بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, October 30, 2012

Masjid tertua di dunia



MASJIDIL Haram merupakan masjid tertua di dunia. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bererti masjid yang dihormati atau dimuliakan. Masjidil Haram terletak di tengah-tengah kota Mekah. Sejak tahun kelapan kerasulan Nabi Muhammad SAW, baginda menjadikan Masjidil Haram sebagai tempat ibadah umat Islam.

Oleh hal yang demikian itu, masjid ini menjadi tumpuan umat Islam dari berbagai-bagai penjuru dunia untuk melakukan ibadah haji, umrah, solat dan menuntut ilmu. Mereka datang daripada pelbagai mazhab.

Kaabah


Di tengah-tengah Masjidil Haram terletaknya Kaabah. Bangunan terpenting dalam Masjidil Haram adalah Kaabah, yang berbentuk kiub dan disebut juga Baitullah (Rumah Allah), Baitulatiq (Rumah Kuno), dan Baitulharam (Rumah Suci).

Di dalam masjid ini juga terdapat makam Ibrahim (bekas tapak kaki Nabi Ibrahim as pada batu ketika membina atau mendirikan Kaabah), Hajar Aswad (batu hitam) dan telaga zamzam.

Masjidil Haram merupakan sebuah kompleks bangunan yang berbentuk empat persegi yang mengelilingi Kaabah. Masjid ini terletak di atas tanah empat segi di tengah-tengah kota Mekah. Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas sekarang.

Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah.

Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) dari kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.

Kerana tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini terus menerus diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.

Menara


Di sekeliling masjid ini terdapat tujuh buah menara yang menjulang tinggi. Ketujuh-tujuh menara itu masing-masing mempunyai nama trendier iaitu: Bab al-Umrah, Bab al-Hazurah, Bab as-Salam, Bab az-Ziadah, Bab al-Ali, Sulaimaniah, dan Kait Bai. Menara-menara ini turut menjadi model masjid di seluruh dunia.

Masjidil Haram memiliki keutamaan yang tersendiri bagi umat Islam. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Janganlah memberatkan untuk mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi di Madinah), dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 kali solat di masjid lain kecuali di Masjidil Aqsa." (riwayat ad-Darimi, an-Nasai' dan Ahmad)

Telaga zamzam

Telaga zamzam terletak di bahagian tenggara Kaabah dengan kedalaman 140 kaki. Telaga ini juga disebut Telaga Ismail. Pada masa Abdul Mutalib sebagai pembesar Mekah, telaga ini tertutup tanah. Beliau melakukan penggalian dan seterusnya telaga ini berada di bawah pengawasannya.

Masjid ini ditutupi dengan atap dan dilengkapi dengan menara, tiang-tiang kecil tempat lampu penerang dan kubah-kubah kecil (152 buah). Tiang setinggi 20 kaki (sekitar 6m) dan berdiameter 1.5 kaki (sekitar 0.5m) berjumlah 589 buah. Setiap tiga tiang diselangi dengan satu tiang besar dengan ketebalan sekitar 4 kaki (sekitar 1.2m).

Di bahagian utara pula terdapat satu tiang merah dan satu tiang abu-abu kemerah-merahan, manakala di bahagian timur terdapat dua tiang abu-abu. Di bahagian loteng atau lelangit terdapat ukiran kaligrafi ayat-ayat al-Quran dan perhiasan. Pada bahagian tembok pula terdapat batu yang bertuliskan Muhammad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Asma ul Husna

ARKIB : 23/10/2012


Pedoman pengsyariatan haji



ALHAMDULILLAH, kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana diberikan peluang oleh-Nya untuk sekali lagi dapat menjejakkan kaki ke bulan haji. Bagi mereka yang sudah berlepas ke Mekah untuk menunaikan haji, semoga dapat memperoleh haji mabrur dan dapat mengambil kesempatan berada di sana untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan dapat meningkatkan keyakinan terhadap Islam sebagai agama yang benar.

Ibadat haji adalah merupakan salah satu rukun Islam yang lima dan diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan dan memenuhi syarat-syaratnya untuk mengerjakannya.

Firman Allah SWT: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah maha kaya (berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk. (Ali-Imran: 97)

Berdasarkan kepada nas di atas, maka para ulama telah bersepakat mengenai ibadah haji yang mesti ditunaikan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Seandainya seseorang itu berkemampuan, tetapi enggan menunaikan ibadah tersebut, maka dia akan mendapat dosa daripada Allah SWT.

Perlu difahami, bahawa Allah SWT mewajibkan sesuatu ibadah itu kepada hamba-hambanya kerana ia mempunyai hikmah dan kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan ibadah haji ialah sebagai medan untuk membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan selama ini, sama ada sedar atau tidak.

Mereka yang pergi menunaikan haji dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah ra: Sesiapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dengan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasik, maka dia suci daripada dosa-dosanya, seolah-olah dia kembali pada hari dilahirkan oleh ibunya. (riwayat Al-Bukhari)

Ibadah haji juga dapat mendidik jiwa dan mentarbiah keperibadian seseorang Muslim itu agar sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah SWT. Hakikat ini dapat dilihat dengan pensyariatan beberapa ibadah lain dalam Islam seperti solat dan puasa.

Begitu juga yang berlaku terhadap ibadah haji, di mana keseluruhan amalan yang dilaksanakan adalah merupakan proses pentarbiahan terhadap anggota jasad dalam mentaati perintah Allah SWT.

Pakej pentarbiahan ini bukannya ciptaan manusia, sebaliknya ia merupakan modul tarbiah yang secara terus dicipta oleh Allah SWT yang semestinya tidak mempunyai kelemahan.

Sebelum seorang hambanya berniat untuk menunaikan haji, mereka dibenarkan untuk memakai apa jua pakaian yang menutup aurat. Tetapi setelah mereka berniat di miqat yang ditentukan, maka hanya pakaian yang tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dipakai.

Begitu jugalah yang berlaku kepada amalan-amalan lain, yang pada asalnya dihalalkan sebelumnya, tetapi bertukar menjadi haram sewaktu mula dalam ihram. Contohnya mencabut tumbuh-tumbuhan, menyembelih binatang, menggunting rambut, menjalin hubungan antara suami dan isteri dan sebagainya. Bukankah segalanya ini menguji tahap kesabaran seseorang itu dalam mentaati Allah?

