بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, November 30, 2011

30 minit Ustaz Don : Fatihatul Kitab






KESALAHAN KETIKA MEMBACA Surah Al-fatihah

1)  Wakaf iaitu berhenti - Tidak betul berhenti, tidak menarik nafas

i) Setiap ayat mestilah berhenti
ii) Tarik nafas baru
iii) Niat untuk sambung

2) SALAH SEBUT HURUF - menukarkan huruf yang asal kepada huruf yang tidak sepatutnya seperti huruf zal  ذ  (mesti lidah dikeluarkan), jika tidak akan jadi huruf zai ز

Jadi kita kena talaqqi dengan guru, kita baca guru semak

3) MEMBACA AYAT SECARA SAMBUNG-SAMBUNG DENGAN SALAH.

Kalau tak ada nafas jangan sambung..

Untuk berubat dengan surah ini perlu betul-betul bacaannya dan perlu bertajwid.. surah ini adalah surah syifa'.. zaman nabi inilah surah yang digunakan untuk berubat..

Bertabarruk dengan peluh dan kulit Nabi SAW

Ahli keluarga seorang ulama di Libya memprotes perbuatan golongan yang menggali semula dan menguburkan semula jenazah saudaranya iaitu seorang ulama terkenal di lokasi yang dirahsiakan kerana kononnya kubur itu sering dijadikan tempat memohon hajat.


SELAMAT menyambut tahun baru Hijrah diucapkan kepada semua pembaca. Semoga dengan mengenang peristiwa besar dalam sirah Nabi akan mendekatkan lagi diri kita kepada baginda.

Mengimbau kembali peristiwa tersebut juga harus membekalkan kita dengan suntikan semangat untuk terus berkorban dan bersusah-payah demi berkhidmat kepada Islam.

Kita juga mengambil saat akhir dan awal tahun ini untuk memohon keampunan atas dosa kita dan memohon amalan setahun yang lalu diterima dan memohon segala rahmat, tawfiq serta inayah bagi tahun yang baru tiba.

Mari kita menyambung perbahasan tentang tabarruk yang melibatkan sanjungan dan layanan istimewa terhadap seseorang tokoh atas dasar agama. Penjelasan dalam isu ini perlu untuk mengelakkan tohmahan bahawa amalan itu melampaui batas, berbentuk sembahan atau pendewaan. Minggu ini kita melihat bagaimana para sahabat mengamalkan bertabarruk dengan peluh dan bersentuhan dengan kulit Nabi SAW.

Daripada Thumamah, daripada Anas r.a meriwayatkan, bahawa Ummu Sulaim pernah membentang sehelai tikar daripada kulit untuk Nabi SAW. Maka baginda tidur (qailulah) di atas tikar itu. Anas r.a berkata: Ketika Nabi SAW tidur, Ummu Sulaim mengambil sebahagian daripada peluh dan rambut Baginda SAW, lalu mengumpulnya di dalam sebuah botol kaca. Kemudian Ummu Sulaim mencampurkannya pula dengan minyak wangi yang lain, sedangkan Nabi SAW masih tidur. Thumamah berkata: Semasa Anas ibn Malik hampir wafat, dia mewasiatkan kepada saya supaya mencampurkan sedikit wangian tersebut dengan hanutnya (wangian untuk orang mati agar tidak cepat rosak). Dia berkata, "Maka wangian itu pun dicampurkan ke dalam hanutnya. (riwayat Bukhari dalam Bab Al-Isti'zan)

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan: Rasulullah SAW pernah datang kepada kami, lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami. Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Bondaku datang membawa sebuah botol kaca lalu meraut peluh Rasulullah SAW masuk ke dalamnya. Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda, "Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau lakukan?" Dia menjawab: "Peluh ini akan kami campurkan dengan minyak wangi kami, dan ia merupakan minyak wangi yang paling harum!"

Daripada riwayat-riwayat di atas dan riwayat-riwayat lain yang seumpamanya, dapat diambil kesimpulan bahawa Nabi SAW mengetahui apa yang dilakukan oleh Ummu Sulaim dan baginda SAW membenarkannya.

Tidak ada pertentangan di antara apa yang dikatakan oleh Ummu Sulaim bahawa ia mengumpulkan peluh Nabi SAW sebagai campuran minyak wanginya dengan katanya bahawa dia mengumpulkannya untuk mengambil berkat.

Bahkan, diandaikan bahawa dia melakukannya untuk kedua-dua tujuan tersebut sekaligus. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 11:2)

Bertabarruk dengan menyentuh kulit nabi

Riwayat daripada Abdur Rahman ibn Abu Laila daripada bapanya, beliau berkata: "Adalah Usaid ibn Hudair r.a merupakan seorang lelaki yang sering ketawa dan tampan. Ketika beliau berada di hadapan Rasulullah SAW, dia terus bercerita dengan suatu kaum dan membuatkan mereka tertawa. Melihat keadaannya, lantas Rasulullah SAW mencucuknya dengan jari lalu mengenai pusatnya. Maka Usaid r.a pun berkata: "Tuan telah menyakitiku." Baginda bersabda: "Balaslah".

Kata Usaid:, "Wahai Rasulullah! Tuan memakai baju, sedangkan aku tidak."

Maka Rasulullah SAW mengangkat bajunya. Tiba-tiba Usaid memeluk badan Baginda SAW dan mencium bahagian bawah perutnya sambil berkata: "Demi Allah Wahai Rasulullah! Inilah yang aku inginkan selama ini."

Al-Hakim menyatakan bahawa hadis tersebut adalah sahih isnadnya tetapi tidak diketengahkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Namun, al-Zahabi menyetujui dan mensahihkan hadis tersebut. (Diriwayatkan juga oleh Ibnu Asakir, Abu Dawud dan Al-Tabrani)

Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Hibban ibn Wasi' daripada beberapa orang sheikh dari kaumnya bahawa Rasulullah SAW meluruskan barisan para sahabatnya pada hari Peperangan Badar. Pada tangan baginda terdapat sebatang kayu yang digunakan untuk meluruskan barisan tentera.

Maka baginda lalu di hadapan Sawad ibn Ghaziyyah, rakan Bani 'Adi ibn Najjar yang ketika itu berada di luar barisan.

