بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, December 26, 2012

Mohon pertolongan hanya daripada Tuhan




Hamba yang mengabdikan diri kepada Allah SWT sentiasa mengakui bahawa Allah SWT sajalah yang layak disembah dan tempat memohon segala pertolongan. 

Allah SWT berfirman: 

A005

yang bermaksud: "Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan". - (Surah al-Fatihah ayat 5).

Dalam ayat ini ada dua ungkapan penting. 

Ungkapan pertama: kepada Engkau kami sembah (iyyaka na'bud), 
Ungkapan kedua pula: Kepada Engkau kami mohon pertolongan (iyyaka nasta'iin). 


Bebas syirik 

Ungkapan pertama menekankan berkenaan pembebasan seseorang hamba daripada segala perkara syirik, manakala ungkapan kedua pula menekankan tentang pembebasan diri daripada pergantungan kepada sesuatu selain Allah SWT.

Menurut al-Raziy dalam al-Tafsir al-Kabir, penggunaan lafaz iyyaka (kepada Engkau sahaja) pada awal kata kerja na'bud (kami sembah) dan nasta'iin (kami memohon pertolongan) dalam ayat ini adalah bagi tujuan al-hasr (pembatasan), manakala al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir pula mengatakan ia bertujuan al-ikhtisas (pengkhususan).

Pengabdian kepada Allah

Sebenarnya kedua-dua perkara ini tidak bertentangan, malah ia sama saja iaitu dibatasi bagi tujuan pengkhususan. Oleh itu, jelaslah menyembah dan memohon pertolongan hanya khusus kepada Allah SWT saja. Inilah yang dikatakan pengabdian diri kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi kepatuhan, tunduk dan kerendahan diri kepada Allah SWT. 

Menurut tafsiran Ibn Abbas r.a, ayat ini bermaksud Allah SWT sajalah yang layak disembah dan ditakuti dan kepada-Nya dipohon segala pertolongan sama ada dalam beribadah, ketaatan mahupun dalam segala perkara yang berkaitan kehidupan. 

Dengan pengakuan atau ikrar ini bermakna seseorang hamba Allah SWT itu membebaskan dirinya daripada mengabdikan diri kepada sesama manusia dan tunduk kepada segala perkara khurafat dan tahyul. 

Hamba yang berikrar menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT saja, akan berikrar juga untuk mempertahankan apa yang diikrarkan itu, iaitu dengan tidak menyembah dan mengabdikan kepada sesuatu selain Allah SWT. 

Allah SWT berfirman:

A002

yang bermaksud: "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah" (Surah al-Kafirun ayat 2).

Diriwayatkan oleh al-Tabraniy dan Ibn Abi Hatim daripada Ibn Abbas r.a. bahawa kaum Quraisy berusaha mempengaruhi Nabi Muhammad SAW dengan menawarkan harta kekayaan agar Baginda menjadi seorang yang paling kaya di Kota Makkah dan Baginda akan dikahwinkan dengan perempuan yang Baginda kehendaki. Mereka menyampaikan semua ini dengan berkata: Inilah yang kami sediakan untukmu wahai Muhammad, tetapi dengan syarat janganlah engkau memaki hamun tuhan kami dan memburukkannya atau sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun. Nabi Muhammad SAW menjawab: Aku akan menunggu wahyu daripada Tuhanku. Penurunan ayat 1-6 daripada Surah al-Kafirun adalah berhubung dengan peristiwa ini dan sebagai perintah untuk menolak kaum kafir tersebut. Kemudian turun pula ayat 64 daripada Surah al-Zumar sebagai perintah untuk menolak ajakan orang-orang bodoh yang menyembah berhala (al-Suyutiy, Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul). 

A064

Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu: "Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?" (Az-Zumar 39:64)

Berdasarkan peristiwa ini, didapati Rasulullah SAW ditawarkan dengan kemewahan hidup dan perempuan cantik sebagai syarat supaya Baginda SAW meninggalkan dakwah Islam dan berkompromi dengan kaum kafir Quraisy.

Hal ini sebagai satu cubaan mengajak Rasulullah SAW yang kuat mengabdikan diri kepada Allah SWT supaya mensyirikkan Allah SWT. 

Kegagalan ini disebabkan oleh Rasulullah SAW yang berikrar mengabdikan diri kepada Allah SWT itu telah bertindak mempertahankan apa yang diikrarkan. Sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW inilah ciri orang yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana tidak sedikit pun tunduk dan patuh kepada sesuatu selain Allah SWT.


Oleh :  Shukri Hanapi

2012/12/25 - 23:37:46 PM

Waspada harta haram



 pelaku dosa-dosa besar wajib bagi mereka untuk bersegera bertaubat dengan tidak bertangguh. - Gambar hiasan



IMAN ialah benteng diri daripada melakukan perkara maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT. Apabila tiada orang yang memerhati dan tiada mata yang melihat, maka tiada pertahanan diri yang paling kukuh melainkan iman yang membuahkan perasaan ihsan iaitu merasakan Allah SWT sedang mengawasi diri.
Sebagai manusia biasa, adakalanya iman yang ada dalam diri menurun. Maka pada ketika itu, kita pasti lemah dalam menepis ujian yang datang kepada diri.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat ketikanya kita terleka dan terlalai dalam kehidupan di dunia. Mungkin ada di antara kita yang pernah terlibat, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja dalam aktiviti atau pekerjaan yang tidak bertepatan dengan Syariah sebelum ini.

Penglibatan ini akhirnya menyebabkan kita memperoleh pendapatan, sama ada dalam bentuk gaji, komisen, dividen, keuntungan dan sebagainya secara yang tidak halal. Begitu juga mungkin ada di kalangan kita yang pernah terjebak dalam rasuah, pecah amanah dan penyelewengan.

Semua harta yang diperoleh itu bakal mengundang kemurkaan Allah SWT dan balasannya amatlah dahsyat di akhirat nanti.

Penglibatan ini bukan sahaja menyebabkan orang yang terlibat melakukannya secara langsung mendapat dosa, bahkan pendapatan serta hartanya pula menjadi haram.

Harta haram yang dimaksudkan di sini ialah harta yang diperoleh melalui jalan atau kaedah yang bercanggah dengan syarak. Ini termasuklah faedah yang diperoleh daripada akaun simpanan di bank-bank konvensional.
Oleh itu, mereka yang menyedari akan hakikat ini akan segera bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkal jalan. Allah SWT Maha Pengampun dan Dia suka sekiranya hamba yang telah melakukan dosa, cepat-cepat bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Lantaran itu, wajib bagi mereka untuk bersegera dalam bertaubat dengan tidak bertangguh. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: 
Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (an-Nisa: 17)

Antara syarat untuk bertaubat kepada Allah SWT kerana mendapat harta haram adalah dengan cara melupuskannya. Perkataan 'melupuskan' sengaja digunakan kerana orang yang terlibat tidak boleh memanfaatkan harta tersebut untuk dirinya, sama ada untuk membuat pembelian dan urusniaga-urusniaga yang lain.

