Tegur menegur adalah salah satu perbuatan
dan sikap yang baik pada pandangan Islam. Bersesuaian dengan kelemahan di dalam
diri manusia yang memerlukan teguran untuk memperbaiki kesilapan diri.
Kita bukannya maksum seperti Nabi dan Rasul
yang sentiasa terpelihara oleh Allah SWT daripada dosa. Kita juga bukannya
seperti malaikat yang terhindar daripada dosa dan maksiat kepada Allah SWT.
Dengan teguran, manusia akan sedar atas
kesilapan, kelemahan dan kesalahan dalam diri. Pastinya kita yang hidup
bermasyarakat ini pernah mengalami peristiwa ditegur dan menegur kerana
kesilapan yang dilakukan.
Kemudian kita dapati ada sebahagian yang
dapat menerima teguran dan tidak kurang juga sebahagian yang tidak dapat
menerima teguran.
Segala puji bagi Allah bersama-sama orang
yang terbuka hatinya untuk menerima teguran dan memperbaiki kesilapan. Namun,
cuba kita fikirkan sebab-sebab orang yang tidak dapat menerima teguran. Bahkan
kesalahan yang dilakukan tidaklah sebesar mana pun.
Salah satu kebarangkalian orang yang
ditegur tidak dapat menerima teguran itu bukanlah kerana dia tidak boleh
berubah dan memperbaiki kesalahan, tetapi disebabkan cara dan kaedah teguran
yang kurang bijak atau tidak sesuai pada orang yang ditegur itu.
Tidak dinafikan walaupun perkara yang
ditegur itu sememangnya satu kesalahan yang perlu ditegur. Tetapi teguran
dengan cara yang tidak betul dan berhemah menyebabkan keadaan menjadi semakin
teruk.
Maka tidak hairanlah sekiranya ada yang
tidak dapat menerima teguran kerana kesilapan cara menegur seperti sindiran,
perlian, cacian, makian, terlalu emosi semasa menegur, menegur dikhalayak
ramai, seterusnya memalukan orang yang ditegur dan sebagainya.
Lebih malang lagi apabila teguran menjadi
penyebab terjadinya permusuhan, saling benci-membenci, putus kawan, putus
saudara dan saling ungkit mengungkit dan menyalahkan satu sama lain dan
seterusnya menimbulkan perasaan dendam dalam diri masing-masing. Akhirnya
matlamat untuk memberi kesedaran pada niat asalnya tidak kesampaian.
Teladani Rasulullah
Marilah kita meneladani keperibadian
Rasulullah SAW ketika baginda menegur sahabatnya sepertimana hadis berikut;
Daripada Ibnu Abbas r.a berkata: "Seorang lelaki membonceng Rasulullah SAW
pada hari Arafah. Pemuda itu menyedari kehadiran kaum wanita lalu memandang ke
arah mereka. Rasulullah SAW pun memalingkan wajah (pemuda tersebut) ke belakang
dengan tangannya berulang kali. Pemuda itu mengulangi pandangannya. Rasulullah
SAW bersabda kepada pemuda itu: Wahai anak saudaraku, hari ini sesiapa yang menjaga
pendengarannya, penglihatannya, dan percakapannya, dia akan diampuni [Musnad
Ahmad : 2922, Shaikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih]
Hadis ini memberikan pengajaran kepada
kitamethodologi dan pendekatan Rasulullah SAW dalam menegur kesilapan yang
dilakukan oleh para Sahabat. Sebagaimana yang kita sedia maklum, peranan kita
sebagai individu dalam masyarakat, antara tanggungjawab yang perlu kita mainkan
ialah menegur kesilapan dan kesalahan orang.
No comments:
Post a Comment