecerobohan’. Katanya Rasulullah s.a.w menjadikan golongan perempuan seperti ini sebagai isi neraka berpandukan hadis baginda yang bermaksud:

Ada dua golongan manusia yang akan menjadi penghuni neraka: Pertama, golongan yang selalu memegang pecut seperti ekor lembu (orang zalim dan bengis), yang suka memukul orang. Kedua, wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang berlenggang-lenggok apabila berjalan dan yang menarik perhatian ramai, kepala mereka laksana anak (buah) dadu yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menghidu harumnya, meskipun keharumannya dapat dihidu dari jarak yang jauh.- Hadis Sahih riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a.


Seandainya memakai pakaian sempit dan mendedahkan aurat dikatakan dosa kecil, tentu Rasulullah s.a.w tidak akan mengelompokkan mereka sebagai penduduk dan isi neraka. Dan tidak dijadikan golongan yang diharamkan masuk syurga, malah diharamkan walau menghidu harumannya sahaja. Justeru, memakai pakaian yang sempit, tipis dan mendedahkan aurat adalah dosa besar. Bukan dosa kecil seperti yang disangkakan.


Pelihara Jati Dirimu



Anakku,



Muslim sejati adalah yang memiliki jati diri yang kuat. Ia seperti ikan di laut. Biarpun berendam di air masin selama 24 jam, badannya tidak akan masin kecuali ia mati. Begitu jugalah dengan diri kita ini.



Sebagai orang Melayu kita sepatutnya bersyukur kerana dilahirkan dalam agama Islam. Dengan darjat keislaman itu kita sepatutnya berani menampilkan diri sebagai seorang muslim dalam erti yang sebenarnya. Jangan menganggap diri kita rendah dari bangsa dan kaum lain, terutama yang dianggap maju. Setiap bangsa dilahirkan adalah berbeza kerana ALLAH menghendakinya sedemikian. Bangsa yang maju ialah kerana takwa, bukan kerana penampilan luarnya.



Dr. ‘Aidh Al-Qarni dalam bukunya ‘La Tahzan’ menjelaskan, “Umat manusia terdiri daripada pelbagai jenis tabiat. Wataknya adalah seperti alam tumbuhan; ada yang manis dan masam, ada yang panjang dan pendek. Dan seperti itulah seharusnya umat manusia.



Jika anda pisang, anda tidak perlu mengubah diri menjadi jambu. Ini kerana harga dan keindahan anda akan tampak seperti pisang juga, bukannya jambu. Sesungguhnya perbezaan warna kulit, cara hidup, bahasa dan kemampuan merupakan tanda-tanda kebesaran Maha Pencipta.44



Perlukah Dirai?



Islam mempunyai perayaan sendiri yang disambut pada setiap tahun. Ada perayaan Maulidul Rasul, Maal Hijrah, Nuzul Quran, Israk Mikraj dan dua hari raya terbesar iaitu Aidil Fitri dan Hari Raya Aidiladha. Manakala kita dilarang meraikan perayaan bukan Islam.



Oleh kerana jati diri yang goyah, umat Islam hari ini tanpa segan silu turut meraikan perayaan yang disambut oleh kebanyakan kaum bukan Islam. Alasannya ialah untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan bangsa.



Benar... kita disuruh untuk merapatkan hubungan sesama manusia, tetapi biarlah kena cara dan gayanya. Haram jika kita bersama-sama mereka dengan niat untuk merayakan perayaan yang diadakan. Kecuali ia disambut berkonsepkan kebudayaan (tanpa menjejaskan akidah) semata-mata. Ketika itu kita tidak diharamkan untuk bersama mereka.



Hari ini, masih ada segelintir remaja kita yang masih menyambut perayaan yang satu ini walaupun sudah jelas hukumnya haram. Mengapa? Jawapannya kerana tiada jati diri yang kukuh dalam diri. Soal hukum ditolak ke tepi.



Valentine Day’s adalah hari istimewa yang disambut oleh penganut agama Kristian. Namun kini telah diikuti oleh segelintir remaja kita yang bercouple. Sudahlah coupleitu haram, ditambah pula dengan menyambut hari tersebut. Maka, bertambah-tambahlah haramnya.



Hari itu dirayakan oleh muda-mudi pada 14 Februari setiap tahun.45 Pada asalnya hari ini disambut untuk memperingati St. Valentine iaitu seorang paderi Kristian yang dianggap sebagai pencinta yang unggul. Umat Islam dilarang mengikuti ritual ini bukan semata-mata kerana sumbernya dari kaum Nasrani tetapi gereja Katolik sendiri pun pernah mengeluarkan larangan terhadap penganutnya daripada merayakan hari Valentine’s. Dalam ‘Katolik Ensiklopedia’ menyatakan bahawa ritual Hari Valentine berasal daripada ritual pemujaan syaitan dan penyembahan berhala.