Bahkan, Allah SWT tidak memberikan pahala sekiranya dia menggunakan harta tersebut untuk menunaikan haji dan umrah, membayar zakat dan menderma kepada golongan fakir miskin.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: "Barang siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala dan tanggungan dosanya tersebut adalah kekal (sehingga dia bertaubat kepada Allah SWT)" (riwayat al-Hakim)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. (riwayat Muslim).

Demikianlah betapa beratnya bahana daripada pengambilan harta haram sehingga Allah SWT tidak menerima amalan yang berkaitan dengan harta tersebut.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

utusanARKIB : 19/12/2012

Kaya hati kaya sebenar


BAGI kebanyakan manusia zaman ini, menjadi kaya adalah satu matlamat hidup yang mesti diraih. Mereka menginginkan rumah besar, kereta mewah dan pelbagai kemudahan hidup yang selesa. Untuk itu, pelbagai usaha dilakukan siang dan malam untuk mengumpulkan wang. Sering kali, keinginan itu membuatkan diri kita melupakan hak anak isteri yang memerlukan kasih sayang dan perhatian, bahkan ada juga yang mengabaikan pantang larang agama.

Apabila kita keliru dalam memahami konsep kekayaan, maka kita akan tersalah dalam mencarinya. Kekayaan hakiki sebenarnya bukan terletak pada benda-benda material, akan tetapi ia sesuatu yang berada di dalam hati manusia. Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah kaya itu dengan memiliki banyak harta. Akan tetapi kaya (sebenar) adalah kekayaan hati.(riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar: "Wahai Abu Zar, adakah engkau menyangka bahawa banyak harta itu bermakna kaya?" Abu Zar berkata: "Ya."Baginda bersabda lagi: "Dan adakah engkau menyangka bahawa ketiadaan harta itulah kefakiran?" Abu Zar berkata: "Ya."

Baginda lalu menjelaskan: "Kekayaan sebenar adalah kekayaan hati. Dan kefakiran sebenar adalah kefakiran hati."

Kaya hati
Kaya hati adalah merasa cukup dengan yang ada. Sifat ini disebut juga dengan qana'ah. Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar: "Kekayaan hati terbit daripada sifat reda atas ketentuan Allah dan bersyukur atas segala pemberian-Nya."

Bagi orang yang kaya hati, rezeki yang sedikit terasa banyak. Akibatnya, ia dapat menikmati pemberian Allah SWT itu dengan sepenuh hati. Hatinya tidak lagi tercari-cari sesuatu yang kurang, apa lagi runsing memikirkan cara untuk mendapatkannya. Sebaliknya, ia selalu merasa riang gembira kerana limpahan rahmat daripada Allah SWT yang tidak pernah terputus.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang bangun pagi dalam keadaan aman sentosa, sihat tubuh badan dan memiliki apa yang boleh dimakan, maka seolah ia telah memiliki seluruh isi dunia." (riwayat al-Tirmizi)

Miskin hati
Siapa yang miskin hati tidak akan pernah merasa cukup meskipun seluruh kekayaan dunia berada di dalam tangannya. Rezeki yang begitu banyak terasa sedikit. Semakin banyak kekayaan yang diberikan, semakin banyak seksaan yang dirasakan.

Ia selalu hidup dalam ketakutan, cemas dan stres mengejar sesuatu yang tidak ada akhirnya. Belum lagi anak-isteri yang menyeksa dengan pelbagai permintaan dan perangai buruk mereka.

Allah SWT berfirman: 
Maka janganlah engkau mengagumi harta benda dan anak-anak mereka. Sesungguhnya Allah hendak menyeksa mereka dengan (harta dan anak-anak ini) di dunia dan kelak nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan kafir. (al-Tawbah: 55)

Orang yang miskin hati tidak dapat mengecapi kenikmatan hidup. Malahan, hatinya terus dihantui kefakiran hingga ajal membawanya ke liang kubur.

Rasulullah SAW bersabda: Andai seorang anak Adam memiliki dua ladang penuh berisi emas, maka ia akan berusaha mencari yang ketiga. Tiada apa yang dapat memenuhi perut manusia selain tanah. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Luangkan sedikit masa
Kaya hati hanya dapat diperoleh apabila kita kembali kepada Allah SWT. Allah SWT hanya meminta sedikit daripada kita, namun memberi sangat banyak. Luangkanlah sedikit masa untuk beribadat kepada-Nya, membelek al-Quran dan buku-buku agama. Nescaya pintu kekayaan akan terbuka luas di dalam hati kita.

Dalam sebuah hadis kudsi, Allah SWT berfirman: "Wahai anak Adam, luangkan masamu untuk menyembah-Ku, nescaya Aku akan memenuhi hatimu dengan kekayaan, dan Aku akan menutupi kefakiranmu. Namun jika engkau enggan melakukannya, nescaya Aku akan membebanimu dengan pelbagai kesibukan, tetapi aku tidak menutupi kefakiranmu." (riwayat Al-Tirmizi)

Walalhu a'lam.


ARKIB : 25/12/2012

Doa untuk dapatkan anak


alt

SOALAN:
SAYA berumur 37 tahun, sudah berumahtangga selama 12 tahun tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Saya dan suami sudah menjalani pemeriksaan di hospital dan doktor mengesahkan kami tiada masalah kesuburan.


Kami telah menjalani proses IUI sebanyak tiga kali tetapi gagal. Dua tahun lalu, atas nasihat doktor, kami menjalani IVF. Saya hamil, tetapi selepas dua bulan saya keguguran.

Bolehkah Tuan Haji Lokman memberikan saya ayat al-Quran untuk menolong kami mendapat zuriat? - Halimah, Kuala Terengganu.

JAWAPAN:
Terima kasih Puan Halimah atas soalan tersebut. Setiap pasangan yang telah mendirikan rumah tangga, pasti mengidamkan anak, sebagai lambang kebahagiaan keluarga dan mengembangkan zuriat keturunan.

Namun, bukan semua bernasib baik, ada pasangan sudah menimang cahaya mata biarpun baru setahun mendirikan rumah tangga. Ada pasangan terpaksa menunggu belasan tahun untuk menerima ‘amanah’ Allah
.
Pokoknya, anak adalah kurniaan serta rezeki dari Allah dan Allah lebih mengetahui hikmah di atas tiap takdirNya.

Namun, itu bukan alasan untuk kita berdiam diri dan menyalahkan takdir, sebagai manusia kita disaran berikhtiar dan memohon doa kepada Allah agar dikurniakan zuriat.

Puan perlu tahu, Puan bukan satu-satunya pasangan di dunia ini yang menerima ujian ini. Ramai pasangan lain turut mengalami nasib serupa. Hal ini bukanlah menunjukkan Tuhan tidak memberikan rezeki, namun ia lebih bersifat ujian.

Nabi Zakaria dan Nabi Ibrahim turut diuji dengan ujian sama. Apa yang lebih penting, kita berikhtiar di samping berdoa kepadaNya. Nabi Zakaria pernah berdoa kepada Allah untuk mendapatkan zuriat.

