AHLI hikmah dari Habsyah (Ethiopia) ini
bernama Luqman al-Hakim. Menurut al-Quran, Allah SWT menganugerahkan hikmah
kepadanya sehingga beliau digelar Luqman al-Hakim (Luqman yang dianugerahi
hikmah).
Nama penuhnya ialah Luqman bin Baura.
Beliau berketurunan Azar, ayah Nabi Ibrahim as. Dalam Tafsir al-Kasysyaf (karya
al-Zamakhsyari), Luqman digambarkan sebagai seorang lelaki yang berkulit sangat
hitam dan berwajah buruk dengan bibir yang sangat tebal.
Namun, hati dan akhlaknya tidak seburuk
wajahnya. Hatinya amat tulus dan akhlaknya sangat terpuji. Kata-kata hikmah
sebagai nasihat selalu keluar daripada bibirnya.
Menurut cerita tradisi Bani Israel, Luqman
selalu mengeluarkan kata-kata hikmah (ucapan yang sesuai dengan kebenaran)
sehingga akhirnya banyak diketahui masyarakat.
Seseorang pernah bertanya kepadanya,
"Bukankah kamu bekas hamba si fulan?" Luqman menjawab:
"Benar." Orang itu lalu bertanya lagi, "Tetapi apa yang membuat
kamu terkenal seperti sekarang?" Beliau menjawab: "Kekuasaan Allah
SWT. Aku selalu berkata benar dan meninggalkan sesuatu yang tidak berfaedah
serta selalu menunaikan amanah yang diberikan kepadaku."
Dalam tafsir al-Qurtubi, tertulis bahawa
ada tiga orang yang berkulit hitam tetapi sangat terkenal dalam sejarah, iaitu
Bilal bin Rabah, Mahja' (hamba Umar bin al-Khattab), dan Luqman al-Hakim.
Ada riwayat yang menyebut bahawa pada suatu
hari seseorang terkejut melihat susuk tubuh Luqman yang hitam legam dan
berbibir tebal. Pada waktu itu, Luqman mengatakan, "Sekalipun bibirku ini
tebal, tetapi apa yang keluar daripada mulutku adalah kata-kata hikmah. Dan
sekalipun kamu terkejut melihat kulitku yang hitam legam, namun hatiku putih
bagaikan kaca bersih."
Isteri majikan Luqman pernah marah kepada
suaminya. Suaminya lalu mencari juadah (makanan yang lazat) untuk isterinya,
kemudian meminta Luqman untuk menyerahkan makanan itu kepada kesayangannya
(maksudnya isterinya). Setibanya di rumah, Luqman memberikan juadah itu kepada
anjing majikannya, bukan kepada isterinya.
Setelah pulang majikannya bertanya kepada
isterinya adakah beliau sudah menerima juadah yang dikirim melalui Luqman.
Isterinya berkata, "Luqman tidak membawa sesuatu pun untukku. Suaminya
marah lalu memanggil Luqman. Luqman menjawab: "Hamba telah memberikan
juadah itu kesayangan tuan seperti yang tuan pesan, iaitu anjing tuan."
Luqman menambah, "Anjing itulah yang
seharusnya disayangi kerana sekalipun dihina dan disakiti, ia tidak
meninggalkan tuan, manakala isteri tuan sebenarnya bukanlah kesayangan tuan
kerana beliau sering meminta cerai sekalipun tidak dihina, apalagi
dipukul."
Kemuliaan seseorang di hadapan Allah SWT
tidak terletak pada keturunannya, tetapi pada ketakwaan dan akhlaknya. Luqman
adalah salah seorang yang bertakwa dan berakhlak mulia. Ketakwaan dan kemuliaan
akhlaknya dijadikan teladan dalam al-Quran.
Ketakwaan Luqman kepada Allah SWT
ditunjukkannya melalui nasihat kepada anak lelakinya, An'am atau Asykam,
misalnya tidak menyekutukan Allah SWT kerana perbuatan itu merupakan kezaliman
yang amat besar. (rujuk Luqman: 13)
Kemuliaan akhlaknya ditunjukkan melalui
nasihat supaya tidak bersikap sombong dan angkuh kepada sesama manusia (rujuk
Luqman: 18) dan perkataan lembut kerana seburuk-buruk suara ialah suara keldai
(rujuk Luqman: 19)
No comments:
Post a Comment