Bukan itu sahaja, Hari Valentine mengakibatkan kerosakan yang dahsyat dari segi akidah dan moral. Jika ini natijahnya, tentu ini bukan cinta sejati, tetapi tuntutan nafsu serakah! Walhal agenda utama ialah merosakkan umat Islam.



Buktinya pada setiap malam sambutan hari ‘kemeriahan’ itu, jumlah pasangan yang ditangkap berkhalwat kian bertambah. Tiga bulan selepas itu dapat dilihat peningkatan kes hamil anak luar nikah. Lalu diikuti dengan kes buang bayi di merata-rata tempat yang langsung tidak menggambarkan darjat seorang manusia.



Tujuan mereka sebenarnya ialah untuk menghancurkan masa depan muda-mudi Islam seterusnya mengaut keuntungan dalam perniagaan. Tanpa disedari, muda-mudi kita akhirnya tenggelam dalam nafsu.



Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin, seorang ulama terkenal Arab Saudi berkata, “Apabila merayakan Hari Valentine dengan maksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”



Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan, “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.”



Ingatlah... golongan kafir yang memusuhi Islam tidak akan berhenti daripada terus berusaha menanam benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam, supaya mereka jauh dari jalan lurus lagi diredhai ALLAH S.W.T.


Perayaan bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam ialah:

• Majlis itu tidak disertakan upacara bertentangan akidah Islam contohnya menyertakan simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin dan pokok Krismas.
• Majlis itu tidak disertakan perbuatan bertentangan syarak yang diamalkan masyarakat bukan Islam iaitu memakai pakaian seperti Santa Claus.
•        Majlis itu tidak disertakan perbuatan bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat   Islam seperti percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan. Berpakaian menjolok mata, mendengar lagu mempunyai seni kata berunsur lucah serta pemujaan. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik dan laga ayam.


Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Cabaran Kita Masa Kini

Anakku Hidup Sekali Biar Bererti
Muka Depan Buku Anakku Hidup Sekali Biar Bererti oleh Anuwar Nursi

ANUWAR NURSI
25 September 2012




“Kita ada ramai orang Melayu, Cina dan India, tetapi mempunyai selera pemikiran dan perasaan seperti Barat. Golongan ini, sama ada memerangkan rambut atau tidak, tidak pernah dianggap sebagai orang Barat. Sebaliknya hanya mereka  yang tergila-gilakan Barat dan memperbodohkan diri seolah-olah malu jika dirujuk sebagai Islam.”

Agenda Yahudi – Bom Pornografi


BERAPA pun usia kita, ini tidak menghalang untuk menghadapi pelbagai cabaran dan cubaan. Tambahan pula hari ini terdapat banyak sumber yang mampu mencetuskan perbalahan.



Dahulu, ‘dagangan’ syaitan tidak berapa laris berbanding hari ini. Kini, semua benda yang dahulunya tidak wujud, sudah mula ‘dipasarkan’. Tidak terkawal pula oleh ‘KDN’ agama sehingga ada yang disalahgunakan dan membawa kepada kesesatan.



Kecanggihan teknologi kini telah disalahguna seperti teknologi digital, talian mudah alih, TV, internet, iPhone dan yang paling menggerunkan ialah pornografi. Betapa ia laris sehingga ada beberapa pihak sanggup membayarnya dengan harga yang paling mahal. Dan ada yang sanggup membayarnya dengan sebuah maruah!



Dunia yang kita diami hari ini ialah seperti yang digambarkan oleh sebuah hadis, iaitu semakin tua semakin menawan dan mengghairahkan. Dunia pada usia tuanya kini dihiasi dengan pelbagai gemerlapan dan tarikan yang mengagumkan.



Dunia hari ini mungkin tidak akan pernah terbayang oleh mereka yang hidup 100 tahun lalu di mana ada yang membawa kebaikan dan sebaliknya.



Ini kerana dunia di hujung usia ini, banyak dihiasi dengan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa segan silu. Ada yang sifatnya hampir menyamai haiwan bahkan sesetengahnya lebih teruk lagi. Jika pasangan ayam ‘bersebadan’ dalam kalangan orang ramai tanpa rasa malu, maka kebanyakan manusia mahu melakukan perkara sama. Tidak cukup dengan itu, mereka merakam dan menjual untuk mendapatkan hasil.