Lalu Rasulullah SAW menusuknya dengan kayu tersebut seraya bersabda: "Luruskan barisanmu, wahai Sawad!"

Dia berkata: "Wahai Rasulullah! Engkau telah menyakitiku! Bukankah engkau diutuskan oleh Allah untuk membawa kebenaran dan menegakkan keadilan? Tetapi engkau telah menyakitiku!"

Maka Rasulullah SAW membuka bajunya, lalu bersabda: "Balaslah!" Lalu Sawad memeluk Nabi SAW dan mencium perutnya.

Rasulullah SAW bertanya, "Apakah yang mendorong kamu melakukan begini, wahai Sawad?"

Dia menjawab: "Wahai Rasulullah! Telah tiba apa yang engkau lihat (peperangan). Aku ingin saat-saat terakhir denganmu, kulitku menyentuh kulitmu."

Maka Rasulullah SAW mendoakan kebaikan baginya. (Ibnu Kathir, Bidayah wa Al-Nihayah, 4: 217)

Cerita tentang Zahir r.a

Rasulullah SAW bersabda: "Zahir adalah orang pedalaman yang kita sukai dan kita adalah orang kota yang dia sukai."

Zahir adalah orang yang dikasihi oleh Rasulullah SAW. Pada suatu hari, Rasulullah SAW berjalan ke pasar. Baginda menemui Zahir sedang berdiri. Nabi SAW pun datang dari belakangnya dan memeluknya sambil tangannya berada di dada Zahir. Zahir merasa bahawa yang memeluknya adalah Nabi Muhammad SAW.

Dia berkata: "Lalu aku menggesel-gesel belakangku pada dada Nabi SAW, kerana mengharapkan keberkatannya."

Dalam riwayat Imam Tirmizi, dalam al-Syama'il, disebutkan: "Nabi SAW memeluk Zahir dari belakangnya dan Zahir tidak dapat melihat orang yang memeluknya. Zahir berkata: "Lepaskanlah aku. Siapakah ini?" Maka Zahir pun menoleh, barulah dia tahu bahawa yang memeluknya adalah Nabi Muhammad SAW.

Setelah mengetahuinya, dia tidak mempedulikan apa yang terjadi dengan belakangnya yang dilekatkan ke dada Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW bersabda: "Siapakah yang akan membeli hamba sahaya ini?" Zahir berkata: "Wahai Rasulullah! Kalau begitu, engkau mendapati aku ini tidak laris." Nabi Muhammad SAW bersabda: "Di sisi Allah, hargamu terlalu mahal.".

Begitulah sekelumit gambaran kehidupan para Sahabat dengan kekasih mereka Rasulullah SAW. Selain mengambil hukum tentang soal tabarruk, gambaran ini juga menunjukkan betapa akrab dan mesranya Nabi SAW dengan para sahabat.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Nabi Musa berhadapan Firaun

Di sungai Nil inilah Nabi Musa dihanyutkan oleh ibunya selepas dilahirkan bagi mengelak daripada dibunuh oleh Firaun. - Gambar hiasan

Disediakan oleh BAHAGIAN ANALISA dan PENYELIDIKAN, YAYASAN DAKWAH ISLAM MALAYSIA


Ketika Bani Israel di Mesir ditindas oleh Firaun, Allah SWT mengutus Nabi Musa a.s untuk membebaskan mereka. Nabi Musa a.s adalah adik kandung Nabi Harun.

Di Mesir, keturunan Nabi Yaakub beranak-pinak selama lebih 400 tahun. Jumlah mereka mencapai ratusan ribu orang. Pada awalnya, mereka diterima oleh raja daripada Kerajaan Hykos.

Namun setelah kerajaan itu berakhir, pemerintahan dikuasai oleh Firaun. Bani Israel diperlakukan sewenang-wenangnya oleh Firaun.

Menurut sejarah, ketika Nabi Musa dilahirkan, Firaun yang memerintah Mesir ialah Ramses II yang menganggap dirinya Tuhan. Nabi Musa diutus oleh Allah bagi mengingatkan Firaun dan membebaskan Bani Israel.

Bersama-sama Nabi Harun, Musa berdakwah kepada Firaun. Namun dakwah mereka ditolak. Nabi Musa dikejar untuk dibunuh tetapi Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya serta membinasakan Firaun.

Berabad-abad lamanya Mesir diperintah oleh raja Firaun. Pemerintahan mereka dijalankan secara turun-temurun. Setiap raja yang memerintah kejam dan menindas rakyatnya, termasuk Bani Israel.

Pada suatu hari, seorang ahli nujum istana menghadap Firaun. Dia meramalkan mimpi Firaun iaitu seorang bayi lelaki daripada Bani Israel akan lahir dan apabila dewasa akan membinasakan kekuasaan Firaun.

Mendengarkan hal itu, Firaun memerintahkan semua bayi lelaki Bani Israel di Mesir dibunuh.

Anak angkat Firaun

Selepas Firaun mengeluarkan perintah itu, seorang wanita bernama Yukabad melahirkan bayi lelaki.

Kerana tidak mahu dibunuh, bayi tersebut dihanyutkan di Sungai Nil. Bayi itu lalu ditemui oleh isteri Firaun. Semasa diberitahu tentang bayi tersebut, Firaun segera memerintahkan supaya dia dibunuh.

Namun, permaisurinya melarang kerana sayang akan bayi itu dan belum dikurniai anak. Akhirnya bayi itu dijadikan anak angkat. Firaun menamakannya Musa.

Bayi Musa sering menangis kerana memerlukan susu. Maka, Firaun mencari wanita yang bersedia mengasuh dan menyusui anak angkatnya itu. Namun, Musa menolak semua wanita yang mencuba menyusuinya, kecuali ibu kandungnya sendiri. (al-Qasas: 7-13).

Membela Bani Israel

Nabi Musa dibesarkan dalam lingkungan kerajaan Firaun. Apabila dewasa, baginda sering berjalan-jalan mengelilingi kota. Pada suatu hari, Nabi Musa berjumpa dua lelaki yang sedang berkelahi.

