بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, August 2, 2011

Pintu Rahmat Terbuka

SAYA dihubungi seorang pegawai daripada pejabat mufti negeri, minggu lalu, yang menjemput untuk turut serta dalam program melihat anak bulan pada hari ini bagi menentukan tarikh berpuasa.

Pejam celik, pejam celik, tanpa kita sedari Ramadan kembali lagi dan kemungkinan besar umat Islam di negara ini menjalani ibadah puasa berkenaan pada esok hari.

Insya-Allah, mungkin bermula malam ini juga, umat Islam di negara ini serta negara lain yang turut sama berpuasa pada esok akan sama-sama menunaikan solat tarawih.


Namun, menyentuh soal kedatangan Ramadan, perkara utama perlu dilakukan ialah mengenai persiapan diri. Jadi, bagaimana pula persiapan kita untuk melalui bulan penuh kemuliaan ini.

Tidak dinafikan, mungkin ada yang sekadar menunggu kedatangan Ramadan dan ada pula yang sememangnya tidak sabar-sabar menanti ketibaannya dengan mempersiapkan diri lebih awal melalui pelbagai latihan atau ‘warm up’ puasa sunat pada Syaaban.


Bagi yang dipilih Allah SWT untuk ‘menikmati’ kelebihan yang ada dalam bulan ini, sesungguhnya ia rahmat yang teramat besar.


Ini kerana, seandainya seseorang itu meninggal dunia hari ini, sudah pasti dia terlepas peluang meraih kenikmatan yang ada dalam bulan yang dimuliakan ini.

Maka sebaik-baiknya, hendaklah kita sentiasa memohon kepada-Nya supaya diberi tubuh badan yang sihat serta kekuatan untuk mengharungi perjuangan Ramadan.


Namun, bagi memulakan bicara mengenai Ramadan, terlebih dulu saya ingin menyentuh mengenai asal usul perkataan Ramadan.

Ramadan sebenarnya berasal daripada perkataan Arab ‘Ramida’ bermaksud ‘panas terik atau bahang panas kering’.


Daripada maksud itu, secara ringkasnya kita boleh rumuskan Ramadan adalah waktu atau keadaan di mana orang berpuasa merasa panas, mulut terasa kering dan tekak terasa haus.


Sementara itu, puasa dalam bahasa Arab pula disebut ‘Siyam’ atau ‘Soum’ yang membawa maksud menahan diri daripada sesuatu.


Daripada istilah syarak pula, pengertian puasa merujuk kepada perbuatan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa (menahan nafsu syahwat, makan, minum) bermula daripada fajar sehingga terbenam matahari.


Menerusi penjelasan maksud di atas, saya mengakui perjuangan sebulan menjalani ibadah puasa bukan perkara mudah.


Ini kerana dengan perut berkeroncong, rasa dahaga, pening kepala, gastrik dan seribu macam perkara yang mungkin boleh disenaraikan, ia menjadi sebahagian alasan kepada segelintir individu tidak berpuasa.


Perlu diketahui, matlamat Ramadan sebenarnya untuk melahirkan insan yang bertakwa kepada Allah SWT selain boleh dianggap sebagai akademi latihan terbaik bagi membentuk diri secara zahir mahupun batin.


Pada Ramadan, perkara paling nyata yang kelihatan adalah fizikal kita diuji dengan rasa lapar dan dahaga.


Secara saintifik, memang tidak dinafikan berpuasa sebenarnya terapi semula jadi terbaik untuk kesihatan manusia.


Di segi batiniah pula, orang yang berpuasa dikehendaki sentiasa menjaga atau ‘menutup’ mata, telinga, hidung dan mulut sepanjang hari kerana inilah pintu utama laluan tipu daya iblis serta syaitan yang meresap bagi meracun jiwa, seterusnya mempengaruhi fikiran dan tindakan manusia.


Allah SWT, menerusi surah Al-Baqarah, ayat 183 berfirman bahawasanya: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” Perkataan bertakwa atau ‘tattaquun’ dalam ayat ini di segi bahasanya dinyatakan dalam bentuk ‘fiil mudhari’ yang dirujuk kepada keadaan masa ini dan akan datang.


Justeru, dengan berpuasa, seseorang itu diharapkan mampu menanam sifat takwa di dalam dirinya dan terus mengabdikan diri kepada Allah bukan hanya pada Ramadan tetapi juga bulan seterusnya.