Amat menjijikkan!



Ketika itu sifat malu telah hilang dalam diri. Dedah aurat, seks bebas, rogol, buang bayi dan zina yang menjadi-jadi, kelucahan melampau dan pelbagai maksiat lain berlaku di mana-mana dan semena-mena. Memang manusia itu lebih buruk daripada haiwan apabila menghambakan diri kepada hawa nafsu. Bahkan mereka lebih pintar daripada binatang ketika mencari cara untuk melampiaskan syahwat.



Kini, media telah menjadi saluran untuk menggalakkan maksiat seperti tersebarnya DVD seks, majalah porno, novel cabul, tabloid dan seumpamanya. Walaupun mengakui bahawa peranan media amat penting namun pada masa sama ia mendatangkan bahaya.



Sedangkan kita semua adalah ibarat kain putih yang boleh dicetak dengan warna dan cetakan apa pun. Jika cantik lukisannya, maka cantiklah warnanya. Jika tidak, hodoh dan tidak bernilailah kain itu.



Anakku,



Islam ingin wujudkan generasi khayra ummah, iaitu generasi yang memiliki sifat mulia, memiliki rasa kepedulian terhadap agama dan memiliki akhlak yang terpuji. Namun, apa yang dicita-citakan tidak akan terlaksana jika generasi muda Islam hari ini jauh daripada Islam.



Kita harus menyedari bahawa semua keburukan yang berlaku tidak terjadi dengan sendirinya. Sebaliknya direncanakan dengan rapi oleh musuh-musuh Islam terutamanya Yahudi Zionis laknatullah itu.



ALLAH mencipta manusia disertai kelebihan tersendiri. Tidak lain tidak bukan untuk mengembangkan tugasnya  sebagai khalifah di muka bumi ini. Sebaliknya, Barat berpandangan bahawa manusia itu tidak lebih daripada binatang yang berevolusi. Inilah teori Darwin yang telah diterima pakai sejak dari dulu lagi. Sebenarnya, Barat tidak pernah diam sehingga umat Islam menuruti setiap langkah yang mereka mulakan. Inilah yang telah diungkapkan dalam al-Quran melalui firman-NYA yang bermaksud:



Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk ALLAH itu adalah petunjuk (yang sebenarnya).”- Surah al-Baqarah: 120



Tujuan mereka adalah untuk mengunci kesedaran kita dan inilah yang perlu diinsafi oleh semua pihak. Beberapa petikan protokol zionis yang didedahkan oleh Dr. Abdullah Al-Thail dalam bukunya yang berjudul ‘Yahudi Sang Penghancur Dunia’, menjelaskan hakikat ini. Protokol ke-13 berbunyi:



“Kita harus melakukan segala cara untuk memperdaya umat manusia dengan hiburanyang melengahkan, semisal dengan mendirikan tempat-tempat hiburan baru, festival senidan pertandingan olahragauntuk ‘membumikan’ misi besar kita di tengah-tengah masyarakat antarabangsa.39



Di halaman lain pula ditulis:



“Hal yang paling cepat kami lakukan adalah memasang iklan di beberapa media massa; mengajak mereka mengikuti beberapa pertandingan dari seluruh macam program, seperti seni, olahraga dan lain-lain. Kesenangan-kesenangan baru ini akan membuat hati orang lupa pada masalah-masalah yang menimbulkan kontroversi dengan kita.” 40



Anakku,



Lihatlah hari ini... buktinya sudah nyata. Apa yang mereka rencanakan sudah banyak berlaku. Aktiviti pergaulan bebas, zina, pornografi, pertandingan ratu cantik, sukan, siri realiti TV dan seumpamanya banyak berlaku di sekeliling kita. Salah satu alat yang sengaja dicipta untuk ‘memusnahkan’ kaum muslim (secara halus) ialah teknologi internet. 



Ia merupakan satu rangkaian yang banyak memberi manfaat kepada manusia. Daripadanya kita boleh mengakses maklumat dengan mudah, cepat dan murah. Namun ia juga banyak memiliki kesan negatif.



Menurut satu kajian, internet boleh menjejaskan perkembangan otak, kesihatan, sosial dan emosi kanak-kanak. Juga mampu menumpulkan kreativiti, motivasi dan kemahiran menyelesaikan masalah, menjejaskan kemahiran menulis, mengeja dan membaca. Ia tidak mengajar kanak-kanak bagaimana untuk berfikir dan berperasaan dan tidak menggalakkan kemahiran berbahasa, bergaul, berimaginasi dan keyakinan diri.