Salah seorang daripadanya Bani Israel dan seorang lagi berdarah Mesir, keturunan Firaun. Orang Israel itu meminta pertolongan Nabi Musa.

Nabi Musa yang berniat membela kaumnya menumbuk orang berketurunan Firaun tersebut hingga mati.Setelah itu Nabi Musa menyesal dan memohon keampunan Allah atas kesalahannya (al-Qasas: 14-19).

Pelarian ke Madyan

Berita pembunuhan oleh Nabi Musa ke atas rakyat Mesir sampai ke telinga Firaun. Firaun segera menyiapkan bala tenteranya untuk menangkap dan membunuh Nabi Musa.

Oleh sebab berasa terancam, Musa segera meninggalkan negeri itu (rujuk al-Qasas: 20-22). Selama lapan hari lapan malam, Musa berjalan hingga tiba di Madyan iaitu selatan Palestin.

Nabi Syuaib a.s

Nabi Musa selamat tiba di Madyan. Di sana, baginda membantu dua wanita memberi minum ternakan mereka. Kedua-dua wanita itu adalah puteri Nabi Syuaib.

Mereka menceritakan kepada Nabi Syuaib bahawa Musa telah membantu mereka. Mendengar cerita itu, Syuaib ingin membalas budi Musa.

Salah seorang puterinya diutus menjemput Nabi Musa. Nabi Syuaib menyambut Musa dengan gembira dan berterima kasih atas kebaikan serta pertolongan Musa (al-qasas: 23-26).

Nabi Musa gembira tinggal di rumah Nabi Syuaib. Pada suatu hari, Nabi Syuaib menyampaikan hasrat menikahkan Musa dengan puterinya, Safura. Musa terkejut dan gembira mendengar permintaan Nabi Syuaib.
Musa memenuhi permintaan itu dan mematuhi syarat mertuanya. Dalam al-Quran, syarat itu menghendaki Musa bekerja membantu Nabi Syuaib selama 8-10 tahun. (al-Qasas: 27-28).

Dakwah kepada Firaun

Setelah menerima wahyu Allah SWT, Nabi Musa dan Harun menemui Firaun. Firaun terkejut melihat kedatangan mereka. Nabi Musa mula mengingatkan bahawa Firaun bukan Tuhan dan memintanya membebaskan Bani Israel.

Mendengar ucapan itu, Firaun murka dan mahu memenjarakannya. Kemudian, Nabi Musa menunjukkan kebenaran dakwahnya dengan memperlihatkan mukjizat yang diberi oleh Allah agar Firaun mempercayai kenabiannya.

Untuk menyangkal mukjizat Nabi Musa, Firaun mengundang ahli sihir kerajaan. Namun, mereka gagal mengalahkan Musa bahkan sebahagian mereka mengikuti Nabi Musa.

Dakwah Nabi Musa tidak menyedarkan Firaun. Disebabkan hinaan dan ejekan Firaun semakin menjadi-jadi, Nabi Musa berdoa agar Allah menurunkan bencana di Mesir.

Kemarau melanda Sungai Nil dan hasil pertanian tidak dapat dipungut. Allah juga menurunkan rebut taufan dan hujan lebat. Setelah banjir, pelbagai penyakit menyerang. Binatang ternakan binasa.

Semasa ditimpa azab, orang Mesir berjanji akan beriman jika bebas daripada bencana. Firaun sendiri tidak dapat berbuat apa-apa.

Namun, setelah bencana itu berakhir, Firaun kembali menunjukkan keangkuhannya (al-A'raaf: 130-135). Bahkan, Firaun ingin membunuh Nabi Musa dan Bani Israel.

Api daripada Allah SWT

Nabi Musa bekerja untuk Nabi Syuaib selama 10 tahun. Setelah genap tempoh tersebut, Nabi Musa ingin bertemu keluarganya di Mesir. Nabi Musa dan isterinya berjalan merentasi padang pasir. Akhirnya, mereka tiba di Gunung Tursina.

Apabila malam, mereka bimbang untuk meneruskan perjalanan kerana gelap. Tiba-tiba, Nabi Musa terlihat api di suatu tempat yang jauh.

Baginda meminta isterinya tinggal sebentar sementara baginda pergi mengambil api itu. Nabi Musa berjalan ke tempat api dan sampai dekat sebatang pokok. Ternyata api tersebut berasal daripada Allah.

Taurat

Setelah Firaun dan tenteranya tenggelam, Nabi Musa pergi ke Gunung Tursina. Baginda meninggalkan kaumnya dan urusan memimpin mereka diserahkan kepada Harun.

Di sana, Nabi Musa berpuasa selama 30 hari. Puasanya kemudian disempurnakan menjadi 40 hari. Dalam keadaan suci itu, Nabi Musa mendengar firman Allah SWT secara langsung.

Baginda kemudian dikurnia kitab Taurat, yang mengandungi pelbagai nasihat dan penjelasan hukum sebagai pedoman hidup bagi umatnya (al-A'raaf: 142-145).

Nabi Khidir a.s

Nabi Musa diperintahkan Allah mencari orang yang lebih pintar daripadanya. Bersama-sama muridnya, Yusya bin Nun, Nabi Musa pergi dan bertemu Nabi Khidir.

Nabi Musa meminta untuk belajar daripadanya dan mengembara bersama-samanya. Namun, sebelum memulakan perjalanan, Nabi Khidir melarang Nabi Musa bertanya tentang setiap perbuatannya. Syarat itu dipersetujui oleh Nabi Musa.

Di tengah-tengah perjalanan, Nabi Khidir membocorkan perahu, membunuh seorang pemuda dan membaiki rumah yang hampir roboh.

Setiap perbuatan Nabi Khidir memancing rasa ingin tahu Nabi Musa, lalu baginda pun melanggar janjinya.

Di akhir perjalanan mereka, barulah Nabi Khidir menjelaskan tujuan setiap perbuatannya (al-Kahfi: 60-82).

UTUSAN ARKIB : 29/11/2011

Jasa Salman Al-Farisi mempertahankan Madinah

Masjid Nabawi kini dikelilingi pembangunan yang pesat di Madinah.


