Orang yang Istiqamah tidak mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu dan syaitan serta tunduk pada tekanan dalam beribadah. - Gambar hiasan |
DALAM kehidupan umat Islam, sifat Istiqamah
membawa maksud tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran.
Secara umumnya, berpegang pada akidah Islam
dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau
apa jua keadaan.
Umat Islam digalakkan berpegang teguh pada
akidah yang benar, iaitu Akidah Ahli al-Sunnah wal-Jamaah, melaksanakan
tuntutan syariat Islam berpandukan al-Quran dan hadis, mempunyai prinsip dan
keyakinan yang kuat, tidak mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu dan
syaitan dan tidak tunduk pada tekanan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan
mempertahankan kebenaran.
Sifat mulia ini dijelaskan oleh Allah dalam
firman-Nya yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu tetaplah kamu (beribadah) kepada-Nya dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Dan celakalah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya)" (Surah Fussilat: 41:6).
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Katakanlah aku beriman dengan Allah SWT kemudian teguhkan pendirian
kamu." (Riwayat Muslim).
Istiqamah merangkumi amalan hati, amalan
lisan serta perbuatan iaitu anggota tubuh badan yang merupakan kekuatan
sepanjang hayat dalam melaksanakan tuntutan Islam.
Sebagai contoh, istiqamah dalam iman, dalam
solat dan ibadah-ibadah lain serta menegakkan kebenaran dan keadilan dengan
menentang kebatilan dan kezaliman.
Sebagai ibu bapa, kena didik anak-anak
dengan sifat istiqamah yang dapat mendidik hati supaya sentiasa tetap teguh
kepada Allah SWT.
Pendidikan sejak kecil hingga remaja dan
terus kepada dewasa akan memperteguh hati dan jiwa supaya sentiasa beristiqamah
kepada Allah SWT.
Bagi memperkukuh istiqamah dalam hati
seseorang Muslim mestilah mempertahankan kesucian iman, menjaga kesucian hati
daripada sifat-sifat syirik, riak, takbur dan sombong.
Sifat-sifat ini adalah penghalang kepada
istiqamah. Seterusnya menyuburkan hati dengan sifat ikhlas, jujur dan sentiasa
reda kepada-Nya.
Keluhuran hati Rasulullah SAW dapat
dijadikan contoh melalui sifat-sifat pemurah, adil, benar, sabar, pemaaf, kasih
sayang, zuhud dan tawaduk.
Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda
yang bermaksud: "Barang siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah,
mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka
sempurnalah imannya." (Riwayat Abu Daud).
Istiqamah lisan menjaga tutur kata supaya
sentiasa bercakap benar, jujur, tepat dan tidak berpura-pura. Sentiasa
mengelakkan perkataan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti memfitnah
dan bercakap kotor (seperti mencarut) dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda: " Tinggalkan
apa yang meragui anda kepada apa yang tidak meragui anda." (Riwayat
Al-Bukhari).
Keraguan termasuk kerja hati. Hati orang
yang beriman dapat menimbang antara yang mulia dan yang hina dan antara yang
jelas dan yang meragukan. Islam mengajak umatnya supaya sentiasa bersifat
istiqamah. Allah SWT menerima sesuatu amalan yang diyakini dan menolak yang
meragui.
Seterusnya, Istiqamah perbuatan dan amalan
meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredai Allah SWT.
Ini meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan
kebenaran dalam perbuatan seharian.
Nabi SAW bersabda: "Barang siapa
memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menyempurnakan
hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya
maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan)."
(Riwayat Al Hakim).
Dalam hubungan ini, Ulama Ahmad Athaillah
mengatakan: "Ada kalanya Allah memberi kepadamu kekayaan (kesenangan)
dunia, tetapi tidak memberi kepadamu taufik dan hidayah-Nya. Ada kalanya Allah
menolak (tidak memberi) kamu kesenangan dunia dan kemewahan-Nya, tetapi memberi
kepadamu taufik dan hidayah-Nya."
Berkaitan dengan istiqamah, Abi, Amrah
Sufyan bin Abdullah r.a., berkata: "Aku bertanya maksudnya 'hai
Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam perkataan yang tidak perlu aku
bertanya seorang pun selainmu."
Sabda baginda: "Katakanlah iaitu aku
beriman dengan Allah kemudian istiqamah." (Riwayat Muslim).
Daripada hadis ini jelas antara bentuk
istiqamah ialah melaksanakan segala yang wajib dengan mengikut sunah
Rasulullah.
Menambah ibadat yang sunat, menjauhi yang
haram, melakukan tugas yang diamanahkan dengan berterusan dan konsisten.
Kita juga digesa supaya segala kebaikan
atau amalan termasuk pekerjaan dan perkhidmatan yang dilakukan hendaklah dalam
istiqamah dengan menghindarkan segala sifat mazmumah seperti malas, putus asa,
semangat yang seketika dan mudah luntur kerana boleh menafikan maksud dan
matlamat istiqamah.
Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah
berazam memperkuatkan sifat istiqamah dalam hati, menerusi lisan dan juga
perbuatan.
Semoga dengan mendidik hati, lisan dan
perbuatan dengan sifat istiqamah akan mencapai kejayaan di dunia dan juga
akhirat dengan penuh keberkatan dan kejayaan.
Oleh AMINUDIN MANSOR
DR AMINUDIN MANSOR berkelulusan Ijazah kedoktoran Persuratan Melayu.
No comments:
Post a Comment