بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, April 23, 2012

Al-Quran, solat, ingat mati pancar cahaya menyinari hati

2012/04/23

CAHAYA yang menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya al-Quran, sembahyang dan mengingati mati. 


Al-Imam Al-Ghazali berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka pohonkanlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.”


Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari al-Quran. Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan dari Allah, tanpa bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.

Kejayaan ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan Allah Taala dengan ikatan yang kuat. Maka al-Quran yang menjadi ikatan antara hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak dari yang batil, dia mengetahui jalan terang dan mengikuti petunjuk al-Quran. 


Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan wahyu. Dia lahir menjadi manusia yang jujur, kuat bekerja dan memiliki misi jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaan itu sebagai ibadah kepada Allah. 

Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah dari pergantungannya itu. Ibnu al-Qayyim berkata: “Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. 


Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah. Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih-kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja-raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah.” 

Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia dekat kepada Allah adalah sujud, permintaan yang tidak akan ditolak adalah doa yang ikhlas dan proses pembersihan dosa yang dilakukan terus-menerus adalah sembahyang. 

Sembahyang adalah sumber tenaga yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup yang mencabar. Sembahyang yang berkualiti boleh melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba melakukan amal saleh dan membina kehidupan di dunia. 

Antara tanda kebijaksanaan orang mukmin ialah pandai merancang masa depan. Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat. 

Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang? Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik dari kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati sentiasa bertaubat. 

Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai aktiviti rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian seperti Rasulullah SAW yang melazimi ziarah kubur dan mendoakan kaum muslimin tidak kira siang ataupun malam hari. 

Dengan membaca Al-Quran, solat dan mengingati mati seorang mukmin telah melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya. Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini? Mesti hidupnya hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula terseksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.


Sunday, April 22, 2012

Burung VS Cicak


Diriwayatkan bahawa kisah ini berlaku pada zaman Nabi Ibrahim a.s.
 Semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulangkali. 

Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu, “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.' 

Lalu dijawab oleh burung tersebut, “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.” 

Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus-hembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusannya itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan.)

Peringatan Nabi layanan kubur selepas jenazah dikebumi



2012/04/22


DARIPADA Abu Sa'id katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda SAW pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitu maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat. 

Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau – kepadaku – sekasih-kasih orang yang berjalan atasku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu; Kubur itupun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan berasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam syurga itu). Dan sebaliknya apabila orang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau – kepadaku – adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu. Nabi SAW bersabda lagi: Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya.”


Kata rawi hadis ini: Nabi SAW (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda SAW) memasukkan jari-jari sebelah tangannya di celah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda SAW bersabda lagi: “Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuknya dan melukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)”

Kata rawi hadis ini: Nabi SAW bersabda lagi: “Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman syurga atau sebuah gaung-gaung neraka.” (Hadis riwayat Abu Sa’id) 

Persoalan Agama: Cari kehidupan dunia, ingat balasan di akhirat

Jawapan dijawab oleh Ustaz Zahazan

2012/04/22

Soalan:

KITA lihat ada antara kita yang hidup hanya untuk mencari harta tanpa memikirkan akhirat seolah-olah macam akan kekal hidup di dunia ini. Bagaimana Islam mengeluarkan manusia daripada terlalu mengejar material.

SITI, Selangor.

Jawapan:

KETIKA manusia dalam kesesatan serta berlaku zalim, maka datanglah Islam dengan memancarkan sinarnya. Bagaimanapun, tidak dinafikan sukar untuk menghilangkan kecenderungan masyarakat yang matlamat terarah kepada mencari kesenangan dunia.

Hakikatnya, masalah ini dihadapi manusia di seluruh dunia tambahan dengan tuntutan gaya hidup hari ini menjadikan manusia ramai bersikap materialistik hingga ada lupa kehidupan yang bersifat sementara dan adanya kebangkitan sesudah mati. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
“Orang kafir mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan.” (Surah at-Thaghaabu, ayat 7) 
Justeru, mereka menganggap tidak ada perhitungan hisab, seksaan dan pahala melainkan hidup itu hanya di dunia belaka.

