بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, July 12, 2011

Keistimewaan Untuk Para Huffaz

AL-QURAN merupakan kitab suci yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW lebih 14 abad yang lalu. Bahasanya tinggi, sasteranya indah, maknanya dalam, pengajarannya luas dan isi kandungannya meliputi segenap aspek kehidupan manusia.

Kandungannya tidak berubah sehingga akhir zaman kerana Allah telah berjanji untuk memelihara kitab agung itu sehingga hari kiamat iaitu antaranya dengan meletakkannya di dalam hati-hati orang yang menghafal al-Quran.

Allah berfirman yang bermaksud: 

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr: 9)

Al-Quran merupakan mukjizat teragung untuk dipelajari, dijadikan panduan dan diamalkan seluruh umat manusia kerana ia lebih tinggi daripada apa yang dibayangkan oleh manusia.

Isi kandungannya dapat menyelesaikan setiap masalah kehidupan yang ada di dunia ini bagi sesiapa yang ingin mengambil pengajaran dan pelajaran daripadanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya". (riwayat Bukhari dan Muslim).

Galakan harus diberikan kepada manusia beriman agar mereka mencintai al-Quran sekali gus menjadikan al-Quran sebagai panduan untuk melayari kehidupan di dunia.

Orang yang menghafal al-Quran adalah merupakan golongan istimewa yang diangkat kemuliaannya dan diberi ganjaran terbaik di dunia mahu pun akhirat.

Mereka merupakan orang yang dimuliakan oleh Allah SWT. Ia dibuktikan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia". Lalu mereka bertanya: "Siapakah mereka ya Rasulullah?" Jawab baginda: "Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya". (riwayat Ibnu Majah).

Kaum kerabat golongan pencinta al-Quran ini juga turut diangkat kemuliaannya di sisi Allah sebagaimana Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini". (riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Barang siapa membaca al-Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram, maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka. (riwayat Tirmizi).

Penghafal al-Quran termasuk mereka yang hanya membaca ayat suci itu layak mendapat bonus berlipat kali ganda daripada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagai mananya. Aku tidak kata bahawa "alif laam mim" itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf. (riwayat Tarmizi).

Al-Quran mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di dalamnya. Banyak rahsia yang terkandung di dalamnya telah diterokai sehingga kini. Begitulah kelebihan yang ada pada al-Quran, tetapi tidak ramai manusia yang ingin mengambilnya sebagai wasilah kehidupan.

Rugilah orang yang tidak ada al-Quran di dalam hatinya walaupun satu ayat. Rasulullah SAW. menganggap orang yang tidak membaca al-Quran dan tidak menghafalnya, seterusnya tidak pula beramal dengan ajarannya adalah orang yang sangat rugi seperti rumah buruk yang hampir runtuh.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu daripada al-Quran di dalam dirinya adalah seperti rumah usang, buruk dan hampir runtuh". (riwayat Tirmizi)

Bagaimanapun, masyarakat kita kini telah sedar akan kelebihan menghafal al-Quran. Ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat hafazan atau sekolah-sekolah tahfiz al-Quran yang kini terdapat di seluruh negara.

Maka tidak hairanlah, sudah beribu-ribu para penghafal al-Quran dilahirkan di negara ini sama ada mereka menghafal secara sendiri, mengikut kelas hafalan atau produk daripada pusat pengajian kerajaan mahu pun swasta.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...