Menurut Elly Risman, seorang ahli Psikologi dalam seminar ‘Smart Parenting: Menyiapkan Anak Tangguh Dalam Era Digital,’41 menegaskan, “Internet adalah perpustakaan pornografi. Sasaran internet adalah golongan remaja dan anak-anak. Anak-anak menjadi future marketyang akan menjadi penagih pornografi seumur hidup. Akibat ketagih pornografi, anak-anak akan mengalami kerosakan kekal dalam otak atau visual crack cocain erototoksinyang belum ditemui penawarnya.



Masa depan anak-anak sekarang dalam bayangan kekejaman digital. Mereka akan mengalami gejala penyakit yang serius jika tidak berhati-hati menggunakannya,” kata Elly Risman.”



Oleh itu, membiarkan anak hidup dalam era digital tanpa bimbingan sama seperti melepaskan anak di kandang harimau. “Jika hal ini dibiarkan, ia akan merosakkan psikologi dan moral anak.” Kekhuatiran Elly Risman beralasan apabila laman web internet-filter-reviewpada 2006 mendedahkan terdapat 4.2 juta web lucah di talian. Hal ini bersamaan dengan 12% daripada keseluruhan web yang ada.42



Seperti yang diperkatakan oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali dalam bukunya yang berjudul ‘Dilema Wanita Di Era Moden’. Katanya, “Bahawa manusia telah hilang kecerdasannya, hilang kemampuan untuk membezakan antara baik dan buruk, antara bagus dan jahat. Manusia sibuk dengan pekerjaan dan kacau fikirannya.



Tidak mengangkat kepala kepada agama dan akhirat. Tidak sempat berfikir tentang roh dan hati, kebahagiaan akhirat, pelayanan kemanusiaan dan perbaikan keadaan. Orang yang prihatin terhadap masa depan peradaban akan berasakan bahawa bertan-tan bom seks akan meledak setiap hari dan ledakannya itu akan mencipta kehancuran yang besar.



Kini masa depan golongan muda diliputi oleh hal-hal yang tidak menyenangkan. Kemungkinan akan berubah menjadi generasi yang lebih liar tatkala mereka dikelilingi oleh kesesatan yang sering muncul pada waktu siang dan malam. Sesungguhnya penyimpangan yang besar akan menimpa manusia di mana jua mereka berada. Ini kerana mereka menggunapakai akhlak musuhnya.



James Reston pernah menulis sebuah kolum majalah New York Times, katanya, “Bahaya kekuatan seks akan lebih dahsyat daripada bahaya kekuatan bom atom!” Lalu apakah kita tidak bersungguh memikirkan tentang bentuk yang ideal untuk menerapkan ajaran Islam di negara kita?”43



Tentang pengaruh TV pula, kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyimpulkan, “Adakah anda benarkan pembunuh, perogol, perompak, pencuri, orang gila malah orang yang tidak dikenali masuk ke rumah? Memiliki TV di rumah sama seperti membiarkan anak-anak anda bermain di jalanan setiap hari, baik siang ataupun malam dengan sesiapa saja.”



Walaupun kita tidak menerima bulat-bulat apa yang disimpulkan oleh CAP, namun penting untuk ibu bapa di rumah mengawal dan bersikap tegas dalam membenarkan anak-anak menonton siaran TV, kerana kesan buruk yang ditimbulkan tidak seorang pun meraguinya.



Sesungguhnya, ALLAH Maha Melihat apa yang kita kerjakan. Dan perbuatan itu jugalah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Jika baik perbuatan yang dilakukan, maka baiklah balasan yang diterima. Andai buruk perlakuan, maka hinalah tempat yang akan dilemparkan kelak.



Waspadalah anakku...


Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Man Jadda Wa Jada- Siapa Yang Bersungguh

Anakku Hidup Sekali Biar Bererti
Muka Depan Buku Anakku Hidup Sekali Biar Bererti oleh Anuwar Nursi


ANUWAR NURSI

21 September 2012




REMAJA yang hebat ialah apabila tidak gentar berhadapan dengan belenggu masalah atau cabaran yang mendatang ketika mencipta impian. Namun, jika gagal ia tidak menjadi halangan untuk meneruskan impian yang dicita-citakan. Pepatah Melayu mengatakan, ‘Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.’ Pepatah Arab pula mengatakan ‘Man jadda wa jada’, siapa yang bersungguh-sungguh pasti akan berjaya.

Kemiskinan dan kekurangan harta tidak boleh dijadikan alasan untuk malas berusaha. Contoh yang baik dalam hal ini ialah kejayaan yang dicapai oleh Nur Nik Madihah. Seorang anak nelayan yang serba kekurangan. Cuba anakanda lihat, kebanyakan yang berjaya adalah berasal dari kampung, anak pesawah, penoreh getah, petani dan seumpamanya.

Mengapa?

Kerana mereka ada impian dan cita-cita tinggi di samping mahu mengubah kehidupan yang serba kekurangan. Ibu bapa mana yang tidak mahu lihat anaknya berjaya?

Berusahalah anakanda... walau apa jua cita-citamu, ayahanda dan bonda sentiasa mendoakan. Cuba Lihat lagi mereka yang berjaya dalam kehidupan misalnya penulis novel Indonesia iaitu Andrea Hirata.

Beliau asalnya hanyalah seorang anak miskin dan tempat belajarnya amat daif. Sekolahnya dahulu hanyalah sebuah bangunan usang yang hampir roboh dan tidak punya sebarang kemudahan seperti hari ini. Pelajarnya cuma sepuluh orang, namun semangat belajarnya hebat dan beliau telah berjaya mencapai cita-citanya.

Ayahanda tidak pula nafikan mereka yang lahir dalam keluarga yang mewah juga pandai kerana mereka juga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Terfikirkah kita tentang kehidupan jika tiada cita-cita? Agaknya di mana kita akan tinggal? Apa pula pekerjaan kita suatu hari kelak? Bukalah mata dan luaskan pandangan mata hati. Lihatlah keadaan mereka yang tiada cita-cita dalam kehidupan. Mereka akan menyesal selama-lamanya dan terpaksa mengharungi masa depan yang suram.

Tidak kurang juga ada yang menjadi beban masyarakat. Lebih teruk jika ada yang menjadi penagih dadah, mat rempit atau peragut jalanan. Jiwa ayahanda sengsara apabila melihat kebanyakan mangsa adalah kalangan umat Islam. Lalu, ayahanda bertanya sendiri ‘Apakah itu tempat terbaik buat umat yang telah diberi ajaran sempurna oleh baginda Muhammad s.a.w?’’

Anakku,

Mengapa tidak dijadikan sahabat terdahulu sebagai idola untuk menjadi umat bahagia dunia dan akhirat? Bacalah tentang Abu Bakar, Ibnu Abbas, Umar Al-Khattab dan teman-temannya, serta ambillah iktibar daripada kisah mereka agar hidup lebih berjaya dan mampu berkhidmat kepada Islam pula.

Jika hari ini, contohilah tokoh-tokoh yang berwibawa dan profesional yang telah berjaya memberi sumbangan kepada negara seperti Syed Naquib Al-Attas, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Dato’ Dr. Zeti Aziz atau Shaikh Muzaffar. Terokailah jasa-jasa yang telah mereka taburi untuk negara, mudah-mudahan dengannya anakanda mampu menjadi yang lebih baik lagi.

Bagaimana untuk membina negara jika tiada cita-cita untuk menjadi orang berjasa? Apakah hanya mahu mengharapkan orang luar untuk mendirikan universiti terkenal memperkukuh modal insan, memajukan ummah yang ketinggalan, membangun ekonomi, menguatkan pertahanan negara, menjadikan negara makmur dan aman? Semuanya itu tidak mungkin wujud jika anakanda dan remaja lain hari ini tidak menanam cita-cita dan bekerja keras untuk mencapainya.

Ini adalahamanah ALLAH yang mesti direalisasikan. Berusahalah untuk melaksanakannya.

Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Berakhlaklah Wahai Putera Puteriku

ANUWAR NURSI
19 September 2012



Anakku Hidup Sekali Biar Bererti
Muka Depan Buku Anakku Hidup Sekali Biar Bererti oleh Anuwar Nursi

Menurut kamus Dewan adab ialah baik budi bahasa, manis, budi pekerti yang halus, tertib, baik perangai dan kelakuan, tidak cabul, tidak lacur, berbahasa, santun, berakhlak, halus budi pekerti, bersusila, tahu adab, bertamadun, telah maju tingkat kehidupan (lahir dan batin) dan berkemajuan.



Kata Pendeta Za’ba, jika hendak mengenal orang berbangsa lihatlah kepada budi dan bahasanya. Pepatah Melayu mengatakan, bahasa menunjukkan bangsa.



Ertinya pertuturan seseorang dapat menunjukkan sama ada ia berbangsa tinggi atau rendah adanya. Juga seorang yang mulia atau hina. Hilang bahasa, hilanglah bangsa.



Ringkasnya adab itu ialah gambaran kehalusan budi pekerti dan kesantunan tingkah laku manusia. Akhlak yang mulia dan kesantunan adalah fitrah manusia. Contoh adab terhadap ALLAH ialah taat melakukan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang.