Doa tersebut Allah rakam di dalam Al Quran, surah Al-Anbiya’ ayat 89 
“Dan ingatlah kisah Zakaria, tatkala menyeru TuhanNya: “ Ya Tuhanku, Janganlah engkau membiarkan aku hidup seorang diri (tidak mempunyai zuriat keturunan) dan Engkaulah waris yang paling baik (diserahkan segala urusan kepadaMu) - Surah Al-Anbiya’: ayat 89.
Anak merupakan saham atau aset penting setiap ibu bapa. Anak yang soleh, mampu berjasa kepada ibu bapanya selepas ketiadaan mereka.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Apabila wafatnya manusia, maka terputuslah darinya segala amalannya (pahala) kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (pahala yang mengalir), ilmu bermanfaat (kepada manusia lain yang masih hidup) atau anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepadanya". - Hadis Riwayat Muslim.

Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW menggalakkan perkahwinan sehingga mendapat zuriat yang ramai.

Rasulullah SAW bersabda: “Kahwinilah wanita yang melahirkan anak ramai dan memiliki kasih sayang yang tinggi, sesungguhnya aku berbangga dengan kamu (kerana umat yang ramai") - Hadis Riwayat Abu Daud dan An-Nasaei.

Melalui dalil di atas, dapat kita fahami bahawa Islam menggalakkan umatNya melahirkan ramai zuriat.

Ada pasangan suami isteri sukar mendapat zuriat. Maka, adalah kewajipan mereka berusaha bagi mendapatkan zuriat melalui perubatan moden atau perubatan Islam di samping berdoa kepada Allah.

Statistik menunjukkan satu dalam enam pasangan suami isteri mengalami masalah kesuburan. Kira-kira 40 peratus pasangan suami isteri yang mengalami masalah kesuburan disebabkan wanita, 40 peratus lelaki, sepuluh peratus melibatkan kedua-dua pasangan, selebihnya daripada punca yang tidak dapat diketahui oleh perubatan moden.

Ramai pasangan suami isteri datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk mendapatkan rawatan kesuburan.

Antara masalah mereka adalah penyakit bersifat medical seperti endometriosis, fibroid, kerosakan tiub fallopian, kitaran haid tidak menentu disebabkan ketidakseimbangan hormon, masalah kurang sperma dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, terdapat ramai pasangan sukar mendapat zuriat disebabkan gangguan jin dan sihir.

Perlu kita fahami, rawatan kesuburan menggunakan ayat suci al-Quran bukanlah untuk penyakit kesuburan bersifat gangguan jin atau sihir semata-mata, malah kaedah suci ini mampu mengubati masalah kesuburan yang bersifat medical seperti yang saya senaraikan tadi.

Masalah untuk golongan wanita (isteri) adalah, apabila janin jantina perempuan terbentuk dalam rahim ibunya, ia dibekalkan dengan hampir dua juta telur yang disimpan di dalam sepasang kilang telur atau ovari.

Ovari wanita tidak mampu membuat telur baru dan pada hakikatnya, terdapat penurunan berterusan dalam jumlah bilangan telur setiap bulan.

Menjelang masa seorang gadis mencapai umur baligh, kira-kira 25 peratus daripada jumlah telur itu kekal, iaitu kira-kira 300,000 telur.

Penurunan jumlah telur disebabkan oleh telur yang tidak mencapai kematangan penuh dan mati disebabkan oleh proses yang dipanggil atresia.

Semakin usia seseorang wanita meningkat, semakin berkurangan bekalan telur wanita sehingga menopaus.
Oleh itu, hanya kira-kira 300 hingga 500 telur (ovum) ini akan matang lebih jangka hayat wanita.

Bagi kaum lelaki (suami), situasi pengeluaran benih iaitu sperma berbeza daripada wanita. Organ pengeluaran sperma iaitu testis biasanya menghasilkan 50,000 sperma baru setiap hari apabila baligh sehingga lelaki itu berumur 70 tahun.

ARKIB : 23/12/2012

Bersama Haji Lokman Abdul Hamid

Saturday, December 22, 2012

Tafsir Surah Yasin : Tempelak Allah kepada pendusta


Hiasan

DALAM ayat-ayat yang terdahulu Allah SWT menyebut nikmat yang akan dikurniakan kepada orang yang berbuat baik. Pada ayat-ayat yang berikutnya, Allah SWT menyebut pula keadaan orang yang suka melakukan dosa.

Pada hari itu mereka disuruh berpisah dan dijauhkan seseorang itu daripada yang lain. Jadi, mereka memperoleh dua azab iaitu; azab api neraka dan azab diasingkan daripada orang lain. Sesungguhnya tidak ada azab lain yang lebih pedih daripada azab ini.

Dia kemudiannya menyebut sebenarnya mereka telah diberi peluang untuk menyelamatkan diri daripada dikenakan azab, melalui perutusan para rasul.

Seterusnya disebut pula, bahawa kesudahan orang kafir adalah neraka Jahanam dan kekal selama-lamanya di situ. Pada hari itu mereka tidak dapat berbicara walau sepatah pun kecuali anggota lain yang telah menjadi saksi atas segala perbuatan mereka.

Kemudian Allah SWT menyebut dengan rahmat-Nya, Dia tidak akan menghukum mereka di dunia dengan hukuman yang berat. Sebenarnya Allah SWT berkuasa memusnahkan penglihatan mereka, jika dia menghendaki, sehingga mereka tidak mampu lagi melihat. Allah SWT juga mampu mengubah rupa mereka menjadi babi atau kera, sehingga mereka tidak mampu lagi berbangga dengan rupa paras mereka itu.

Kemudian Allah SWT menolak alasan mereka yang mengatakan: Kami diberi umur yang sangat pendek dan sekiranya umur kami panjang sudah tentu kami akan melakukan kebaikan mengikut kebenaran. Penolakan Allah SWT ini kerana jika mereka diberikan umur panjang pun, mereka masih enggan melakukan kebaikan. (rujuk al-Fatir: 37)

A037

Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan". (Faatir 35:37)


Firman Allah SWT: 
Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (daripada bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman). (Yasin: 59)

Ibnu Kathir berkata: Allah menjelaskan kedudukan orang kafir dengan perkataan Imtaz sebagai gambaran tempelak.

Al-Qurtubi berkata: Golongan ini akan berbeza antara satu sama lain, kemudian beliau menukilkan beberapa pendapat antaranya:

Qatadah berkata: Mereka dibuang daripada segala kebaikan.

Ad-Dhahak berkata: Golongan penderhaka berbeza dengan sebahagian yang lain iaitu golongan yahudi satu puak, nasrani satu puak, majusi satu puak, penyembah berhala puak yang lain dan lain-lain.

Al-Maraghi berkata: Berpisahlah kamu dan masuklah ke tempat tinggal kamu di dalam neraka, bermula saat ini kamu tidak lagi boleh bergaul dengan kaum mukminin buat selama-lamanya. Ketika mereka diperintahkan agar berpisah (dengan orang yang beriman), tiba-tiba wajah mereka menjadi kehitaman kerana terlampau sedih manakala mereka pun tertunduk.