Kewujudan Ramadan juga sebenarnya bukti Allah SWT Maha Pemurah. Ini kerana, sebagai motivasi bagi hamba-Nya, Allah menganugerahkan malam Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.


Anugerah Allah ini hanya diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak pernah ada pada zaman umat nabi sebelum baginda.


Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.


“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-Qadr, ayat 1-5) Sebagaimana diketahui, amalan pada malam itu dijanjikan oleh Allah dengan ganjaran pahala seperti beramal selama 1,000 bulan atau 83 tahun.


Alangkah beruntungnya mereka yang dapat mengejar dan menghidupkan setiap malam Ramadan dengan amalan memohon rahmat dan pengampunan Allah.


Cuba kita renungkan sejenak angka umur kita sekarang? Jika dipanjangkan Allah umur kita selama 83 tahun pun, adakah sepanjang umur itu kita boleh penuhkan dengan amal dan ibadat? Sudah tentu mustahil kerana fasa perkembangan manusia bermula daripada bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua memerlukan setiap kita belajar sedikit demi sedikit.


Maka, layaklah malam Lailatul-Qadar diumpamakan sebagai ‘kupon diskaun’ hebat daripada Allah SWT khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW.


Namun, sedih juga kerana ramai sanggup menolak ‘tawaran’ Allah SWT ini walaupun diketahui ibadah dilakukan pada malam itu seumpama beribadat seluruh hayat manusia.


Saya suka berpesan kepada diri saya dan juga pembaca lain, matlamat sebenar kehidupan kita di dunia ini bukan semata-mata untuk ‘hidup’ di dunia tetapi ‘hidup’ di akhirat.


Pada Ramadan ini juga, Allah bukakan kepada kita pintu rahmat-Nya dengan seluas-luasnya.


Perhatikan di sekeliling kita. Pada bulan ini rezeki peniaga bertambah. Bazar Ramadan tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan pada masa inilah orang berlumba-lumba untuk berniaga. Kata mereka, inilah masa terbaik untuk kutip duit selain ada juga yang berniaga hanya setahun sekali.


Bayangkan, orang yang tidak pandai memasak pun boleh habis jualan masakan mereka pada Ramadan. Saya juga pernah berjumpa seorang peniaga yang pernah bankrap tetapi berjaya mengumpul modal perniagaannya semula hanya dengan menjual barangan mainan murah di tepi Jalan Tuanku Abdul Rahman sepanjang Ramadan.


Terlanjur berbincang mengenai amalan puasa Ramadan, saya tertarik untuk berkongsi senario biasa yang wujud dalam masyarakat kita. Soal puasa orang kita memang ‘tip top’ kerana sejak kecil lagi rata-rata kita dilatih untuk berpuasa.


Bagaimanapun, penghayatan dan pengisian Ramadan dengan amalan sewajarnya jarang diterapkan dalam latihan itu. Tidak ramai juga ibu bapa yang memberikan fokus latihan solat lima waktu sehari semalam seperti latihan berpuasa kepada anak mereka .


Akhirnya, apa yang kita lihat hari ini, ramai berpuasa tetapi kosong dengan pengisian ibadah. Ramai yang tegar berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Tidak kurang ramai juga yang berpuasa tetapi tetap melakukan maksiat.


Maka, timbul satu fenomena di mana masjid dan surau hanya penuh pada awal Ramadan dan jumlah jemaah berkurangan sedikit demi sedikit hinggalah ke penghujung Ramadan.


Orang sibuk mengejar malam Lailatul-Qadar, kita pula sibuk membeli-belah pilih kain di pasar raya. Apabila tamat Ramadan, tamatlah aktiviti ke masjid.


Jadi, bagaimanakah kita hendak melahirkan insan bertakwa menerusi latihan sebulan berpuasa jika asas amalnya yang diterap sejak kecil juga tidak lengkap.


Dalam kesempatan yang ada, mari kita sama-sama pasang niat dan berazam merebut tawaran Ramadan kali ini. Masih tidak terlewat untuk kita mempersiapkan diri dan mulakan langkah pertama dengan solat berjemaah di masjid atau surau dan seterusnya solat sunat tarawih.


Jangan lupa juga mengajak anak isteri untuk turut serta. Ini kerana, kerjasama dan sokongan mereka sangat penting bagi kita mengharungi cabaran Ramadan. Mudah-mudahan, kita semua memiliki rahmat dan keampunan daripada Allah SWT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...