Manakala adab terhadap ibu bapa ialah menghormati mereka, memuliakan mereka, berbuat baik terhadap keduanya, berbakti kepada keduanya, tidak meninggikan suara, melakukan apa yang mereka nasihati dan tidak melakukan perkara yang ditegah.



Kemudian adab kepada guru ialah menghormati, memuliakan, memberi haknya dengan baik dan merendah diri. Imam Syafie berkata, “Aku merendahkan diriku kepada mereka, sedang mereka pula memuliakan.”  “Dan tiadalah akan dimuliakan diri yang tiada terlebih dulu dihinakan.”



Adab sesama teman pula waspada ketika berkata-kata, menasihatinya dengan baik, tidak bersangka buruk dan bersabar dengan kerenah mereka. Rasulullah s.a.w pernah bersabda,



“Aku diutus TUHAN hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.”



Abdullah bin Mubarak mengatakan, “Kami lebih memerlukan adanya sedikit adab berbanding banyaknya ilmu.”



Perkataan tersebut menandakan ilmu yang banyak, IQ yang cerdas, pandai, otak bergeliga tidak ada nilainya, sama ada di hadapan ALLAH mahupun sesama makhluk tanpa disertai dengan budi pekerti yang luhur.



Itu sebabnya apabila kita melihat orang kaya, berpendidikan atau berpangkat tidak dihormati apabila berperangai buruk, sombong atau bongkak. Malah perbuatan ini mendatangkan kebencian dan permusuhan. Inilah yang dikatakan sikap tidak beradab.



Anakku,



Lihat betapa indahnya pantun Melayu yang menggambarkan mengenai budi:

Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Apabila kita hendak menelusuri perkara ini dan untuk mendapatkan sedikit gambaran, eloklah kita menoleh masa lalu barang sebentar. Misalnya, tahun-tahun 60-an atau 70-an dahulu, seorang pelajar atau remaja dalam pergaulan sehari-harinya begitu menghormati dan memuliakan guru, ibu bapa dan orang tua.


Jarang benar kita dengar kes-kes melawan guru, memukul guru dan lain-lain kes disiplin. Sebaliknya hari ini kes-kes seumpama ini sering kita dengar dan didedahkan oleh media massa saban hari.



Dahulu, kebanyakan pelajar takut kepada guru dan ibu bapa. Dengan kata lain, menghormati dan menyanjung mereka yang banyak berjasa. Misalnya, jika melintas di hadapan ibu bapa, seorang remaja akan menundukkan badan tanda hormat dan memberi salam.



Perilaku ini seringkali dijaga dan dipupuk sebagai tanda hormat dan meninggikan darjat mereka yang lebih tua. Tetapi hari ini, lain pula ceritanya. Ibu bapa dan guru tidak lagi dihormati bahkan dijadikan lawan. Guru dipukul jika menegur kesilapan. Ibu bapa dimarah, jika ditanya tentang aktiviti yang dilakukan. Agaknya apa yang akan berlaku kepada remaja malang itu apabila dewasa kelak?



Krisis Akhlak



Anakku,



Contoh yang paling dekat ialah perilaku remaja yang terjadi di sekeliling kita dewasa ini. Baik di kejiranan, sekolah mahupun pejabat. Menggunakan pertuturan janggal, aneh dan kasar bukan lagi suatu yang luar biasa bagi mereka. Istilah panggilan ‘hai bro’, ‘lu’, ‘gua’, ‘suka gila’, ‘sedap gila’ dan mengeluarkan kata-kata lucah serta tidak bertapis, berlaku pada setiap situasi sewaktu berkomunikasi. Ia menjadi perkara biasa yang dituturkan dan seolah-olah dihalalkan dalam asam garam pergaulan.



Begitu pula perbuatan lepak, berpelukan ketika menunggang motosikal, bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan seperti yang ditampilkan oleh remaja sekolah hari ini, jelas menunjukkan krisis adab dan akhlak yang terjadi.



Perbuatan memualkan ini boleh dilihat di tempat-tempat riadah, taman, tepian pantai atau tasik, bahkan yang lebih melampau ialah di perpustakaan awam.



Di sana mereka tidak serius belajar atau mentelaah pelajaran sebaliknya membuat bising, bersembang dan bercinta. Seolah-olah orang di kiri dan kanan mereka itu pekak dan buta. Inilah yang dikatakan tidak beradab dan tidak berakhlak mulia. Ketahuilah, redha ALLAH itu terletak kepada redha ibu bapa. Dan sekali guru itu dizalimi, maka gelaplah hati untuk menerima ilmu yang diajari. Akhirnya, masa hadapan akan hancur dan musnah.



