بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, July 14, 2011

Bahasa Melayu di Madinah

LAUNGAN "25 Riyal! 25 Riyal!...Mari ibu, hajah-hajah, mari beli! Murah, murah" daripada peniaga, kedengaran di lorong-lorong di luar Masjid Nabawi menyambut jemaah yang baru selesai menunaikan solat mereka.

Yang menariknya bahasa yang sering digunakan peniaga-peniaga ini ialah Melayu.

Penulis yang berada di tanah suci Madinah baru-baru ini, mendapati penggunaan Bahasa Melayu semakin meluas dan lebih ramai menggunakannya terutama dalam kalangan peniaga.

Sememangnya, sekitar minggu terakhir bulan Mei sehingga pertengahan Jun, ramai pengunjung terdiri daripada warga Malaysia, berada di Madinah.

Sempena cuti sekolah, ramai yang turut membawa anak-anak mereka menziarah kota Madinah sebelum ke tanah suci Mekah melakukan ibadah umrah.

Peniaga-peniaga di Madinah kebanyakannya datang dari negara-negara yang berjiran dengan Arab Saudi termasuk Afrika.

Mereka menjual jubah berbunga dengan labuci dan perada emas atau perak, kain tudung, barang perhiasan diri yang diperbuat daripada plastik dan lain-lain, serta pakaian lelaki dan perempuan, untuk dibeli jemaah sebagai tanda mata dibawa pulang untuk rakan dan sanak saudara di tanah air masing-masing.

Kebanyakan peniaga bagaimanapun tidak mempunyai lesen dan mereka akan lari bertempiaran apabila melihat pegawai penguatkuasa datang. Kadang kala ini berlaku ketika pembeli dan peniaga sedang tawar menawar.

Apabila peniaga lari, ada yang meninggalkan saja barangan lelongan mereka.

Pembeli pula takut untuk berganjak dan menunggu penjual itu datang semula.

Adakalanya, peniaga hanya menarik kain alas yang digunakan untuk menghampar barang jualan di atasnya, diikat seperti satu bunjutan besar dan lari bersembunyi di balik tiang-tiang di seberang jalan atau di dalam kedai-kedai di tepi jalan utama, yang jaraknya hanya kira-kira 200 meter dari Masjid Nabawi.

"Saya suka berebut-rebut membeli barang-barang di lorong lelong ni selepas solat waktu, terutama waktu Isyak," kata Zaleha Abdul Aziz, 50, dari Selangor.

Zaleha yang tiba pada 31 Mei lepas bersama suami dan anak-anak untuk menunaikan Umrah di tanah suci Mekah, berkata, udara agak sejuk ketika itu.

Lorong-lorong di antara Hotel Al Anwar Movenpick, Hotel Intercontinental dan lain-lain, menjadi bazar sementara yang dibuka mengikut waktu tertentu terutama selepas waktu solat.

Jika pembeli tahu bahasa Arab dan membeli secara pukal, mereka boleh mudah menawar harga dan mendapat diskaun.

Rata-rata peniaga jalanan menjual barang-barang mereka pada harga yang serupa oleh itu pelanggan tidak ada pilihan lain.

"Harga di dalam kedai pun lebih kurang juga tetapi kerana cuaca pada musim panas ini cepat meletihkan, saya lebih minat membeli apa saja yang boleh didapati di dalam perjalanan balik ke hotel. Tak perlu keluar lagi, cuma perlu bawa wang yang mencukupi.

"Kita hanya perlu memeriksa jahitan jubah atau skaf untuk memastikan tiada yang koyak atau rosak," jelas Sharifah Zakiah Syed Alwi, yang membeli barang untuk diberikan kepada sahabat handai dan sanak saudara di kampung halaman.

Ramai yang bimbang mengeluarkan wang besar kerana peniaga sering mendakwa tiada wang tukar untuk dipulangkan.

Walaupun ada pengurup wang yang berdekatan, tetapi sering dikerumuni pengunjung yang baru tiba untuk menukar mata wang.

Jemaah yang menjejakkan kaki buat kali pertama di kota Madinah pasti tidak mahu ketinggalan melawat ladang tamar yang terletak tidak jauh dari kawasan 'Jabal' atau gunung-ganang yang mempunyai kepentingan di dalam sejarah Islam.

Antara tempat ziarah yang dikunjungi dan diatur ejen pelancongan untuk jemaah dari Malaysia, ialah Jabal Uhud dan Jabal Thour, kawasan 'Wadi' atau tanah subur yang menghijau, pasar tamar dan masjid termasuk Masjid Quba', Qiblatain dan Masjid Tujuh.

Kos hotel di Madinah agak tinggi terutama yang terletak berhampiran Masjid Nabawi, sekurang-kurangnya SR550 (atau RM440) satu malam, untuk bilik berkongsi dua, pada bulan Mei hingga Julai.

"Harga untuk bulan Ramadan belum ditentukan lagi," jelas seorang petugas kaunter di Hotel InterContinental. Harga bilik paling murah di hotel bertaraf lima bintang ini ialah SR650 (RM520) satu malam.

Hotel ini terletak hanya 50 meter dari Masjid Nabawi. — BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...