jadikanlah diri kita manusia yang pemurah dengan cara melazimkan diri selalu bersedekah. - Gambar hiasan |
SOALAN :
ADAKAH manusia boleh menolak kedatangan
orang-orang miskin dan menyatakan bahawa kemiskinan itu boleh dihindari jika
mereka berusaha untuk menjadi kaya. Apakah pandangan Islam jika ada orang yang
bersifat demikian dan apakah caranya supaya manusia tidak memandang serong
kepada orang-orang miskin?
JAWAPAN :
SEGALA puji bagi Allah SWT yang telah
menjadikan kekayaan dan kemiskinan sebagai satu ujian bagi setiap manusia. Di
dalam Islam, kemiskinan bukanlah sesuatu yang wajar dicari, namun, jika
ditakdirkan menjadi miskin, seseorang itu tidak pula seharusnya membiarkan
dirinya terus-menerus berkeadaan miskin. Mereka dianjurkan agar berusaha dan
mencipta kejayaan dalam hidupnya. Namun, jika mereka bersabar dalam tempoh
kemiskinan itu, pastilah besar pahalanya di sisi Allah SWT.
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi
Muhammad SAW yang menyeru manusia agar berusaha dan menjadikan diri mereka
mampu bersedekah dan berzakat. Sudah pastilah, ia adalah satu isyarat agar kita
berusaha untuk keluar daripada kemiskinan.
Namun, jangan kita lupa bahawa manusia
boleh menjadi miskin dengan pelbagai sebab. Ada orang menjadi miskin atas
faktor keadaan. Misalnya, harta-benda dan kekayaannya musnah akibat bencana
alam seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya. Atau dia menjadi miskin kerana
kegawatan ekonomi, perusahaannya bankrap atau dia dibuang kerja. Maka, dia
menjadi miskin secara tiba-tiba tanpa diduga.
Ada juga orang menjadi miskin atas faktor
latar belakang keluarga yang tidak berpendidikan atau memang terkekang dengan
belenggu yang menghalang perubahan. Misalnya pada zaman dahulu, ada orang
menjadi miskin kerana mereka lahir dalam keturunan miskin, pekerja bawahan dan
juga keturunan hamba abdi, seperti Bilal bin Rabah. Sukarlah mereka untuk
keluar daripada keadaan sedemikian.
Maka, untuk memuliakan manusia hamba
itulah, Allah SWT telah mengizinkan agar mereka dibebaskan dengan peruntukan
zakat. Bahkan, Nabi Muhammad SAW juga menyeru agar manusia sentiasa berfikir
untuk menjadi lebih baik dan keluar daripada status yang lemah.
Nabi Muhammad SAW menyatakan: Mukmin
yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang
lemah dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu
mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan
kepada Allah dan janganlah kamu lemah dan sekiranya suatu (musibah) menimpa
kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah
tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir
Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya
"KALAU" membuka amalan syaitan. (riwayat Muslim)
Hakikatnya, walau apa pun situasi
kemiskinan, ia adalah ujian daripada Allah SWT. (rujuk al-An'am: 53)
Pemberian
Berbalik kepada persoalan di atas,
bagaimanakah sikap orang kaya apabila didatangi orang-orang miskin? Jawapannya,
sudah pastilah Islam menghendaki agar golongan miskin ini dilayan secara
sepatutnya. Jika perlu memberi, maka berilah. Jika enggan memberi, maka
tolaklah dengan baik. Bahkan, pemberian yang diiringi ucapan yang jahat,
dipandang hina oleh Allah SWT. (rujuk al-Baqarah: 264)
Perkara yang paling dilarang adalah, jika
si kaya itu enggan memberikan hartanya maka dia turut mendabik dada bahawa
harta itu adalah miliknya; bahkan sebaliknya mengherdik orang-orang miskin itu
agar berusaha sendiri mencari hartanya. Allah SWT menyelar golongan ini kerana
mereka telah berkelakuan seperti Qarun. (rujuk al-Qasas: 78)
No comments:
Post a Comment