بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, July 29, 2011

Boleh tangguh sujud tilawah





DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud tetapi aku menolak maka untukku neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tilawah ertinya bacaan. Maka sujud tilawah ertinya adalah sujud bacaan. Dalam al-Quran ada beberapa ayat iaitu apabila dibaca ayat itu, kita disunatkan bersujud. Ayat inilah disebut ayat sajdah dan sujudnya disebut sujud tilawah.

Sujud tilawah disunatkan tidak hanya pada waktu solat tetapi juga di luar solat. Namun, dalam solat berjemaah, jika imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan imam.


Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Contohnya, ketika sedang di jalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah.

Maka, tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.

Ayat sajdah ialah surah as-Sajdah, ayat 15; al-A’raaf, ayat 206; ar-Ra’d, ayat 15; an-Nahl, ayat 49; al-Israa’, ayat 107; Maryam, ayat 58; al-Haj, ayat 18; al-Furqaan, ayat 60; an-Naml, ayat 25; Fussilat, ayat 38; al ‘Alaq, ayat 9; an-Najm, ayat 62; Insyiqaaq, ayat 21; Saad, ayat 24.

Cara melakukan sujud tilawah di luar solat menurut mazhab Syafi’e ialah dengan mengangkat tangan sambil bertakbir dan terus sujud dan membaca sepotong ayat ketika sujud yang maksudnya: “Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta.” Kemudian kembali duduk dan memberi salam.

Manakala ketika dalam solat pula cara melakukan sujud tilawah ialah sebaik saja membaca ayat sajdah, hendaklah terus bersujud dan membaca bacaan seperti di atas (dalam sujud). Setelah itu berdiri semula meneruskan bacaan seterusnya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 

Berita Harian2011/07/28

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...