![]() |
Hiasan |
DALAM ayat-ayat yang terdahulu Allah SWT
menyebut nikmat yang akan dikurniakan kepada orang yang berbuat baik. Pada
ayat-ayat yang berikutnya, Allah SWT menyebut pula keadaan orang yang suka
melakukan dosa.
Pada hari itu mereka disuruh berpisah dan
dijauhkan seseorang itu daripada yang lain. Jadi, mereka memperoleh dua azab
iaitu; azab api neraka dan azab diasingkan daripada orang lain. Sesungguhnya
tidak ada azab lain yang lebih pedih daripada azab ini.
Dia kemudiannya menyebut sebenarnya mereka
telah diberi peluang untuk menyelamatkan diri daripada dikenakan azab, melalui
perutusan para rasul.
Seterusnya disebut pula, bahawa kesudahan
orang kafir adalah neraka Jahanam dan kekal selama-lamanya di situ. Pada hari
itu mereka tidak dapat berbicara walau sepatah pun kecuali anggota lain yang
telah menjadi saksi atas segala perbuatan mereka.
Kemudian Allah SWT menyebut dengan
rahmat-Nya, Dia tidak akan menghukum mereka di dunia dengan hukuman yang berat.
Sebenarnya Allah SWT berkuasa memusnahkan penglihatan mereka, jika dia
menghendaki, sehingga mereka tidak mampu lagi melihat. Allah SWT juga mampu
mengubah rupa mereka menjadi babi atau kera, sehingga mereka tidak mampu lagi
berbangga dengan rupa paras mereka itu.
Kemudian Allah SWT menolak alasan mereka
yang mengatakan: Kami diberi umur yang sangat pendek dan sekiranya umur
kami panjang sudah tentu kami akan melakukan kebaikan mengikut kebenaran. Penolakan
Allah SWT ini kerana jika mereka diberikan umur panjang pun, mereka masih
enggan melakukan kebaikan. (rujuk al-Fatir: 37)

Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan". (Faatir 35:37)
Firman Allah SWT:
Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (daripada bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman). (Yasin: 59)
Ibnu Kathir berkata: Allah menjelaskan
kedudukan orang kafir dengan perkataan Imtaz sebagai gambaran tempelak.
Al-Qurtubi berkata: Golongan ini akan
berbeza antara satu sama lain, kemudian beliau menukilkan beberapa pendapat
antaranya:
Qatadah berkata: Mereka dibuang daripada
segala kebaikan.
Ad-Dhahak berkata: Golongan penderhaka
berbeza dengan sebahagian yang lain iaitu golongan yahudi satu puak, nasrani
satu puak, majusi satu puak, penyembah berhala puak yang lain dan lain-lain.
Al-Maraghi berkata: Berpisahlah kamu dan
masuklah ke tempat tinggal kamu di dalam neraka, bermula saat ini kamu tidak
lagi boleh bergaul dengan kaum mukminin buat selama-lamanya. Ketika mereka
diperintahkan agar berpisah (dengan orang yang beriman), tiba-tiba wajah mereka
menjadi kehitaman kerana terlampau sedih manakala mereka pun tertunduk.
Firman Allah SWT:

Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! (Yasin: 60)
Perkataan 'perintah' di sini seperti yang disebut
oleh al-Qurtubi sebagai wasiat iaitu tidakkah Aku wasiatkan kamu dan sampaikan
kamu mengikut lidah Rasul-rasul supaya tidak mengikuti syaitan dalam
menderhakai Aku.
Al-Maraghi berkata: Bukankah telah aku
berpesan melalui bukti yang aku tunjukkan di hadapan mata kamu dengan akal yang
Aku berikan kepada kamu menerusi rasul-rasul-Ku dan kitab-kitab yang aku
turunkan sebagai petunjuk agar kamu menuju ke jalan keselamatan? Oleh itu,
janganlah kamu menurut kemahuan serta langkah syaitan untuk menentang dan
menderhakai-Ku.
Firman Allah SWT:

Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (Yasin: 61)
Ibnu Kathir berkata: iaitu jalan yang lurus
di mana kebanyakan kamu memilih jalan yang lain, seperti mengikut jalan yang
diperintahkan oleh syaitan.
Al-Maraghi berkata: Aku melarang terhadap
kamu agar jangan mengikuti syaitan dan Aku perintahkan agar kamu menyembah-Ku,
Allah Yang Maha Rahman kerana ia akan membawamu ke jalan yang lurus. Namun kamu
masih memilih jalan itu sehingga kamu tersesat dan terjerumus ke lembah
kebinasaan.
Firman Allah SWT:

Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu, (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin: 62)
Ibnu Kathir berkata: Dimaksudkan dengan
banyak makhluk inilah pendapat Qatadah, al-Suddi, Mujahid, Sufyan bin Uyainah,
sedangkan mengikut pendapat al-Kalbi umat yang ramai.
Al-Maraghi berkata: Syaitan menghalang
sebahagian besar antara kamu mematuhi-Ku mengesakan-Ku sebagai tuhan, sehingga
mereka menyekutukan Aku dengan sembahan-sembahan yang lain.
Firman Allah SWT:

Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahanam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taat perintah Allah). (Yasin: 63)
Penjaga neraka berkata kepada ahli neraka,
inilah neraka jahanam yang dijanjikan kepada kamu sedangkan kamu ingkar.
Ibnu Kathir berkata: Dikatakan kepada orang
kafir di kalangan Bani Adam pada hari kiamat neraka Jahim dipamerkan kepada
mereka sebagai celaan dan kehinaan.
Al-Maraghi berkata: Inilah api Neraka
Jahanam yang dahulu pernah Aku janjikan kepada kamu dan yang disampaikan oleh
Rasul-Ku, jika kamu masih mengikut langkah syaitan dan tidak mematuhi
peraturan-Ku.
Firman Allah SWT:

Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan! (Yasin: 64)
Al-Maraghi berkata: Masuklah ke dalam
neraka, agar kamu dapat merasakan betapa panas bakarnya yang dahsyat kerana
dahulu kamu mengingkarinya.
Inilah balasan akibat derhaka kepada Allah
tanpa bertaubat dan kembali kepada-Nya, di mana masuk di dalam neraka merupakan
kehinaan yang abadi. Semoga Allah memelihara kita daripada seksaan api neraka,
Amin.
Firman Allah SWT:

Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Yasin: 65)
Ibnu Kathir berkata: Inilah gambaran
keadaan orang kafir dan orang munafik pada hari kiamat akibat di dunia dahulu
mereka mengingkari perintah Allah dengan perilaku yang buruk. Mereka sanggup
bersumpah dengan apa yang mereka lakukan. Lantas balasannya Allah pateri mulut
mereka sedangkan anggota tubuh badan mereka yang menjadi juru bicara dan saksi
atas apa yang mereka kerjakan.
Al-Maraghi berkata: Pada hari itu, orang
kafir mengingkari kejahatan semasa hidup di dunia dan mereka berani bersumpah
mereka tidak pernah melakukan perkara itu. Allah menutup mulut mereka sehingga
mereka tidak boleh bercakap sepatah pun. Kemudian disuruh pula anggota badan
mereka berbicara setiap perbuatan yang pernah mereka lakukan.
No comments:
Post a Comment