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

APABILA diberitahu akan kemaraan seramai 10,000 hingga 11,000 anggota tentera musuh untuk menyerang Kota Madinah dan seterusnya menghancurkan umat Islam Rasulullah sangat terkejut.

Sudahlah jumlah anggota tentera musuh itu sangat besar dan masa pula sangat suntuk untuk baginda membuat persediaan dan menyusun kekuatan ketenteraan Islam.

Namun yang lebih penting sekarang, baginda perlu segera mengadakan satu perbincangan dengan para sahabat bagi mengatur strategi menghadapi kemaraan tentera musuh itu.

Mungkin lebih mudah jika baginda menyerah diri atau menawarkan perdamaian kerana mustahil menentang musuh yang sebegitu ramai.

Ditambah pula dengan khabar angin bahawa tentera musuh bukan sahaja didalangi oleh puak-puak Yahudi yang turut disertai kafir Quraisy di Mekah dan lain-lain puak Arab yang memusuhi Islam tetapi disertai tentera dari dua kuasa besar, iaitu Rom dan Parsi.

Namun, tentulah menyerah diri itu tidak pernah ada dalam kamus perjuangan Rasulullah dan para pengikut baginda.

Mengembara

Lalu mereka berbincang dari segala aspek bagi mencari jalan yang terbaik untuk mematahkan serangan musuh itu.

Ini terutamanya sama ada hendak bertahan di luar atau di dalam kota Madinah. Akhirnya mereka mencapai persetujuan untuk bertahan di dalam kota Madinah.

Mereka bersetuju untuk bertahan di dalam kota sahaja kerana terdapat satu strategi yang sangat baik bagi membolehkan kota Madinah tidak dapat dicerobohi musuh-musuh yang semakin mara itu.

Ini apabila secara tiba-tiba seorang sahabat yang diketahui umum, Salman Al Farisi, bangun dalam perbincangan itu mengemukakan cadangan bagaimana segenap penjuru kota Madinah dapat dipertahankan daripada diceroboh oleh pihak musuh.

Namun sebelum itu marilah kita mengenali serba sedikit mengenai sahabat Rasulullah ini yang pernah mendapat pujian baginda: "Apabila iman itu tergantung di bintang Suraya, nescaya ia akan dicapai oleh lelaki berbangsa Parsi".

Lelaki berbangsa Parsi yang dimaksudkan itu tentulah Salman Al Farisi yang berasal dari Parsi.

Beliau merupakan salah seorang sahabat besar yang tentulah juga sangat disayangi oleh Rasulullah.

Ini disebabkan sifat keberanian, keikhlasan serta sifat zuhud Salman yang bersesuaian dengan dirinya yang merupakan seorang mukmin yang kuat beribadat.

Salman Al-Farisi dilahirkan dengan nama Parsi, iaitu Rouzbeh di Bandar Kazerun di Wilayah Fars atau Isfahan, Iran. Asalnya adalah seorang yang beragama penyembah api atau Majusi yang kemudian memeluk agama Nasrani.

Beliau kemudiannya mengembara seorang diri ke negeri Syam dan kemudiannya ke Yathrib atau Madinah untuk mencari kebenaran.

Ketika mula-mula memeluk Islam, Salman menjadi seorang hamba. Kemudian Rasulullah telah menganjurkan kepada para sahabat agar membebaskan atau memerdekakan Salman.

Beliau terkenal kerana sifat takwa dan zuhudnya yang dikatakan kesan tinggal serumah dengan Abu Darda' yang terkenal sebagai seorang ahli sufi.

Salman Al-Farisi juga terkenal sebagai sahabat yang banyak meriwayatkan hadis-hadis dari Rasulullah kerana beliau adalah seorang sahabat yang banyak bergaul dan berjumpa dengan baginda.

Beliau telah hidup di zaman Rasulullah sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan khalifah Islam yang ketiga iaitu Saidina Uthman bin Affan apabila beliau meninggal dunia dalam usia 78 tahun.

Beliau terkenal dengan kata-kata yang sering diungkapkan iaitu: "Saya Salman, anak lelaki kepada Islam dari keturunan anak-anak Adam."

Salman juga harus dikenang dalam sejarah sebagai orang pertama yang menterjemahkan al-Quran ke bahasa asing, iaitu bahasa Parsi.

Makamnya dikatakan terletak di Kota Madain (Iraq) dengan namanya diabadikan sebagai nama sebuah bandar yang berdekatan dengan makamnya itu, iaitu Salman Pak.

Dikatakan juga Salman sebenarnya dikebumikan di Lod atau Lydda yang terletak di Palestin yang kini merupakan sebuah penempatan haram Yahudi yang dikenali sebagai Ramat Eshkol.

Salman berkata: "Wahai Rasulullah, kami orang Parsi pernah diserang angkatan perang musuh yang besar dan ramai jumlahnya.

"Lalu kami membina atau menggali parit yang besar lagi dalam bagi menghalang serangan dari musuh itu. Hasilnya, kami beroleh kemenangan".

Menurut Salman lagi, dengan adanya parit itu tentera musuh terutamanya pasukan berkuda tidak akan dapat menyeberang walaupun kuda-kuda tersebut cuba untuk melompat tinggi melepasi parit tersebut.

"Bagi tentera berjalan kaki yang cuba juga untuk menyeberang parit tersebut, akan kita serang mereka dengan panah dan dilontar lembing dan tombak," kata Salman.

Sebenarnya strategi menggali parit besar itu tidak bermaksud seluruh keliling Kota Madinah akan digali.

Kawasan yang hendak digali hanya meliputi dari sebelah barat, utara dan timur Kota Madinah sahaja.

Ini kerana kawasan-kawasan tersebut begitu terbuka dan mudah untuk diserang musuh.

Sementara di bahagian selatan dikira masih selamat kerana dikatakan terdapat rumah-rumah kediaman penduduk yang padat tetapi dalam kawasan ladang-ladang kurma yang menyukarkan pihak musuh untuk menyerang.

Namun kerja-kerja menggali parit juga akan melibatkan tanah-tanah dan rumah-rumah milik penduduk Madinah.