Firman Allah SWT: 

A060
Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! (Yasin: 60)
Perkataan 'perintah' di sini seperti yang disebut oleh al-Qurtubi sebagai wasiat iaitu tidakkah Aku wasiatkan kamu dan sampaikan kamu mengikut lidah Rasul-rasul supaya tidak mengikuti syaitan dalam menderhakai Aku.

Al-Maraghi berkata: Bukankah telah aku berpesan melalui bukti yang aku tunjukkan di hadapan mata kamu dengan akal yang Aku berikan kepada kamu menerusi rasul-rasul-Ku dan kitab-kitab yang aku turunkan sebagai petunjuk agar kamu menuju ke jalan keselamatan? Oleh itu, janganlah kamu menurut kemahuan serta langkah syaitan untuk menentang dan menderhakai-Ku.

Firman Allah SWT: 

A061
Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (Yasin: 61)
Ibnu Kathir berkata: iaitu jalan yang lurus di mana kebanyakan kamu memilih jalan yang lain, seperti mengikut jalan yang diperintahkan oleh syaitan.

Al-Maraghi berkata: Aku melarang terhadap kamu agar jangan mengikuti syaitan dan Aku perintahkan agar kamu menyembah-Ku, Allah Yang Maha Rahman kerana ia akan membawamu ke jalan yang lurus. Namun kamu masih memilih jalan itu sehingga kamu tersesat dan terjerumus ke lembah kebinasaan.

Firman Allah SWT: 

A062
Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu, (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin: 62)
Ibnu Kathir berkata: Dimaksudkan dengan banyak makhluk inilah pendapat Qatadah, al-Suddi, Mujahid, Sufyan bin Uyainah, sedangkan mengikut pendapat al-Kalbi umat yang ramai.

Al-Maraghi berkata: Syaitan menghalang sebahagian besar antara kamu mematuhi-Ku mengesakan-Ku sebagai tuhan, sehingga mereka menyekutukan Aku dengan sembahan-sembahan yang lain.

Firman Allah SWT: 

A063
Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahanam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taat perintah Allah). (Yasin: 63)
Penjaga neraka berkata kepada ahli neraka, inilah neraka jahanam yang dijanjikan kepada kamu sedangkan kamu ingkar.

Ibnu Kathir berkata: Dikatakan kepada orang kafir di kalangan Bani Adam pada hari kiamat neraka Jahim dipamerkan kepada mereka sebagai celaan dan kehinaan.

Al-Maraghi berkata: Inilah api Neraka Jahanam yang dahulu pernah Aku janjikan kepada kamu dan yang disampaikan oleh Rasul-Ku, jika kamu masih mengikut langkah syaitan dan tidak mematuhi peraturan-Ku.

Firman Allah SWT: 

A064
Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan! (Yasin: 64)
Al-Maraghi berkata: Masuklah ke dalam neraka, agar kamu dapat merasakan betapa panas bakarnya yang dahsyat kerana dahulu kamu mengingkarinya.

Inilah balasan akibat derhaka kepada Allah tanpa bertaubat dan kembali kepada-Nya, di mana masuk di dalam neraka merupakan kehinaan yang abadi. Semoga Allah memelihara kita daripada seksaan api neraka, Amin.

Firman Allah SWT: 

A065
Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Yasin: 65)
Ibnu Kathir berkata: Inilah gambaran keadaan orang kafir dan orang munafik pada hari kiamat akibat di dunia dahulu mereka mengingkari perintah Allah dengan perilaku yang buruk. Mereka sanggup bersumpah dengan apa yang mereka lakukan. Lantas balasannya Allah pateri mulut mereka sedangkan anggota tubuh badan mereka yang menjadi juru bicara dan saksi atas apa yang mereka kerjakan.

Al-Maraghi berkata: Pada hari itu, orang kafir mengingkari kejahatan semasa hidup di dunia dan mereka berani bersumpah mereka tidak pernah melakukan perkara itu. Allah menutup mulut mereka sehingga mereka tidak boleh bercakap sepatah pun. Kemudian disuruh pula anggota badan mereka berbicara setiap perbuatan yang pernah mereka lakukan.



Wednesday, December 19, 2012

Buta di akhirat

setiap amalan kita di dunia ini akan memberi kesan kepada kehidupan kita di akhirat. 
- Gambar hiasan



PERLAKUAN kita kepada Allah SWT menentukan perlakuan Allah kepada kita. Kedudukan kita di sisi Allah ditentukan oleh kedudukan Allah di dalam hati kita.

Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata: "Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya."

Siapa yang menghormati aturan-aturan Allah, lalu bersegera melakukan perintah-Nya, dan menjauhkan diri daripada larangan-Nya, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, itu petanda bahawa ia menghormati Allah.

Maka, kedudukannya di sisi Allah pun terhormat. Jika ia berdoa, Allah akan bersegera mengabulkan. Jika ia meminta bantuan, Allah akan bersegera membantu. Allah juga akan memenuhi hidupnya dengan kedamaian dan rahmat Ilahi.

Allah SWT berjanji: 
"Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan". (al-Nahl: 97)
Dan siapa yang teragak-agak menerima hukum Allah SWT, malu-malu mengamalkan Islam, itu pertanda ia belum sepenuh hati menghormati Allah.

Maka kedudukannya di sisi Allah pun sekadar mana kedudukan Allah di dalam hatinya. Apabila ia berdoa, Allah tidak bersegera menjawab doanya.

Namun begitu, Allah akan terus mengingatkan dirinya dengan pelbagai cubaan dan musibah agar ia memperbaiki dirinya dan kembali beriman kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: 
"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan (maksiat) manusia. Demikianlah Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (kepada Allah). (al-Rum: 41)

Setiap maksiat yang kita lakukan merupakan pertanda rendahnya kedudukan kita di sisi Allah. Berkata Abu Sulaiman Al-Darani: "Mereka sangat hina di sisi Allah, itu sebabnya mereka dibiarkan bermaksiat. Andai mereka mulia di sisi Allah, nescaya Allah akan menghalangi mereka daripada bermaksiat."

Dibangkitkan
Manusia yang paling buruk adalah orang yang berpaling daripada Allah. Ia menolak menerima Islam sebagai aturan hidup, bahkan berani menentang ketentuan Allah. Tiada sedikitpun tempat bagi Allah di dalam hatinya dan bermaksiat tanpa malu-malu.

Apabila ia tidak menghormati Allah, itu pertanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah SWT. Di akhirat nanti akan dibangkitkan dalam keadaan hina dan tiada siapa yang bersimpati kepadanya.

