![]() |
Sebahagian ulama berpendapat bahawa sentiasa membaca surah Yasin pada semua waktu boleh memudahkan sebarang urusan. - Gambar hiasan |
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED ALBAKRI
Alhamdulillah, selepas kita selesai
membincangkan Juzuk 29, maka kali ini penulis ingin menumpukan kepada
surah-surah pilihan untuk ditafsirkan. Ia bermula dengan surah Yasin yang
sentiasa dibaca dan dilazimi oleh masyarakat Islam, khususnya di Malaysia.
Surah ini termasuk dalam golongan surah
Makiyyah, kecuali ayat: Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu
keterangan yang sampai kepada mereka daripada keterangan Tuhan mereka melainkan
mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (Yasin: 46) yang
termasuk dalam ayat Madaniyyah.
Surah Yasin ini mengandungi 83 ayat dan ia
turun selepas surah al-Jin. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya, Allah
SWT berfirman: .......Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul (Kami) yang
memberi amaran….. (Fatir: 37), dan juga dalam ayat lain : Dan mereka
bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh sumpahnya. Demi sesungguhnya jika
datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran… (Fatir: 42)
Namun, tatkala pemberi peringatan itu datang
kepada mereka, mereka mendustakannya dan tidak mahu mengikutnya. Dengan
demikian, Allah SWT pun memulakan surah ini dengan sumpah tentang kebenaran
kerasulan Muhammad SAW dan menjelaskan bahawa Baginda berada di jalan
kebenaran. Penjelasan ini adalah untuk memberi peringatan kepada suatu kaum
yang sebelumnya belum pernah diberi peringatan.
Dalam surah yang lepas, Allah SWT
berfirman: …dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah
makhluk-makhluk-Nya)? Tiap-tiap satu daripada kedua-duanya beredar untuk suatu
masa yang telah ditetapkan… (Luqman: 29), sedangkan dalam surah ini Allah
S.W.T. berfirman : Dan (sebahagian daripada dalil yang tersebut ialah)
matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya… (Yasin: 38),
dan firman-Nya juga : Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui
beberapa peringkat… (Yasin: 39)
Sebahagian ulama berkata: Antara
keistimewaan surah Yasin ini, di mana tidak dibaca dalam keadaan sukar kecuali
Allah mempermudahkannya. Begitu juga bacaan surah Yasin ketika berada dalam
sakaratul maut, akan diturunkan rahmat dan berkat serta dipermudahkan keluarnya
roh.
Memudahkan
Sebahagian ulama berpendapat bahawa
sentiasa membaca surah Yasin pada semua waktu boleh memudahkan sebarang urusan
tetapi mereka berpendapat sunat dibaca pada hari Khamis kerana keluasan rezeki,
hari Selasa menolak daripada kezaliman dan selamat daripada musuh seterusnya
hari Ahad untuk mencapai kedudukan yang terpuji.
Walaupun begitu, ramai ulama telah mengamal
bacaan Yasin dan didapati cukup mujarab berkenaan dengan permintaan dan hajat
yang diajukan kepada Allah Rabb al-Alamin.
Firman Allah SWT :
Yaa, siin. Demi al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh. Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) daripada Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (Yasin: 1-4)
Firman Allah SWT :

Yaa, siin. (Yasin: 1)
Ibnu Kathir berkata : Huruf yang terputus
telah dibicarakan pada permulaan surah al-Baqarah dengan panjang lebar.
Pendapat yang paling kuat bahawa Allah sahaja yang mengetahui maksudnya.
Justeru, wajib kita beriman dan ini juga
sebagai bukti kalam Allah sehingga lemah manusia untuk menafsirkannya.
Firman Allah SWT :

Demi al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh. Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (Yasin: 2-4)
Syed Qutub berkata : Al-Quran yang amat
bijaksana mendidik manusia dengan penuh kebijaksanaan mengikut metodologi akal
dan psikologi yang membebaskan seluruh tenaga manusia serta membimbingnya ke
arah jalan yang baik dan lurus. Allah SWT bersumpah dengan Yasin dan dengan
al-Quran untuk menegaskan wahyu dan kebenaran risalah yang diturunkan kepada
Rasulullah SAW.
Al-Maraghi berkata: Allah SWT bersumpah
dengan al-Quran yang penuh hikmah dan tidak mengandungi unsur kebatilan sama
ada dari depannya ataupun dari belakang. Wahai Rasul! Sebenarnya engkau
benar-benar tergolong bersama orang yang diutus untuk menyampaikan agama yang
lurus. Al-Quran menegakkan satu sistem hidup yang membenarkan manusia melakukan
segala aktiviti yang berkait dengan matlamat kehidupan.
Penutup
Sebenarnya ayat-ayat yang dibincangkan
jelas menunjukkan betapa mulianya surah Yasin dan hubungan antara al-Quran
dengan rasul amat kukuh, begitu juga kedua-duanya memandu dan memimpin ummah ke
arah jalan yang benar-benar lurus dengan manusia akan mendapat hidayat serta
petunjuk selama mana berpegang kepada kedua-duanya tanpa berpaling kepada yang
lain.
Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah
yang mendapat keredhaan-Nya. Amin.
No comments:
Post a Comment