Selain itu, ibadah haji merupakan sebesar-besar peringatan yang mengingatkan orang-orang Islam tentang sejarah para Nabi yang terdahulu, terutamanya kisah keluarga Nabi Ibrahim as. Semangat berkorban yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya demi memartabatkan agama Allah SWT sepatutnya tersemai dalam hati sanubari kita apabila berada di sana.

Di dalam kitab Al-Bidayah Wannihayah jilid pertama, karangan Imam Al-Hafiz Ibnu Kathir menceritakan detik ketika mana isterinya Hajar ditinggalkan dan dibiarkan berada di lembah tersebut lantas ia berkata kepada suaminya: "Allahkah yang memerintahkan kamu untuk berbuat demikian? Jawab Ibrahim: Ya, lalu isterinya berkata: Oleh itu Allah SWT tidak akan mensia-siakan kami." Lihatlah, betapa agungnya pengorbanan yang dilakukan oleh mereka.

Antara hikmah lain, ibadah haji merupakan perhimpunan umat Islam dari seluruh dunia. Mereka berhimpun tanpa mengira warna kulit, kedudukan, pangkat dan sebagainya. Mereka berzikir dengan ungkapan dan bahasa yang serupa. Laungan takbir, tahlil dan tahmid meniti di bibir mereka. Oleh kerana ajaran Islam tertegak atas dasar kasih sayang sesama umatnya, maka syariat seumpama ini diwujudkan.

Justeru, sudah tiba masanya untuk kita melakukan sesuatu supaya beroleh keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Terlalu banyak nikmat yang dianugerahkan kepada kita, lantas mengajak agar kita bersyukur kepadanya. Ramadan telah pun berlalu, kini menjelang pula program haji yang penuh dengan beberapa pengajaran dan teladan yang perlu diselami.

Jikalau dahulu para Nabi dan Rasul teguh dalam melaksanakan misi dan amanah yang diberikan kepada mereka tanpa banyak bicara, maka marilah kita bermuhasabah kembali setakat mana amanah yang telah diberikan dalam syarikat, keluarga dan masyarakat dapat dipikul dengan sebaiknya.

Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as dan anaknya Ismail as sudah cukup menjadi bukti tentang kesabaran dan ketakwaan mereka berdua. Bagaimana pula kita? Apakah pengorbanan yang telah kita curahkan untuk meraih saham di akhirat? Sudahkah kita bersedia untuk bertemu dengan Allah yang Maha Esa? Sebanyak manakah amalan yang telah kita himpunkan untuk mendapat reda daripada-Nya?

Marilah kita renungkan bersama. Semoga pengsyariatan ibadah haji ini akan memberikan banyak faedah kepada kita sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka. (al-Hajj: 28)

ARKIB : 24/10/2012



Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Gelaran haji




PAK haji dan mak haji itulah gelaran yang sinonim dengan seseorang setelah kepulangan mereka daripada menunaikan ibadat haji. Gelaran yang disandang itu akan berkekalan sehingga dia meninggalkan alam fana ini. Dalam konteks hidup bermasyarakat pula, seseorang itu akan lebih dipandang berbanding sebelum menunaikan ibadah haji yang cukup istimewa itu.

Gelaran ini begitu dihormati dan disegani oleh segenap lapisan masyarakat turun-temurun. Alasannya adalah bermula nenek moyang kita menunaikan ibadah haji membawa reputasi yang cukup disegani.

Zaman dahulu teknologi tidak secanggih sekarang. Para jemaah haji melaksanakan ibadah haji bukan menggunakan kapal terbang tetapi menggunakan kapal laut yang dianggap kenderaan tercanggih pada ketika itu.

Mereka berangkat ke tanah suci dengan persiapan rohani, jasmani dan material selengkap yang mungkin dengan seikhlas hati. Perjalanan pergi dan pulang tersebut memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Para jemaah haji ketika itu mengambil kesempatan ketika dalam perjalanan yang lama ini untuk menuntut ilmu agama dengan para ulama yang berada bersama rombongan mereka bagi memantapkan lagi pengetahuan agama serta persiapan mereka.

Ada juga tidak ketinggalan untuk bertalaqi kitab dengan para ulama yang berada di tanah suci mengikut kesempatan masa panjang yang dimiliki. Maka kepulangan mereka ke tanah air sudah pasti sarat dengan pengalaman serta ilmu agama.

Lantaran itu, layakkah mereka disapa dengan gelaran Pak Haji dan Mak Haji disebabkan ibadah haji adalah simbol kesolehan, ketakwaan, tawaduk, zuhud dan sebagainya.

Tetapi malangnya dewasa ini reputasi tersebut semakin pudar, ekoran nilai-nilai Islam dalam diri semakin merudum walaupun seseorang itu menyandang gelaran pak haji dan mak haji.

Karakter mereka kembali kepada asal sebagaimana sebelum berangkat ke tanah suci. Maka layakkah panggilan pak haji dan mak haji itu? Hanya diri sendiri yang mampu memberi jawapan yang paling tepat dalam memperbaiki diri.

Ibadah haji adalah suatu perjalanan yang suci, membawa diri ke negeri kedamaian untuk menyahut panggilan Rabbul Alamin. Perjalanan yang indah mendamaikan hati, menyentuh perasaan, menenangkan sanubari, serta nostalgia indah dalam kehidupan bertujuan mendapatkan haji mabrur yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: Haji mabrur itu tiada ganjaran di sisi Allah kecuali syurga. (Muttafaqun alaih)

Ketika merenung sejenak implikasi haji mabrur, Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki berkenaan implikasi haji mabrur, baginda menjawab: "Suka memberi bantuan terhadap orang lain dan baik tutur bicaranya." (riwayat Ahmad).

Berdasarkan hadis tersebut, haji yang mabrur akan mengubah watak pak haji dan mak haji menjadi insan yang pemurah lagi terpuji akhlaknya. Pak haji dan mak haji akan memiliki sifat rasa empati terhadap orang lain serta lenggok bahasanya amat membekas di hati, terpancar nilai-nilai Islam.