Allah berfirman yang bermaksud: 
“Dan tentu mereka akan mengatakan (pula) hidup hanyalah kehidupan kita di dunia saja, dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan.” (Surah al-An’am, ayat 29) 
Firman Allah lagi yang bermaksud: 
“Apakah dia menjanjikan kepada kamu sekalian bahawa apabila kamu telah mati dan menjadi tanah dan tulang belulang, sesungguhnya kamu akan dikeluarkan (dari kuburmu)? Jauh! Jauh sekali (dari kebenaran) apa yang diancamkan kepada kamu. (Kehidupan itu) tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup (iaitu manusia sebahagiannya mati dan sebahagiannya dilahirkan) dan tidak akan dibangkitkan lagi.” (Surah al-Mukminuun, ayat 35-36) 
Allah SWT telah meleburkan beberapa kotoran (karat) dunia dengan ajakan yang suci dengan menurunkan wahyu kepada hamba-Nya yang terbaik dan penutup para Nabi dan para Rasul (iaitu Nabi Muhammad SAW).

Baginda mengajak penduduk dunia kepada kebaikan iaitu Islam dan mengajar mereka beriman (percaya) kepada hari akhirat serta menggembirakan orang beriman dengan hari itu. 

Hal ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Dan mereka beriman kepada (kitab al-Quran) yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan kitab yang telah diturunkan sebelummu serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.” (Surah al-Baqarah, ayat 4) 
Allah SWT mengancam dan menakut-nakutkan orang yang tidak beriman dengan adanya hari akhirat pada banyak ayat antaranya firman yang bermaksud: 
“Dan sesungguhnya orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan azab yang pedih.” (Surah al-Isra’, ayat 10) 
Firman-Nya lagi yang bermaksud: 
“Maka orang yang tidak percaya kepada akhirat, hati mereka mengingkari (kekuasaan Allah) sedangkan mereka sendiri adalah orang yang sombong.” (Surah an-Nahl, ayat 22)


Persoalan Agama: Perbezaan sujud syukur dan tilawah

SUJUD tilawah sunat dilakukan dalam solat dan di luar solat.
SUJUD tilawah sunat dilakukan dalam solat dan di luar solat.


Jawapan disediakan oleh Ustaz Zahazan

2012/04/22

Syaitan lari apabila anak Adam baca ayat Sjdah

Soalan:

SAYA hendak melakukan sujud syukur tetapi saya masih ragu-ragu cara yang betul untuk melakukannya. Apakah beza sujud syukur dan sujud tilawah. Adakah sujud tilawah ini wajib dan bagaimanakah cara yang betul melakukan sujud tilawah dan sujud syukur.
Sungai Petani.

Jawapan:

HADIS riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amrin menyebut: “Nabi SAW membaca al-Quran, lalu Baginda membaca surah yang terkandung dalam ayat Sajdah. Maka Baginda sujud dan kami pun sujud bersama Baginda sehingga tidak ada sebahagian kami mendapat tempat untuk meletakkan dahi.” 

Antara kelebihan melakukan sujud tilawah seperti hadis yang diriwayatkan Muslim dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu ia sujud, maka syaitan akan melarikan diri serta menangis dan berkata, “celaka, ia diperintahkan untuk sujud lalu ia sujud dan baginya syurga. Dan aku pernah diperintahkan untuk sujud, aku enggan dan bagiku neraka.” 

Sujud tilawah hukumnya sunat bagi orang yang membaca ayat Sajdah dan juga mendengarnya, sama ada ia qashad (niat) untuk sujud tilawah atau tidak. 

Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitabnya Sabilal Muhtadin, ayat Sajdah dalam al-Quran ada 14 selain dari Sajdah dalam surah ‘Shad’ kerana ia termasuk sujud syukur seperti mana diterangkan dalam hadis riwayat an-Nasa’I daripada Ibn Abbas yang bererti: “Nabi Daud melaksanakan sujud kerana bertaubat dan kita melakukan sujud kerana bersyukur.” 

Dimaksudkan bersyukur di sini kerana diterima taubatnya dan kerana itu orang yang mengerjakan sujud sajdah pada surah Shad hendaklah ia berniat sujud syukur kerana taubat Nabi Daud diterima Allah. 

Ayat Sajdah yang dimaksudkan itu adalah:

  • akhir ayat 15 surah ar-Ra’du, 
  • akhir ayat 50 surah an-Nahl, 
  • akhir ayat 109 surah al-Isra’, 
  • akhir ayat 58 surah Maryam, 
  • akhir ayat 18 surah al-Haj, 
  • akhir ayat 77 surah al-Haj, 
  • akhir ayat 26 urah an-Naml, 
  • akhir ayat 15 surah as-Sajdah, 
  • akhir ayat 38 surah Fushilat, 
  • akhir ayat 62 surah an-Najm, 
  • akhir ayat 21 surah al-Insyiqaq dan 
  • akhir ayat 19 surah al-Alaq. 

Sujud tilawah sunat dalam solat dan di luar solat. Sujud tilawah di luar solat ada empat rukun, iaitu takbiratul ihram, niat sujud tilawah ketika takbir seperti dalam solat, sujud sekali dan memberi salam sesudah sujud seperti salam dalam solat. 

Sunat membaca dalam sujud tilawah dalam solat dan di luar solat iaitu “Sajada wajhiya lil lazi khalaqahu wa sawwarahu wa syaqqa sam’ ahu wa basharahu bi haulihi wa quwwatihi fatabarakallahu ahsanul khaliqiin.” 

Berbeza dengan sujud syukur, hendaklah dilakukan di luar solat dan tidak boleh dalam solat kerana jika dilakukan dengan sengaja dalam solat, maka batallah solat.

Cara pelaksanaan sujud syukur adalah sama dengan sujud tilawah di luar solat iaitu berniat melakukan sujud, takbiratulihram, sujud dan salam. Sujud syukur sunat dilaksanakan ketika memperoleh nikmat yang diharapkan seperti memperoleh anak, pangkat, kemuliaan dan harta.

Sunat juga melakukan sujud syukur ketika terhindar daripada musibah yang tidak diduga, baik musibah yang menimpa dirinya, anak cucunya atau salah seorang dari umat Islam seperti selamat daripada karam, kebakaran atau rumah runtuh.

Sujud syukur tidak dilakukan lagi kerana dipisahkan oleh waktu yang cukup lama antara sujud dan sebabnya.

Demikianlah secara ringkas berkaitan sujud tilawah dan sujud syukur.


Saturday, April 21, 2012

Kejujuran itu indah


Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

DALAM kehidupan seharian sifat jujur adalah sesuatu yang lahir daripada hati yang ikhlas. Kejujuran membawa nilai yang baik dan besar serta sangat penting dalam hubungan setiap insan.

Apabila melaksanakan amalan ibadah dan amal jariah mestilah disusuli dengan sifat jujur tanpa ada niat lain di sebalik apa yang dilakukan.

Oleh itu, jangan sesekali sifat jujur itu dicemari dengan menggandingkannya pada nama Ilahi, seperti menyatakan jujur dan ikhlas kerana Allah, namun lain yang dihajati dan dilaksanakan.

Sifat jujur dapat difahami juga sebagai sifat ikhlas, suci hati dan tulus ikhlas dalam perbuatan dan percakapan.
Selain itu, jujur juga adalah sifat lurus dan keikhlasan hati dalam semua percakapan, perbuatan dan aktiviti yang dilakukan. Pendek kata, sifat jujur datangnya daripada hati.

Sukar sekali untuk mencari orang yang bersifat jujur pada masa kini. Walaupun ada, tetapi pengaruh wang dan kebendaan menjadikan manusia sudah mulai melupakan kejujuran.