Waspadalah!



Perkara yang sama juga menjadi keluhan ulama Al-Azhar, iaitu Syeikh Mahmud Al-Mishri, penulis buku ‘Ensiklopedia Akhlak Muhammad s.a.w’, katanya, “Bahawa medan dakwah dewasa ini menghadapi tentangan yang semakin berat. Hal ini kerana akhlak buruk tumbuh dengan sangat pesat, terutama mereka yang menganut fahaman at-tarbiyah an-nau’iyyah (pendidikan beragama).



Hal ini memunculkan fenomena berbahaya misalnya anak muda yang tidak mahu menghormati orang yang lebih tua, orang pandir yang berani melangkahi para ulama dan para pelajar berkelahi. Mereka saling bermusuhan, melupakan persaudaraan, tidak santun, tidak mahu saling memaafkan dan tidak mahu bersabar. Mereka bersikap lebih pandir daripada seorang yang tidak berpendidikan sama sekali.”



Alangkah indah dan harmoninya masyarakat dahulu yang halus pergaulan dan murni budi bahasa. Sehingga nostalgia ini melahirkan kenang-kenangan indah di hati. Sekiranya harapan ini boleh diterjemahkan kembali alangkah bahagianya masyarakat, umat dan negara hari ini. Iaitu apabila kemajuan teknologi dan kemodenan bersatu dengan adab yang baik dan moral yang tinggi.



Zaman ayahanda dahulu amat menitikberat menjaga akhlak dalam masyarakat. Tidaklah dikatakan langsung tiada perkara buruk yang berlaku, tetapi jarang benar terjadi. Jika ada pun, akan ditangani dengan segera agar tidak berpanjangan.



Prof. Dr. Hamka misalnya ada menulis perihal ini dalam bukunya yang berjudul ‘Ghirah dan Tantangan Terhadap Islam’. Dalam buku tersebut beliau mengupas tentang sifat malu ditinjau dari perspektif agama dan kaitannya dengan bangsa-bangsa Indonesia umumnya iaitu seperti Bugis, Makassar, Madura, Banjar, Minangkabau, Melayu dan lain-lain:



“Saya teringat suatu kejadian di Medan pada tahun 1938. Seorang pemuda membunuh pemuda lain yang berbuat jahat (serong) terhadap saudara perempuannya. Pemuda itu dihukum selama 15 tahun penjara. Ketika hukuman dijatuhkan, dia sedikit pun tidak menyesal. Dia menerima hukuman itu dengan tenang dan senyum.



Baginya hukuman tersebut kerana mempertahankan kehormatan keluarga bukanlah suatu kehinaan. Malah, jika saudara perempuannya diganggu orang lalu didiamkannya saja itulah kehinaan. Meskipun dia hidup 15 tahun lagi sesudah itu, tidaklah ada harganya. Meskipun dia lepas bebas dalam masyarakat 15 tahun tidaklah ada ertinya, serupa saja ertinya dengan menjadi orang buangan. Malahan lebih hina daripada itu. Dengan hukuman 15 tahun yang dijalani itulah dia berasa dirinya berharga.”



Hari ini perlakuan kotor telah mewabak dengan cepat disebabkan cetusan kemajuan teknologi yang tidak diseimbangkan dengan penerapan nilai-nilai murni agama. Maka lahirlah masyarakat yang tempang dan rosak.



Kadar kes jenayah berkaitan keganasan seks misalnya seperti rogol, buang bayi, liwat dan sumbang mahram dilaporkan meningkat sejak beberapa tahun lalu. Berdasarkan statistik, keganasan jenayah seks yang dilaporkan pada 2005 ialah 2,427 kes. Manakala 2,943 (2006); 3,689 (2007); 3,986 (2008) dan 4,238 (2009), keseluruhannya 17,283 kes.



Inilah kesan hilangnya iman dan rosaknya adab. Berhati-hatilah dengan cabaran dunia hari ini. Berusahalah melindungi maruah dan ‘mahkota’ diri agar tidak bertambah umat yang tidak berbapa dan tidak lagi menguburi insan kecil yang terbuang di lorong-lorong gelap dan semak-samun.

Thursday, September 27, 2012

Tafsir Surah al-Mursalat - Ingkar nikmat


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL BAKRI

ALLAH SWT telah menyebut tentang keadaan orang yang mendustakan-Nya, para nabi dan hari kemudian itu akan dikenakan azab pada hari keputusan dan pembalasan.