Lalu Rasulullah meminta mereka agar segera berpindah ke tempat yang lebih selamat di dalam kota tersebut.

Bagi kalangan umat Islam mereka segera mematuhi saranan baginda itu tetapi tidak bagi sesetengah golongan yang munafik dan musuh dalam selimut.

Mereka membantah dan enggan berpindah.

"Rumah dan tanah ini adalah kepunyaan dan hak milik kami, bukannya Muhammad.

"Muhammad tidak berhak dan tidak boleh memaksa kami untuk berpindah. Kami juga tidak benarkan parit digali melalui tanah kami," kata Jarir, sahabat baik 'bapa munafik', Abdullah bin Ubai.

Malah mereka juga mengugut agar baginda membayar ganti rugi jika tanah mereka digali.

Tetapi apabila sudah diberi amaran keras oleh Umar Al Khattab dengan mengingatkan akan Perjanjian Madinah akhirnya golongan ini terpaksa akur.

Muslihat Abdullah Ubai

Namun dalam diam-diam Abdullah bin Ubai tetap dengan peranannya sebagai penentang dan cuba mempengaruhi yang buruk-buruk mengenai Islam kepada orang lain.

Dia mendakwa bahawa struktur bumi atau tanah Madinah keras dan berbatu-batu dan tidak mungkin parit dengan ukuran sembilan hasta lebar dan 10 hasta dalam yang bermula dari Harrah Waqim hingga ke Harrah Al Wabarah itu dapat digali.

"Kita memerlukan masa berbulan-bulan lamanya bagi menggali parit itu. Sedangkan tentera musuh akan sampai bila-bila masa sahaja lagi mulai dari sekarang.

"Maka sekalipun cadangan dan strategi menggali parit ini adalah bagus tetapi semua ini bakal sia-sia sahaja, kita pasti akan kalah dan hancur juga nanti," kata Abdullah bin Ubai.

Walaupun kata-kata Abdullah itu ada kebenarannya ditambah lagi peralatan untuk menggali adalah tidak mencukupi, namun Rasulullah dan para sahabat tetap meneruskan usaha menggali parit sebagaimana yang disarankan oleh Salman Al Farisi.

Salman sendiri bagaikan sudah tidak sabar lagi untuk menggali.

Malah tahukah anda, pemuda ini akhirnya dikatakan jatuh pengsan akibat terlalu penat menggali parit tidak berhenti-henti!

Namun selepas disiramkan dengan setimba air dan berkat doa dari Rasulullah, Salman bingkas bangun dari pengsannya itu dan terus menyambung menggali parit tersebut.

Kali ini beliau seorang diri sahaja dapat menggali parit sepanjang 40 hasta panjang berbanding empat hasta sahaja oleh orang lain!

Monday, November 28, 2011

Infaq harta pelaburan beri keuntungan dunia, akhirat

Oleh Shuhairimi Abdullah

2011/11/28

MENGINFAQKAN sebahagian harta pada jalan Allah SWT sangat dituntut dan penekanan ini berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Menginfaqkan sebahagian harta kepada golongan tertentu supaya pengagihan kitaran kekayaan dapat dilakukan secara adil dan saksama dalam masyarakat. 

Tuntutan itu disyariatkan bertujuan mengelak berlakunya monopoli dan penimbunan harta dalam kelompok individu tertentu. Pada masa sama, amalan itu dapat membersihkan jiwa manusia daripada sifat keji seperti bakhil, individualistik dan tamak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bukanlah satu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah beriman seseorang kepada Allah dan hari akhirat, segala malaikat, Kitab dan sekalian Nabi; mendermakan harta dicintainya kepada kerabatnya, anak yatim, orang miskin, orang musafir, orang meminta-minta, orang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, kesakitan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 177)
Ibn Kathir berpendapat setiap individu Muslim dituntut melakukan sedekah kepada golongan memerlukan, mengeluarkan zakat dan menginfaqkan sebahagian daripada harta mereka ke jalan Allah SWT. 

Beliau memetik hadis yang bermaksud: “Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sedekah yang paling utama ialah anda bersedekah ketika anda sihat, rasa kedekut, masih mengharap untuk menjadi kaya dan takut miskin.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Katanya, orang yang menginfaqkan harta mereka memiliki keimanan dan ketakwaan tinggi kepada Allah kerana menyempurnakan tuntutan fitrah yang merangkumi hati, perasaan, pemikiran serta amal perbuatan dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan. 

Wahbah al-Zuhayli pula berpandangan maksud mendermakan harta yang dicintai merujuk kepada sedekah yang dikategorikan wajib iaitu zakat dan terangkum juga bagi maksud sedekah sunat untuk menggalakkan aktiviti sedekah serta menjanjikan ganjaran kepada pelakunya. 
Allah SWT turut menegaskan bahawa menafkahkan atau menginfaqkan harta pada jalan-Nya seperti mewujudkan jaringan interaksi dengan Allah dan sebagai ganjaran, manusia yang melakukan tuntutan itu dinilai sebagai individu berjaya di sisi Allah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah, dan mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah Al-Rum, ayat 38) 

Abd Allah ibn Abi Talhah mendengar Anas bin Malik bercerita: “Seorang lelaki Ansar yang terkaya dalam kalangan kaumnya di Madinah bernama Abu Talhah, ketika mendengar turunnya ayat ini beliau datang menemui Nabi Muhammad SAW dan berkata: Ya Rasulullah, di antara harta kekayaanku yang paling aku sayangi ialah Bairuha iaitu sebuah ladang yang terletak berhadapan dengan masjid. Rasulullah sering memasuki kawasan itu dan minum air yang segar dari tempat itu. Oleh yang demikian, aku berhasrat untuk menafkahkannya pada jalan Allah bersesuaian dengan firman-Nya, maka terimalah wahai Rasulullah sedekahku ini dan letakkannya seperti mana Allah perintahkan kepadamu. 

Lantaran, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bagus-bagus, itulah harta yang menguntungkan. Aku mendengar kata-katamu dan aku berpendapat hendaklah engkau berikan kepada kaum keluarga kamu. Maka beliau melakukan sedekah itu seperti yang diperintahkan oleh Nabi.” 

