بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, August 12, 2011

Tafsir surah al-Mulk - Rezeki milik Allah


Oleh Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI. 

ALHAMDULILLAH, kita baru selesai juzu' 30 daripada surah-surah muqaddam. Pada ruangan kali ini penulis ingin membicarakan juzu' ke-29 bermula daripada surah al-Mulk. Surah ini diturunkan selepas surah al-Tur.

Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya adalah seperti berikut: 

Pada surah yang sebelumnya dinyatakan perumpamaan kepada orang kafir tentang dua orang perempuan yang ditakdirkan menerima celaka walaupun mereka itu berada di bawah jagaan dan peliharaan dua orang hamba Allah yang baik.

Di samping itu, dinyatakan juga kepada orang yang beriman tentang Asiyah r.a dan Maryam yang telah ditakdirkan menerima kebahagiaan walaupun sebahagian besar kaum mereka itu kafir.

Selanjutnya dalam surah ini pula, ia dimulakan dengan pembentangan tentang kekuasaan ilmu Allah SWT, kekuasaan dan sistem pentadbiran-Nya yang mantap menurut ketentuan-Nya.

Sayid Qutub berkata: 

Ucapan tasbih di permulaan surah ini menyarankan keberkatan Ilahi yang melimpah ruah dan mengagungkan sebutan Kerajaan seluruh alam, menyarankan kelimpahan keberkatan Ilahi di atas Kerajaan itu di samping mengagungkan keberkatan itu di alam buana pada Zat Ilahi. Ucapan tasbih merupakan sebuah lagu yang bergema di merata pelosok alam dan memenuhi setiap hati yang maujud. Ia bertolak dari firman Allah SWT dalam al-Quran dari Kitab Lauh Mahfuz yang tersembunyi menuju ke alam nyata yang diketahui umum.

Al-Maraghi berkata: 

Penetapan keperkasaan dan pengampunan Allah SWT itu menunjukkan Dia Berkuasa dan menguasai ilmu pengetahuan sehingga Dia mampu memberi balasan kepada sesiapa yang mengerjakan perbuatan jahat dengan pahala serta seksaan. Dia juga Maha Mengetahui orang yang mentaati-Nya dari kalangan orang yang menderhakai-Nya. Justeru tidak akan berlaku kesilapan untuk menyebarkan kebenaran kepada orang yang berhak menerima pahala atau dosa hukuman.

Muhammad Quraish Shihab berkata: 

Penggunaan sifat al-Rahman dalam ayat di atas bertujuan mengingatkan semua pihak bahawa ciptaan-Nya, baik yang terdiri dari tujuh langit mahupun selainnya benar-benar kerana rahmat dan kasih sayang Allah SWT bukan kerana sesuatu yang lain. Allah tidak menciptakan untuk meraih sedikit manfaat buat diri-Nya. Itu semata-mata adalah manifestasi dari kehendak-Nya untuk melimpahkan rahmat kepada makhluk khususnya manusia kerana Dia adalah al-Rahman.

Menurut pendapat Qatadah: 

Allah SWT mencipta bintang itu untuk tiga tujuan iaitu; sebagai perhiasan di langit, alat merejam syaitan dan tanda panduan yang dapat digunakan sama ada di darat atau di laut. Barang siapa yang membicarakannya lain daripada tujuan yang telah digariskan, maka sudah pasti dia dianggap sudah melampaui batas dan zalim.

Sayid Qutub berkata: 

Neraka Jahannam yang digambarkan di sini merupakan makhluk hidup yang memendamkan kemarahannya. Bunyi nafasnya mendengus dan menderu tinggi dan ia terus menjulang. Dadanya penuh sebak dengan kemarahan hingga hampir meledak kerana marah dan benci yang meluap-luap terhadap orang kafir.

Memang jelas bahawa pertanyaan ini untuk mengecam dan menghina mereka. Para penjaga dan pengawal neraka turut serta bersama Neraka Jahannam menyatakan kemarahan mereka dan turut serta mengazabkan orang kafir. Tiada yang lebih pahit dari kecaman dan penghinaan orang yang sedang berada dalam kesusahan dan penderitaan.

Al-Zajjaj berkata: 

Mereka mengaku yang mereka layak masuk neraka dengan sebab kesesatan dan tidak mendengar peringatan serta berfikir tetapi hanya sebuah keluhan untuk selamat daripada api neraka. Sebahagian ulama berpendapat perkataan suhq membawa maksud satu lembah dalam neraka.

Al-Maraghi berkata: 

Orang yang takut kepada-Nya tidak akan melakukan kejahatan walaupun tiada individu lain yang melihatnya. Dalam keadaan itu dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki tetapi dia takut kerana seolah-olah Allah SWT melihat setiap perbuatan itu.

Ibn Abbas berkata

Sebab turunnya ayat ini kerana orang-orang musyrikin sentiasa mengenakan Rasulullah dengan perancangannya tetapi Jibril AS memberitahu kepada Baginda. Justeru, mereka berkata perlahanlah suara kamu agar Tuhan Muhammad tidak mendengarnya sebaliknya Allah SWT menjawab bahawa Dia Mengetahui segala-galanya.

Ibnu al-Jauzi berkata: 

Allah SWT jadikan bumi ini semata-mata untuk manusia sedangkan perkataan berjalanlah di segala penjurunya memberi maksud kepada tiga pendapat:

1. Segala jalan-jalannya. Inilah diriwayatkan oleh al-Aufi daripada Ibn Abbas dan ini pendapat Mujahid.
2. Gunung-ganang dan bukit-bukau. Ini riwayat Ibn Abi Talhah daripada Ibn Abbas dan juga pendapat Qatadah serta dipilih oleh al-Zajjaj.
3. Segala pelusuknya. Inilah pendapat Muqatil, al-Farra', Abu Ubaidah dan dipilih oleh Ibn Qutaibah.

Sayid Qutub berkata: 

Segala rezeki yang wujud di bumi ini daripada ciptaan Allah SWT dan seluruh rezeki itu adalah milik-Nya. Inilah pengertian yang lebih luas daripada pengertian yang difahami sepintas lalu oleh manusia dari kata-kata rezeki itu.

Rezeki itu bukan hanya harta yang dimiliki seseorang yang membolehkannya memperoleh barangan keperluan dan kenikmatan malah rezeki itu ialah segala faktor atau sebab yang mendatangkan rezeki dijadikan Allah SWT di bumi ini.

Faktor-faktor itu asalnya berpunca daripada sifat bumi yang diciptakan Allah SWT dari pelbagai unsur dan pembahagian itu mengikut nisbah yang tertentu. Kemudian barulah kebolehan yang dilengkapkan Allah pada tumbuh-tumbuhan, haiwan termasuk manusia untuk mempergunakan unsur itu.

Semoga Allah SWT kurniakan kita rezeki yang halal dan diberkati-Nya. Amin.

1 comment:

ZUL YUSOFF said...

JOM BACA SURAH ALMULK & SURAH ASSAJDAH

“Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam tidak tidur kecuali beliau membaca Surat Alif lam Miim (As-Sajdah) dan Tabarokalladzi biyadihil Mulk”

https://www.facebook.com/Surah-As-Sajdah-1568065293515676/

https://www.facebook.com/surahalmulk1/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...