ARKIB : 26/10/2012

Oleh ABDUL ARHAM MAT - pelajar Sarjana Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Catatan jemaah haji



IBADAH haji merupakan rukun Islam kelima yang menjadi idaman setiap umat Islam. Namun begitu tidak semua umat Islam mampu menunaikan ibadah haji kerana ia menuntut pengorbanan yang besar daripada sudut material, fizikal dan rohani. Umat Islam di Tanah Melayu yang berkemampuan juga tidak ketinggalan mengerjakan ibadah haji seperti umat Islam yang lain.

Sebelum menunaikan ibadah haji pelbagai persediaan perlu dilakukan terutama sekali daripada segi pengangkutan kerana semua jemaah haji dari Alam Melayu menggunakan pengangkutan laut untuk mengerjakan haji di Mekah.

Persediaan untuk menunaikan ibadah haji telah direkodkan di dalam sejarah masyarakat Melayu sejak abad ke-15 oleh seorang penulis Portugis yang terkenal Tom Pires. Beliau telah menulis tentang dua orang sultan Melaka yang berhasrat menunaikan ibadah haji di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan membuat persediaan yang perlu untuk ke Mekah.

Yang pertama ialah Sultan Mansur Shah yang memerintah Melaka dari tahun 1456 - 1477 Masihi / 860 - 881 Hijrah. Menurut catatan Tom Pires:

Baginda adalah seorang sultan yang memiliki 120 quital emas dan sejumlah besar batu-batu permata yang berharga. Baginda telah memutuskan untuk ke Mekah bersama emas yang berganda jumlahnya dan ditempatkan di dalam sebuah jong yang dibina di Jawa dan sebuah lagi kapal besar yang berada di Pegu. Jika baginda tidak gering, baginda telah sampai ke Mekah. Baginda telah membelanjakan duit yang banyak dan mengumpulkan rakyat jelata untuk belayar…...

Selepas Sultan Mansur Shah mangkat, baginda telah digantikan oleh putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah sebagai pemerintah Melaka dari tahun 1477-1488 Masihi / 881-893 Hijrah. Persediaan baginda ke Mekah juga direkodkan oleh Tom Pires seperti berikut:

Sultan telah membuat keputusan untuk pergi ke Mekah. Oleh kerana baginda berada di Bretam, baginda ingin kembali ke Melaka untuk menyempurnakan persediaan baginda; tetapi setelah tujuh atau lapan hari gering maka baginda pun mangkat, meninggalkan dua orang putera dan tiga orang Puteri…

Abdullah Munshi pula menceritakan pengalaman beliau di dalam kapal dan perjalanan yang beliau tempuhi sewaktu di Mekah pada abad ke-19 di dalam manuskrip beliau yang bertajuk Pelayaran Abdullah. Di dalam manuskrip tersebut beliau ada menyatakan bahawa nama kapal yang beliau naiki ialah Fathul-Mubarak dan yang empunya kapal tersebut bernama Nakhoda Haji Ali bin Ahmad bin Isa.

Kapal masih digunakan sebagai satu-satunya pengangkutan untuk menunaikan haji di Mekah sehingga pertengahan abad ke-20. Seorang lagi jemaah haji Melayu pada tahun 1960 telah menceritakan pengalaman beliau di dalam buku yang bertajuk Chatetan ke-Tanah Suci. Beliau telah ke Mekah dengan menaiki kapal bernama Anshun. Di dalam salah satu catatan beliau menceritakan pengalamannya di atas kapal, beliau telah menekankan pentingnya sifat sabar dalam mengharungi cabaran dalam menyempurnakan rukun Islam kelima ini.

Catatan beliau berbunyi seperti berikut: …orang yang ingin menunaikan haji mestilah sabar… kamu terpaksa menanggung kesusahan ini di sepanjang pelayaran pergi dan balik dari menunaikan haji; sabar ialah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik….

Malaysia Kita : Sumber


Malaysia Raya : Sumber


Terdapat juga jemaah yang mencatitkan pengalaman mereka dalam bentuk nazam untuk sahabat handai yang membacanya kemudian hari. Antara baris nazamnya berbunyi seperti berikut:

Dengarkan olehmu satu cerita, Fakir yang yatim empunya kata
Hatinya suka semata-mata, Dakwat bercampur dengan air mata
Tatkala turun hendak ke Mekah, Hatinya pun pecah belah
Hendak bertinggal ibu dan ayah, Entahkan habis berpecah belah
Inilah nazam fakir yang gharib, Lagi percintaan bawalah nasib
Memegang kalam memencahkan dakwat, Mulut membaca tangan menyurat
Pada suatu malam fakir berfikir, Ingatkan untung nasib dan takdir
Diambil dakwat talam yang saghir, Disuratkan nazam mengambil ta'bir
Dengarkan olehmu sekalian taulan, Mekah Madinah fakir nazamkan
Barang yang mudah hamba suratkan, Supaya berahi orang yang beriman
Tiga bulan dari Kedah la dan kurang, Pelayaran kapal tatkala menyeberang
Jikalau angin dari belakang, Sampai ke Jedah teluk yang tenang….

Buku Menuju ke Mekah yang diterbitkan oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia boleh dibeli di Kedai Muzium Kesenian Islam Malaysia.

ARKIB : 26/10/2012

oleh Ros Mahwati Ahmad Zakaria
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

Sunday, October 28, 2012

Fitnah


Fitnah diulang 30 kali dalam al-Quran
2012/10/28 

SOALAN:

Saya mendengar ada orang mengatakan fitnah yang disebut dalam al- Quran bukan bermaksud menuduh seperti difahami oleh orang Melayu. Benarkah demikian. Apa perbezaan bala dan fitnah. Adakah musibah dengan azab membawa maksud sama. Mohon pencerahan dari ustaz. - Rashid, Seremban 

JAWAPAN:


Fitnah bererti ujian atau cubaan. Ia diambil dari kata dasar bererti memasukkan emas ke dalam api untuk diketahui kadarnya. Ia juga diertikan sebagai ‘membakar’ atau ‘memperluas’. Secara berdiri sendiri, kalimat ini diulang-ulang dalam al-Quran sebanyak 30 kali. 

Menurut ahli tafsir terkemuka Indonesia, M Quraish Shihab, ‘perlu digaris bawah bahawa tidak ada satu pun dari kalimah ini yang bermaksud perkataan yang memburukkan orang lain seperti biasa dipakai. Menurut pakar dalam bidang kosa kata al-Quran, ar-Raghib al-Ashfahani, penekanan dan penggunaan kata fitnah lebih banyak ditujukan pada sesuatu yang bersifat kesukaran. Inilah salah satu perbezaan penggunaan kata bala dan fitnah. 