Allah SWT mengancam: 
"Dan barang siapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan membangkitkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: Wahai tuhanku, mengapa Engkau membangkitkan diriku dalam keadaan buta padahal aku dahulunya boleh melihat? Allah berfirman: Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat kami, maka kamu melupakannya. Begitulah (balasannya) pada hari ini kamupun dilupakan". (Taha: 124-126)
Allah lebih cepat
Allah sangat mencintai hamba-hamba-Nya. Tangan-Nya selalu terbuka untuk menyambut sesiapa sahaja yang ingin kembali ke jalan-Nya. Bahkan, langkah Allah lebih cepat daripada langkah hamba-Nya.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman: Jika hamba-Ku mendekat kepada-Ku satu jengkal, maka Aku akan mendekat kepada-Nya satu hasta. Dan jika ia mendekat kepada-Ku satu hasta, maka aku akan mendekat kepada-Nya satu depa. Dan jika ia mendatangi-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari. (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Wallahu a'lam

Oleh : UMAR MUHAMMAD NOOR [kini sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh juga diajukan di www.facebook.com/UmarMuhammadNoor]


Sunday, December 16, 2012

Zakat persediaan pelaburan akhirat


Manusia sering alpa, leka menunaikan ibadah wajib

Bayangkan anda sedang melihat sebiji kek coklat besar diletakkan di sebuah meja. Ambil kek itu dan potongkan kepada 40 bahagian. Setelah siap ambil hanya satu bahagian dan berikan pada seorang rakan yang dari tadi sudah menelan air liurnya melihatkan kek itu. 

Kemudian lihat kembali kek itu, bakinya adalah milik anda dan anda berhak makan semuanya. Bandingkan milik anda dan satu bahagian yang telah anda berikan kepada rakan tadi. Sejujurnya, tanyakan pada diri  siapa lebih banyak bahagiannya? 

Ini adalah analogi untuk membina kesedaran kerana ramai dalam kalangan kita sering mengeluh tatkala tiba masa untuk menunaikan ibadah wajib atas harta kita. Bukannya apa, manusia sering alpa dan leka. 

Kita sering tersasar dan terlupa untuk membuat persediaan perbelanjaan bagi pelaburan akhirat kerana terlalu terpesona dengan kehidupan dunia yang sementara. Cuba perhatikan bil perbelanjaan dunia dan bandingkan dengan bil akhirat yang kita persiapkan untuk menuai hasilnya kelak.

Barangkali jumlah perbelanjaan dunia melebihi perbelanjaan akhirat yang kita peruntukkan. Sedangkan dunia akan hilang dan akhirat yang semakin mendatang pasti kekal. Lakukanlah taksirannya, anda pasti terkejut dengan realitinya yang mendukacitakan.

Inilah indahnya suatu sistem perbelanjaan dan pengurusan kewangan yang diturunkan Allah Taala menerusi ayat al-Quran. Betapa kasihnya Allah Taala yang memberikan harta dan rezeki, bahkan menurunkan pula kaedah perbelanjaan harta itu yang menjanjikan pulangan di dunia dan akhirat. 

Hakikat dan hikmah

Hebat sungguh tawaran ini. Malangnya manusia masih tidak sedar kerana dibuai ilusi ‘kemerosotan’ harta disebabkan menunaikan zakat. Inilah hakikat dan hikmah yang masih belum ramai menyedarinya. 

Daripada jumlah 100 peratus harta yang diperoleh hanya 2.5 peratus diperlukan sebagai zakat. Ibarat kek, baki 97.5 peratus itu masih milik kita. Siapakah yang memiliki lebih banyak? Sudah tentu kita. Allah pemilik mutlak harta, daripada-Nya ia datang dan Allah berhak menarik kurnianya bila-bila masa. 

Firman Allah SWT: 
“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu. Allah berfirman: AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang yang bertakwa dan yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” (Surah al-A’araf, ayat 156)

Rahsia menunaikan zakat

Hikmah dan rahsianya mungkin terlalu besar dan abstrak untuk diungkapkan. Ia hanya mampu dirasai golongan yang menunaikan tuntutannya. 

Apakah mungkin seseorang tidak pernah merasai enaknya durian menceritakan keenakannya kepada orang lain? Sudah tentu tidak. Jika ingin tahu rasanya maka anda perlu mencubanya. Begitu juga dengan hikmah dan rahsia menunaikan zakat.

Hisablah dan nilaikanlah. Jika 2.5 peratus itulah taruhannya, maka anda berhadapan dengan pilihan yang pelbagai iaitu 2.5 peratus modal untuk mendapat rahmat daripada-Nya dan 2.5 peratus adalah kos untuk anda hilang segala-galanya tanpa disedari.

Jumlah 2.5 peratus adalah nilai yang sangat tidak berbaloi untuk ditamakkan jika dibandingkan dengan azab neraka yang sangat pelbagai. Nilai itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan nikmat bakal diterima di syurga kelak.

Kecil jumlahnya namun kesannya lebih besar daripada yang anda sangka. Justeru, apakah nilai 2.5 peratus kepada anda? Renungkan dan fikirkan. Jadikan ia sesuatu yang bermakna.


2012/12/16 - 02:59:58 AM Husni Abdul Rahman

Saturday, December 15, 2012

Tafsir Surah Surah Yasin - Keindahan yang mempesonakan

berpegang kepada Al-Quran dan hadis pasti manusia itu akan selamat di dunia dan di akhirat. - Gambar hiasan
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI

ALLAH SWT menerangkan bahawa Hari Kiamat pasti berlaku dan kedatangannya pula adalah secara mendadak. Pada hari itu manusia akan dihimpunkan untuk menghadap-Nya. Dia juga menerangkan tentang kelengkapan yang disediakan kepada orang yang berbuat baik dan orang yang berbuat buruk, dalam bentuk pahala dan hukuman. Perkara itu dimaksudkan agar orang yang berbuat baik akan menerima berita baik manakala orang yang berbuat buruk pula akan menerima berita sebagai ancaman dan peringatan.


Firman Allah SWT: 
Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan. (Yasin: 55)
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang penghuni syurga, di mana pada Hari Kiamat, ketika bangkit daripada kematian, mereka turun dari taman-taman syurga dalam keadaan mereka sedang menikmati keindahan yang begitu indah sehingga tidak mempedulikan orang lain."

Al-Hasan al-Basri dan Ismail bin Abi Khalid berkata: "Mereka tidak merasai azab yang dialami oleh penghuni neraka."

Mujahid berkata: "Bersenang-senang dalam kenikmatan iaitu keindahan yang mempesonakan mereka."

Al-Maraghi berkata: "Para penghuni syurga akan menikmati kesenangan dan kelazatan sehinggakan mereka tidak memikirkan perkara lain. Di sana mereka menikmati kenikmatan dan kelazatan yang sebelum ini tidak pernah dilihat oleh mata mereka, apatah lagi mendengar, bahkan tidak pernah terdetik dalam hati mereka."

Mereka sedikit pun tidak berasa sedih kerana kehidupan mereka tenteram, bersuka ria dan ketawa menghiasi kehidupan mereka di syurga. Kemudian Allah SWT menyebut perkara lain yang menambah kegembiraan dan kesenangan mereka di syurga.

Firman Allah SWT: 
Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin. (Yasin: 56)
Mujahid berkata: "Maksud pasangan ialah bidadari yang diteduhi pohon-pohon yang menaungi mereka."

Al-Maraghi berkata: "Mereka bersama dengan pasangan masing-masing berada di tempat yang teduh dan rendang, tidak terkena sinaran matahari kerana memang tidak ada matahari di sana." Bagi orang Arab mereka berasa nyaman apabila melihat suatu tempat yang rendang, dan di sekelilingnya pula terdapat sungai-sungai dan pohon-pohon yang rimbun. Di sana mereka bersandar di bangku panjang yang penuh dengan perhiasan dan benarlah syurga itu merupakan puncak kenikmatan bagi seseorang."