Justeru, Umar bin Khattab pernah berkata: "Jujurlah, walaupun kejujuran itu boleh membunuhmu. Pada setiap orang yang tidak jujur, akan mempunyai dua penjaga iaitu air dan lumpur."

Jujur mempunyai pengertian yang besar dalam Islam. Ia adalah sebahagian daripada iman. Sebab itu, seorang yang tidak mempunyai sifat jujur adalah orang yang nipis imannya. Ini disebabkan iman dan sifat jujur berjalan seiring. Jika salah satu diabaikan, maka kedua-duanya akan hilang.

Sifat jujur adalah hiasan diri daripada hati. Ia merangkumi pelbagai sifat yang mulia seperti amanah, malu, memelihara keaiban diri dan orang lain, bersopan santun serta menjaga dan memelihara maruah diri kerana Allah.

Sifat jujur dan tidak mengkhianati sangat penting. Daripada Abu Hurairah Nabi SAW bersabda: "Tunaikan amanat kepada orang yang memberi amanah kepada engkau dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati orang." (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).

Lantaran itu, sifat jujur perlu ada pada diri setiap Muslim, melalui sifat ini ia akan menjadi perisai kepada orang beriman.

Sifat jujur perlu dididik dalam hati sejak seseorang itu masih kecil lagi. Didikan dan bimbingan yang berterusan akan menjadikan seseorang itu sentiasa jujur dan menuju kepada kesolehan.

Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang soleh maka Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa." (riwayat Ath-Thabrani dan Muslim).

Oleh itu, hati yang jujur sangat dipandang mulia oleh manusia dan juga mendapat balasan di sisi Allah. Hati yang jujur akan menjurus kepada sifat soleh dan ketakwaan dalam melaksanakan sesuatu.

Orang yang paling disukai Allah adalah orang yang jujur apabila menjual dan jujur apabila membeli dan jujur apabila membayar hutang, serta lemah lembut apabila menagih hutang.

Jika ditinjau sifat kejujuran sangat indah. Rasulullah SAW menjalankan perniagaan dengan penuh jujur, amanah dan ikhlas sehingga mampu memperdagangkan barangan jualan Khadijah dengan keuntungan yang banyak.

Dalam hal ini, baginda mengutamakan keredaan Allah dan mendapat keberkatan dalam mencari rezeki yang halal. Malah sentiasa mengikut syariat jauh daripada segala penipuan, riba, pengurangan dalam timbangan. (rujuk an-Nisaa': 29)

Oleh itu, penipuan dalam perniagaan adalah salah satu sifat yang tidak jujur yang selalu dilakukan oleh mereka yang tidak beriman. Ibadah yang ikhlas dan jujur adalah ibadah yang bersih daripada sifat riak, ujub dan bersih daripada takbur.

Nikmat dan kemanisan solat berjemaah

Soalan

Antara sunnah Rasulullah SAW ialah solat berjemaah di masjid. Bagaimana para suami pada hari ini ingin mempraktikkan sunnah tersebut kerana jika suami solat berjemaah di masjid/surau maka si isteri solat berseorangan di rumah. Jadi, sudah pasti si isteri tidak akan dapat pahala solat berjemaah sekiranya suami berjemaah di masjid atau surau?

Jawapan

Islam tidak pernah menghalang para suami solat di rumah atau mengimamkan solat di rumah bersama anak isteri.

Malahan bagi pendapat saya sewajarnya suami mengasingkan hari-hari tertentu untuk solat berjemaah bersama ahli keluarga.

Ini bukan kerana keluhan suara hati para isteri tetapi peranan menjadi khalifah di rumah adalah dengan mengetuai ahli keluarga dalam melakukan ibadat.

Maka solat adalah talian hayat manusia dengan Allah SWT dan solat berjemaah adalah penyinambungannya.
Maksudnya, kesan daripada solat berjemaah yang dilakukan oleh ahli keluarga pasti membawa keberkatan ibadat dan kehidupan.