Di sini kata fitnah tidak selalu bererti ‘ujian’ yang dialami seseorang dalam kehidupan dunia tetapi boleh juga dalam erti seksaan di akhirat. Firman Allah SWT: “(Hari Pembalasan adalah) hari ketika mereka disiksa di atas api neraka. (Dikatakan kepada mereka), “Rasakanlah seksaan itu. Inilah seksa (fitnah) yang dulu kamu minta supaya disegerakan.” (Surah az-Zariyat, ayat 13-14) 

Perbezaan ketiga, fitnah tidak selalu mesti berbentuk sesuatu yang berlangsung lama atau nampak lama. Perkataan musibah diambil dari kata dasar bererti mengenai atau menimpa. 

Pada mulanya, kata akar ini berkaitan lemparan yang mengena sasaran. 

Kata musibah diulang dalam al-Quran sebanyak sepuluh kali. Semuanya digunakan untuk sesuatu yang tidak menyenangkan. Namun, hendaklah diingat bahawa apa yang tidak menyenangkan, bila direnungkan pasti tepat dan benar. 

Firman Allah SWT: “Dan apa saja musibah yang menimpa dirimu, maka hal itu disebabkan perbuatan tanganmu sendiri.” (Surah as-Syura, ayat 30)



Rasulullah tidak fakir


Dalam Islam, penerangan mengenai hak-hak Nabi Muhammad SAW dan menjaga adab terhadapnya wajib disemai semenjak kecil. Ini kerana perkara-perkara yang melibatkan penghormatan dan penghinaan terhadap Rasulullah melibatkan perkara akidah dan ia menjadi penentu kepada batasan iman dan kufur. Oleh itu, umat Islam tidak boleh dibiarkan terus jahil mengenai hak-hak baginda untuk dihormati dan dimuliakan kerana kejahilan itu tidak diberikan kemaafan dan keuzuran melainkan bagi mereka yang baru memeluk Islam.

Barangkali ada yang menyangka bahawa mereka akan masuk syurga dengan amal ibadat zahir yang banyak ditunaikan sepanjang hidupnya sedangkan apabila dia tidak menjaga adab dengan Nabi SAW atau mengurangkan darjatnya atau merendah-rendahkan kedudukannya, maka amalan digugurkan oleh Allah SWT serta-merta lalu dia bertemu menghadap-Nya dalam keadaan memikul dosa-dosa besar.

Apa yang lebih dahsyat dan menakutkan ialah terbatalnya akidah mereka ini kerana jumhur ulama menyatakan barang siapa menyatakan Rasulullah adalah seorang fasik, sama ada sebelum atau selepas dilantik menjadi nabi, maka dia menjadi kufur. Di sini menjadi kayu pengukur bagi mereka yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW sesat pada akidah seperti kaumnya sebelum dilantik menjadi nabi dan rasul.
Demikianlah juga bagi sesiapa yang melaung-laungkan bahawa baginda adalah seorang fakir miskin, anak yatim dan buta huruf sehingga tersangkut di fikiran masyarakat yang segelintir memandang rendah mereka yang buta huruf, fakir miskin dan yatim sehingga menurunkan darjat Nabi Muhammad SAW di hati mereka.

Maka adalah menjadi kewajipan ke atas para pendakwah agar berhati-hati demi menjaga akidah umat Islam dan masyarakat umum.

Disebut dalam surah al-Dhuha ayat sembilan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah fakir dan memerlukan. Maka Allah memberikan kekayaan kepada baginda daripada hasil keuntungan menjalankan perniagaan Khadijah dan harta ghanimah (rampasan perang). Ini merupakan kekayaan zahir. Termasuk juga di sini tanpa syak, kekayaan jiwa yang dikurniakan oleh Allah kepada baginda .

Baginda ialah insan yang paling kaya hatinya. Kenapa tidak, kerana Rasulullah SAW telah bersabda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bermaksud: "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sebenar ialah kaya hati."

Oleh itu, berkata al Raghib: Makna Allah 'mengayakan kamu' dalam ayat ini ialah Allah menghapuskan daripada kamu kemiskinan jiwa dan menjadikan bagi kamu kekayaan yang terbesar.

Hikmah Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW fakir pada awalnya kemudian diberikan kekayaan ialah jika baginda merupakan seorang hartawan pada awalnya sudah tentu orang akan menganggap kemuliaan dan kemenangan yang diperoleh oleh baginda disebabkan harta. Oleh kerana itulah, setelah baginda berada di kedudukan yang tertinggi mengatasi seluruh hartawan dan raja-raja, maka diketahui bahawa ketinggian yang diperoleh Nabi Muhammad SAW datangnya daripada Allah SWT.

Dikatakan maknanya: "Maka Allah mengayakan hatimu dan menjadikan kamu qana'ah dengan segala yang diberikan kepada kamu."

Kesimpulannya, ayat ini bermaksud: Allah yang melindungi kamu ketika kamu dilahirkan dalam keadaan yatim dan memberi petunjuk kepada kamu daripada pencarian kamu dan mengayakan kamu daripada kefakiran kamu, tidak sekali-kali meninggalkan kamu dalam urusan-urusan kamu pada masa akan datang. Setelah Allah menerangkan nikmat-nikmat-Nya yang telah lepas, Allah berpesan kepada baginda mengenai anak-anak yatim dan orang-orang fakir sebagai mensyukuri nikmat tersebut dan menunaikan hak-Nya.

Al Imam al Qustallani menyebut di dalam al Mawahib al Laduniyyah: Berkata al Hulaimi di dalam Syu'ab al Iman: "Di antara cara memuliakan Nabi Muhammad SAW ialah tidak menyifatkan baginda dengan sifat-sifat kekurangan di sisi pandangan manusia. Oleh itu, tidak harus Nabi Muhammad SAW dipanggil sebagai fakir."
Al Qadhi 'Iyadh menyebut di dalam al Syifa bi Ta'rif Huquq al Mustafa, dan kenyataannya ini turut dinaqalkan oleh Syeikh al Islam Taqiyyuddin Ali al Subki di dalam kitab al Saif al Maslul: "Bahawa fuqaha Andalus telah mengeluarkan fatwa hukum bunuh dan salib ke atas Hatim al Mutafaqqih al Tulaituli, kerana perbuatannya merendah-rendahkan hak Nabi Muhammad SAW dan menamakan baginda sebagai yatim semasa mengadakan sesi dialog serta kepercayaannya bahawa kezuhudan baginda bukan kerana pilihan baginda bahkan sekiranya baginda mampu untuk mendapatkan makanan yang enak-enak dan baik-baik, sudah tentu baginda memakannya."