Firman Allah SWT: 
Mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki. syurga itu merupakan puncak kenikmatan bagi seseorang. syurga itu merupakan puncak kenikmatan bagi seseorang. (Yasin: 57)
Di dalam syurga mereka boleh meminta apa sahaja buah-buahan yang akan diberi secara langsung. Mengikut riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Abi Hatim daripada Sulaiman bin Musa, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah. Apakah ada orang yang bersegera menuju ke syurga. Sesungguhnya syurga itu tidak pernah terlintas keindahan syurga di hati kami. Demi Tuhan penguasa ke atas Kaabah, dia semuanya cahaya yang bersinar, baunya harum semerbak, istana yang megah, sungai yang mengalir, buah-buahan yang ranum, pasangan yang baik serta cantik, para bidadari yang ramai, tempat yang kekal di rumah yang selamat, buah-buahan yang menghijau, enak dan nikmat serta tempat-tempat yang tinggi dan menyenangkan."

Maka mereka menjawab: "Ya Rasulullah SAW, kami adalah orang-orang yang bersegera. Maka Rasulullah SAW bersabda: "Insya-Allah." Lalu mereka semua mengucapkan: "Insya-Allah."

Al-Maraghi berkata: "Di syurga mereka menikmati pelbagai buah-buahan yang segar dan makanan yang lazat seperti di dunia dahulu yang dinikmati oleh orang yang hidup mewah. Di samping itu, mereka juga akan mendapat apa sahaja yang mereka ingini dan idam-idamkan."

Menurut pendapat Abu Ubaidah, orang Arab sering berkata, apa yang diangan-angankan akan tercapai seperti apa yang mereka ucapkan oleh setiap individu untuk memperoleh sesuatu kebaikan.

Syafaat Pada Hari Kiamat

SETIAP amalan manusia itu akan dihitung di akhirat kelak. Jika baik amalan seseorang itu maka baiklah balasan yang diterima dan begitulah sebaliknya. - Gambar hiasan



TIADA apa yang didambakan oleh jiwa-jiwa yang bergelumang dengan dosa di akhirat, melainkan rahmat Allah SWT serta syafaat rasul-Nya Muhammad SAW, tatkala manusia berduyun-duyun ke hulu ke hilir mengharapkan ada di kalangan para nabi dan rasul yang mampu melepaskan kesusahan mereka.

Baginda Rasulullah adalah pemilik al Syafa'ah al 'Uzma (syafaat agung) yang mampu menjadi penyelesai dan tindakan penyudah membereskan segala kemelut, gegak-gempita dan huru-hara pada hari tersebut dengan penuh belas ihsan dan kasih sayang.

Sesungguhnya benarlah perutusan-Nya ke alam ini sebagai rahmat yang berterusan dan dikecapi manfaatnya di dunia dan di akhirat.

Secara umumnya syafaat terbahagi kepada empat bahagian.

Yang Pertama ialah syafaat untuk mendapat kerehatan daripada huru-hara pada Hari Perhimpunan (Mahsyar) dan mempercepatkan perbicaraan mahkamah keadilan tuhan. Ini adalah suatu kedudukan terpuji yang dijanjikan kepada nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada Hari Akhirat di tempat yang terpuji. (al-Isra': 79)

Syafaat kedua ialah bagi golongan yang diwajibkan mendapat seksaan neraka. Maka Allah SWT mensyafaatkan mereka melalui syafaat orang-orang yang dimuliakan-Nya daripada kalangan para nabi, siddiqin, ulama, syuhada dan solihin. Maka mereka masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah SWT.

Yang ketiga syafaat bagi mengeluarkan golongan yang mentauhidkan Allah SWT dari neraka. Maka Allah SWT mensyafaatkan sesiapa sahaja hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sehingga tidak tinggal dalam neraka orang yang terdapat dalam hatinya keimanan walaupun sebesar zarah.

Syafaat yang keempat ialah syafaat bagi menambah darjat golongan yang kurang amal kebajikan untuk menyusuli ahli keluarga mereka. Maka Allah SWT mempertemukan mereka dengan zuriat mereka dan lain-lainnya.
Kesemuanya ini telah dijelaskan melalui nas-nas yang jelas dan hadis-hadis yang sahih.


Tuesday, December 11, 2012

Mencari keikhlasan dalam diri



Kuasa, kekayaan dan pengaruh ujian besar, cabar kemampuan

Ulama terkemuka dan ahli ibadah yang zuhud, Al-Fudhail bin Iyadh, berkata meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, mengerjakan amal kerana manusia adalah syirik. Sedangkan ikhlas adalah jika Allah memberikan anugerah kepadamu untuk meninggalkan kedua-duanya. 


Bagaimanapun, sukar untuk menentukan keikhlasan seseorang. Keikhlasan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kata-kata seseorang yang menyebut perkataan ikhlas atau catatannya yang bertulis ikhlas. 


Jika anda mampu untuk tidak dikenali oleh orang lain, maka laksanakanlah. Anda tidak rugi sekiranya tidak terkenal. anda juga tidak rugi sekiranya tidak disanjung orang lain," Fudhail bin Iyadh


Biasanya kuasa, kekayaan dan pengaruh banyak menguji keikhlasan seseorang. Semakin masyhur dan terkenal seseorang itu, semakin mencabar diri dan kedudukannya. Sebab itulah sesetengah ulama takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika anda mampu untuk tidak dikenali oleh orang lain, maka laksanakanlah. Anda tidak rugi sekiranya tidak terkenal. Anda juga tidak rugi sekiranya tidak disanjung orang lain. Demikian pula, janganlah gusar jika anda menjadi orang yang tercela di mata manusia. tetapi menjadi manusia terpuji dan terhormat di sisi Allah.”

Rasulullah SAW bersabda: “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kendali kudanya di jalan Allah sementara kepala dan tumitnya berdebu. Apabila ia bertugas menjaga benteng pertahanan, ia benar-benar menjaganya. Dan jika ia bertugas sebagai pemberi minuman, ia benar-benar melaksanakannya.”

Kisah Khalid Ibn Waled sangat diingati apabila perbincangan berhubung maksud keikhlasan dalam konteks kepemimpinan. Kegagahan dan kepahlawanan Khalid Ibn Waled sebelum dan selepas Islam tidak boleh dinafikan sesiapapun. 

Bahkan beliau terus diberi kepercayaan sebagai seorang panglima perang selepas memeluk Islam kerana kebolehannya yang diakui. Namun, kedudukan beliau sebagai seorang Islam akhirnya diuji dan keikhlasannya dinilai ketika pemerintahan Saidina Umar Al Khattab.

Khalid Ibn Waled yang terkenal dengan keberanian dan kehebatan strategi perangnya telah dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Khalifah iaitu pada tahun 13 Hijrah, sejurus selepas Saidina Umar dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah. 

Kedua-dua peristiwa itu bukanlah disebabkan Khalifah tidak memandang jasa dan pengorbanan Khalid Ibn Waled dan bukan juga disebabkan Khalid menghadapi masalah hubungannya dengan Khalifah. 

