Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SETELAH dibahaskan secara umum kisah Ashab
al-Kahfi, maka ayat-ayat seterusnya akan diperjelaskan Allah SWT dengan lebih
terperinci lagi. Lantaran itu, marilah sama-sama kita menghayati kisah Ashab
al-Kahfi melalui nas Ilahi.
Firman Allah SWT:
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.(al-Kahfi: 13)
Ibnu Kathir berkata: Kisah Ashab al-Kahfi
berlaku sebelum kedatangan agama Nasrani, bukan selepasnya. Oleh itu, pendapat
ini amat bertentangan dengan riwayat kebanyakan mufassir yang percaya kepada
berita yang didengar daripada orang Arab. Sebagai buktinya,
pendeta-pendeta-pendeta Yahudi juga menghafal berita-berita tentang Ashab
al-Kahfi itu.
Al-Maraghi berkata: Kami memberitahu berita
tentang pemuda-pemuda yang berlindung di dalam gua dengan berita yang
sebenarnya kepadamu, yang tidak patut lagi diragukan.
Ini merupakan suatu gambaran bahawa berita
tentang mereka sudah terkenal di kalangan bangsa Arab menurut versi palsu. Hal
itu ditunjukkan kepada dakwaan Umayyah Ibnu Abu Salat:
Yang ada di sana hanyalah batu beraksara,
Di samping binatang buas mereka,
Dan orang yang beribadah dalam gua.
Hamka berkata: Bagi orang yang beriman,
keterangan ini adalah menerima "dari tangan pertama", yang mustahil
dicampuri oleh kata-kata dusta dan sebarang penambahan. Di sini juga dijelaskan
bahawa penghuni gua itu ialah anak-anak muda belaka, tidak bercampur dengan
orang tua. Maka jika dilihat kepada perjuangan Baginda SAW di Kota Mekah itu
kelihatan suatu pengalaman yang sepatutnya dijadikan pengajaran. Iaitu yang
bersedia menjadi penganut dan pengikut ajaran tauhid yang dibawa Rasulullah SAW
juga di kalangan anak-anak muda belaka.
Sedangkan golongan tua menjadi penghalang
kerana mereka telah tenggelam dalam hidup jahiliah dan kebatilan selama ini.
Setelah dasar iman itu tumbuh, ditambah pula dengan petunjuk Allah, sehingga
bertemulah keinginan makhluk insani yang dahagakan kebenaran, dengan bimbingan
yang datang daripada Tuhan sendiri sehingga sampai ke tempat yang dituju.
Penulis menyatakan ayat ini jelas
menunjukkan betapa hebatnya golongan muda yang mempunyai keimanan dan
ketakwaan. Hal ini sudah pasti akan bertambah kekuatan mereka dan Allah
kurniakan kepada mereka bantuan hasil daripada pengorbanan mereka. Terdapat
banyak hadis yang memuji golongan muda dan menegakkan agama Allah.
Oleh itu, tidak hairanlah ramai di kalangan
sahabat adalah daripada golongan yang muda. Golongan pemuda dianggap aset yang
penting bagi agama, negara dan bangsa dalam membina kekuatan, tamadun dan
kehebatan satu-satu ummah untuk memacu ke arah kehebatan yang penuh gemilang.
Amat wajar orang muda yang menjadi aset
utama negara diberikan sejumlah maklumat, motivasi dan sokongan agar mereka
benar-benar meraih kehebatan dalam meneruskan sisa kehidupan.
Firman Allah SWT:
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran.(al-Kahfi : 14)
Ibnu Kathir berkata: Kami jadikan mereka
bersabar atas sebarang perlakuannya sehingga sanggup menentang kaum mereka
sendiri, berhijrah meninggalkan desa dan negeri mereka daripada kehidupan yang
selesa, kebahagiaan dan pelbagai kenikmatan yang telah mereka raih.
Ramai ahli tafsir, sama ada yang terdahulu
atau yang kemudian menyebut bahawa mereka ini terdiri daripada anak pembesar
Rom dan bangsawan yang dihormati.
Yang menyatukan mereka hanya akidah
keimanan. Hal ini kebetulan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW mafhumnya: Semua
roh bagaikan kumpulan tentera. Mana yang sesuai dan serasi, mereka akan
bersatu, sebaliknya jika tidak serasi mereka akan berjauhan. Perumpamaan
seperti ini amat sesuai kepada golongan Ashab al-Kahfi.
Menariknya lagi, ayat di atas pada
hujungnya menyebut dengan lain yang membawa maksud memberikan suatu
pengertian penegasan dan kesungguhan yang tidak mungkin boleh bertolak ansur
dalam isu agama dan iman.
Lantaran itu, Ibnu Kathir menafsirkan
dengan maksud: Kami tidak akan menyeru kepada selain Allah untuk selamanya
kerana jika Kami lakukannya, maka sudah pasti membawa kepada kebatilan.
Sayid Qutub berkata: Bererti kami telah
melampaui kebenarannya dan menyeleweng dari jalan yang betul.
Al-Maraghi berkata: Kami ilhamkan kepada
mereka dengan kemahuan yang keras, meneguhkan mereka dengan cahaya keimanan
sehingga jiwa mereka tidak menyukai lagi kehidupan mewah yang selama ini mereka
alami bahkan membencinya.
Ketika berhadapan dengan raja yang kejam
itu, Daqiyanus iaitu ketika raja mengecam mereka dengan pertanyaan mengapa
tidak mahu menyembah patung-patung? Lantas mereka berkata: Tuhan kami adalah
yang memiliki langit dan bumi dan pemelihara segala makhluk. Kemudian kata-kata
tersebut dijelaskan lagi dengan pernyataan bahawa mereka hanya berlindung
dengan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment