بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, January 5, 2012

Aiman Prem tenang jadi Muslim

TAHUN lepas Aiman Prem Abdulah (dua dari kiri) berpeluang menunaikan ibadat haji. Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (jakim), Datuk Othman Mustafa (tiga dari kanan).

Oleh ZUARIDA MOHYIN

AGAMA Islam bukanlah asing bagi lelaki berbangsa India ini. Malah pada usianya belasan tahun lagi dia mengetahui tentang solat, puasa, berkhatan atau sambutan hari raya orang Islam.

Hal inilah sedikit demi sedikit melahirkan bibit-bibit suka dan minatnya kepada agama Islam. Ditambah, diperoleh menerusi persahabatan dan persekitaran tempat dia bersekolah dan membesar iaitu di Cheras, Kuala Lumpur.

Sungguhpun begitu, dia akui masih belum berani menjejak kaki ke dalam masjid kerana timbul rasa takut yang melampau. Namun semua itu diakui kerana kejahilan dirinya mengenai agama Islam itu sendiri.

Sayangnya, dalam keinginan yang membuak-buak untuk bergelar Muslim, hidayah Allah itu belum datang. Kekecewaan itulah dibebankan kepada kawan-kawan kerana tidak ada seorangpun daripada mereka yang melorongkan jalan untuk dirinya berstatus mualaf.

"Saya paling seronok bila tibanya bulan Ramadan dan Syawal. Hendak rasanya mengikut mereka berpuasa tetapi tidak berpeluang. Saya risau kalau-kalau puasa saya itu diketahui oleh keluarga, pasti nanti menimbulkan kemarahan mereka. Jadi saya pendamkan sahaja.

"Namun, apabila melihat reaksi positif keluarga terutamanya kedua-dua ibu bapa tentang berita pengislaman abang sulung pada tahun 1987, hati saya kembali berbunga dan berkeyakinan bahawa menerima satu lagi berita pengislaman seorang lagi anak lelaki mereka bukanlah satu masalah yang besar," cerita Aiman Prem Abdullah, 41.

Beliau merungkai kisah silam sebelum melakukan syahadah kira-kira tujuh tahun yang lalu.

Aiman bersyukur kerana ibu bapanya menunjukkan sikap terbuka yang sukar ada pada ibu bapa lain apabila berhadap dengan situasi anak mahu memeluk Islam, apatah lagi mereka adalah anak lelaki.

Sikap sebeginilah perlu ada kerana berkemungkinan mereka telah terdedah dengan agama dan masyarakat Melayu ini.

"Pada awal dulu, timbul rasa terkejut kerana tidak ada langsung bantahan keras daripada ibu bapa. Ibu saya berasal dari Sri Lanka dan bapa seorang pegawai kerajaan.

"Saya kuat meyakini bahawa faktor persekitaran pejabat dan kejiranan yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu, sedikit sebanyak membuka pemahaman ibu bapa mengenai Islam," tambahnya.

Malah, kata Aiman, dalam tempoh tiga tahun sahaja, ibunya sudah fasih berbahasa Melayu.

Melihatkan penerimaan baik ibu bapa dengan berita pengislaman abang serta keterbukaan mereka meraikan perkahwinan abang mengikut budaya Melayu serta kemesraan yang terjalin antara keluarga dengan isteri abang, tentulah permintaan untuk dia memeluk Islam tidak menjadi masalah bagi mereka.

"Sayangnya, hidayah Allah pada masa itu tidak ada sehinggalah saya berkenalan dengan bakal isteri, Norhayati Musa Ali dan mengambil keputusan untuk menikahinya.

"Jadi langkah pertama untuk membolehkan saya berkahwin adalah dengan bergelar Muslim terlebih dahulu," jelas Aiman yang memeluk Islam pada 16 September 2004 di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Menurut Aiman, pengislaman tersebut telah dilakukan oleh Amran Abdullah dengan dua orang saksi. Pada masa itu Aiman atau nama sebelum Islamnya, Prem Basagar a/l M Sivananthan berusia 34 tahun.

Pun begitu, hasrat pengislaman diri terlebih dahulu dikhabarkan kepada abang sulung dan abang kedua memandangkan ibu bapanya sudah meninggal dunia.

Cerita Aiman lagi, dia pernah berkahwin secara sivil tetapi perkahwinan tersebut bertahan selama lapan tahun sahaja tanpa dikurniakan cahaya mata.

Katanya, selepas setahun bercerai dia berkenalan dengan Norhayati, 35, ibu tunggal yang mempunyai dua anak. Perkenalan bermula di butik tempat kerja Norhayati.

"Saya dibawa bertemu ibu bapanya di Teluk Intan, Perak. Kemudian setelah mendapat restu si ayah, saya dipertemukan pula dengan abang kandung dan sepupu isteri sebelum dibawa ke Perkim untuk membuat pengislaman.

"Pada hari itu jugalah saya sah bergelar Muslim," kata Aiman yang berkenalan selama lapan bulan sebelum mengambil keputusan memeluk Islam.

Hidayah berganda

Katanya, nama Aiman juga diperoleh secara tidak dirancang. Terpikat dengan nama Aiman menerusi pembacaan di dalam sebuah majalah. Lihat namanya yang pendek dan molek, terus diambil nama tersebut dan dikekalkan nama Prem menjadi Aiman Prem Abdullah.

Bagi Aiman, hidayah yang diperoleh datang seiring dengan jodohnya sekali. Ini diperkukuhkan dengan kepercayaan bahawa hidayah Allah itu datang dengan pelbagai cara, bentuk dan alasan.

"Bila sudah buat keputusan berkahwin dengan seorang ibu tunggal yang mempunyai dua anak dan pada masa yang sama Allah berikan hidayah kepada saya untuk mengakui tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

"Selepas peluk Islam, saya melangkah ke fasa baru iaitu memperkasakan ilmu agama dengan mengikuti kelas-kelas pengajian khasnya fardu ain setiap hujung minggu kelolaan Perkim. Proses pembelajaran ini berterusan sehingga ke hari ini," akui Aiman yang kini semakin tenang dengan kehidupan Islami.

Berkongsi cabaran bergelar Muslim, kata Aiman, sehari selepas pengislaman diri, umat Islam menyambut kehadiran Ramadan.

Walaupun tidak berpuasa penuh, Aiman bersyukur dan benar-benar gembira dapat mengharungi pengalaman paling mencabar sebaik bergelar Muslim.

"Bagi saya, melakukan sesuatu amal ibadat itu tambah bermakna apabila ia diiringi dengan pemahaman sebenar di sebalik suruhan tersebut. Selepas tamat Ramadan, saya mendirikan rumah tangga dan majlis pernikahan di adakan pada 30 Oktober 2004 di Shah Alam, Selangor," jelasnya.

Cabaran yang dihadapi paling terasa apabila berada di kalangan teman-teman yang belum Islam.

Perubahan mendadak seperti tidak lagi bersama-sama melakukan aktiviti yang ditegah agama, dilihat seolah-olah Aiman sudah menjauhkan diri daripada mereka.

"Itu zahirnya sahaja. Sebenarnya saya masih seperti dahulu cumanya saya tidak bercampur dalam urusan yang bertentangan dengan syariat Islam," kata Aiman yang berpeluang menunaikan haji tahun lepas.

Di samping itu, akui Aiman, agama Islam telah membawa semacam satu motivasi di dalam dirinya. Bagi menggambarkan kesyukuran sebagai insan terpilih, dia telah menciptakan satu pelekat yang berbunyi, Proud to be a Muslim dan dilekatkan di belakang teksinya.

"Saya juga mengambil keputusan bekerja memandu teksi sebab senang bagi saya menghadiri kelas," katanya yang sudah tiga tahun memandu teksi.

Berpeluang menunaikan haji atas tajaan King Abdullah, Arab Saudi yang mengumpulkan seramai 40 jemaah Malaysia sebagai jemputan diraja, bagi Aiman ia merupakan satu lagi bentuk kenikmatan yang Allah berikan kepadanya.

"Sungguhpun tidak lama iaitu 10 hari tetapi alhamdulillah rombongan kami dapat menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

"Saya sentiasa berdoa sewaktu di sana agar Allah berikan akhlak yang baik agar dengan akhlak tersebut ia terdetik di hati kawan-kawan dan ahli keluarga tentang keindahan Islam. Hidayah Allah itu adalah hak Allah SWT.

"Walaupun hidup saya tidak semewah mana atau tidak seperti kehidupan saya sebelum Islam tetapi hidup saya sekarang ini cukup tenang. Saya selalu tekankan acap kali berbual dengan teman-teman lama, yang saya tidak minta kemewahan tetapi saya mohon ketenangan kerana ia jauh lebih bermakna berbanding harta kekayaan yang melimpah ruah," kata Aiman mengakhiri perbualan kami lewat petang Khamis itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...