Imam al Zarqani mensyarahkan al Mawahib al Laduniyyah: "Setiap satu dari tiga faktor ini sudah cukup untuk melayakkan seseorang itu dijatuhkan hukuman bunuh tanpa perlu diminta bertaubat terlebih dahulu, di sisi Imam Malik."

Al Qustallani juga menaqalkan: "Nabi Muhammad SAW tidak pernah fakir pada harta dan halnya juga tidak fakir, tetapi baginda adalah manusia yang paling kaya. Urusan dunianya telah dicukupkan untuk diri dan keluarganya."

ARKIB : 23/10/2012

Tafsir Surah Yasin - Utusan Allah



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

DALAM ayat-ayat yang terdahulu, Allah SWT menerangkan perihal orang musyrik yang ditutupi hatinya oleh Allah SWT sehingga mereka tidak beriman. Dalam ayat-ayat yang berikutnya pula, Allah SWT menyebut suatu kaum yang mempunyai tingkah laku yang sama dengan mereka daripada segi kekafiran dan kemusyrikannya. Mereka yang dimaksudkan ialah penduduk Antakiyyah di negeri Syam (Syiria). Kisah mereka dengan rasul adalah sama dengan kisah kamu dengan kaummu.

Firman Allah SWT: 


A013


A014

Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi rasul-rasul (Kami) Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang rasul lalu mereka mendustakannya, kemudian Kami kuatkan (kedua rasul itu) dengan rasul yang ketiga, lalu rasul-rasul itu berkata: Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu. (Yasin: 13-14)

Syed Qutub berkata: Al-Quran tidak menyebut siapakah penduduk sebuah negeri itu dan tidak menyatakan negeri itu. Begitu banyak pendapat dan pandangan mengenainya. Apabila al-Quran tidak menyebut tentang negeri itu, maka ia merupakan satu dalil bahawa penentuan nama dan tempat negeri itu tidak menambahkan sesuatu kepada makna dan saranan cerita tersebut.

Negeri itu yang diutuskan Allah SWT kepada dua orang rasul sebagaimana Allah mengutuskan Musa dan saudaranya Harun as kepada Firaun dan konco-konconya. Kemudian penduduk negeri itu telah mendustakan kedua-duanya lalu Allah SWT menegaskan mereka adalah utusan-Nya. Kemudian ketiga-tiga rasul tampil mengemukakan dakwah mereka.

Menurut pendapat sebahagian ahli tafsir, antaranya Qatadah dan pentafsir yang lain, dimaksudkan utusan-utusan dalam ayat di atas adalah utusan Nabi Isa as yang terdiri daripada para Hawariyyin yang diutuskan untuk menemui penduduk Antakiyyah. Ini juga pendapat yang dinukilkan daripada al-Qurtubi.

Manakala pendapat Ibnu Abbas yang banyak diterima oleh ulama tafsir, bahawa utusan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah rasul-rasul Allah SWT yang diutus sebagai pembantu Nabi Isa as yang mengakui syariatnya seperti perutusan Nabi Harun as untuk membantu Nabi Musa as.

Al-Magahri berkata: Pendapat yang masyhur mengatakan kedua-dua utusan yang pertama dikenali sebagai Yuhana dan Paulus, manakala utusan ketiga dikenali sebagai Sham'un.

Firman Allah SWT


A015

Penduduk bandar itu menjawab: Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan) kamu ini tidak lain hanyalah berdusta. (Yasin: 15)

Ibnu Kathir berkata: Kaum mereka mendustakan para nabi.

Syed Qutub berkata: Bantahan mereka kerana rasul itu manusia menampakkan kejahilan tentang tugas seorang rasul. Mereka selamanya mengharapkan rahsia pada sahsiah seorang rasul daripada mengharapkan kehidupan seorang rasul itu tersembunyi. Itulah kedangkalan kefahaman dan pandangan.

Rahsia dan teka-teki bukanlah sifat kenabian dan kerasulan. Risalah itu sistem Ilahi yang dapat dihayati manusia dan kehidupan seseorang rasul merupakan teladan yang diseru olehnya untuk dicontohi kaum masing-masing.

Oleh yang demikian, kehidupan Rasulullah SAW terdedah kepada pandangan umatnya. Al-Quran sendiri telah merakamkan semuanya agar ia dapat dilihat oleh umatnya sepanjang zaman. Tetapi hakikat yang amat jelas ini masih terus menjadi bantahan manusia.

Firman Allah SWT: 


A016

A018


Rasul-rasul berkata: Tuhan kami mengetahui bahawa sesungguhnya kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu. Dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah-Nya dengan cara yang jelas nyata. (Yasin: 16-17)

Syed Qutub berkata: Allah SWT mengetahui hakikat yang sebenar. Kewajipan rasul-rasul menyampaikan perintah Allah SWT dan selepas itu manusia bebas menentukan pilihan mereka. Para pendusta pula tidak senang dengan dakwah para rasul dan sentiasa mencari jalan untuk menidakkan segala ajaran dan perintah Allah SWT. Mereka melakukan pelbagai cara bagi menghalang dakwah para rasul dengan cara yang kasar dan pelbagai ancaman yang bertujuan menakutkan nabi dan rasul.

Al-Magahri berkata: Tugas kami hanyalah menyampaikan risalah Tuhan kami dengan jelas, sama ada kamu percaya atau tidak, itu bukan urusan kami. Setelah mereka kehabisan hujah untuk menentang rasul-rasul tersebut, mereka mula mengemukakan ancaman untuk menakutkan rasul-rasul itu.

Berdasarkan nas di atas jelas menunjukkan bahawa rasul mempunyai sifat yang unggul dan terpuji. Allah maksumkan mereka daripada sebarang kejahatan dan kesalahan serta perkara yang tercela terbit daripada mereka.

