
BAGI kebanyakan manusia zaman ini, menjadi
kaya adalah satu matlamat hidup yang mesti diraih. Mereka menginginkan rumah
besar, kereta mewah dan pelbagai kemudahan hidup yang selesa. Untuk itu,
pelbagai usaha dilakukan siang dan malam untuk mengumpulkan wang. Sering kali,
keinginan itu membuatkan diri kita melupakan hak anak isteri yang memerlukan
kasih sayang dan perhatian, bahkan ada juga yang mengabaikan pantang larang
agama.
Apabila kita keliru dalam memahami konsep
kekayaan, maka kita akan tersalah dalam mencarinya. Kekayaan hakiki sebenarnya
bukan terletak pada benda-benda material, akan tetapi ia sesuatu yang berada di
dalam hati manusia. Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah kaya itu dengan
memiliki banyak harta. Akan tetapi kaya (sebenar) adalah kekayaan hati.(riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, Rasulullah
SAW bersabda kepada Abu Zar: "Wahai Abu Zar, adakah engkau menyangka
bahawa banyak harta itu bermakna kaya?" Abu Zar berkata:
"Ya."Baginda bersabda lagi: "Dan adakah engkau menyangka bahawa
ketiadaan harta itulah kefakiran?" Abu Zar berkata: "Ya."
Baginda lalu menjelaskan: "Kekayaan
sebenar adalah kekayaan hati. Dan kefakiran sebenar adalah kefakiran
hati."
Kaya hati
Kaya hati adalah merasa cukup dengan yang
ada. Sifat ini disebut juga dengan qana'ah. Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar:
"Kekayaan hati terbit daripada sifat reda atas ketentuan Allah dan
bersyukur atas segala pemberian-Nya."
Bagi orang yang kaya hati, rezeki yang
sedikit terasa banyak. Akibatnya, ia dapat menikmati pemberian Allah SWT itu
dengan sepenuh hati. Hatinya tidak lagi tercari-cari sesuatu yang kurang, apa
lagi runsing memikirkan cara untuk mendapatkannya. Sebaliknya, ia selalu merasa
riang gembira kerana limpahan rahmat daripada Allah SWT yang tidak pernah terputus.
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa
yang bangun pagi dalam keadaan aman sentosa, sihat tubuh badan dan memiliki apa
yang boleh dimakan, maka seolah ia telah memiliki seluruh isi dunia."
(riwayat al-Tirmizi)
Miskin hati
Siapa yang miskin hati tidak akan pernah
merasa cukup meskipun seluruh kekayaan dunia berada di dalam tangannya. Rezeki
yang begitu banyak terasa sedikit. Semakin banyak kekayaan yang diberikan,
semakin banyak seksaan yang dirasakan.
Ia selalu hidup dalam ketakutan, cemas dan
stres mengejar sesuatu yang tidak ada akhirnya. Belum lagi anak-isteri yang
menyeksa dengan pelbagai permintaan dan perangai buruk mereka.
Allah SWT berfirman:
Maka janganlah engkau mengagumi harta benda dan anak-anak mereka. Sesungguhnya Allah hendak menyeksa mereka dengan (harta dan anak-anak ini) di dunia dan kelak nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan kafir. (al-Tawbah: 55)
Orang yang miskin hati tidak dapat
mengecapi kenikmatan hidup. Malahan, hatinya terus dihantui kefakiran hingga
ajal membawanya ke liang kubur.
Rasulullah SAW bersabda: Andai seorang
anak Adam memiliki dua ladang penuh berisi emas, maka ia akan berusaha mencari
yang ketiga. Tiada apa yang dapat memenuhi perut manusia selain tanah. (riwayat
Al-Bukhari dan Muslim).
Luangkan sedikit masa
Kaya hati hanya dapat diperoleh apabila
kita kembali kepada Allah SWT. Allah SWT hanya meminta sedikit daripada kita,
namun memberi sangat banyak. Luangkanlah sedikit masa untuk beribadat
kepada-Nya, membelek al-Quran dan buku-buku agama. Nescaya pintu kekayaan akan
terbuka luas di dalam hati kita.
Dalam sebuah hadis kudsi, Allah SWT
berfirman: "Wahai anak Adam, luangkan masamu untuk menyembah-Ku, nescaya
Aku akan memenuhi hatimu dengan kekayaan, dan Aku akan menutupi kefakiranmu.
Namun jika engkau enggan melakukannya, nescaya Aku akan membebanimu dengan
pelbagai kesibukan, tetapi aku tidak menutupi kefakiranmu." (riwayat
Al-Tirmizi)
Walalhu a'lam.
ARKIB : 25/12/2012
Boleh juga baca sebaik-baik kekayaan itu adalah kaya jiwa
No comments:
Post a Comment