بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, July 15, 2011

Penegasan ke-Esaan Allah


Tafsir Surah al-Ikhlas

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Surah ini termasuk dalam surah Makiyyah. Ini pendapat Ibn Mas'ud, al-Hasan, Ata', Ikrimah dan Jabir. Mengikut riwayat Ibn Abbas, Qatadah dan al-Dahhak, surah ini termasuk surah Madaniyyah. Ia terdiri daripada empat ayat dan diturunkan selepas surah al-Nas.

Sebab turunnya surah ini
Al-Dahhak meriwayatkan bahawa kaum musyrikin mengirim Amir Ibn al-Tufail menemui Rasulullah SAW lalu Amir berkata kepada baginda: "Engkau telah mencerai-beraikan persatuan kami, mencaci maki sembahan kami, menyalahi agama nenek moyangmu kami, sekiranya engkau fakir, kami sanggup membuatmu kaya, jika engkau gila, kami akan mengubatkanmu.

"Jika engkau cenderung mencintai seorang wanita maka kami akan mengahwinkanmu."

Lalu Rasulullah menjawab: "Aku bukan orang fakir, bukan orang gila, tidak merindukan wanita, aku adalah utusan Allah SWT, aku ajak kamu meninggalkan penyembahan berhala kepada menyembah Allah SWT."

Untuk kali kedua kaum Musyrikin mengutus Amir menemui Rasulullah seraya berkata: "Katakan padanya (Muhammad), jelaskan kepada kami jenis sembahanmu daripada emas atau daripada pereka?"

Lalu Allah SWT turunkan surah ini. Firman Allah SWT: Katakanlah: Dialah Allah, yang Maha Esa.

Perkataan Allah telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam buku Isu Kalimah Allah. Oleh itu, di sini hanya disebutkan tambahan daripada maksud Allah oleh pendapat ulama.

Satu persoalan yang mungkin perlu diberi jawapan adakah lafaz Allah daripada bahasa Arab atau beberapa bahasa Semantik yang mempunyai pertalian dengan bahasa Arab turut menggunakan kalimah Allah ketika merujuk kepada Tuhan seperti Elaha dalam bahasa Aramaic dan Elohim dalam bahasa Ibrani?

Terdapat dua pandangan dalam perbahasan isu ini:

i. Al-Balkhi berkata: "Ia bukan berasal daripada bahasa Arab, tetapi bahasa Ibrani atau Siryani yang telah di Arabkannya menjadi Lahan, maknanya yang mempunyai kudrat."

Ssedangkan al-Alusi pula berkata: "Tiada dalil yang menunjukkan begitu dan tidak membawa ke arah itu, begitu juga penggunaan orang Yahudi dan Kristian bukan menjadi dalil kerana boleh jadi berlaku persamaan bahasa berkenaan dengan ketuhanan."

ii. Mengikut pendapat ulama muktabar bahawa lafaz Allah adalah daripada bahasa Arab. Inilah pendapat Imam al-Syafie, Muhammad Ibn al-Hasan, Imam al-Asy'ari dan ramai sahabatnya, al-Khattabi, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali, Imam Fakhr al-Razi dan kebanyakan ahli usul dan fikah.

Begitu juga dinukilkan daripada pilihan al-Khalil, Sibawayh, al-Mazini dan Ibn Kisan bahawa lafaz Allah adalah dari bahasa Arab dan nama pada asalnya untuk zat-Nya sahaja.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...