Kedudukan hukum solat berjemaah bagi kaum lelaki telah dibincangkan oleh para ulama, terutamanya ulama fiqh.

Nyata di sini pelbagai pendirian yang dinyatakan oleh mereka, yang boleh saya nyatakan di sini secara ringkas. Pada asasnya hukum solat berjemaah bagi kaum lelaki terbahagi kepada empat pendapat Pendapat yang mengatakan solat berjemaah fardu kifayah, pendapat kedua; syarat sah solat. Tidak sah solat sendirian melainkan ada keuzuran.

Manakala pendapat ketiga, sunat muakkad dan pendapat keempat ialah fardu ain dan bukan syarat. Setiap pendapat ini ada dalil yang menjadi asas ulama berhujah dengannya.

Perselisihan ini bukan satu perselisihan yang bercanggah tetapi perselisihan yang pelbagai. Di sini kita juga berpeluang melihat bagaimana agama Islam memberi pelbagai keadaan dan hukum terhadap kefarduan solat yang ditunaikan secara berjemaah.

Dalam hal ini kita boleh dapati ada yang akan cenderung kepada salah satu pendapat berikut. Ini tidak bermaksud ada yang salah dan ada yang betul, bagi saya semuanya betul.

Sekiranya ada yang berpendapat solat berjemaah sunat kifayah, ia betul berdasarkan kepada dalil-dalil yang dikemukakan, sekiranya ada yang berpendapat syarat sah solat mungkin pendapat ini juga betul berdasarkan cara dalil-dalil solat berjemaah difahami.

Sunat muakkad, ini juga betul. Persoalan yang utama dan tidak yang diperselisihkan oleh ulama ialah kefarduan solat. Yang paling mesti solat. Bila sudah rajin dan menjaga solat, maka hendaklah berusaha solat berjemaah.

Bagi mereka yang telah mendapati nikmat solat pasti tidak akan tinggalkan solat dan bagi mereka yang telah mendapati nikmat dan kemanisan solat berjemaah pasti akan berusaha sedaya upaya solat berjemaah.

Dua pendapat ulama mengenai hukum solat berjemaah

Saya akan kemukakan dua pendapat daripada empat pendapat ulama mengenai hukum solat berjemaah bagi kaum lelaki, kerana ruang yang sangat terhad.

Pendapat Pertama: 

Pendapat yang mengatakan solat berjemaah fardu kifayah adalah seperti berikut;

Ini pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah, jumhur ulama Syafiiyah terdahulu dan kebanyakan ulama mazhab Hanafi dan Maliki.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, "Zahir perkataan Syafii, solat berjemaah hukumnya fardu kifayah. Inilah pendapat kebanyakan ulama terdahulu di kalangan ulama Syafiiyah, Hanafiyah serta Malikiyah." (Fathu al-Bari, jld: 2, hlm: 26) Hujah mereka berdasarkan kepada dalil-dalil berikut;

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah tiga orang di dalam satu kampung atau kawasan pedalaman, dan mereka tidak pula mendirikan solat melainkan syaitan akan menguasainya. Berjemaahlah kalian. Ini kerana serigala hanya memakan kambing yang sendirian." (Sunan Abu Daud: 460, Sunan an-Nasaie: 738 dan Musnad Ahmad: 26242 ).

Dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud: Pulanglah kepada keluarga kalian, dirikanlah solat bersama mereka, ajarlah dan perintahkan mereka (untuk solat). Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat. Jika telah masuk waktu solat, hendaklah salah seorang kalian melaungkan azan dan yang paling tua menjadi imam. (Sahih al-Bukhari: 595 dan Muslim: 1080 ).

Sabda baginda dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat sendirian 27 darjat. (Sahih al-Bukhari: 60).

