بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, November 6, 2011

Persoalan Agama: Tiada sebarang kaitan haji akbar jatuh pada Jumaat

Ulama tak sepakat takrifan istilah, ketetapan hari


Soalan: 


SAYA ingin penjelasan ustaz mengenai haji akbar. Kalau tak silap saya akbar ini ertinya paling besar. Betulkah hari haji akbar itu jatuh pada Jumaat? Apakah perbezaannya dengan haji biasa? Bagaimanakah cara mendapat haji akbar.
HAJI MAN,Seremban, Negeri Sembilan.

Jawapan: 

Al-Hamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. 

Allah SWT ada menyebut istilah haji akbar dalam Surah At-Taubah ayat 3 bermaksud: 

“Dan inilah satu pemakluman (pemberitahuan) daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripada orang musyrik.” 

Ayat ini turun pada tahun ke-9 Hijrah dan tahun itulah dimaksudkan ayat ini dengan tahun haji akbar

Dalam beberapa kitab tafsir, antara lain Tafsir al-Qurtubi menjelaskan ulama berbeza pandangan mengenai hari haji akbar yang dimaksudkan dalam ayat itu. Sesetengah ulama berpandangan yang dimaksudkan dengan hari haji akbar (al-hajj al-akbar) adalah hari wukuf di Arafah, iaitu pada 9 Zulhijjah. Ini adalah pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam as-Syafi’i. Imam Malik, at-Thabari dan Imam al-Bukhari pula berpendapat hari haji akbar adalah hari penyembelihan korban di Mina atau dengan kata lain iaitu pada Aidiladha pada 10 Zulhijjah. Ini bermakna kalangan ulama mengaitkan hari haji akbar dengan aktiviti ibadat haji, iaitu wukuf atau penyembelihan korban. Jika kita menerima pandangan ini, maka ini bererti bahawa ibadat haji yang dilaksanakan setiap tahun disebut haji akbar. 


Sebabnya dalam ibadat haji setiap tahun pastilah ada hari wukuf dan ada hari penyembelihan korban. Bahkan secara tegas Imam Atha menyatakan haji akbar adalah haji (iaitu kunjungan ke Makkah) disertai kewajipan wukuf di Arafah. Begitu juga Imam Mujahid menyatakan seluruh pelaksanaan ibadat haji dinamakan haji akbar. 

Imam Al-Qurtubi menjelaskan hari itu disebut hari haji akbar kerana ada satu istilah lagi yang disebut al-hajj al-asghar (haji kecil). Haji kecil yang dimaksudkan ialah umrah. Oleh itu, pelaksanaan ibadat haji yang mengandungi tata cara umrah, ditambah lagi dengan wukuf, melontar dan lain-lain sewajarnya disebut haji akbar bagi membezakan dengan umrah.

Namun ada juga sebahagian ulama lain berpandangan disebut hari haji akbar kerana ketika dikumandangkan turunnya ayat 9 Surah At-Taubah, “Dan ini satu makluman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas daripada orang musyrik,” orang Islam dan Musyrik berkumpul melaksanakan ibadat haji kerana hari itu kebetulan dengan empat hari raya penganut pelbagai agama (iaitu Islam, Yahudi, Nasrani dan Majusi). Bagaimanapun, pada akhirnya kita dapatlah mengatakan tiada pandangan seorang ulama pun yang mengaitkan hari haji akbar dengan Jumaat seperti popular di kalangan masyarakat. 

Namun tidak dinafikan wukuf di Arafah pada Jumaat memiliki keistimewaan kerana Jumaat adalah hari terbaik atau sayyidul ayyam dan Nabi Muhammad SAW melaksanakan ibadat haji sekali saja dengan wukuf di Arafah bertepatan Jumaat.

Dari sudut lain, ada satu riwayat dinilai daif (lemah) berbunyi, “Sebaik-baik hari adalah Hari Arafah. Dan jika Arafah ini bertepatan dengan Jumaat, maka haji dilakukan pada hari itu lebih utama daripada 70 haji yang wukufnya selain Jumaat. Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah. Sebaik-baik kalimah yang ku ucapkan dan diucapkan oleh kalangan Nabi sebelumku adalah ‘La ilaha illa Allah wahdahu la syarika lahu (tiada Tuhan yang wajib disembah selain Allah semata. Tiada sekutu bagi-Nya). Demikianlah, wallahua’lam.

Dijawab oleh Ustaz Zahazan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...