Berdasarkan dalil al-Quran dan al-Sunnah, jelaslah syarak menuntut kita melakukan aktiviti infaq untuk dikongsikan lebihan harta kepada masyarakat. Sebagai Muslim, menjadi kewajipan melakukan infaq sama ada berbentuk wajib iaitu zakat dan yang sunat seperti bersedekah. 

Menginfaqkan harta pada jalan Allah, secara tidak langsung kita melakukan satu pelaburan paling menguntungkan bukan saja di dunia, lebih penting di akhirat kelak. Tuntutan supaya Muslim melakukan infaq membuktikan Islam mengutamakan kepentingan umum berbanding keperluan peribadi. 


Sunday, November 27, 2011

Hijrah kepada Islam

Oleh Hafizahril Hamid
AWAL Muharam atau Maal Hijrah merupakan hari bermakna bagi umat Islam kerana ia bersempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Peristiwa bersejarah itu dijadikan hari pertama dan tahun baru bagi umat Islam. Hijrah Rasulullah SAW memberi kesan besar kepada umat Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, penyatuan dan ukhwah serta syiar Islam itu sendiri.

Oleh itu bersesuaian dengan tarikh hari ini yang jatuh pada Tahun Baru 1433 Hijrah, kita perlu memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana kita masih dilanjutkan usia untuk melayari tahun baru.

Tahun baru Hijrah yang begitu bermakna ini hendaklah dipergunakan untuk menjalani kehidupan dengan lebih bermakna selain memanjatkan rasa syukur kerana masih diberi ruang dan peluang.

Signifikan

Sesungguhnya peristiwa Hijrah memberi signifikan yang sangat besar kepada umat Islam. Melaluinya, ia telah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada bebas, daripada kekufuran kepada terangnya iman dan insan yang lemah bertukar menjadi kuat.

Ramai manusia yang sebelum ini hanyut kemudiannya mendapat petunjuk dan hidayah menukar agama asal dan memeluk Islam. Ini adalah juga Hijrah.

Begitu juga apabila ia melibatkan tokoh masyarakat, selebriti seperti pelakon dan penyanyi malah pemain bola sepak terkenal.

Malah ada sesetengahnya sengaja disenyapkan berita pengislaman mereka kerana mungkin takut ia boleh membayangi segala keburukan yang selama ini disebarkan oleh Barat.

Berikut disenaraikan beberapa orang terkenal dalam bidang mereka yang akhirnya berhijrah, memeluk Islam bukan kerana ikutan jauh sekali kerana paksaan, tetapi setelah mendapat rujukan dan penjelasan yang jelas tentang kebenaran agama suci ini.

Penyanyi rap

Hakikatnya ramai di antara mereka terutama penyanyi rap dai Amerika Syarikat (AS), terdiri dari penganut Islam. Ada di antara mereka sebenarnya penganut sejak lahir dan ramai juga yang memeluk Islam setelah diberi hidayah.

Namun kebanyakan mereka mula memeluk Islam untuk menyatakan sokongan terhadap pertubuhan Nation of Islam yang banyak berjuang untuk golongan kulit hitam tetapi malangnya agak menyeleweng dari ajaran sebenar.

Namun kini kebanyakan mereka sudah beralih menjadi penganut Islam ahli sunni walaupun mengakui masih belum mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

Di antara mereka adalah Lupe Fiasco atau nama Islamnya Wasalu Muhammad Jaco, Q-Tip atau Kamaal Ibn John Fareed selain Mos Def, Busta Rhymes, anggota kumpulan Wu Tang Clan, Ghosta Killah, Ice Cube, Rhymefes, Beanie Sigel dan Freeway yang nama Islam mereka tidak dinyatakan.

Juga dinyatakan adalah seorang rapper kulit putih yang menganut Islam sejak tahun 1990-an lagi iaitu Everlast. Kesemua mereka ini masih mengekalkan karier menyanyi dan berlakon tetapi pada masa yang sama sudah berubah jauh lebih baik berbanding kehidupan lampau, semuanya berikutan menganut Islam.

Malah mereka turut memasukkan lirik-lirik lagu yang memuji kebesaran tuhan di dalam album mereka selain mengkritik keras tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.

Namun terdapat mereka yang terus meninggalkan bidang hiburan seperti yang berlaku kepada Loon, Napolean dan juga Yusuf Islam.

Friday, November 25, 2011

Nilai semula amalan di ambang tahun baru Hijrah

Oleh Hasliza Hassan

2011/11/25

Tekad perubahan mesti diiringi niat, sasaran untuk mencapai sesuatu matlamat


KISAH peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah masih tetap relevan kepada umat Islam hari ini, bukan saja dari sudut perpindahan secara fizikal, tetapi juga penghijrahan yang meliputi semua aspek kehidupan. 

Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abd Razak Wan Ahmad, berkata perkataan hijrah sudah sinonim dengan bangsa Melayu yang turut dikenali sebagai bangsa yang berhijrah.

Katanya, sejarah menunjukkan bangsa Melayu (bukan di Malaysia saja) melalui fasa penghijrahan kerana mereka pernah menganut agama Hindu sebelum berhijrah kepada agama Buddha, kemudian memeluk agama Islam dan berkembang hingga kini.
Sekarang katanya, sudah mula pula titik ‘penghijrahan’ daripada agama Islam kepada Hindu dan Kristian menjadikan hijrah tajuk yang terus relevan kepada bangsa Melayu serta umat Islam untuk bersama difikirkan. 

“Sebagai bangsa hijrah sudah tentu penghijrahan relevan dengan umat Islam terutama dalam merencana kehidupan mereka kerana tuntutan serta cabaran hari ini menjadikan usaha hijrah itu wajar diberi tumpuan. 

“Khususnya untuk mempertahankan akidah umat Islam yang semakin terancam sekarang ini oleh pelbagai unsur memerlukan kita membina benteng yang kukuh. Oleh itu penghijrahan kepada keadaan lebih baik perlu diutamakan,” katanya. 