Tindakan yang dilakukan Saidina Umar adalah semata-mata untuk menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah. Khalifah tidak mahu umat Islam terpengaruh dan terpukau dengan kebolehan Khalid Ibn Waled sehingga tersilap sangka bahawa kemenangan Islam disebabkan kehandalan Khalid, bukannya kerana bantuan Allah SWT.

Meskipun dilucutkan jawatan, Khalid Ibn Waled tanpa rasa kecewa telah menanggalkan serban seorang panglima perang lalu diserahkannya kepada Abu Ubaidah seperti mana yang diminta oleh Khalifah.

Begitu juga peristiwa di mana Khalid Ibn Waled dipecat dari jawatannya sebagai Gabenor di Syria oleh Khalifah lalu beliau berkata: “Amir al-Mukminin (Umar) melantik aku sebagai Gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancar, beliau melucutkan jawatanku.

Lalu seorang lelaki berkata: “Sabarlah wahai tuan, ia waktu untuk bermulanya fitnah. Khalid kemudian menjawab: “Selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu tiada ruang fitnah boleh berlaku.”

Bagi menggambarkan pandangan jauh, ketegasan dan keberanian Khalifah Umar, Khalid Ibn Waled menerima pemecatannya itu dengan baik bagi menggambarkan sahsiahnya sebagai seorang Islam.

Khalid Ibn Waled dilihat begitu yakin terhadap kepimpinan Saidina Umar yang lebih mengutamakan kepentingan memelihara agama, demi mengelakkan fitnah dan menghalang pemujaan kepada tokoh.

Betapa sukarnya mencari keikhlasan yang dimiliki oleh insan bernama Khalid Ibn Waled pada hari ini terutama ketika berdepan dengan ujian kesetiaan kepada pasukan dan organisasi diperlukan.

Berita Harian

Persoalan Agama - Menyantuni si miskin

jadikanlah diri kita manusia yang pemurah dengan cara melazimkan diri selalu bersedekah. 
- Gambar hiasan


SOALAN :

ADAKAH manusia boleh menolak kedatangan orang-orang miskin dan menyatakan bahawa kemiskinan itu boleh dihindari jika mereka berusaha untuk menjadi kaya. Apakah pandangan Islam jika ada orang yang bersifat demikian dan apakah caranya supaya manusia tidak memandang serong kepada orang-orang miskin?

JAWAPAN :

SEGALA puji bagi Allah SWT yang telah menjadikan kekayaan dan kemiskinan sebagai satu ujian bagi setiap manusia. Di dalam Islam, kemiskinan bukanlah sesuatu yang wajar dicari, namun, jika ditakdirkan menjadi miskin, seseorang itu tidak pula seharusnya membiarkan dirinya terus-menerus berkeadaan miskin. Mereka dianjurkan agar berusaha dan mencipta kejayaan dalam hidupnya. Namun, jika mereka bersabar dalam tempoh kemiskinan itu, pastilah besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyeru manusia agar berusaha dan menjadikan diri mereka mampu bersedekah dan berzakat. Sudah pastilah, ia adalah satu isyarat agar kita berusaha untuk keluar daripada kemiskinan.

Namun, jangan kita lupa bahawa manusia boleh menjadi miskin dengan pelbagai sebab. Ada orang menjadi miskin atas faktor keadaan. Misalnya, harta-benda dan kekayaannya musnah akibat bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya. Atau dia menjadi miskin kerana kegawatan ekonomi, perusahaannya bankrap atau dia dibuang kerja. Maka, dia menjadi miskin secara tiba-tiba tanpa diduga.

Ada juga orang menjadi miskin atas faktor latar belakang keluarga yang tidak berpendidikan atau memang terkekang dengan belenggu yang menghalang perubahan. Misalnya pada zaman dahulu, ada orang menjadi miskin kerana mereka lahir dalam keturunan miskin, pekerja bawahan dan juga keturunan hamba abdi, seperti Bilal bin Rabah. Sukarlah mereka untuk keluar daripada keadaan sedemikian.

Maka, untuk memuliakan manusia hamba itulah, Allah SWT telah mengizinkan agar mereka dibebaskan dengan peruntukan zakat. Bahkan, Nabi Muhammad SAW juga menyeru agar manusia sentiasa berfikir untuk menjadi lebih baik dan keluar daripada status yang lemah.

Nabi Muhammad SAW menyatakan: Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya "KALAU" membuka amalan syaitan. (riwayat Muslim)

Hakikatnya, walau apa pun situasi kemiskinan, ia adalah ujian daripada Allah SWT. (rujuk al-An'am: 53)

Pemberian

Berbalik kepada persoalan di atas, bagaimanakah sikap orang kaya apabila didatangi orang-orang miskin? Jawapannya, sudah pastilah Islam menghendaki agar golongan miskin ini dilayan secara sepatutnya. Jika perlu memberi, maka berilah. Jika enggan memberi, maka tolaklah dengan baik. Bahkan, pemberian yang diiringi ucapan yang jahat, dipandang hina oleh Allah SWT. (rujuk al-Baqarah: 264)

Perkara yang paling dilarang adalah, jika si kaya itu enggan memberikan hartanya maka dia turut mendabik dada bahawa harta itu adalah miliknya; bahkan sebaliknya mengherdik orang-orang miskin itu agar berusaha sendiri mencari hartanya. Allah SWT menyelar golongan ini kerana mereka telah berkelakuan seperti Qarun. (rujuk al-Qasas: 78)


Menghadap kiblat

Kewajipan umat Islam untuk berkiblat ke Kaabah di Mekah bermula pada tahun kedua Hijrah.



ARAH menghadap ketika solat disebut 'kiblat', iaitu Kaabah di Mekah, Arab Saudi. Kiblat berasal daripada bahasa Arab al-qiblah yang bererti arah. Kata al-qiblah sendiri berasal daripada kata kerja qabala-yaqbalu yang bermaksud menghadap.

Kewajipan umat Islam untuk berkiblat ke Kaabah di Mekah bermula pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, ketika melaksanakan solat, umat Islam masih menghadap ke al- Sakhrah di Baitulmaqdis.

Perubahan arah kiblat solat ini didasarkan pada firman Allah SWT yang memerintahkan umat Islam mengubah arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Masjidil Haram di Mekah.

Batas kiblat
Ada dua ayat yang menyebut tentang batas kiblat bagi umat Islam, iaitu al-Baqarah: 144 dan 150 yang bermaksud: Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram.

Kata syatr (arah) dalam ayat tersebut dipertikaikan oleh ulama fikah. Ada yang memahaminya sebagai 'tepat mengarah ke Kaabah' dan ada pula yang memahaminya 'sekitar Kaabah sekalipun tidak tepat menghadap Kaabah'.

Kedua-dua pendapat tersebut dibenarkan kerana mereka yang berada di sekitar dan langsung melihat Kaabah tentu harus menghadap ke Kaabah.

