بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, January 31, 2012

Mensia-siakan masa satu kejahatan

Memenuhi masa terluang dengan misi kemanusiaan itu adalah jauh lebih baik, sekali gus memupuk naluri insaniah. - Gambar hiasan

Oleh BURHANUDDIN ABDUL JALAL

SEJAUH manakah kita menghargai masa dalam kehidupan kita? Sekiranya kita ditanya dengan beberapa soalan seperti apakah kekayaan yang paling berharga dalam hidup? Wang ringgit? Hartanah? Anak-anak? Kecantikan? Kecerdasan? atau Kesihatan? Barangkali jawapannya adalah kesemuanya.

Yang pastinya, semua itu tidak setara dengan nilai waktu yang kita miliki. Kekayaan yang sebenar yang kita miliki setelah Islam ialah masa.

Dapatkah kita memahami mengapa waktu ini begitu penting? Mungkin persoalan ini tidak mempengaruhi diri sedikitpun kerana kita telah terbiasa dalam kehidupan seharian dengan ketidakpedulian terhadap masa.

Dalam al-Quran Allah SWT banyak bersumpah dengan waktu dan ia disebut dalam banyak tempat, sekali gus menunjukkan kepentingan masa.

Antaranya surah al-Lalil ayat 1-2, surah ad-Dhuha juga ayat 1-2. Surah al-Fajr juga ayat satu 1-2 dan ayat pertama dalam surah al-Asr.

Apakah sebabnya Allah menyuruh manusia memikir dan merenung tentang hal berkaitan masa? Umat manusia yang tidak tahu menghargai masa, tidak mungkin akan menjadi umat yang maju, sebagaimana disebut dalam surah Ali Imran ayat 110.

Ayat di atas menyebut bahawa manusia adalah umat yang terbaik. Namun pada prinsipnya ia akan menjadi umat yang terbaik apabila mampu memanfaatkan seluruh kurnia Allah dan tidak menyalahgunakannya, khususnya masa.

Sebagai manusia yang terbaik adakah kita telah dapat merasakan kepentingan masa dalam kehidupan kita ini?
Sesungguhnya seluruh kehidupan dan amal umat Islam sentiasa berkait dengan masa. Lebih-lebih lagi, yang berkait rapat dengan ibadat. Dalam ibadat solat umpamanya, aspek masa amat dititikberatkan.

Ketika di tanya oleh para sahabat kepada Rasulullah tentang apakah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT? Baginda menjawab: "Solat tepat pada waktunya."

Begitu juga dengan ibadat puasa yang ditentukan dengan masa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berpuasalah dan akhirinya dengan melihat anak bulan." Selain ditegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 184.

Antara intipati ayat di atas ialah, tentang ingatan agar dapat memanfaatkan masa dalam bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya kerana kelebihan bulan Ramadan di samping waktu yang terhad. Dalam ibadat haji pula, pelaksanaannya juga tertakluk kepada faktor masa. Sebagaimana dalam surah al-Baqarah ayat 197.

Begitu juga dengan ibadat zakat harta, faktor masa atau disebut haul merupakan salah satu syarat. Semuanya bertujuan satu bentuk penegasan kepada kepentingan masa. Oleh itu, marilah kita menggunakan ia dengan sebaik-baiknya, apatah lagi atas perkara yang sia-sia.

Pernahkah kita terfikir bahawa aspek pengadilan atau penghakiman manusia pada hari akhirat juga ada kaitannya dengan masa. Firman Allah SWT kepada golongan orang-orang kafir dalam surah al-Fathir ayat 37.

Dalam ayat ini Allah telah menempelak orang-orang kafir yang tidak manfaatkan masa kurniaan Allah untuk berfikir tentang kebesaran-Nya serta menzalimi diri mereka dengan mensia-siakan umur.

Selanjutnya marilah kita merenung sebuah hadis Nabi yang bermaksud: "Pada hari kiamat kelak, tidak ada seorang hamba pun dibenarkan meninggalkan tempatnya kecuali setelah ditanya lima perkara. Tentang penggunaan umur masa mudanya, tentang kekayaannya dari mana diperoleh dan untuk apa digunakan, tentang ilmunya untuk apa dilakukan."

Oleh itu, kita perlu berusaha untuk memanfaatkan waktu walaupun orang Barat telah lama menghargai waktu dan memanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Mulai hari ini kita perlu menghargai waktu dan tahu menilainya yang mana kaca dan yang mana permata.

Seorang tabiin besar, Hassan al-Basri pernah mengungkapkan kata-kata berikut setiap kali matahari terbit: "Wahai manusia, aku adalah hari kamu yang baharu yang akan menjadi saksi di atas segala amal perbuatan kamu. Pergunakanlah dengan baik dan jadikanlah aku bekalmu. Sebab bila aku telah pergi, aku tidak akan kembali hingga hari kiamat."

Justeru, masa adalah kehidupan kita dan kehidupan itu adalah nafas yang keluar dan masuk daripada rongga kita.

Jika sekiranya terdapat banyak kelapangan masa, kita perlu berwaspada kerana maksiat akan muncul apabila kita mempunyai masa lapang yang banyak. Lebih-lebih lagi, jika umur masih muda.

Sejarah telah mencatatkan peristiwa isteri seorang pegawai tinggi kerajaan Mesir telah menggoda Nabi Allah Yusuf dan salah satu sebab ialah kerana beliau mempunyai masa lapang yang banyak.

Orang yang mempunyai masa senggang yang banyak akan mendorong dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik melebih perlakuan orang muda.

Selain itu, kita lihat perlakuan anak-anak remaja pada hari ini. Ada kalanya seorang anak muda mempunyai kebebasan luar biasa yang diberikan oleh ibu bapa. Dibiarkan tidur hingga 12 jam, bangun hingga lewat tengah hari, terlepas semua kewajipan agama, pergaulan yang bebas, berhibur yang terlampau serta langsung tidak menghargai masa. Ini semua akan menjurus anak muda ke lembah maksiat.

Begitu juga berlaku di kalangan para pekerja yang berkhidmat di pejabat atau perusahaan. Ada kalanya mereka bekerja dalam erti kata yang sebenar hanyalah dalam tempoh yang sangat sedikit berbanding dengan waktu sebenar.

Banyak masa dihabiskan dengan berbual, membaca surat khabar, melayari Internet atau kerja-kerja yang tidak bersangkutan dengan tugasan hakiki.

Ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan agama. Gaji yang diperoleh adalah haram kerana tidak menjalankan tugas dengan sepenuh amanah.

Persoalannya apakah ini yang dilakukan oleh umat Muhammad? Jika ini berlaku, seluruh umat akan menerima kesan yang buruk dan mendedahkan diri kepada pembalasan buruk pada hari kiamat.

Berapa banyak masa yang telah terbuang dengan sia-sia mungkin boleh dimanfaatkan untuk membantu kedua-dua ibu bapa kita.

