بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, July 14, 2011

Doa elak sifat lemah, malas dan....




“Allahuamma Inni a’uuzu bika minal hammi wal hazan, wa ‘auuzhubika minal ‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika minal Jubni wal-Bukhl, wa’uuzhubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal



Maksud doa:

“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada keluh kesah dan kesedihan, dan aku berlindung denganMu daripada kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan daripada penindasan orang.”

Doa yang dipetik daripada hadis sahih ini membawa makna yang sungguh besar dalam kehidupan seorang manusia. Doa ini biasa dibaca oleh para imam, lebih-lebih lagi ia merupakan salah satu doa yang terdapat dalam al-ma’thurat.

Walau bagaimanapun,sejauh mana kita sebagai umat Nabi Muhammad mengamalkan dan menghayati doa yang datang daripada nabi kita yang tercinta ini.

Nabi menyuruh kita berdoa bagi melindungi diri kita daripada pelbagai sifat mazmumah dan masalah-masalah yang membelenggu hidup manusia tanpa kita sedari. 

Betapa terseksa seekor burung yang terperangkap dalam sangkarnya, begitu juga sengsaranya jiwa yang terbelenggu dalam kehidupannya sendiri. Itulah jiwa yang gagal menguasai diri sendiri.
Firman Allah:

“Berdoalah kepadaKu nescaya akan kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembahKu akan dimasukkan ke neraka jahanam dalam keadaan hina” (surah Ghafir [ 40 ] : 60)

Jelas sekali bahawa sifat-sifat sifat yang dinyatakan dalam hadis iaitu perasaan sedih dan gelisah, sifat lemah dan malas serta pengecut dan bakhil merupakan sifat-sifat yang tidak baik yang datang daripada syaitan. Hakikatnya, setiap manusia tidak dapat lari dari salah satu perasaan tersebut.

Oleh sebab itulah, nabi menyuruh kita meminta perlindungan denganAllah daripada sifat-sifat tersebut. Kawallah perasaan tersebut dan bangunkan jiwa yang positif kerana perasaan negatif hanya merosakkan hati dan jiwa.Pada saat itu, hati sudah tidak akan nampak cahaya kebenaran dan lupa kepada pencipta-Nya kerana dosa-dosa yang menghijab hati.

Kembalilah!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...