بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, August 18, 2011

Remaja dan jiwa muttaqin


BULAN ramadan juga dikenali sebagai madrasah rohani. - Gambar hiasan


ZAMAN remaja adalah tempoh yang penuh dengan cabaran. Umumnya para remaja di masa ini masih tercari-cari pegangan hidup dan hala tuju perjuangan.

Sesetengahnya hanya mengikut arus perubahan yang berlaku dan sesetengahnya masih terkial-kial mencari arah tuju dalam kehidupan ini.

Sesetengah remaja hanya merasa puas dengan kelulusan yang ada, mendapat pekerjaan dan bergaji lumayan. Sesetengahnya masih tercari-cari pegangan yang kukuh untuk dijadikan pedoman.

Ramadan yang datang selalu disebut sebagai madrasah rohani. Banyak hikmah di sebalik melalui bulan Ramadan yang boleh dimanfaatkan oleh remaja untuk membina diri. Binaan diri tidak sekadar dengan kekuatan ilmu, maklumat dan keterampilan sahaja.

Binaan diri harus memberi tumpuan kepada kekuatan dalaman iaitu hati dan emosi. Hati dan emosi menjadi faktor terpenting yang mempedoman hala tuju hidup, sikap yang diambil dan amalan yang dilakukan. Madrasah rohaniah memberi fokus kepada hubungan kita dengan Allah dan juga sesama manusia.

Bagi para remaja yang insaf dan ingin mencari kekuatan diri, bulan Ramadan menyediakan ramuan yang terbaik. Matlamat akhirnya menghayati Ramadan adalah untuk membimbing remaja menjadi manusia yang muttaqin. Puasa yang dilalui oleh remaja adalah latihan mendisiplin diri.

Diri mengalami suatu proses kekangan supaya ada rasa patuh yang tinggi kepada Allah. Makna lapar bagi remaja boleh menghubungkan remaja dengan orang-orang yang serba daif dan miskin.

Jiwa keinsanan ini perlu ada pada remaja kerana lahir nilai kemanusiaan yang tinggi dan rasa ingin menolong orang-orang yang susah.

Sering terjadi orang-orang yang senang dengan pendapatan dan kedudukan lupa akan tanggungjawab membantu orang lain. Puasa juga meletakkan remaja memiliki jiwa kehambaan yang tinggi.

Dengan berpuasa, kita dilatih menjaga mulut dan menjaga mata. Apa yang kita perkatakan dalam semangat berpuasa akan sentiasa bercakap benar dan tidak berdusta. Apa yang kita lihat dan tonton tidak akan mengurangi pahala berpuasa.

Daripada situ akan lahir kebersihan hati untuk melakukan sesuatu. Berbuka puasa juga memberi makna yang cukup tersendiri daripada remaja di mana daripada rasa yang lapar menjamah rezeki Allah ada kepuasan yang luar biasa di samping mengingat ramai yang tidak merasai rezeki seperti yang kita rasa. Ia melahirkan rasa syukur yang tinggi kepada-Nya.

Begitu juga solat yang kita lakukan, agar memberi latihan kepada remaja untuk berjiwa rukuk dan sujud. Kehambaan dalam konteks remaja membawa asas patuh, taat, akur dan tunduk.

Remaja yang selalunya berjiwa aktif dan mempunyai asas-asas penentangan dalam diri harus dilatih supaya taat kepada Allah, patuh kepada ibu bapa, akur pada titah perintah Allah serta tunduk kepada sesuatu yang makruf di samping mencegah diri dari kemungkaran.

Roh solat itu sama ada tarawih atau pun tahajud boleh mendidik remaja menjadi orang-orang yang muttaqin. Remaja yang muttaqin secara rohaniahnya terhubung dengan Allah.

Apa sahaja yang terniat di hati dan ingin diterjemahkan dalam amal, remaja akan mengambil pertimbangan Allah sebagai pedoman. Ini juga disebut oleh hadis Rasulullah SAW sebagai ihsan.

Ihsan bermaksud apabila kita lakukan sesuatu kebaikan walaupun kita tidak melihat Allah tetapi hati kita meyakini Allah melihat kita. Asas ihsan ini sangat penting bagi remaja untuk membezakan seseorang remaja beriman atau sebaliknya.

Remaja yang beriman sentiasa ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah. Remaja yang seperti ini bakal membentuk watak yang telus dan tulus dalam melakukan apa sahaja dalam hidupnya.

Puncak yang ingin dicari oleh remaja dan manusia ialah kebenaran. Kebenaran merupakan kekuatan bagi remaja muttaqin. Oleh kerana zaman remaja zaman yang penuh pancaroba, madrasah rohaniah ini perlu dilalui dengan ikhlas dan sungguh-sungguh.

Jika tidak, dalam hidup remaja akan tiada asas-asas binaan hati dan rohani yang menjadi sumber kekuatan dalaman seseorang manusia.

Remaja dalam menempuh kehidupan hari-hari bakal berdepan dengan pelbagai macam cabaran. Antara cabaran yang paling besar ialah cabaran hawa nafsu.

Cabaran hawa nafsu ini hanya mampu dikawal dengan kekuatan takwa. Selalunya remaja tewas kerana gagal menyiapkan diri untuk berdepan dengan sesuatu yang sifatnya nafsu nafsi.

Puasa yang memberi asas kawalan diri dan hati boleh menjadi benteng yang terbaik bagi menghadapi cabaran nafsu nafsi. Oleh itu, para remaja harus melihat kedatangan Ramadan sebagai bulan rahmah.

Rahmah yang tersembunyi di sebalik kegiatan di bulan Ramadan ialah membimbing manusia supaya memiliki jiwa muttaqin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...