Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKARI
Telah dibincangkan pada siri yang lalu berkenaan
dengan Ashab al-Kahfi yang tidur begitu lama dan tidak menyangka dalam tempoh
yang panjang. Maka Allah SWT langsungkan lagi kisah mereka dengan persoalan
sesama sendiri perihal jangka masa mereka tidur. Seterusnya, saranan supaya
mencari rezeki dengan membeli makanan di pekan.
Ayat ke-19:

Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.
Ibnu Kathir berkata:
Sebagaimana Kami telah menidurkan mereka dan Kami bangkitkan mereka daripada
tidur dalam keadaan badan, rambut dan kulit mereka tetap segar. Tiada
kehilangan sedikit pun fizikal setelah tidur selama 309 tahun. Atas asas itulah
mereka saling bertanya jangka masa sama ada sehari atau setengah hari.
Hakikatnya Allah SWT mengetahui tempoh tersebut.
Al-Maraghi berkata: Kami menjadikan
pemuda-pemuda itu tidur di dalam gua dengan memelihara jasad mereka daripada
kerosakan. Pakaian mereka juga dipelihara daripada kehancuran meskipun
bertahun-tahun lamanya dengan kekuasaan Kami. Lalu mereka dibangkitkan daripada
tidur, supaya Kami memperkenalkan keagungan kekuasaan Kami dan keajaiban
terhadap makhluk Kami supaya mereka semakin mengerti setiap urusan yang mereka
alami. Iaitu berlepas dirinya mereka daripada menyembah berhala dan keikhlasan
mereka beribadat kepada Allah Yang Maha Esa dan Berkuasa kerana mereka
mengetahui secara nyata sekian lama apa yang mereka alami, namun mereka masih
tetap dalam keadaan seperti awal mereka tidur.
Akhirnya sebahagian daripada mereka
bertanya kepada sebahagian yang lain. Ini disebabkan mereka tertanya-tanya
kepada diri sendiri, sudah berapa lama mereka tidur.
Menurut Fakharudin al-Razi: Salah seorang
daripada mereka menyuruh salah seorang antara mereka membawa wang dirham pergi
ke kota Tursus.
Mereka berpendapat: Hadhihi, merupakan
isyarat yang menunjukkan bahawa orang yang berkata tadi benar-benar membawa
wang dirham supaya diterima oleh sebahagian sahabatnya, untuk menyempurnakan
kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, orang yang keluar dari rumahnya dengan
membawa dirham, bukan bererti dia tidak bertawakal kepada Allah SWT.
Hamka berkata: Perasaan mereka juga seperti
baru tersedar daripada tidur, iaitu bahawa mereka dalam bahaya, sedang
dikejar-kejar oleh kaki tangan raja. Oleh kerana mereka sudah terlalu lapar dan
perlu mencari makanan, namun pada masa sama harus berwaspada kerana jika mereka
diketahui, mungkin sesuatu buruk yang akan berlaku.
Ayat ke-20:

"Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya".
Ibnu Kathir berkata: Yang
mereka maksudkan ialah para pengikut Daqyanus. Mereka bimbang para pengikut
Daqyanus menemui tempat persembunyian mereka. Kerana mereka akan terus diseksa
dengan pelbagai seksaan sampai mereka kembali kepada agama asal ataupun mati.
Dan jika mereka setuju untuk kembali kepada agama mereka semula, maka tidak ada
keuntungan bagi mereka di dunia dan di akhirat.
Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya orang
kafir itu apabila mengetahui tempat kamu, sudah pasti mereka akan membunuh kamu
dengan melempar batu-batu lantaran kamu tidak berganjak daripada keimanan
kepada-Nya. Hukuman seperti itu merupakan hukuman yang dilakukan pada zaman
dahulu terhadap orang yang menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan anutan
kebanyakan orang sama ada dalam masalah agama mahupun politik yang mempengaruhi
keadaan negara.
Mungkin juga mereka akan memaksa kamu untuk
kembali kepada agama bapa-bapa mereka. Apabila kamu menganut agama kerana
paksaan atau dipaksa sudah pasti kamu tidak akan memperoleh kebaikan di dunia
dan di akhirat.
Ayat ke-21:

Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka".©
Ibnu Kathir berkata: Kami
perlihatkan mereka yakni Ashab al-Kahfi kepada umat manusia.
Sayid Qutub berkata: Titik pengajaran
daripada penghabisan kisah anak-anak muda itu ialah ia mengemukakan dalil bagi
kebangkitan selepas mati dengan satu contoh yang berlaku di alam nyata yang
dapat dilihat dan difaham secara dekat.
Kisah ini dapat memudahkan manusia memahami
persoalan kebangkitan selepas mati dan meyakinkan mereka bahawa janji Allah SWT
itu benar dan hari kiamat itu tidak diselubungi sebarang keraguan.
Beginilah Allah SWT membangkitkan
pemuda-pemuda itu daripada tidur mereka dan mendedahkan hakikat mereka kepada
kaum mereka.
Manakala maksud masjid di sini ialah tempat
ibadat mengikut adat orang Yahudi dan orang Kristian yang mendirikan
rumah-rumah ibadat di atas kubur para nabi dan wali.
Ibnu Jarir menukilkan dua pendapat
berkenaan orang yang mengungkapkan hal tersebut:
- Mereka adalah orang Islam di kalangan mereka.
- Mereka adalah orang musyrik di antara mereka.
Ayat ke-22:

(Sebahagian dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT
merakamkan berkenaan dengan pendapat yang pelbagai isu bilangan Ashab al-Kahfi.
Dinyatakan tiga pendapat kemudian Dia melemahkan dua pendapat pertama dengan
firman-Nya: Mereka secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak
diketahui.
Mengikut pendapat yang paling kuat jumlah
mereka seramai tujuh orang. Inilah riwayat Ibnu Jarir daripada Ata'
al-Khurasani dan Ikrimah daripada Ibnu Abbas RA.
Penulis terpanggil dengan ulasan yang
menarik yang dikemukakan oleh Sayid Qutub antara lain berkata: Titik pengajaran
daripada kisah mereka adalah tercapai sama ada dengan bilangan yang sedikit
atau dengan bilangan yang banyak.
Oleh sebab itulah al-Quran al-Karim
mengarahkan Rasulullah SAW supaya meninggalkan perdebatan mengenai perkara ini
dan supaya jangan bertanya kepada sesiapapun daripada para pendebat itu
mengenai kedudukan penghuni-penghuni gua itu.
Arahan ini sesuai dengan metodologi Islam
yang mahu memelihara daya tenaga akal daripada dibuang percuma di dalam
perkara-perkara yang tidak berfaedah. Ia juga supaya seseorang itu tidak
mengikuti sesuatu yang tidak diketahuinya dengan penuh keyakinan.
Peristiwa Ashab al-Kahfi yang telah
digolongkan di zaman itu adalah daripada perkara-perkara ghaib yang terserah
kepada ilmu Allah SWT. Oleh itu hendaklah beliau tinggalkan sahaja perkara ini
kepada ilmu Allah SWT.
1 comment:
Info menarik
Post a Comment