Dalam hadis ini jelas baginda menyarankan supaya sahabat balik dan bersolat dengan ahli keluarga. Maksudnya ada kalanya harus bagi seorang Muslim solat bersama ahli keluarganya. Lebih-lebih lagi bila anak dan isteri perlukan bimbingan si suami atau ayah dalam membimbing mereka dalam solat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim yang bermaksud: 
Wahai orang yang beriman selamatkanlah dirimu dan ahli keluargamu daripada seksaan api nereka...(al-Tahrim: 6)
Di dalam mentafsirkan ayat ini para mufassirin (ahli tafsir) berpendapat maksud "menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka" ialah mengajar mereka solat, baca al-Quran dan batasan halal dan haram.

Mendidik ahli keluarga adalah wajib, ia disepakati ulama. Manakala solat berjemaah masih ada pilihan, tetapi mendidik anak isteri tiada pilihan antara sunat muakkad mahupun fardu kifayah, malahan wajib. Kalau gagal didik akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT kerana keluarga adalah amanah Allah SWT.

Namun lebih afdal lagi kalau boleh sama-sama ahli keluarga ke masjid untuk solat berjemaah, kalau tidak selalu pun jadikanlah sebagai rutin mingguan dan bulanan. Terutamanya membawa mereka ke masjid untuk solat berjemaah dan menghadiri kuliah-kuliah agama.

Pendapat Kedua: Sunat Muakkad.

Ini pendapat mazhab Hanafi dan Maliki. Imam Ibnu Abdil Barr menisbahkannya kepada kebanyakan ahli fiqh Iraq, Syam dan Hijaz.

Dalil-Dalilnya;

Daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat sendirian 27 darjat. (Sahih al-Bukhari, no: 609 ). Sesungguhnya, orang yang mendapat pahala paling besar dalam solat ialah yang paling jauh jalannya, kemudian yang lebih jauh. Orang yang menunggu solat sampai solat bersama imam, lebih besar pahalanya daripada orang yang solat, kemudian tidur. Dalam riwayat Abu Kuraib, (disebutkan): sehingga dia solat bersama imam dalam jemaah. (Sahih Muslim, no: 1064 dan Musnad Ahmad, no: 11380).

Buruk kesudahan penentang Islam

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

IBNU Kathir berkata: Allah SWT berfirman sambil mengancam orang jahat yang telah dikurniakan dengan berbagai nikmat dunia, lalu dia mengingkari nikmat-nikmat tersebut dan menggantikannya dengan kekufuran serta membalasnya dengan keingkaran terhadap ayat-ayat Allah SWT. Dia juga mengada-adakan terhadapnya dan menganggap ayat-ayat tersebut hanya ungkapan manusia. Dan Allah telah menghitung berbagai-bagai nikmat yang telah Dia berikan kepadanya.

Firman Allah SWT: 
Biarkanlah Aku bertindak terhadap orang yang Aku telah menciptakannya sendirian. (al-Mudassir: 11)

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya dia lahir daripada perut ibunya seorang diri tanpa membawa harta dan juga anak. Kemudian setelah itu Allah SWT memberi kepadanya rezeki.

Muqatil berkata: Biarlah Aku menghadapi dia kerana Aku akan membinasakannya dengan kebinasaan yang khusus.

Di sini terdapat ancaman keras terhadap kederhakaan al-Walid, keingkaran dan kesombongannya, kerana memperoleh harta dan kemuliaan. Lalu al-Walid berkata: "Aku adalah orang yang terhormat dan anak daripada golongan yang terhormat. Tidak ada seorang Arab pun yang setanding dengan aku dan tidak ada seorang Arab pun yang setanding dengan ibu bapaku."

Allah SWT telah menghinanya dan menghinakan pula jolokannya, sehingga jolokan itu tidak membawa makna kerana ia bertukar menjadi celaan kepadanya. Justeru, Allah SWT menjadikannya sebagai satu-satunya orang yang berada di dalam kejahatan dan kekejian.

