بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, December 16, 2012

Zakat persediaan pelaburan akhirat


Manusia sering alpa, leka menunaikan ibadah wajib

Bayangkan anda sedang melihat sebiji kek coklat besar diletakkan di sebuah meja. Ambil kek itu dan potongkan kepada 40 bahagian. Setelah siap ambil hanya satu bahagian dan berikan pada seorang rakan yang dari tadi sudah menelan air liurnya melihatkan kek itu. 

Kemudian lihat kembali kek itu, bakinya adalah milik anda dan anda berhak makan semuanya. Bandingkan milik anda dan satu bahagian yang telah anda berikan kepada rakan tadi. Sejujurnya, tanyakan pada diri  siapa lebih banyak bahagiannya? 

Ini adalah analogi untuk membina kesedaran kerana ramai dalam kalangan kita sering mengeluh tatkala tiba masa untuk menunaikan ibadah wajib atas harta kita. Bukannya apa, manusia sering alpa dan leka. 

Kita sering tersasar dan terlupa untuk membuat persediaan perbelanjaan bagi pelaburan akhirat kerana terlalu terpesona dengan kehidupan dunia yang sementara. Cuba perhatikan bil perbelanjaan dunia dan bandingkan dengan bil akhirat yang kita persiapkan untuk menuai hasilnya kelak.

Barangkali jumlah perbelanjaan dunia melebihi perbelanjaan akhirat yang kita peruntukkan. Sedangkan dunia akan hilang dan akhirat yang semakin mendatang pasti kekal. Lakukanlah taksirannya, anda pasti terkejut dengan realitinya yang mendukacitakan.

Inilah indahnya suatu sistem perbelanjaan dan pengurusan kewangan yang diturunkan Allah Taala menerusi ayat al-Quran. Betapa kasihnya Allah Taala yang memberikan harta dan rezeki, bahkan menurunkan pula kaedah perbelanjaan harta itu yang menjanjikan pulangan di dunia dan akhirat. 

Hakikat dan hikmah

Hebat sungguh tawaran ini. Malangnya manusia masih tidak sedar kerana dibuai ilusi ‘kemerosotan’ harta disebabkan menunaikan zakat. Inilah hakikat dan hikmah yang masih belum ramai menyedarinya. 

Daripada jumlah 100 peratus harta yang diperoleh hanya 2.5 peratus diperlukan sebagai zakat. Ibarat kek, baki 97.5 peratus itu masih milik kita. Siapakah yang memiliki lebih banyak? Sudah tentu kita. Allah pemilik mutlak harta, daripada-Nya ia datang dan Allah berhak menarik kurnianya bila-bila masa. 

Firman Allah SWT: 
“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu. Allah berfirman: AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang yang bertakwa dan yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” (Surah al-A’araf, ayat 156)

Rahsia menunaikan zakat

Hikmah dan rahsianya mungkin terlalu besar dan abstrak untuk diungkapkan. Ia hanya mampu dirasai golongan yang menunaikan tuntutannya. 

Apakah mungkin seseorang tidak pernah merasai enaknya durian menceritakan keenakannya kepada orang lain? Sudah tentu tidak. Jika ingin tahu rasanya maka anda perlu mencubanya. Begitu juga dengan hikmah dan rahsia menunaikan zakat.

Hisablah dan nilaikanlah. Jika 2.5 peratus itulah taruhannya, maka anda berhadapan dengan pilihan yang pelbagai iaitu 2.5 peratus modal untuk mendapat rahmat daripada-Nya dan 2.5 peratus adalah kos untuk anda hilang segala-galanya tanpa disedari.

Jumlah 2.5 peratus adalah nilai yang sangat tidak berbaloi untuk ditamakkan jika dibandingkan dengan azab neraka yang sangat pelbagai. Nilai itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan nikmat bakal diterima di syurga kelak.

Kecil jumlahnya namun kesannya lebih besar daripada yang anda sangka. Justeru, apakah nilai 2.5 peratus kepada anda? Renungkan dan fikirkan. Jadikan ia sesuatu yang bermakna.


2012/12/16 - 02:59:58 AM Husni Abdul Rahman

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...