Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI
SETELAH Allah SWT menyebut perihal orang
musyrik yang tidak mahu memerhatikan tanda kekuasaan-Nya yang dapat disaksikan
di mana-mana sahaja di alam semesta ini, selanjutnya Dia menyebut pula perihal
mereka yang tidak mahu memerhatikan ayat-ayat al-Quran yang disampaikan kepada
mereka yang mengandungi peringatan dan ancaman bagi mengelakkan azab seperti
yang telah menimpa kaum-kaum sebelum mereka.
Kemudian Allah SWT meneruskan pula kecaman
terhadap mereka kerana tidak mahu bersikap belas kasihan sesama makhluk kerana
mereka tidak membelanjakan harta untuk menolong orang yang memerlukannya.
Firman Allah SWT:
Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat, (mereka tidak mengendahkannya). (Yasin: 45)
Mujahid berkata: "Daripada
berbagai-bagai dosa."
Ibnu Kathir berkata: "Ketakwaan kamu,
maka Allah SWT merahmati dan menyelamatkan kamu daripada azab-Nya."
Al-Maghari berkata: "Apabila dikatakan
kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT "awaslah, kamu pasti
akan menerima bencana seperti yang pernah menimpa umat sebelum kamu. Begitu
juga kamu hendaklah takut terhadap bencana-bencana yang pernah menimpa umat
yang sebelum kamu kerana melakukan kemusyrikan dan mendustakan rasul Allah
SWT."
Di samping itu pula kamu akan menerima azab
yang lebih keras dan kamu mati dalam keadaan kafir. Semoga peringatan ini
menjadikan kamu mahu bertaubat.
Ayat ini dengan jelas menunjukkan watak
orang kafir dan tidak beriman sentiasa mempertikaikan keputusan Allah SWT dan
segala bentuk janji Allah, mereka mempermainkannya.
Mereka tidak merasa gementar dan takut,
sebaliknya dengan bersahaja mempertikaikannya termasuk hari kiamat dan janji
Allah. Golongan seperti ini sentiasa wujud di sepanjang zaman. Semoga Allah
memelihara kita daripada disesatkan mereka.
Firman Allah SWT:

Dan (Itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (Yasin: 46)
Ibnu Kathir berkata: "Mereka tidak
berharap dan tidak menerimanya serta menolak manfaat daripadanya."
Al-Maghari berkata: "Setiap kali ditunjukkan
kepada mereka bukti-bukti keagungan ciptaan Allah SWT yang membukti
keEsaan-Nya, dengan serta-merta pasti mereka menolak dan mendustakan serta
mengejeknya."
Hakikatnya mereka itu tidak mahu
membebankan diri mereka dengan mempercayai keEsaan-Nya dan kebenaran rasul.
Allah SWT menyebut keengganan mereka menerima ayat-ayat-Nya, selanjutnya Dia
menyebut pula kekejaman mereka sesama makhluk Allah SWT.
Dalam ayat-ayat yang dibincangkan di atas
jelas mempamerkan sifat ingkar, protes dan tidak bersyukur atas kurniaan Allah
yang pelbagai dan banyak.
Justeru, mereka sewajarnya mengambil
iktibar berdasarkan kebenaran yang diserlahkan dalam al-Quran serta realiti
sebenar yang berlaku dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan penemuan
saintifik jelas menunjukkan kebenaran Ilahi.
Ulama berpendapat bahawa ayat ini turun
berkenaan masa sulit yang dihadapi masyarakat Mekah. Ketika itu Nabi Muhammad
SAW menganjurkan kepada semua pihak termasuk kaum musyrikin membantu fakir
miskin, namun mereka enggan.
Orang miskin yang telah memeluk Islam tidak
lagi diberi bantuan dan ketika itulah kaum musyrikin mengucapkan kalimat yang
kasar itu.
Marilah sama-sama kita sentiasa tadabbur ayat
Allah untuk mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan juga wasiat Tuhan
kepada kita semua.
utusan.com
No comments:
Post a Comment