Kewajipan umat Islam untuk berkiblat ke Kaabah di Mekah bermula pada tahun kedua Hijrah. |
ARAH menghadap ketika solat disebut
'kiblat', iaitu Kaabah di Mekah, Arab Saudi. Kiblat berasal daripada bahasa
Arab al-qiblah yang bererti arah. Kata al-qiblah sendiri
berasal daripada kata kerja qabala-yaqbalu yang bermaksud menghadap.
Kewajipan umat Islam untuk berkiblat ke
Kaabah di Mekah bermula pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, ketika
melaksanakan solat, umat Islam masih menghadap ke al- Sakhrah di Baitulmaqdis.
Perubahan arah kiblat solat ini didasarkan
pada firman Allah SWT yang memerintahkan umat Islam mengubah arah kiblat dari
Baitulmaqdis ke Masjidil Haram di Mekah.
Batas kiblat
Ada dua ayat yang menyebut tentang batas
kiblat bagi umat Islam, iaitu al-Baqarah: 144 dan 150 yang bermaksud: Oleh
itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram.
Kata syatr (arah) dalam ayat
tersebut dipertikaikan oleh ulama fikah. Ada yang memahaminya sebagai 'tepat
mengarah ke Kaabah' dan ada pula yang memahaminya 'sekitar Kaabah sekalipun
tidak tepat menghadap Kaabah'.
Kedua-dua pendapat tersebut dibenarkan
kerana mereka yang berada di sekitar dan langsung melihat Kaabah tentu harus
menghadap ke Kaabah.
Kiblat al-sakhrah
Sejarah mencatatkan bahawa ketika Nabi
Muhammad SAW bersama-sama para sahabat tiba di Madinah (622M), Allah SWT
memerintahkan umat Islam untuk berkiblat ke al-Sakhrah (batu cadas) di
Baitulmaqdis.
Akibatnya, orang Yahudi, sebahagian besar
penduduk Yathrib (Madinah) pada waktu itu, berasa bangga kerana umat Islam
berkiblat ke tempat kiblat mereka. Bahkan mereka kadang-kadang mengejek umat
Islam dan menganggap bahawa Muhammad SAW mengikuti kiblat mereka.
Nabi Muhammad SAW memohon ke hadrat Allah
SWT supaya umat Islam berkiblat ke Kaabah.
Allah berfirman yang bermaksud:
Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang- ulang menengadah ke langit maka kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. (al-Baqarah: 144).
Orang yang tidak mengetahui arah kiblat
boleh berijtihad untuk menentukan arah kiblat. Tanda alam yang dapat dijadikan
petunjuk ialah fajar, matahari dan arah mata angin.
Bagaimanapun, jika ada orang boleh
dipercayai, maka petunjuknya boleh juga diikuti. Ketika masuk waktu solat semasa
berada di atas kenderaan seperti kereta api, orang Islam boleh melakukan solat
tanpa menghadap kiblat.
Mihrab
Mihrab ialah bahagian bangunan masjid yang
menentukan arah kiblat. Mihrab berfungsi sebagai tempat imam memimpin solat
jemaah. Masjid terikat dengan kiblat dan mempengaruhi kedudukan, corak dan
struktur mihrab.
Perkembangan seni bina Islam banyak
mengilhamkan pembangunan mihrab yang hebat. Biasanya terdapat sebuah mimbar di
mirhab yang menjadi bahagian utama keindahan seni bina dalaman masjid.
Ujian ketaatan
Perintah pemindahan kiblat dari al-Sakhrah
di Baitulmaqdis ke Kaabah di Mekah membuatkan orang Yahudi tertanya-tanya,
"Apakah yang menyebabkan umat Islam mengubah kiblat ibadatnya?"
Pemindahan kiblat tersebut bertujuan antara
lain untuk menguji ketaatan umat Islam dan untuk menunjukkan kehendak dan
kekuasaan Allah SWT.
Timur dengan barat
Kiblat bagi orang yang tidak melihat Kaabah
ialah arah Kaabah, sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
"Arah antara timur dengan barat adalah kiblat. Bahkan, kiblat Kaabah tidak
terbatas pada timur dan barat saja, tetapi termasuk juga udaranya, baik ke atas
mahupun ke bawah."
Oleh sebab itu, orang yang berada di
angkasa atau di dasar laut, umpamanya, boleh melakukan solat.
No comments:
Post a Comment