Firman Allah SWT: 
Dan anak-anak yang selalu bersama dia, (al-Mudassir: 13)
Mujahid berkata: Maksudnya anak-anak mereka itu selalu hadir bersamanya dan tidak keluar untuk berdagang. Urusan dagangan tersebut diuruskan oleh hamba-hamba dan juga orang-orang yang dibayar oleh mereka, sedangkan mereka sendiri hanyalah duduk-duduk mendampingi ayah mereka untuk bersenang-senang bersamanya.

Terdapat khilaf ulama tentang bilangan mereka (anak-anak):
  • Al-Suddi, Abu Malik, Ashim bin Umar bin Qatadah menyebutkan: Mereka ini berjumlah 13 orang.
  • Mereka berjumlah 10 orang seperti yang disebutkan oleh Ibnu Abbas dan Mujahid.

Al-Maraghi berkata: Termasuk anak-anak yang selalu hadir bersamanya di Mekah. Mereka tidak pernah berpisah dengan bapanya, kerana mereka bergantung rezeki kepada bapa mereka. Ini disebabkan mereka tidak perlu bekerja mencari rezeki kerana mereka telah memiliki harta yang banyak. Al-Walid pun sukakan mereka dan senang dengan kehadiran mereka.
Firman Allah SWT: 
Dan Ku lapangkan baginya (rezeki dan kekuasaan) dengan selapang-lapangnya, (al-Mudassir: 14)
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, Aku telah berikan kepadanya pelbagai macam harta, perkakas rumah tangga dan sebagainya.

Al-Maraghi berkata: Menurut orang Arab, Tahmid bermakna melapangkan. Contohnya Mahadash shabiyya (Dia melapangkan rezeki kepada si anak). Aku lapangkan rezeki kepadanya, dan aku luaskan kehormatan. Sepatutnya dia bersyukur kepada Allah SWT terhadap nikmat yang diberikan kepadanya tetapi dia ingkar kepada Tuhannya, sehingga dia berpaling daripada seruan dakwah dan menyombongkan diri. Dia telah membalas nikmat dengan kekafiran dan membalas kurnia dengan keingkaran serta kederhakaan.

Firman Allah SWT: 
Kemudian dia ingin sekali supaya Aku menambahnya. Sekali-kali tidak (akan Aku tambah), Kerana Sesungguhnya dia menentang ayat-ayat kami. (al-Quran). (al-Mudassir: 15-16)
Ibnu Kathir berkata: Iaitu orang yang ingkar (kufur) akan nikmat-nikmat Allah SWT setelah dia mengetahuinya.

Al-Maraghi berkata: Walaupun dia bersikap tidak mahu mentaati Allah SWT tetapi dia masih lagi mengharapkan harta dan anaknya bertambah.

Ayat ini juga mengandungi petunjuk bahawa kekafiran al-Walid adalah kekafiran yang berbentuk 'inad. Ini disebabkan dia telah mengetahui kebenaran itu dengan hatinya tetapi dia masih mengingkari dengan lidahnya. Inilah kekafiran yang paling nyata.

Penutup
Penulis menutup perbincangan ini dengan menyebut pendapat Sayid Qutub antara lain menyatakan, al-Quran menerangkan dengan panjang keadaan hidup makhluk yang kerdil itu dan nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya sebelum menerangkan kisah kedegilan dan keengganannya untuk beriman.

Allah SWT telah menjadikannya dahulu seorang diri tidak memiliki sesuatupun walaupun kain bajunya. Kemudian selepas itu, Allah SWT telah mengurniakan kepadanya harta kekayaan yang melimpah-ruah, anak-anak yang ramai yang sentiasa berada di sekelilingnya serta kemudahan hidup yang sempurna.

Walaupun begitu yakin dan percayalah kesudahan penentang Islam seperti golongan musyrikin biasanya berkesudahan dengan banyak masalah yang menimpanya, di samping adanya pelbagai halangan dan kemudaratan dalam kehidupan mereka.

Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang sentiasa mendapat dan mencapai mardhatillah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...