Jika tersedar setelah keduanya telah tiada tidak berguna lagi. Pernahkah kita mengenal pasti wanita-wanita memakai tudung atau menutup aurat mereka setelah lanjut usia?

Mengapa orang-orang yang mengetahui agama tidak membetulkan atau menyedarkan mereka? Mengapa masih memilih untuk tunggu dan lihat atau tidak ambil kisah? Kesempatan yang ada itu mungkin akan hilang.

Kita perlu menyedari bahawa bencana dan musibah yang menimpa pada hari ini adalah akibat daripada ketidaksedaran umat terhadap menghargai masa.

Ramai yang tidak menyedari bahawa mensia-siakan waktu adalah salah satu ciri kejahatan. Ini termasuklah golongan yang suka melepak, duduk berjam-jam di kedai kopi.

Sebagi seorang Islam kita perlu menyedari kesan daripada mensia-siakan masa. Apabila kita masih tidak kisah apa yang berlaku di sekeliling, dibuai mimpi dan tidak ambil peduli terhadap jatuh bangun umat, maka bencana yang menimpa umat tidak akan berakhir, bahkan akan terus bertambah.

Kemungkinan satu hari nanti kita akan dikejutkan pula dengan musibah yang lebih besar. Ini menepati apa yang telah Allah tegaskan dalam surah ar-Ra'du ayat 11.

Selagi kita tidak menghargai masa, selagi setiap Muslim tidak menghayati agamanya, selagi anak watan tidak berusaha menghasilkan sesuatu hasil usaha mereka sendiri atau selagi mana anak-anak muda tidak mencari ilmu pengetahuan dan memanfaatkan untuk diri mereka dan masyarakat seluruhnya, selagi itulah keadaan amat sukar untuk berubah.

Monday, January 30, 2012

Membudaya selawat dalam kehidupan harian

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

2012/01/30

UMAT Nabi Muhammad SAW sewajibnya mencintai Baginda melebihi daripada segala-galanya hatta terhadap diri sendiri. Ini seperti mana kisah Baginda SAW dengan sahabatnya Umar al-Khattab yang begitu jelas memberi pengajaran berguna buat kita umat di akhir zaman ini. 

Dikisahkan, suatu hari Umar al-Khattab mengatakan rasa cinta dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW, namun selepas mendengar yang Umar mencintai dirinya terdahulu maka Rasulullah SAW membetulkannya semula.


Kata Nabi SAW: “Tidak, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya. Sehingga kamu mencintai aku lebih daripada dirimu sendiri. Kemudian Umar pun mengatakan: Sesungguhnya sekarang engkaulah yang aku cintai lebih daripada diriku sendiri. Lalu Nabi SAW pun berkata lagi kepadanya: Sekarang wahai Umar.” (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan kisah antara Rasulullah SAW dan Umar itu menjelaskan kepada kita betapa pentingnya hati kita mencintai sebulat-bulatnya terhadap Baginda. Banyak cara yang membolehkan menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. 

Antaranya melalui bacaan selawat, amalan ringan dan semua mampu buat namun mengandungi banyak pahala di sisi Allah kerana menerusi bacaan selawat melambangkan rasa cinta, kasih sayang dan hormat seseorang terhadap Baginda. 

Allah dengan tegas ada mengatakan: 
“Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56) 
Rasulullah SAW sangat gembira apabila umatnya sering membaca selawat ke atas Baginda. Hal ini dijelaskan Abdul Rahman bin Auf, katanya, Rasulullah SAW keluar lalu aku mengikuti Baginda sehingga memasuki sebuah kebun kurma. 

Lalu Baginda sujud dalam masa agak lama sehingga aku bimbang atau takut seandainya Allah mewafatkan Baginda. Abdul Rahman meneruskan riwayatnya: “Maka aku datang melihat Baginda, lalu Baginda mengangkat kepalanya seraya bertanya, kenapa dengan kamu wahai Abdul Rahman? Lalu akupun menyebutkan apa yang berlaku kepada Baginda. 

Kata Nabi SAW: “Sesungguhnya Jibril berkata kepadaku, hendaklah aku gembirakan kamu bahawa sesungguhnya Allah telah berfirman kepada kamu: Sesiapa yang berselawat ke atas kamu maka Allah berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam ke atas kamu, maka Aku memberi salam ke atasnya.” 

Cerita ini ada hubung kait dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim) 

Demikian hebatnya fadilat selawat yang akan diperoleh kita yang menjadikan amalan membacanya sebagai jadual harian dan pada setiap ketika. Justeru, kita perlu mendidik anak, isteri dan ahli keluarga membudayakan amalan berselawat sebagai amalan wajib buat setiap hari. 

Seperkara lagi perlu diingatkan, jangan setakat rajin berselawat tetapi akhlak zahir dan akhlak batin jauh daripada apa yang diperintahkan Nabi SAW. Mulut berbudaya selawat, tetapi tangan dan kaki mencari hasil kerja yang haram? 

Jika beginilah, maka tiada makna selawat yang kita baca, malah kita semakin jauh daripada Baginda kerana melakukan perkara yang dibenci. Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW maka laksanakan apa disuruh dan menjauhi yang ditegah sebagai penzahiran rasa cinta itu. 

Alangkah beruntungnya seseorang yang rajin berselawat dan memiliki akhlak terpuji seperti diperturunkan Rasulullah SAW. Kita mesti selarikan antara amalan membaca selawat dengan amalan zahir batin. Wujudnya kesepaduan jitu antara kedua-duanya akan menjadi pencetus kepada keberkatan hidup di dunia dan akhirat. 

Selain selawat, amalan ibadah sunat lain juga tidak seharusnya dijadikan amalan bermusim atau bersifat berkala. Tiba Maulidur Rasul, maka teringatlah untuk menggiatkan bacaan selawat tetapi selepas habis Maulidur Rasul, sehari ke sehari amalan itu terhakis daripada sanubari. 

Seandainya situasi begini yang berlaku bermakna kecintaan terhadap Rasulullah belum mampu kita buktikan secara jujur. 

Bagi ibu bapa, didiklah anak mencintai Rasulullah SAW seawal usia dengan membiasakan alunan bacaan selawat sebagai halwa telinga mereka yang akan menjadi asas kepada pembangunan rohani anak. 

Imam al-Ghazali melalui karya teragungnya, Ihya Ulumuddin berpesan: “Ketahuilah apa-apa yang kami sebut dalam menjelaskan akidah seharusnya diberikan kepada anak pada awal perkembangannya supaya mereka dapat benar-benar menghafaz sehingga dewasa nanti terungkap maknanya sedikit demi sedikit.” 

Mempercepat kematian tanpa sah pakar haram


Oleh Ashraf Muslim

2012/01/30

Muzakarah putuskan 'eutanasia' atau 'mercy killing' menyamai perbuatan membunuh

MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Eutanasia atau Mercy Killing. 

Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut: Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah berpandangan bahawa menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam.