Firman Allah SWT: 


A018


Penduduk bandar itu berkata pula: Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Yasin: 18)

Ada beberapa pendapat ulama berkenaan dengan ayat ini, antaranya segala kejahatan sentiasa bersamamu bukan daripada kami. Inilah pendapat al-Dahak. Qatadah pula berpendapat segala amalan kamu akan ditimpa bersamamu. Sedangkan Ibnu Abbas berkata segala rezeki dan takdir akan mengikutimu.

Syed Qutub berkata: Demikianlah orang yang menyokong kebatilan memperlihatkan sikapnya yang zalim, mengancam para pendakwah, menentang kebenaran dengan tindakan yang keterlaluan.

Al-Maghari berkata: Boleh jadi kami akan membunuh, memenjarakan atau menyeksa kamu dengan seksaan yang berat.


ARKIB : 26/10/2012

Perhimpunan Arafah gambaran Mahsyar

Masjidilharam dipenuhi jutaan umat Islam dari seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji.



SEMALAM jutaan umat Islam seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah.

Selain sebagai memenuhi rukun haji, perhimpunan di Arafah juga adalah manifestasi kepada usaha taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah, Pencipta Yang Maha Agung.

Pertemuan umat Islam yang mengenakan pakaian ihram yang sama warna iaitu putih turut menzahirkan kesatuansebagai saudara seagama biarpun dibatasi oleh bahasa dan warna kulit yang berlainan.

Segala hal keduniaan seperti pangkat, kedudukan dan jawatan tinggi serta harta tidak lagi 'berguna'.

Sebaliknya, semua umat Islam merendah diri dan mengikhlaskan hati masing-masing dengan niat yang satu iaitu mendapatkan pengampunan Allah Rabbul Jalil.

Lebih daripada itu, perhimpunan setahun sekali ini adalah persis bagaimana manusia akan dibangkitkan semula dan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihitung amalan semasa hayat kita.

Ketua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1433H, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, semasa wukuf akan kelihatan lautan manusia ibarat laut yang tidak bertepi.

Kata beliau, keadaan ketika itu agak membingungkan di mana manusia masing-masing memikirkan untung nasib di hadapan Allah berdasarkan amalan semasa hayat.

Menurutnya, apabila teringatkan hal itu, hati menjadi kecut dan takut. Ini menjadikan orang itu sentiasa merendah diri.

"Harapan kita adalah dihimpun bersama golongan yang bahagia dan mendapat rahmat ilahi.

"Bagi orang soleh yang hatinya murni dan sentiasa mentaati Allah, mereka amat berharap serta yakin akan dihimpunkan bersama golongan yang tunduk kepada Allah Yang Maha Esa," katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia di Hotel Abraj Jandiriyyah, Mekah, baru-baru ini.

Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang menjelaskan, berhimpun dengan memakai pakaian seragam (ihram) juga sebagai simbol Islam melihat manusia sebagai sama dan tiada perbezaan darjat.

"Berpakaian seragam ini dapat menginsafi semua golongan baik yang kaya, berpangkat atau tidak bahawa Islam tidak menilai seseorang berdasarkan darjat dan kedudukan.

"Sebaliknya apa yang menjadi kayu ukur dalam Islam adalah keimanan kita kepada Allah SWT. Secara tidak langsung ini dapat mengikis rasa sombong dan takbur dalam diri setiap kita," jelas beliau.

Semua itu kata Hassan, adalah gambaran bagaimana keadaan manusia apabila dibangkit dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.

Katanya, ketika itu semuanya nafsi-nafsi (sendiri-sendiri) tidak teringatkan orang lain kerana bimbangkan nasib masing-masing.

"Sebab itu, semasa di Arafah, kita dianjurkan banyak berdoa memohon keampunan dan rahmat Allah," tambahnya.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan adalah ucapan Nabi-nabi sebelumku iaitu tiada tuhan yg berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. (riwayat at Tirmizi)

Menurut Hassan lagi, semasa wukuf juga syaitan amat berasa dukacita dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan pengampunan Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Ini dijelaskan menerusi hadis daripada Talhah bin Ubaidillah bin Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Selain Perang Badar, tidak ada hari lain yang mana syaitan dilihat amat hina, dukacita dan marah iaitu pada Hari Arafah kerana melihatkan melimpah ruahnya rahmat yang turun hari itu dan rahmat Allah yang mengampunkan dosa para hamba-Nya."

Semasa wukuf juga Allah berada paling hampir dengan hamba-Nya dan berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya yang datang dari pelbagai ceruk muka bumi ini.

Ini dijelaskan melalui hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu kepada malaikat dengan firman-Nya; "Hambaku datang dari segenap pelosok yang jauh dalam keadaan tidak terurus dan berdebu-debu tubuh mereka semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika kamu datang dengan dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di laut nescaya Aku hapuskan semuanya. Allah SWT berfirman: "Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yg kamu minta ampun utk mereka". (riwayat al-Bazzar)

Hassan menambah, pada Hari Arafah juga, Allah meluaskan rahmat-Nya dengan membebaskan lebih ramai manusia daripada seksaan api neraka.

Ini berdasarkan hadis daripada Aishah, Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: "Tidak ada hari yang Allah membebaskan hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai selain hari Arafah." Allah SWT hampir dengan hamba-Nya dan berbangga dengan mereka kepada malaikat dengan berfirman: "Apa yang mereka mahu". (riwayat Muslim)



Sunday, October 21, 2012

Kemuliaan hari Arafah



Oleh IBRAHIM ABDULLAH

PADANG Arafah dinamakan demikian kerana menurut sebahagian ulama, Nabi Adam AS dipertemukan kembali ('arafa) dengan Siti Hawa setelah kedua-duanya diturunkan dari Syurga. Sebahagian pendapat menyatakan perpisahan mereka selama lebih kurang 200 tahun. Mereka berdua bertemu kembali di Padang Arafah.

Lokasi Arafah terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 kilometer (km) dan ia dianggap sebagai kawasan Tanah Haram.

Jemaah haji hendaklah wukuf (berada) di Arafah pada 9 Zulhijjah, kerana jika tidak maka hajinya tidak sah. Kerana ia adalah rukun haji.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Haji adalah (wukuf) di Arafah." Ketika berada di Arafah pada 9 Zulhijjah hendaknya jemaah memperbanyak doa, berzikir, membaca al-Quran, talbiah dan lain-lainnya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah."