Kiblat al-sakhrah
Sejarah mencatatkan bahawa ketika Nabi Muhammad SAW bersama-sama para sahabat tiba di Madinah (622M), Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk berkiblat ke al-Sakhrah (batu cadas) di Baitulmaqdis.
Akibatnya, orang Yahudi, sebahagian besar penduduk Yathrib (Madinah) pada waktu itu, berasa bangga kerana umat Islam berkiblat ke tempat kiblat mereka. Bahkan mereka kadang-kadang mengejek umat Islam dan menganggap bahawa Muhammad SAW mengikuti kiblat mereka.

Nabi Muhammad SAW memohon ke hadrat Allah SWT supaya umat Islam berkiblat ke Kaabah.

Allah berfirman yang bermaksud: 
Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang- ulang menengadah ke langit maka kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. (al-Baqarah: 144).

Orang yang tidak mengetahui arah kiblat boleh berijtihad untuk menentukan arah kiblat. Tanda alam yang dapat dijadikan petunjuk ialah fajar, matahari dan arah mata angin.

Bagaimanapun, jika ada orang boleh dipercayai, maka petunjuknya boleh juga diikuti. Ketika masuk waktu solat semasa berada di atas kenderaan seperti kereta api, orang Islam boleh melakukan solat tanpa menghadap kiblat.

Mihrab
Mihrab ialah bahagian bangunan masjid yang menentukan arah kiblat. Mihrab berfungsi sebagai tempat imam memimpin solat jemaah. Masjid terikat dengan kiblat dan mempengaruhi kedudukan, corak dan struktur mihrab.

Perkembangan seni bina Islam banyak mengilhamkan pembangunan mihrab yang hebat. Biasanya terdapat sebuah mimbar di mirhab yang menjadi bahagian utama keindahan seni bina dalaman masjid.

Ujian ketaatan
Perintah pemindahan kiblat dari al-Sakhrah di Baitulmaqdis ke Kaabah di Mekah membuatkan orang Yahudi tertanya-tanya, "Apakah yang menyebabkan umat Islam mengubah kiblat ibadatnya?"

Pemindahan kiblat tersebut bertujuan antara lain untuk menguji ketaatan umat Islam dan untuk menunjukkan kehendak dan kekuasaan Allah SWT.

Timur dengan barat
Kiblat bagi orang yang tidak melihat Kaabah ialah arah Kaabah, sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Arah antara timur dengan barat adalah kiblat. Bahkan, kiblat Kaabah tidak terbatas pada timur dan barat saja, tetapi termasuk juga udaranya, baik ke atas mahupun ke bawah."

Oleh sebab itu, orang yang berada di angkasa atau di dasar laut, umpamanya, boleh melakukan solat.



Doa Ketika Hadapi Kesukaran



Saturday, December 8, 2012

Tafsir Surah Yasin - Teriakan petanda kiamat

bencana- bencana yang berlaku sekarang ini adalah bukti kekuasaan Allah SWT yang perlu diambil pengajaran. - Gambar hiasan


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI


PADA ayat yang sebelumnya, Allah SWT menyuruh mereka bertakwa kepada-Nya dan mengingatkan supaya jangan menerima azab seperti yang pernah dialami oleh umat-umat terdahulu kerana mereka telah mendustakan para rasul.

Manakala dalam ayat yang berikutnya dia menerangkan pula keingkaran tentang hari kebangkitan semula manusia dan juga permintaan mereka agar hari kebangkitan tersebut didatangkan dengan segera dalam nada mengejek.

Kemudian diterangkan kepastian berlaku hari kebangkitan dan bangkit dari kubur masing-masing lantas mereka bertanya: Siapakah yang telah mengejutkan kami dari kubur? Kemudian dijawab: Allah SWT yang menentukan semua ini dan Dia telah menjanjikannya kepada rasul-rasul-Nya yang lepas.

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang anggapan orang kafir yang mengatakan mustahil terjadinya hari Kiamat dalam kehidupan mereka."

Firman Allah SWT: 

A048

Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka Kami sedia menunggu). (Yasin: 48)


Al-Maghari berkata: "Mereka berkata dengan nada mengejek-ejek serta memperolok-olok: Bilakah berlakunya hari kebangkitan manusia yang sering kali kamu ancamkan kepada kami, sama ada secara jelas atau samar jika kamu orang yang boleh dipercayai kata-katanya?"

Kata-kata di atas ditujukan kepada Rasulullah SAW dan orang Mukmin yang sentiasa membacakan ayat yang menyebut hari kebangkitan manusia dan menyuruh mereka beriman dengan peristiwa tersebut. Pertanyaan mereka dijawab oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: 

A049
Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing). (Yasin: 49)

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Umar yang berkata: "Sebenarnya sangkakala akan ditiup ketika manusia berada di jalan, majlis-majlis dan pasar-pasar. Ketika itu sehelai kain masih berada di tangan dua orang yang sedang tawar-menawar, tiba-tiba mereka terkejut."

Itulah yang dimaksudkan Allah SWT dalam firman-Nya: Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan sahaja akan membinasakan mereka ketika sedang bertengkar.

Ibnu Kathir berkata: "Mereka tidak menunggu kecuali satu teriakan sahaja. Ketika ditiupkan sangkakala, manusia masih lagi bertengkar, tawar-menawar di pasar-pasar. Malaikat Israfil diperintahkan Allah SWT meniup dengan kuat dan berterusan, tidak satu makhluk yang terkecuali mendengarnya lantas semuanya dibangkitkan dan berkumpul di hari kiamat."

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Kiamat akan berlaku ketika dua orang masih merentang sehelai kain dalam proses tawar-menawar hingga kedua-duanya tidak sempat lagi meneruskan urusan jualbelinya, apatah lagi melipat semula kainnya itu.

Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyimen kolahnya sebelum sempat mengisi air di dalamnya. Hari kiamat juga berlaku ketika seseorang membawa susu kambingnya tanpa sempat meminumnya. Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyuap makanan ke dalam mulutnya sebelum sempat dia mengunyahnya.

Kemudian Allah SWT menerangkan kedatangan hari Kiamat yang begitu cepat dengan hanya satu teriakan sahaja malah lebih cepat daripada itu.

Firman Allah SWT: 

A050

Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya. (Yasin: 50)
Ibnu Kathir berkata: "Atas yang mereka miliki kerana saat itu lebih penting daripada masalah tersebut."

Al-Maghari berkata: "Ketika itu mereka tidak lagi berpeluang membuat pesanan wasiat kepada seseorang di kalangan ahli keluarganya. Begitu juga dengan seseorang yang berpisah dengan keluarga tidak sempat lagi untuk berkumpul semula."

Pekikan itu datang dengan mendadak sehingga mereka akan mati berkaparan di mana sahaja ketika itu. Kemudian Allah SWT menerangkan pula tiupan sangkakala yang kedua akan ditiupkan nanti.

Marilah sama-sama kita menginsafi betapa kerdilnya kita yang akan melalui peringkat perjalanan yang jauh, bermula daripada kehidupan dunia menuju ke alam kubur seterusnya dibangkitkan menjadi hamba Allah yang perlu taat dan patuh kepada perintah-Nya. Ini kerana kebahagiaan yang hakiki ialah apabila seseorang selamat dari neraka Allah dan dapat menghuni syurga-Nya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...