Di sini Allah SWT menjelaskan pelbagai seksaan itu dengan segala kengeriaannya yang membingungkan orang yang berfikiran dan menundukkan setiap orang yang takut dan kembali kepada-Nya.

Kemudian Allah SWT memberitahu bahawa mereka diperintahkan untuk pergi ke bawah naungan asap Jahanam yang bercabang-cabang kerana banyaknya dan bermacam-macam bentuk hingga menjadi tiga cabang besar yang pernah mereka dustakan dahulu di dunia.

Padahal naungan yang sedemikian tidak sedikitpun melindungi dan menghalang mereka daripada panas nyalaan yang berdiri di atas api yang memercikkan bunga-bunga api yang tinggi dan besar bagaikan istana.

Begitu juga bagaikan sekumpulan unta kuning yang bertebaran dan bercerai-berai tanpa batasan hitungan dan bergerak tidak menentu.

Tidak diragukan lagi perkara yang demikian ini adalah persamaan yang diketahui oleh orang Arab ketika menyifatkan sesuatu dengan kebesaran. Tidakkah kamu melihat bahawa mereka menyamakan unta yang besar dengan istana sebagaimana yang dikatakan: "Maka untaku pun berdiri di situ, seakan ia itu istana, untuk memenuhi keperluan orang yang menunggu."

Firman Allah SWT: 
Dan kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi dan kami beri minum kamu dengan air tawar? (al-Mursalat: 27)

Al-Maraghi berkata: "Gunung-ganang ini berhubungan dengan lapisan batu api yang merupakan lapisan bumi yang paling jauh daripada permukaannya. Lapisan di dalamnya meliputi bola api yang bernyala-nyala yang ada di dalamnya, sedangkan di bahagian luarnya merupakan kulit bumi yang kita berada padanya."

Air tawar itu pula berasal dari awan yang dijaga oleh gunung-ganang yang tinggi atau datang daripada mata air-mata air yang turun dari gunung-ganang dan diselaputi oleh salji yang mengalir perlahan-perlahan di atas permukaan bumi lalu menyerap masuk ke dalam perut bumi menuju ke puncak mata air yang mengalir.

Ibnu Kathir berkata: "Yakni gunung-ganang yang ditanamkan di bumi agar bumi tidak goyah dan bergoncang. Dan air tawar yang diturunkan dari langit, mahupun yang bersumberkan daripada mata air bumi."

Sayid Qutub berkata: "Dan di bumi Kami ciptakan bukit-bakau dan gunung-ganang yang tinggi dan di kemuncak yang tinggi itulah berkumpulnya awan mega dan dari sanalah mengalir saluran-saluran air tawar yang nyaman."

Firman Allah SWT: 
Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 28)

Al-Maraghi berkata: "Azab yang besar di akhirat diberikan untuk mereka yang mengingkari semua nikmat ini.'

Ibnu Kathir berkata: "Celaka bagi orang yang merenungi berbagai macam makhluk yang menunjukkan keagungan Penciptanya tetapi setelah itu dia terus-menerus dalam kedustaan dan kekufuran."

Firman Allah SWT: 
(Dikatakan kepada mereka pada hari kiamat): Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya. (al-Mursalat: 29)

Al-Maraghi berkata: Penjaga neraka Jahanam berkata kepada mereka: "Terimalah seksaan yang ketika di dunia dahulu kamu telah dustakan."

Firman Allah SWT: 
Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai tiga cabang. (al-Mursalat: 30)

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT menjelaskan dan menyifatkan azab ini dengan beberapa sifat:

  • Berjalanlah kamu di bawah naungan asap Jahanam yang terbahagi kepada tiga cabang besar, satu cabang dari sebelah kanan mereka, satu cabang dari sebelah kiri dan satu cabang lagi dari atas mereka. Ia bermaksud asap itu meliputi mereka daripada segenap arah.


  • Asap Jahanam itu bukan sejenis naungan kerana ia tidak akan menaung kepanasan hari itu.


Ibnu Kathir berkata: Yakni nyalaan api semakin tinggi dan naik bersama dengan asap maka kerana kedahsyatan dan kekuatannya ia mempunyai tiga cabang.

Sayid Qutub berkata: "Iaitu bayangan asap api neraka yang pucuknya menjulang-julang bercabang tiga. Ini adalah bayangan teduh yang mencekik pernafasan dan yang panas menyelar. Ia dinamakan bayangan teduh sebagai lanjutan daripada penghinaan dan sendaan. Ia memberi angan-angan mendapat bayangan teduh tetapi sebaliknya mereka mendapat api neraka Jahanam.

ARKIB : 21/09/2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...