Sehubungan itu, muzakarah memutuskan bahawa perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalan eutanasia (sama ada Eutanasia Voluntary, Non-Voluntary atau Involuntary) atau mercy killing adalah haram menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ia juga bertentangan dengan Etika Perubatan di Malaysia.

Keputusan ini selaras firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja...” (Surah an-Nisa’, ayat 92). 
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh an-Nasa’ie yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap reda Allah)." 

Walau bagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, muzakarah memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan. 

Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa pesakit tiada harapan untuk sembuh dan pesakit telah dibenarkan pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan (conventional treatment) diteruskan adalah dibenarkan oleh Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia atau mercy killing yang diharamkan. 

Sehubungan itu selaras dengan kaedah fiqh iaitu ‘dalam keadaan darurat, setiap perkara yang ditegah dibolehkan’, amalan Eutanasia Indirect atau Double-Effect Medication boleh dilaksanakan menurut pandangan syarak bagi memastikan kesengsaraan dihadapi pesakit dapat dikawal dan pelaksanaannya tidak langsung bertujuan untuk mempercepatkan kematian. 

Muzakarah juga memutuskan bahawa dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian itu disahkan oleh pakar, maka akan sabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak. 

Jadi, harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terbabit dalam urusan pendermaan organ. 

Situasi dihadapi khususnya kepada keluarga pesakit yang berdepan dengan keadaan di mana mereka perlu membuat pilihan selepas mendapatkan nasihat pakar dan yang arif bidang hukum, ada kalanya memang menyukarkan. Perasaan sayang menyebabkan mereka masih mengharapkan keajaiban sementara hakikat realiti menuntut mereka membuat keputusan yang rasanya tidak adil kepada pesakit sendiri. 

Memang sukar apabila berdepan keadaan begini kerana sebagai manusia kita tiada hak menentukan hidup mati orang lain tetapi jika diuji dengan permasalahan begini, bagaimana agaknya keputusan bakal kita buat. Sebab itu kefahaman perlu dan caranya, mendapatkan nasihat mereka yang benar-benar pakar mengenai hukum serta bidang perubatan. 

Dalam al-Quran dinyatakan bahawa penentuan hidup dan mati seseorang itu adalah kuasa Allah SWT seperti firmanNya dalam Surah Yunus, ayat 49, yang bermaksud: “dan apabila telah sampai ajalnya, maka tidak akan dilewat dan tidak akan dipercepatkan walau sesaat pun.” 

Manakala firmanNya dalam Surah al-Kahf, ayat 84 pula menyeru supaya manusia melakukan ikhtiar dan kemudian bertawakal, seperti mana maksudnya: 
“dan Kami beri kepadanya jalan yang menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.” 
Di sebalik permasalahan untuk membuat keputusan sukar ini, sebenarnya saya tertarik untuk membangkitkan perkara yang mungkin ada antara kita lupa lakukan kerana tertekan dengan kenyataan perlu dihadapi iaitu memberi nasihat serta dorongan kepada pesakit supaya terus mengingati Allah dan bertawakal kepadanya. 

Selalunya, kita akan runsing memikirkan apa yang bakal berlaku hingga terlupa untuk membisikkan di telinga pesakit nasihat supaya terus mengucapkan syahadah serta berzikir kepada Allah kerana ingatan itu sedikit sebanyak boleh membantu pesakit yang berdepan dengan pelbagai kemungkinan, dengan izin Allah mereka kembali sembuh atau atas kehendak Allah, mereka kembali kepada Yang Maha Mencipta. 

Secara tidak langsung, kita yang sedang membantu pesakit menghadapi keadaan kritikal turut membantu diri sendiri dengan menyerahkan keadaan kepada Yang Maha Kuasa, dan apa juga natijahnya nanti, kita dapat terima dengan reda kerana sedar semua itu ketentuan Allah. 

Ketika kita sibuk berusaha menyelamatkan pesakit menggunakan peralatan canggih dan moden, perlu ada kakitangan hospital yang ditugaskan untuk menenangkan pesakit dengan memberi nasihat serta membantu mereka terus mengingat Allah dan bertawakal kepada-Nya. 

Ini kerana selalunya kita terlupa bahawa peringatan seperti itu juga dapat membantu menenangkan pesakit. 

Peringatan itu bukan kepada pesakit yang sedang nazak saja, juga perlu dititikberatkan kepada mereka yang bakal menjalani pembedahan atau ibu dalam proses melahirkan bayi. Mengingati Allah dengan zikir atau selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W, boleh memberi ketenangan dan dalam banyak kes meningkatkan keyakinan serta kekuatan kepada pesakit. 

Tindakan ini nampak remeh tetapi seperti dijelaskan kepada kita, apabila dekat dengan Allah, yakinlah Allah dekat dengan kita. Dan apabila kita yakin Allah amat dekat, maka hilang segala rasa resah gelisah dan hadirlah keyakinan Allah tidak akan menghampakan hamba-Nya. Allah tempat mengadu kita untuk meluahkan segala-galanya. 

Firman Allah yang bermaksud: 
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya." (Surah Al Qaf, ayat 16) Sama-samalah kita fikirkan. 

Takbur lalu tersungkur - Kalam Imam Muda

LAWATAN ke Jordan, empat tahun lalu, memberi banyak pengalaman yang membuatkan saya sentiasa terfikir mengenai maksud pengajaran di sebalik peristiwa yang berlaku di tempat yang saya kunjungi.

Minggu ini saya ingin mengupas pula kisah di sebalik sebuah kota purba dikenali sebagai ‘Petra’.


Kota ini terletak dalam wilayah Ma’an, lebih 200 kilometer dari Amman, ibu negara Jordan. Petra adalah perkataan Yunani bermaksud ‘batu’ dan dipercayai dibina sekitar kurun keenam.


Kota purba ini juga digelar sebagai ‘Red Rose City’ disebabkan warna kemerah- merahan yang menghiasi kota yang terletak di celahan gunung dan bukit-bukau ini.


Sewaktu melawatnya, memang saya terpegun. Memang sukar menggambarkan dengan kata-kata kerana saya takjub apabila memikirkan bagaimana kota sehebat ini boleh dibina pada zaman purba dan apakah teknologi yang mereka gunakan.



Kota ini dipercayai pernah diduduki kaum Nabatean dan kaum Tsamud yang hidup pada zaman Nabi Saleh. Mereka terkenal dengan kemahiran seni bina dan pemotongan batu dengan memahat serta mengukir bukit serta gunung menjadi bangunan indah.


Mereka juga mencipta sistem pengaliran yang membekalkan air bersih kepada kota Petra. Sistem ini juga dipercayai dapat mencegah banjir secara mendadak.


Kota ini turut dilengkapi sebuah ‘teater’ yang mampu menampung sehingga 4,000 penonton pada satu-satu masa selain bangunan mahkamah serta makam raja mereka.


Tidak hairan, Petra terpilih antara tujuh keajaiban dunia. Keindahan serta keseniannya yang mengagumkan juga menyebabkan Petra sering menjadi lokasi penggambaran filem seperti ‘Indiana Jones’ dan ‘Transformers’.


Sebenarnya, kehebatan kaum Tsamud dirakam oleh Allah SWT di dalam surah Al-A’raf ayat 74, yang bermaksud: 

“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum ‘Ad dan ditempatkan-Nya kamu di bumi, (dengan diberikan kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganang untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka Bumi.”
Namun sayang, di sebalik bakat serta kehebatan dianugerahkan Allah kepada kaum Tsamud, timbul rasa bongkak dan takbur dalam diri mereka apabila dengan megahnya mempersendakan wahyu yang diturunkan Allah kepada Nabi Saleh.

Oleh kerana mereka penyembah berhala yang tegar pada saat Nabi Saleh membawa agama yang datangnya daripada Allah ketika itu, hanya segelintir orang yang rendah martabatnya menerima ajaran Nabi Saleh.

Lebih malang lagi, mereka menuduh Nabi Saleh gila, terkena sihir dan dirasuk syaitan kerana membawa ajaran baru kepada mereka.



Tuduhan ini dirakam oleh Allah SWT di dalam surah Al-Qamar ayat 24 hingga 25, yang bermaksud: 


“(Demikian juga) kaum Tsamud mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan Rasul mereka, Nabi Saleh).“Lalu mereka berkata: Patutkah kita menurut manusia daripada jenis kita, lebih-lebih lagi yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila. “Tidaklah patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di kalangan kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong dan angkuh.” 
Kerana itu, Allah SWT menguji sama ada mereka akan mematuhi perintah Allah atau tidak dengan membawa seekor unta betina kepada mereka. Ada riwayat menyebut, lahirnya unta ini dari celahan batu-batu gunung untuk menunjukkan kekuasaan Allah.



Melalui Nabi Saleh, Allah SWT memerintahkan mereka tidak mengganggu unta itu. Nabi Saleh juga memberi amaran, mereka akan ditimpa azab jika mengingkarnya.



Namun, kerana hati yang keras dan membatu, segelintir daripada mereka membunuh unta itu. Malah, dengan angkuhnya mereka mencabar supaya ditimpa azab seperti mana dinyatakan dalam surah Al-A’araf, ayat 77, yang bermaksud: 
“Maka mereka menyembelih unta ini, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka sambil berkata: Hai Saleh! Datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika kau betul daripada Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah).” 
Nabi Saleh kemudian menjawab dengan memberikan tempoh tiga hari sebelum azab menimpa mereka. Sejak itu kegusaran mula melanda hati, lalu mereka merancang membunuh Nabi Saleh pula.



Namun setiap percubaan mereka digagalkan Allah SWT. Allah SWT menjawab cabaran mereka dengan menimpakan bencana gempa bumi ke atas mereka sebagaimana dinyatakan dalam surah Al-A’araf, ayat 78 yang bermaksud: 
“Kerana itu mereka ditimpa gempa, jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka.” 
Kaum ini dipercayai pupus antara 400-600 Tahun Masihi sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW.



Apa yang dapat diteladani daripada kisah kaum Tsamud ialah dosa serta kemungkaran yang dilakukan sekelompok kecil daripada sesebuah masyarakat itu dapat mengundang azab serta bencana yang membinasakan keseluruhan masyarakat.



Lihat bagaimana kaum Tsamud dibinasakan hanya kerana pelanggaran perintah yang dilakukan segelintir orang yang membunuh unta Nabi Saleh. Lihat juga bagaimana Allah menimpakan tsunami yang membinasakan sebahagian besar kepulauan Aceh satu ketika dulu.



Di sinilah letaknya hikmah perintah Allah SWT supaya kita melakukan ‘amar makruf nahi mungkar’. Dengan melakukan tugas itu, setidak-tidaknya kalau tidak berhasil mencegah kemungkaran dan maksiat, kita berjaya mengelakkan dosa bersubahat atau menyetujui pekerjaan mungkar.



Bersikap sambil lewa, acuh tidak acuh terhadap maksiat serta kemungkaran yang berlaku di depan mata, bererti kita secara tidak langsung sama-sama terbabit dalam perbuatan mungkar.



Sesungguhnya terlalu banyak kemaksiatan berlaku di seantero dunia, termasuk negara kita. Namun kerana kasih sayang Allah serta istimewanya kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, Allah SWT masih memberi kita ruang, mudah-mudahan kita bermuhasabah.



Jadi ingatlah, secanggih mana teknologi infrastruktur dan walau setinggi mana bangunan mencakar langit mampu dibina, pasti lenyap sekelip mata apabila Allah menimpakan azab-Nya.


SUMBER ; myMetro

PETRA

Sumber

Saturday, January 28, 2012

Persekitaran manusiawi galak kecemerlangan budaya kerja


Oleh Sharifah Haayati


Hubungan baik kakitangan, majikan hindari tekanan

PERSEKITARAN manusiawi dengan nilai insani adalah faktor utama merangsang suasana ceria kehidupan termasuk di tempat kerja. Walaupun bekerja dalam bangunan tinggi mencakar langit, luas, disediakan segala kelengkapan dan teknologi canggih, belum menjamin keseronokan bekerja.


Tanpa persekitaran manusiawi antara rakan sekerja dan majikan yang baik, ia boleh menyebabkan pekerja berasa tertekan atau tidak bermotivasi untuk datang ke pejabat. Persekitaran manusiawi dimaksudkan yang mengamalkan nilai saling hormat menghormati, berbaik sangka dan bekerjasama.

Tiga nilai utama ditekankan Rasulullah SAW itu juga membentuk ketakwaan. Apabila nilai saling menghormati diamalkan, seseorang akan menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata kasar, kesat dan sindiran antara satu sama lain walaupun dengan pekerja bawahan.

Sifat berbaik sangka pula, akan menghindarkan pandangan negatif, fitnah dan dendam sementara sifat saling bekerjasama menghindarkan hasad dengki, mementingkan diri sendiri serta egoisme.

Semua sifat negatif ini boleh berlaku di tempat kerja sehingga mewujudkan ‘politik pejabat’ yang tidak sihat secara senyap dan budaya kerja menjejaskan kualiti. 

Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu saling berdengki, bersaing dalam menawar harga untuk menjatuhkan orang lain, benci dan bermusuhan serta jangan kamu menjual barangan untuk merugikan yang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Muslim itu saudara Muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, menghina mahupun merendahkannya. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk ke dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang itu dianggap jahat sekiranya menghina saudaranya yang Muslim.” (Hadis riwayat Muslim) 
Sejarah Rasulullah SAW membuktikan faktor persekitaran manusiawi bukan sekadar mampu membina kejayaan sebuah organisasi atau individu tetapi hasil menggembleng tenaga antara kaum Muhajirin dan Ansar berjaya membentuk negara Madinah makmur yang diurus tadbir Rasulullah SAW dalam masyarakat berbeza puak serta kabilah.

Walaupun dengan segala kekurangan material, apabila manusia bersatu hati, saling menghormati dan bekerjasama, ia berjaya direalisasikan. Gambaran sifat kaum Ansar diceritakan kaum Muhajirin kepada Rasulullah SAW menggambarkan persekitaran manusiawi yang unggul.

Diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnadnya daripada Anas, mereka berkata: “Wahai Rasulullah, kami belum pernah bertemu dengan satu kaum yang sangat pemurah, jika sedikit yang mereka ada, mereka tidak berkira. Jika banyak yang mereka ada, mereka memenuhi segala keperluan kami serta berkongsi kegembiraan mereka dengan kami, sehinggakan kami bimbang mereka akan membolot semua pahala. Nabi bersabda: Tidak, selagi kamu memuji mereka dan selagi kamu berdoa kepada Tuhan untuk mereka.”

Antara sifat mereka juga ialah saling mendoakan seperti firman Allah yang bermaksud: 
“Dan orang yang datang sesudah mereka berkata: Wahai Tuhan kami, ampunkan kami dan saudara kami yang sudah mendahului kami dalam beriman dan jangan Engkau jadikan dalam hati kami perasaan iri hati terhadap orang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mengasihani.” (Surah al-Hasyr, ayat 10) 
Anas bin Malik, pembantu Rasulullah SAW juga menceritakan bagaimana beliau tidak pernah dikasari Baginda walaupun sekali selama lebih daripada 10 tahun menjadi pembantu Baginda. Baginda tidak pernah sekalipun mengeluarkan kata-kata kasar kepadanya seperti menyebut ‘cis’ dan mengapa kamu tidak buat begitu? (Hadis Muttafaq ‘Alaih) 

Hubungan majikan dan pekerja antara Rasulullah SAW dan Anas adalah model hubungan manusiawi yang hebat untuk dicontohi sesuai perkembangan peradaban manusia. Justeru, persekitaran manusiawi dengan nilai insani, sikap, cara bekerja boleh mempengaruhi serta membantu orang lain mencapai keselesaan dan keseronokan bekerja.

Beruntunglah jika kerana kita pekerja lain merasa gembira untuk bekerja dan bimbanglah jika berlaku sebaliknya kerana menurut sabda Rasulullah SAW memasukkan kegembiraan dalam diri seseorang itu adalah akhlak mulia. 

Justeru, mengurus kerja dan organisasi juga bermaksud mengurus hubungan secara manusiawi dengan membudayakan kerja cemerlang berdasarkan amalan nilai insani. 

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya 

2012/01/28

Mukmin sejati dorong perdamaian ummah


Oleh Ustaz Zaman


SESUNGGUHNYA perselisihan antara umat manusia disebabkan penerimaan terhadap sesuatu isu dan sejauh manakah kebijaksanaan mereka menangani isu itu. Ini fitrah sejak diciptakan Adam ketika Allah SWT menciptakan manusia sebagai khalifah di muka bumi. 

Firman Allah SWT bermaksud: 
“Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika Tuhanmu menyeru para Malaikat seraya berkata: Aku akan menciptakan manusia sebagai khalifah di bumi. Malaikat menyahut: Apakah Kamu akan menjadikan makhluk yang melakukan kerosakan dan pertumpahan darah sebagai khalifah, sedangkan kamilah makhluk yang sentiasa bertasbih kepada-Mu. Firman SWT: Aku lebih mengetahui dari apa yang kamu tidak ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Perselisihan seumpama ini akan terus menjadi fenomena umat sehingga berlakunya kiamat. Justeru, ia juga sebagai ujian bagi mereka seperti dirakamkan Allah SWT dalam firman bermaksud: 
“Dan kami jadikan sebahagian dari kamu berselisih pendapat sebagai ujian bagi kesabaran yang kamu miliki.” (Surah al-Furqan, ayat 20)
Penilaian kepada hasil ujian ini akan menghasilkan beberapa golongan antaranya mereka yang bijak dan berwawasan, tidak kurang juga mereka terus menanamkan sifat kebencian berpanjangan lantaran pemikiran mereka yang sempit. 

Lidahnya akan mendahului hati dan pemikiran lalu keluarlah ucapan tidak layak sebagai seorang beriman. Begitu juga yang menggunakan mata pena melalui penulisan untuk merealisasikan matlamat walaupun hanya pandangan semata-mata di mana kepastian dan kebenaran masih samar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Firaun berkata: Aku hanya kemukakan pandanganku dan semuanya untuk kebaikan kalian semua.” (Surah Ghaafir, ayat 29) 
Contohi Imam Syafie ketika berada di makam Baginda SAW dengan menyebut kalimah penuh pengajaran untuk semua: “Semua pandangan boleh diterima atau ditolak melainkan pandangan empunya kubur ini.”

Syaitan mempunyai strategi tersendiri dalam usaha mencipta permusuhan di kalangan manusia sehingga pada waktu kecederaan di mana tiada jalan untuk mereka berbuat demikian. 

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan berputus asa untuk mengganggu mereka bersolat di kalangan penduduk kepulauan Arab tetapi dia berjaya mencipta permusuhan di kalangan mereka.” (Hadis riwayat Muslim) 

Orang mukmin sebenar ialah mereka yang bertindak sebagai penasihat yang berjaya menyatukan semua kumpulan tanpa mencipta sebarang kerosakan. Selain, disulamkan doa yang baik untuk kesatuan umat serta memastikan segala pandangan serta kritikan sebagai batu loncatan untuk menjana pengalaman dan kejayaan pada masa depan.

Perlu diingatkan, Allah SWT boleh saja menjadikan manusia berada di satu landasan tanpa berselisih, ia sunnatullah yang akan berlaku demi kebaikan manusia. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Allah SWT boleh menjadikan kamu satu umat jika dia (Allah) kehendaki tetapi mereka akan sentiasa berselisih melainkan mereka yang mendapat rahmat.” (Surah Hud 118 dan 119).
Ini menunjukkan perselisihan yang menemui jalan penyelesaian satu rahmat daripada Allah SWT. Kitab suci al-Quran sarat kelebihan untuk mereka yang berdamai dalam kesepakatan pada sesuatu perselisihan. 

Lebih 30 kali diulang perkataan damai antaranya, perdamaian membawa kebaikan dalam surah An-Nisa’, ayat 128; bertakwalah kepada Allah dan berdamailah antara kamu (surah Al-Anfal, ayat 1); jika ada di kalangan dua golongan berselisih, maka damaikanlah keduanya (surah Hujurat, ayat 9); jika mereka yang berselisih dapat berdamai, maka mereka akan mendapat keredaan Allah SWT (surah An-Nisa’, ayat 35).

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Mahukan kamu kukhabarkan akan sesuatu yang lebih baik daripada puasa, solat dan bersedekah? Itu perdamaian antara dua berselisih kerana perselisihan satu kerosakan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi) 

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)


2012/01/28

Friday, January 27, 2012

Mencontohi akhlak Rasulullah

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR


DALAM kehidupan, umat Islam diwajibkan mengikuti dan memiliki sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan pedoman setiap insan dan perlu dijadikan amalan dalam kehidupan setiap Muslim.

Sehingga sesiapa yang berpegang teguh dengan keindahan budi baginda maka akan bahagia dan sempurnalah kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

Sejarah Islam telah membuktikan, apa yang menjadi tenaga pendorong atau obor semangat yang membangkitkan kegigihan umat Islam hingga lahirnya tokoh-tokoh agung dalam pelbagai bidang sebenarnya bersumberkan daripada al-Quran dan al-Sunah.

Iman, akhlak dan amal soleh merupakan tiga unsur yang tidak dapat dipisahkan daripada struktur pendidikan Islam yang mampu melahirkan manusia agung yang layak dijadikan pedoman dan ikutan umat Islam.

Keluhuran dan kemuliaan akhlak Rasulullah terbukti melalui sifat baginda yang berani, pemurah, adil, memelihara diri daripada yang haram, sifat benar, amanah, sabar, lapang hati dan sabar, pemaaf, pengasih dan penyayang.

Baginda juga mengutamakan perdamaian, zuhud, pemalu, tawaduk, setia, mengutamakan musyawarah, kebaikan dalam pergaulan, rajin bekerja dan selalu gembira serta bergurau senda dengan keluarga.

Semua itu seharusnya dicontohi umat Islam masa kini dan akan datang.

Ini terbukti melalui kisah dan sejarah yang dipaparkan semasa hayat baginda oleh sahabat-sahabat, isteri dan para pembantu yang rapat dengan baginda.

Rasulullah adalah insan pembawa cahaya penerang kehidupan ummah sejak dahulu hingga kini.

Hadis-hadis baginda secara keseluruhan melibatkan perkara asas yang penting dalam pembinaan dan pendidikan diri dan masyarakat ke arah kemajuan ummah.

Berkaitan dengan akhlak nabi, tokoh Islam, Dr. Ahmad Muhammad al Hufy menggambarkan, setiap orang dapat merasakan indahnya taman yang luas dengan pepohonan rendang. Segala sesuatu yang ada di dalamnya berbau harum semerbak, manis buah-buahannya dan sedap dipandang mata.

Itulah gambaran akhlak Nabi yang luhur, sehingga tidak seorang pun dapat memastikan manakah di antaranya budinya yang lebih tinggi martabatnya. Semuanya menarik dan mempesona ibarat mutiara yang sentiasa berkilau-kilauan.

Keistimewaan baginda terbukti melalui beberapa hadis antaranya daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: Akulah penghulu manusia pada hari kiamat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain berkaitan dengan pendidikan insan berakhlak mulia pula daripada Abu Hurairah Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik." (riwayat Ahmad).

Berkaitan dengan kesempurnaan syafaat Rasulullah daripada Anas bin Malik r.a. nabi bersabda: Bagi setiap nabi terdapat doa (yang telah dikabulkan di dunia) untuk umatnya. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari kiamat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menurut Syarah Sahih Muslim, hadis ini menerangkan kesempurnaan syafaat nabi dan belas kasihan baginda terhadap umatnya.

Baginda mengambil perhatian terhadap kepentingan kemaslahatan umatnya. Baginda menangguhkan doa balasan azab terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan.

Dalam usaha memantapkan ukhuwah dan memperkasa ummah, umat Islam digalakkan sentiasa menghubungkan silaturahim, mengelakkan sifat bermusuh-musuhan, hasad dengki dalam kehidupan.

Usaha memperkasa ummah mestilah dilakukan setiap masa bagi mewujudkan kekuatan bangsa dan negara. Seorang mukmin itu adalah saudara kepada mukmin yang lain.

Hal ini juga berkaitan dengan pembinaan iman dan akhlak yang baik. Orang-orang mukmin diibaratkan sebagai satu binaan.

Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Penyatuan ummah dapat mengelakkan segala anasir jahat yang cuba memecah-belahkan perpaduan.

Hanya melalui perpaduan, penyatuan ummah dapat diperkasakan bagi menghadapi apa juga cabaran yang mendatang.

Orang-orang mukmin diibaratkan sebagai satu jasad. Daripada Nu'man bin Basyir r.a., nabi bersabda: Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)."

Lantaran itu, umat Islam sewajarnya mengamalkan akhlak yang baik seperti sifat mesra, kasih sayang, saling berbelas kasihan, menghormati jiran dan tetamu serta mengamalkan sifat tolong-menolong, bekerjasama, sopan santun, bersedekah, menolong orang miskin dan menghubungkan silaturahim akan dapat memperkasa ummah.

Sifat-sifat mulia lain yang selari dengan sifat Islam seperti pemurah, berani, adil, memelihara diri, benar, menepati janji, penyayang, pemaaf, sabar, jujur, amanah dan kuat kemahuan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan umat Islam bagi memperkasa ummah.

Sesungguhnya, taat kepada rasul itu bererti taat kepada Allah. Sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al-Ahzab ayat 21 dan surah an-Nisa ayat 80.

Oleh itu, wasiat dan pesanan Nabi berkaitan dengan sifat baik dan akhlak mulia serta pesanan yang lain sewajarnya menjadi pegangan hidup bagi menghadapi cabaran meneruskan kehidupan di dunia ini serta mendapat keredaan Allah di akhirat.

Pengaduan Nabi Nuh

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI 

Setiap yang bertaubat pasti Dia menerima taubat sebanyak manapun dosa yang dilakukan serta kekufuran dan kemusyrikan. - Gambar hiasan

ALLAH SWT telah menyebut perihal Nabi Nuh yang diperintahkan agar mengingatkan kaumnya sebelum mereka ditimpa kemurkaan dan seksaan-Nya yang amat pedih.
Nabi Nuh yang menerima seruan Allah itu terus memberi peringatan kepada kaumnya dan memerintahkan mereka agar bertakwa dan mentaati-Nya supaya Allah SWT mengampunkan dosa dan memanjangkan umur mereka.

Berikutnya diterangkan kisah Nabi Nuh bermunajat dan membuat pengaduan kepada Allah bahawa baginda telah mengingatkan mereka dengan apa yang diperintahkan.

Tetapi kaumnya telah menderhaka dan menolak peringatan yang diberikan kepada mereka.
Seruan baginda tidak memberi apa-apa faedah selain mereka terus menolaknya.

Kadang-kadang Nabi Nuh menyeru mereka secara terang-terangan dan adakalanya secara sembunyi.
Baginda memerintahkan mereka memohon keampunan di atas dosa mereka agar Allah SWT menurunkan hujan, menganugerahkan harta dan anak-anak serta mengurniakan kebun-kebun dan sungai kepada mereka.
Kemudian, baginda mengingatkan mereka tentang kekuasaan, keagungan Allah SWT dan keluasan kudrat-Nya serta memalingkan pandangan mereka kepada Allah SWT yang telah menciptakan mereka secara berperingkat.

Allah yang telah menciptakan langit secara bertingkat, menjadikan bulan yang bersinar di langit, matahari sebagai pelita dan bumi sebagai hamparan untuk kehidupan mereka.

Keadaan yang demikian membolehkan mereka berjalan-jalan dari satu lembah ke lembah yang lain.
Firman Allah SWT: Nuh berkata: Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (kemukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan cara yang melampau. (Nuh: 5-7)

Ibnu Kathir berkata: "Nabi Nuh a.s. menyatakan tidak pernah diam dan alpa menyeru kaumnya supaya mentaati dan mencari keredaan-Mu namun mereka terus lari daripada kebenaran."

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: "Mereka mengingkarinya agar dia tidak mengetahui mereka."
Sa'id bin Jubair dan al-suddi berkata: "Mereka menutup kepala dan telinga supaya tidak mendengar apa yang dia katakan."

Syed Qutub berkata: "Itulah satu gambaran kegigihan pendakwah yang menyampaikan dakwah pada setiap kesempatan yang didapatinya dan gambaran kedegilan kaumnya mempertahankan kesesatan."

Gambaran itu memperlihatkan sifat-sifat kebudak-budakan mereka yang degil iaitu menyumbat jari dalam telinga dan menutup kepala dan muka dengan baju.

Mereka melakukan sedemikian dengan harapan tidak mendengar segala seruan Nabi Nuh.

Firman Allah SWT: Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan. Kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan diam-diam. Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun. (Nuh: 8-10)

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu kembalilah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah segala perbuatan lama kamu serta bertaubatlah kamu kepada-Nya.

"Ini kerana siapa yang bertaubat pasti Dia menerima taubat sebanyak manapun dosa yang dilakukan serta kekufuran dan kemusyrikan."

Al-Maraghi berkata: "Aku (Nabi Nuh AS) katakan kepada mereka: Mohonlah pengampunan daripada dosa-dosamu kepada Tuhan dan bertaubatlah kepada-Nya dari segala unsur kekafiran atau menyembah tuhan yang selain-Nya serta mengesakan Dia dengan cara mengikhlaskan ibadah kepada-Nya."

Berdasarkan ayat-ayat yang dibincangkan, jelas membuktikan kegigihan Nabi Nuh AS dalam menyampaikan risalah Allah SWT.

Pada masa yang sama baginda mengajak umatnya supaya beristighfar kepada tuhan tetapi malangnya mereka mengingkari dan tidak mahu beriman kepada Allah SWT.

Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada kisah ini untuk mentaati perintah Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. Amin.

Ribut Solar


GAMBAR yang dirakamkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan pada 22 Januari lalu menunjukkan nyalaan solar di Hemisfera Utara di matahari.

NASA buat pertama kalinya dalam persidangan telah menerbitkan imej letusan ribut solar pada 21 April 2010. Imej itu diperoleh pada 30 Mac 2010 oleh Solar Dynamic Observatory (SDO) iaiatu sebuah satelit terbaru yang dilancarkan buat mengkaji dan menjangkakan aktiviti yang berlaku di matahari termasuk letusan ribut suria. Dalam persidangan tersebut imej yang ditunjukkan NASA menjulang keluar kira-kira 500,000 batu (800,000 km) daripada matahari.

Apabila berlaku ribut suria di matahari maka bumi yang merupakan salah satu planet dalam lingkaran sistem suria akan mempengaruhi corak dan kegiatan persekitaran di bumi.

Lihat petikan di Kosmo! di bawah:

Bumi berdepan dengan ribut solar

Amerika Syarikat (AS) - Beberapa pegawai cuaca angkasa lepas menyatakan ribut solar paling kuat dalam tempoh lebih enam tahun akan mengenai Bumi dengan pancaran radiasi akan berlaku.

Sebelum ini, radiasi ribut solar cuma mengganggu satelit dan mendatangkan masalah kepada angkasawan di angkasa lepas.

Namun, ia juga boleh menyebabkan gangguan komunikasi pada pesawat yang berada di udara.

Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas di negeri Colorado dalam satu kenyataan mengesahkan ribut solar itu berlaku pada pukul 11 malam (waktu AS) Ahad lalu.

Ahli fizik AS, Doug Biesecker berkata, perkara paling membimbangkan mengenai ribut solar adalah radiasi yang dilepas.

Pancaran itu ,katanya, tiba di Bumi sejam kemudian.

Hentaman radiasi itu dijangka berlarutan sehingga hari ini.

Menurut Biesecker, tahap radiasi kali ini dianggap kuat tetapi radiasi lebih dahsyat pernah dikeluarkan beberapa ribut solar sebelum ini.

Radiasi kali ini adalah yang paling kuat sejak ribut solar pada Mei 2005.

Plasma yang keluar dari matahari ekoran ribut solar berkenaan pula tiba di Bumi semalam.

Ia dijangka menyebabkan gangguan pada grid elektrik di Bumi. - Agensi

Serta di UTUSAN : ARKIB : 26/01/2012

Fenomena ribut matahari 

WASHINGTON 25 Jan. - Radiasi solar daripada ribut matahari paling kencang dalam tempoh hampir sedekad bertembung dengan atmosfera Bumi semalam, memaksa sebuah syarikat penerbangan mengubah laluan pesawatnya.

Fenomena alam itu juga mendorong pemerhati cakerawala menjejaki pertunjukan cahaya yang menakjubkan di langit.

Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Delta Air Lines berkata, pihaknya telah mengubah laluan penerbangan merentas kutub di antara Asia dan AS bagi mengelakkan masalah berpunca daripada radiasi solar itu.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengesahkan, radiasi yang disebut sebagai coronal mass ejection (CME) itu mula bertembung dengan medan magnet Bumi pada sekitar 10 pagi semalam (11 malam tadi waktu Malaysia).

Menurut NASA, ribut itu kini dianggap sebagai yang terbesar sejak Oktober 2003.

Ribut radiasi solar tidak memudaratkan manusia di Bumi tetapi boleh menjejaskan operasi satelit dan radio gelombang pendek.

Radiasi solar itu dijangka berterusan menghujani atmosfera Bumi sehingga hari ini, dan potensinya untuk mengganggu komunikasi satelit di kawasan kutub menjadi punca perubahan haluan penerbangan, kata pegawai syarikat penerbangan.

Delta yang merupakan syarikat penerbangan kedua terbesar di dunia mengubah haluan sebilangan kecil penerbangannya kerana ribut solar itu berpotensi memberi kesan terhadap peralatan komunikasi, kata jurucakap, Anthony Black.

Penerbangan dari Hong Kong, Shanghai dan Seoul mengambil laluan yang lebih menghala ke selatan selepas ribut solar itu mula meletus pada Ahad lalu.