Ibadah wukuf di Arafah adalah "kemuncak" ibadah haji. Semasa wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Ini saat seseorang hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya. Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayangan syurga akan dapat digapai.

Ada riwayat menyatakan, kehadiran para malaikat dan Allah SWT turun ke langit serendahnya menyaksikan para jemaah yang wukuf di Padang Arafah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi kepada para malaikat-Nya bermaksud: "Lihatlah kepada orang-orang yang menziarahi rumah-Ku, sesungguhnya mereka telah mengunjungi-Ku, hingga kusut masai keadaannya dan penuh debu." (riwayat al-Hakim bersumber daripada Abu Hurairah).

Sungguh mereka berlaku ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji, kerana itu mereka berhak mendapat limpahan kurniaan dan selayaknya Aku memberi mereka sebaik-baik pahala atas jerih payah serta sambutan atas panggilan-Ku.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai ibadah haji mabrur. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke lembah kejahatan dan kemungkaran.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah yang bermaksud : "Kusut masai dan penuh debu." Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan rahmat-Nya, ganjaran besar (syurga) yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia
.
Di Padang Arafah, di mana satu-satunya lokasi yang paling mustajab doa kita. Kerana di situ Allah SWT turun ke langit serendahnya untuk bertemu dan menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa dengan-Nya, mendengar segala doa dan permohonan hamba-Nya dan memakbulkan segala doa-doa mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang berwukuf di Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada mereka: "Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku." (riwayat Imam Ahmad).


ARKIB : 19/10/2012

fsir Surah Yasin - Amaran kepada yang lalai



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

SEPERTI yang diketahui, al-Quran sebagai perlembagaan hidup bagi manusia yang dengannya kita akan mendapat petunjuk daripada Ilahi. Pengalaman dan tajribah kehidupan bagi manusia jelas menunjukkan bahawa ketenangan dan kedamaian hati dalam merentasi kehidupan paling agung dan mulia berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang benar-benar mengamalkan al-Quran dalam kehidupan mereka.

Firman Allah SWT: 


A005
Al-Quran itu diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani. (Yasin: 5)
Ibnu Kathir berkata: "Jalan yang benar ini dengan manhaj dan agama adalah dibawa oleh Rasulullah SAW melalui turunnya daripada Allah yang bersifat rahmat kepada sekalian hamba-Nya yang beriman."

Sayid Qutub berkata: "Dia melakukan terhadap mereka apa yang dikehendaki-Nya bertujuan mengurniakan rahmat kepada mereka. Hikmah diturunkan al-Quran untuk memberi amaran dan menyampaikan dakwah."

Firman Allah SWT: 


A006
Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran sebab itulah mereka lalai. (Yasin: 6)
Ibnu Kathir berkata: "Dikehendaki dengan qaum di sini ialah orang Arab."

Syed Qutub berkata: "Lalai merupakan penyakit yang amat merosakkan hati, kelak ia menjadi cuai menjalankan tugas. Oleh itu, amaran itu amat sesuai untuk menghadapi kelalaian kaum Musyrikin Mekah. Mereka telah berlalu generasi demi generasi tanpa diberi peringatan dan amaran. Mereka adalah zuriat Ismail. Mereka tidak dipimpin oleh mana-mana rasul selepas Nabi Ismail as."

Justeru, amaran dan peringatan boleh menyedarkan orang-orang yang lalai kerana datuk dan nenek mereka tidak pernah didatangi rasul.

Firman Allah SWT: 


A007
Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka kerana mereka tidak mahu beriman. (Yasin: 7)
Al-Qurtubi berkata: "Telah wajiblah balasan azab atas kebanyakan mereka dengan peringatan-Mu sekalipun mereka kebanyakannya tidak beriman. Ini bagi golongan yang telah sabit dalam ilmu Allah bahawa mereka mati dalam kufur."

Sayid Qutub berkata: "Allah SWT telah memutuskan perkara mereka dan ketetapan takdir-Nya telah pun ditetapkan di atas kebanyakan ilmu-Nya yang mengetahui hakikat diri mereka, mengetahui perasaan mereka kerana tidak beriman. Itulah kesudahan terakhir kerana jiwa mereka telah terhijab daripada hidayah dan telah dipalingkan daripada melihat dan menghayati bukti-bukti hidayah. Di sinilah al-Quran menggambarkan keadaan jiwa mereka dalam bentuk fizikal."

Firman Allah SWT: 


A008

A009
Sesungguhnya Kami telah memasang belenggu di leher mereka; lalu tangan mereka (diangkat) ke dagu, maka kerana itu, mereka terdongak. Dan Kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula) dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat. (Yasin: 8-9)

Al-Qurtubi berkata: "Ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal dan dua sahabatnya yang pernah bersumpah jika melihat Muhammad solat, nescaya akan ditusuk atau dilempar kepalanya dengan batu."

Syed Qutub berkata: "Tangan mereka diikat dengan belenggu sehingga ke leher mereka dan diletakkan di bawah dagu mereka menyebabkan kepala mereka terdongak ke atas. Mereka tidak dapat melihat ke hadapan. Oleh yang demikian, mereka tidak mempunyai kebebasan untuk melihat dan memandang. Mereka dihijabkan daripada kebenaran dan hidayat."

Mereka didindingkan di hadapan dan di belakang mereka. Andainya ikatan belenggu itu dilonggarkan dan mereka pun dapat melihat namun penglihatan mereka tidak akan dapat menembusi tembok-tembok dan dinding-dinding itu. Jalan melihat telah ditutup kepada mereka dan mata mereka telah menjadi kabur.

Demikianlah bandingan orang yang selalu menentang al-Quran dengan keingkaran dan kekufuran sedangkan Kalam Suci itu membentangkan hujah dan dalil yang jelas dan begitu berpengaruh, sukar ditandingi oleh sesiapa pun.

Al-Maghari berkata: "Mereka terpenjara dalam kebodohan sehingga tidak dapat melihat bukti-bukti kekuasaan Allah SWT yang ada dalam diri mereka atau yang ada di alam semesta. Mereka tidak mahu berfikir tentang kehancuran orang terdahulu yang mendustakan rasul ataupun berfikir tentang masa hadapan mereka."

Firman Allah SWT: 


A010
Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya, mereka tidak akan beriman. (Yasin: 10)

Ibnu Kathir berkata: "Allah khatamkan orang-orang kafir dengan kesesatan. Justeru, sebarang peringatan tidak memberi faedah kepada mereka dan juga sebarang kesan."