Beliau yang menyampaikan ceramah sempena Maal Hijrah kepada jemaah Surau The New Straits Times Press (NSTP), menggariskan lima perkara iaitu amalan, nama, pakaian, budaya dan etika kerja sebagai permulaan ke arah hijrah yang lebih besar. 
Dari aspek amalan, ia membabitkan gaya hidup masyarakat Islam yang dipengaruhi amalan bangsa lain seperti berinai dan bersanding yang bukan nilai Islam. Walaupun sudah diterima, perlu ditinggalkan demi mempertahankan akidah umat Islam. 

Abdul Razak berkata, mahu tidak mahu, perubahan atau penghijrahan daripada amalan yang sudah sebati dengan gaya hidup umat Islam itu perlu dilakukan dan usaha berkenaan mampu dilaksanakan secara perlahan-lahan. 

Begitu juga dengan pemilihan nama, hendaklah yang mempunyai makna baik kerana kecenderungan umat Islam hari ini memberi nama menyerupai bukan Islam atau nama ala-ala ‘moden’ hingga ada membawa maksud tidak baik. 

“Jika nyata nama itu membawa maksud tidak baik, eloklah ditukar dan bagi ibu bapa yang ingin mencari nama untuk anak, pastikan nama itu membawa maksud yang baik. Jangan kerana ghairah nak nama moden, tetapi diberi nama berbaur syirik.

“Pakaian umat Islam hari ini juga tidak melambangkan ciri-ciri Islam. Ada wanita Islam keluar bersarapan memakai baju bertali halus dan berseluar pendek. Ini menimbulkan persepsi negatif terhadap agama Islam. 

“Semua ini mungkin nampak remeh bagi sesetengah pihak, tetapi inilah hijrah yang perlu dilakukan masyarakat untuk mempertahankan akidah dan membuat perubahan kepada hidup berpandukan ajaran Islam,” katanya. 

Beliau turut menegaskan peranan ibu bapa supaya mengamalkan budaya hidup berlandaskan agama supaya anak dapat melihat contoh yang baik dan kemudian diterapkan dalam kehidupan harian mereka. 

Katanya, sikap anak tidak menghormati ibu bapa atau menjalani kehidupan mengikut acuan budaya serta jati diri Islam disebabkan kelemahan ibu bapa sendiri memenuhi tanggungjawab mendidik dan membimbing anak mereka. 

Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan jika ada anak remaja yang tidak kenal serai, anak perempuan tidak tahu menggoreng telur, tidak solat atau menutup aurat. Malah, siapa perlu dipersalahkan jika ada lelaki dalam bilik anak perempuan mereka? 

Menyentuh aspek etika kerja pula, Abdul Razak membangkitkan sikap golongan pelajar yang lebih cenderung bersuka ria berbanding memberi tumpuan kepada pelajaran menyebabkan lahirnya siswazah tidak berkualiti yang gagal bersaing di pasaran kerja. 

Justeru, katanya, tahun baru dalam kalendar hijrah sepatutnya membawa maksud pembaharuan dari segi tekad mencapai kehidupan lebih baik melalui niat serta keazaman kerana tidak dinafikan niat penentu kejayaan kepada perubahan ingin dilaksanakan. 

“Jika tahun baru dikaitkan dengan azam, hijrah pula sering dikaitkan dengan amalan muhasabah. Menilai semula apa yang kita lakukan memang dituntut syarak supaya kesilapan tidak berulang dan perbuatan baik terus dipertingkatkan. 

“Tetapi muhasabah bukan setakat amalan kerohanian saja, termasuk keperluan dari segi ekonomi keluarga serta pendidikan anak. Maksudnya, dengan kos sara diri semakin tinggi, bagaimana ibu bapa hendak menyara keluarga serta memastikan anak mendapat pendidikan sempurna. 

“Ini semua sepatutnya termasuk dalam perkara yang hendak diberi penilaian. Sebab itu maksud hijrah luas dan bagi setiap kita hijrahnya mungkin berbeza, tetapi matlamat adalah sama, mencari kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya. 

Memetik sabda Rasulullah SAW sebagai renungan yang bermaksud: “Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata-mata taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 


Hikmah di sebalik perbezaan kalendar Hijrah, Masihi

2011/11/25

DARIPADA Aisyah, katanya: “Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi Nabi SAW pada hari itu, namun amat perlu sekali bagi Baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi Baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika Baginda datang ke rumah kami waktu Zuhur, lalu kedatangan Baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar. 

Berkata Abu Bakar: Nabi SAW tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting. Ketika Nabi SAW masuk ke tempat Abu Bakar, Baginda bersabda kepadanya: Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar. Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, Aisyah dan Asma’. Sabda Nabi SAW: Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)? Berkata Abu Bakar: Anda perlu teman, ya Rasulullah! Sabda Baginda: Ya, kawan. Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja ku sediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda. Sabda Nabi: Ku ambil seekor dengan harganya.” (Hadis riwayat Bukhari)


Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab ketika beliau memegang jawatan khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah.

Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada mencadangkan tarikh kelahiran Rasulullah SAW, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada mencadangkan tahun kewafatan Baginda. 

Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui Saidina Umar memandangkan hijrah adalah peristiwa terpenting antara peristiwa lain, seperti mana katanya: “Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah SAW kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batal.” 

Pendapat itu disokong oleh Saidina Ali. Sebenarnya, wujud jalinan antara perkiraan tahun masihi dan hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut peredaran matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). 

Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-Syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai. 

Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. 

Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk, tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas. 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 


Allah SWT Sangat Menyayangi Hamba-Nya


Bismillahirrahmanirrahim

Artikel ini disalin daripada dakwatuna.com yang bertajuk : Allah SWT Sangat Menyayangi Hamba-Nya Melebihi Kasih Sayang Ibu Terhadap Anaknya

ـ   عن عمر بن الخطاب ـ رضي الله عنه ـ قال : قدم على النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ سبى ، فإذا امرأة من السبي قد تحلب ثديها تسعى : إذا وجدت صبياً في السبي ـ أخذته فألصقته ببطنها ، وأرضعته ، فقال لنا النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ ” أترون هذه طارحة ولدها في النار ؟ قلنا : لا ،وهي تقدر على ألا تطرحه . فقال : لله أرحم بعباده من هذه بولدها ” . رواه البخاري ومسلم


“Daripada Umar bin Al-Khaththab RA berkata: Didatangkanlah para tawanan perang kepada Rasulullah SAW. Maka di antara tawanan itu terdapat seorang wanita yang susunya siap mengucur berjalan tergesa-gesa – sehingga ia menemukan seorang anak kecil dalam kelompok tawanan itu – ia segera menggendong, dan menyusuinya. Lalu Nabi Muhammad  SAW bersabda: Akankah kalian melihat ibu ini melemparkan anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak, dan ia mampu untuk tidak melemparkannya. Lalu Nabi bersabda: Sesungguhnya Allah lebih sayang kepada hamba-Nya, melebihi sayangnya ibu ini kepada anaknya” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

Penjelasan:

قدم Qaf dibaca dhammah, berbentuk Mabni Majhul (didatangkan)

سبى Tawanan dari Hawazin

تحلب  Ha’ dibaca fathah dan lam diberi tasydid. ثديها Berbentuk mufrad (kata tunggal) dibaca rafa’ sebagai fa’il; telah mengalir air susu darinya. Al Hafizh Ibnu Hajar berkata –dalam Fathul Bari- siap mengeluarkan susu.

تسعى  A’in dibaca fathah, dari kata sa’i (berjalan cepat) mencari anaknya yang hilang.

إذا وجدت صبياً في السبي ـ أخذته فألصقته ببطنها ، وأرضعته  Ia dapatkan seorang anak kecil dalam kelompok tawanan itu, ia mengambilnya lalu memeluknya dan menyusuinya. Al Hafizh Ibnu Hajar mengatakan dalam Fathul-Bari, setelah kalimat itu –

فوجدت صبياً ، فأخذته فألزمته بطنها

Artinya: Wanita itu bergegas berjalan mencari anaknya yang hilang. Ia resah dengan air susunya yang telah terkumpul di buah dadanya – ketika ia menemukan anak kecil ia  ambil dan ia susuinya, untuk meringankan air susunya, lalu menemukan anak kecil lagi – dan itulah anaknya sendiri – ia ambil dan ia peluk dalam perutnya dan menyusuinya. Lalu Rasulullah SAW bersabda:  أترون ta’ dibaca fathah artinya: apakah kamu menyangka wanita itu melemparkan anaknya ke dalam api. Kami jawab. Tidak mungkin ia lemparkan anaknya ke dalam api.

Lalu Rasulullah saw bersabda: لله lam pertama dibaca, lam taukid (penegasan). Sesungguhnya Allah lebih sayang kepada hamba-Nya melebihi wanita itu sayang kepada anaknya. Allah tidak akan melemparkannya ke neraka karena sangat sayang kepada mereka.

العباد Para hamba yang dimaksudkan adalah kaum mukminin yang bertaqwa yang beramal shalih. Seperti firman Allah:

وَاكْتُبْ لَنَا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ إِنَّا هُدْنَا إِلَيْكَ ۚ قَالَ عَذَابِي أُصِيبُ بِهِ مَنْ أَشَاءُ ۖ وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالَّذِينَ هُم بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ﴿١٥٦﴾الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ

“Dan tetapkanlah untuk kami kebajikan di dunia Ini dan di akhirat; Sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada Engkau. Allah berfirman: “Siksa-Ku akan Kutimpakan kepada siapa yang Aku kehendaki dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertaqwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami. (yaitu) orang-orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil ….” (QS. Al A’raf: 156-157)

Hadits ini dikuatkan pula oleh riwayat Imam Ahmad dan Al Hakim dari Anas RA, berkata:

” مر النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ في نفر من أصحابه ـ وصبى على الطريق ـ فلما رأت أمه القول ـ خشيت على ولدها أن يوطأ ، فأقبلت تسعى ، وتقول : ابني . ابني ، وسعت ، فأخذته ، فقال القوم : يا رسول الله  ، ما كانت هذه لتلقي ابنها في النار ، فقال : ولا الله بطارح حبيبه في النار ، فقال : ولا الله بطارح حبيبه في النار “

Rasulullah SAW melintasi sekelompok sahabatnya – ada seorang anak kecil di tengah jalan. Ketika ibunya melihat hal itu, ibu itu ketakutan bahwa anaknya akan jatuh, lalu ia bergegas menghampiri dan memanggil-manggil: anakku-anakku, ibu itu berjalan cepat, dan mengambilnya. Para sahabat bertanya: Ibu ini tidak akan melemparkan anaknya ke dalam api. Rasulullah SAW bersabda: Dan Allah tidak akan melemparkan kekasihnya ke dalam api neraka. Dan Allah tidak akan melemparkan kekasihnya ke dalam api neraka.

Dari hadits ini dapat diambil pelajaran:

Tidak ada seorang pun yang lebih sayang melebihi Allah. Allah SWT lebih sayang dibandingkan dengan orang yang harus menyayangi. Tidak pernah ada dalam makhluk Allah yang lebih sayang dari ibunya. Dan Rasulullah SAW bersabda: Allah lebih sayang dari pada ibu itu menyayangi anaknya.

Boleh melihat tawanan wanita. Rasulullah SAW tidak melarang melihat wanita dalam hadits di atas. Bahkan dalam hadits tadi termuat pembolehan melihatnya.

Penggunaan contoh sebagai alat bantu, sehingga bisa ditangkap secara fisik untuk hal-hal yang tidak mudah dipahami, agar mendapatkan pengertian yang tepat, meskipun yang dijadikan contoh sesuatu yang tidak akan dapat terjangkau hakikatnya. Itulah rahmat Allah yang tidak akan terjangkau oleh akal. Walau demikian Rasulullah SAW mendekatkan pemahaman itu kepada para pendengar dengan keadaan wanita tersebut.

Pemanfaatan kesempatan untuk menyampaikan dakwah. Rasulullah SAW memanfaatkan kesempatan perhatian para sahabat terhadap fenomena kasih sayang ibu kepada anaknya, lalu dialihkan kepada kasih sayang yang lebih besar, untuk memenuhi kebutuhannya, dan menjadi tempat bergantung dalam semua urusan.


Sumber: dakwatuna.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...