Disebabkan kekuatan luar biasa radiasi yang menghujani Bumi, pertunjukan aurora borealis atau 'Cahaya Utara' yang menakjubkan, selalunya dilihat hampir dengan Kutub Utara pada waktu ini, boleh dilihat lebih jauh ke selatan di Scotland dan utara England serta latitud lebih rendah di AS. - AFP

di Berita Harian ARKIB : 26/01/2012

Ribut suria paksa haluan pesawat dilencong

Foto
KOMBINASI gambar NASA menunjukkan perkembangan sinaran cahaya luar biasa pada matahari dilaporkan boleh mengganggu sistem komunikasi pesawat dan satelit.

Foto
DELTA Air Lines kelmarin melencongkan laluan penerbangan beberapa pesawatnya di antara bandar Detroit dan destinasi di Asia elak ribut suria.

DETROIT: Syarikat penerbangan Delta Air Lines kelmarin melencongkan laluan penerbangan beberapa pesawatnya di antara bandar Detroit dan destinasi di Asia untuk mengelak sistem komunikasi pesawatnya terganggu disebabkan ribut suria yang turut mengandungi unsur radiasi.


Ribut itu dianggap terkuat sejak enam tahun lalu dilaporkan menyebabkan gangguan kecil kepada beberapa pesawat firma penerbangan Amerika Syarikat.

Justeru, Delta membuat keputusan mengubah laluan beberapa penerbangan dan perubahan itu menambah 15 minit masa ketibaan pesawat.

“Kami berdepan beberapa ribut suria di langit yang memberi impak kepada negara di hemisfera utara. Ia boleh memberi kesan kepada kemampuan komunikasi. 


“Secara asasnya laluan pesawat ke arah kutub dilencongkan lebih ke selatan berbanding biasa,” kata jurucakap syarikat, Anthony Black.

Jurucakap syarikat penerbangan United Airlines, Mike Trevino, pula berkata syarikat itu melencongkan laluan satu pesawat Isnin lalu kerana ribut itu.

American Airlines melaporkan, setakat ini ribut itu tidak memberi impak kepada operasinya tetapi mereka terus mengawasi perkembangan atmosfera, kata jurucakapnya, Ed Martelle. – Reuters 


Manakala artikel di bawah saya salin dan tampal daripada Ar-Risalah - Letusan  suar matahari kiamat bermula?

Satu fenomena letusan suar matahari dan semburan jisim korona (Coronal Mass Ejection, CME) telah dilaporkan berlaku di permukaan matahari pada 23 Januari lalu yang dikesan melalui satelit khas pemantauan matahari, SOHO dan STEREO milik NASA dan ESA. Letusan ini telah menyebabkan fenomena ribut geomagnetik di bumi pada 24 Januari sekitar jam 15:00 UT (jam 23:00 Waktu tempatan).Fenomena ini telah dilaporkan oleh stesen TV3 pada hari yang sama.

Untuk rekod, matahari adalah sebuah bintang bersaiz sederhana dan mempunyai aktiviti luaran (permukaan) seperti pembentukan tompok hitam (sunspot), penyemburan tenaga melalui fenomena seperti suar matahari (flare) dan penyemburan jisim korona yang boleh menyebabkan fenomena ribut suria (solar storm).

Aktiviti matahari ini mempunyai kitaran ‘senyap’ dan juga ‘aktif’ selama 11 tahun yang berulang yang dikenali sebagai kitaran suria (solar cycle).

Fenomena di mana matahari mengalami aktiviti ‘aktif’ ini di kenali sebagai solar maksimum (solar max) yang dijangka akan berlaku dalam tahun 2012 hingga 2013.

Kesan fenomena ribut suria dan interaksinya dengan medan magnet dan lapisan ionosfera bumi boleh menyebabkan ribut geomagnetik yang mana boleh menyebabkan gangguan kepada sistem komunikasi radio dan radar, sistem satelit dan gangguan kepada sistem navigasi seperti kompas yang berpandukan kepada magnetik bumi dan fenomena kenampakan aurora di kutub utara dan selatan bumi.

Ribut geomagnetik yang sangat kuat seperti yang berlaku pada tahun 1989 telah menyebabkan arus aruhan yang menyebabkan kebakaran alat transformers di jaringan elektrik voltan tinggi di Wilayah Quebac, Kanada.
Sebenarnya penulis agak panik juga bila mengetahui berlakunya fenomena sedemikian, bertambah panik lagi apabila ramai pihak mendakwa fenomena ini merupakan petanda kiamat makin hampir.

Sejauh manakah benar dakwaan berkenaan?

Agensi Angkasa Negara mempunyai jawapan saintifik berhubung fenomena tersebut.

Dalam kenyataan di laman webnya, AAN menjelaskan satu Nota Jemaah Menteri (N618/2011) daripada MOSTI telah dibentangkan pada 3 Ogos 2011 yang telah menerangkan fenomena berkaitan, dan juga jangkaan berlakunya solar maksimum pada tahun 2012 – 2013 ini, dan kesannya kepada bumi dan aktiviti berkaitan.

Menurut AAN, satu jawatankuasa bersama antara mereka dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jawatan Kuasa Pemantauan Solar Maksimum, juga telah diwujudkan untuk memantau dan menangani fenomena solar maksimum ini.

Berkenaan laporan ribut geomagnetik yang dilaporkan berlaku pada 23 Januari itu, AAN menjelaskan, laporan daripada National Space Weather Prediction Centre (NSWPC) dan National Oceanic & Atmospheric Administration (NOAA) menunjukkan ribut yang telah berlaku hanyalah pada skala G1 (bacaan paling rendah) dan bukannya G2 – G3 seperti yang dilaporkan oleh berita TV3.

” Ribut itu tidak memberi gangguan kepada sistem infrastruktur di bumi dan hanya telah mewujudkan fenomena aurora di kutub utara. Untuk makluman, skala G5 ialah bacaan yang paling tinggi.


” Untuk makluman juga, fenomena seperti ribut geomagnetik ini hanya memberi kesan yang ketara kepada negara-negara yang berada di kutub atau di latitud tinggi seperti USA, Rusia, Eropah manakala negara-negara yang berada berhampiran Khatulistiwa adalah lebih selamat.


” Sehubungan dengan itu, Malaysia diramalkan selamat dan tidak akan terkesan dengan fenomena berkaitan,” jelas AAN dalam kenyataan tersebut.

Untuk makluman, bermula bulan Januari 2012 ini, Jawatan Kuasa Pemantauan Solar Maksimum akan menyediakan laporan berhubung dengan fenomena ini secara bulanan untuk makluman umum.

Dengan penjelasan AAN itu, penulis berharap kita semua jangan cepat panik dengan apa yang berlaku.

Ingatlah, kiamat merupakan kerja Tuhan dan bukannya urusan kita.

Firman Allah bermaksud, “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja.” (Surah Al-An’am: 59)

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.

“Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Pengetahuannya.” (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi SAW menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.

Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat.

Bukan sahaja Nabi SAW dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.

Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.

Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.


Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.


Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah.

Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat.” (Surah Luqman: 34).”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...