Syed Qutub berkata: "Allah SWT membuat keputusan-Nya terhadap mereka kerana Dia mengetahui hati sesiapa pun yang tidak beriman. Amaran itu tidak berguna kepada hati yang tidak bersedia untuk menerima iman."



ARKIB : 19/10/2012 

Peribadatan Rasulullah


KITA telah mengetahui bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah mengiktikadkan bahawa para nabi dan rasul adalah maksum semenjak mereka belum dilantik menjadi nabi atau rasul lagi. Oleh yang demikian, kita tidak pernah mendengar riwayat yang menyatakan mereka terlibat dalam kancah maksiat dan penyembahan berhala dalam erti kata lain mensyirikkan Allah SWT.

Yang pastinya banyak riwayat menyatakan mereka bermunajat, bertafakur, berzikir dan menunaikan amal ibadat serta menjauhkan diri daripada amalan kaum mereka yang sesat.

Demikianlah kemurnian akidah dan akhlak para nabi dan rasul semenjak Nabi Adam sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan penutup segala nabi dan rasul.

Pertama: Jumhur ulama menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak beribadat dengan mana-mana syariat sebelumnya. Sekiranya berlaku perkara sedemikian, sudah pasti dinaqalkan melalui dalil-dalil dan tidak mampu untuk disembunyikan.

Begitu juga sekiranya ia berlaku, maka berbanggalah pengikut-pengikut syariat tersebut dan mereka menjadikan sebagai hujah terhadap baginda.

Oleh kerana perkara sedemikian tidak berlaku, maka kita dapat mengetahui bahawa baginda tidak beribadat menurut syariat Nabi sebelumnya.

Kedua: Sekumpulan ulama berpendapat perkara sedemikian tertegah daripada berlaku menurut pandangan akal. Bagi mereka hal ini akan menyebabkan Rasulullah tidak dikenali sebagai rasul yang diikuti, sebaliknya baginda akan dikenali sebagai pengikut syariat nabi-nabi sebelumnya.

Ketiga: Segolongan ulama lain mengambil jalan berdiam diri tanpa mengeluarkan pendapat dan meninggalkan suatu penetapan yang pasti kerana di antara dua pendapat itu tidak terdapat satu pun yang boleh diputuskan secara tetap. Pendapat ini, dipilih oleh Imam al Haramain.

Keempat: Berkata segolongan ulama lain pula, bahawa baginda beramal dengan syariat sebelumnya. Kemudian mereka berselisih pendapat mengenai syariat nabi mana yang diikuti oleh Rasulullah. Maka sekumpulan daripada mereka mengambil jalan tidak menetapkan secara terperinci mengenai tatacara peribadatan nabi siapa yang diikuti oleh baginda.

Kelima: Terdapat juga golongan yang menetapkan secara terperinci tatacara peribadatan baginda dan kemudian berselisih pendapat dalam menentukan syariat manakah yang diikuti oleh baginda. Dikatakan, bahawa baginda mengikut syariat Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as, Nabi Isa as dan ada juga dikatakan ikut syariat Nabi Adam as. Ini merupakan sejumlah daripada pendapat mazhab-mazhab mengenai permasalahan ini.

Pendapat yang terpilih adalah pendapat pertama yang dipegang oleh jumhur ulama; yang menegaskan bahawa baginda tidak mengikut mana-mana syariat sebelumnya.

Pendapat yang paling jauh daripada kebenaran ialah mazhab yang menentukan tatacara peribadatan baginda secara terperinci kerana sekiranya benar terjadi sedemikian, nescaya ia telah diriwayatkan dalam khabar yang sahih.

kemantapan ilmu

Setengah golongan yang tidak mempunyai kemantapan ilmu dan tidak meneliti hakikat sebenar Kitab dan sunnah mendakwa: Sesungguhnya Rasulullah SAW beramal dengan syariat Nabi Ibrahim dan baginda tidak memiliki syariatnya yang tersendiri. Tujuan perutusan baginda hanyalah untuk menghidupkan syariat Nabi Ibrahim. (rujuk al-Nahl: 123)

Maka dakwaan mereka adalah salah, malah lebih kepada menyamai perkara khurafat. Rentetan itu, ulama menyatakan pendapat seumpama ini tidak dinyatakan melainkan oleh orang yang senteng akal dan bertabiat bebal.

Maksud sebenar ayat ini ialah baginda mengikut Nabi Ibrahim pada tauhid yang khusus dengan kedudukannya sebagai seorang khalil (teman) Allah. (rujuk al Baqarah: 135)

Baginda juga diperintahkan mengikut Nabi Ibrahim pada penyerahannya yang mutlak kepada Allah tatkala Nabi Ibrahim, di mana ketika baginda hendak dihumban ke dalam api yang dinyalakan oleh Namrud, maka datang Jibril lalu berkata kepadanya: "Adakah engkau memerlukan apa-apa pertolongan daripada saya?"

Jawab Nabi Ibrahim:, "Ada pun berhajat kepada engkau, tidak sama sekali."

Maka dengan itu, Nabi Ibrahim telah sampai kepada kemuncak penyerahan diri yang tidak dapat dicapai mana-mana kalangan manusia sebelum dan selepasnya kecuali nabi Muhammad SAW yang telah sampai ke suatu kedudukan yang amat tinggi dan tidak diketahui ketinggiannya melainkan Pencipta-Nya, Tuhan Yang Menjadikannya, yang mengurniakan nikmat ke atasnya dengan nikmat yang tidak dikurniakan kepada selain baginda.

Oleh yang demikian, ketika manusia datang menemuinya di Padang Mahsyar untuk mendapatkan syafaat teragung bagi memulakan perbicaraan, sambil berkata kepadanya: "Sesungguhnya Allah telah memilih engkau sebagai khalil (teman)."

Jawab Ibrahim: "Sesungguhnya saya hanyalah seorang khalil yang berada di belakang kedudukan al Habib (iaitu Nabi Muhammad SAW).

Nabi Ibrahim memaklumkan kepada mereka walaupun baginda adalah Khalil Allah, tetapi tergolong di kalangan yang memiliki martabat yang agak terkebelakang daripada Nabi Muhammad SAW.



ARKIB : 16/10/2012

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...