بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, March 11, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Allah berhak disembah



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SETELAH dibincangkan berkaitan dengan pemuda Ashab al-Kahfi yang Allah SWT berikan kepada mereka kekuatan kerana keimanan dan ketakwaan sehingga menjadikan mereka benar-benar utuh dalam mempertahankan akidah anutan mereka, maka Allah majukan lagi pengkisahan mereka menerusi ayat seterusnya.

Firman Allah SWT: 

18:15
(Mereka berkata pula sesama sendiri): Kaum kita itu, menyembah beberapa Tuhan yang lain daripada Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang berdusta terhadap Allah. (al-Kahfi [18] : 15)

Ibnu Kathir berkata: "Mengapa mereka tidak kemukakan dalil-dalil yang benar dan jelas lagi sahih yang menunjukkan kebenaran fahaman mereka. Sebaliknya suatu cabaran di mana mereka mengatakan mereka orang yang zalim dan dusta dalam ungkapan dan kalam mereka mengenai hal tersebut."

Sayid Qutub berkata: "Inilah jalan akidah yang sebenar. Seorang itu hendaklah mempunyai hujah yang kuat yang dapat dijadikan sandaran dan mempunyai dalil dan bukti yang dapat mempengaruhi hati dan akal. Jika tidak, maka ia hanya merupakan satu pembohongan yang amat keji kerana ia merupakan satu pembohongan terhadap Allah."

Di sini ternyatalah bagaimana jelas dan tegasnya pendirian pemuda-pemuda itu. Mereka tidak ragu-ragu dan teragak-agak. Mereka adalah anak-anak muda yang kuat tubuh badan, kuat iman dan pendirian. Mereka membantah dan mengecam kepercayaan yang dipegang oleh kaum mereka.

Kini perbezaan di antara dua jalan itu telah ternyata begitu jelas, kedua-dua cara iktikad itu telah bercanggah begitu nyata. Oleh itu, di sana tiada lagi titik-titik pertemuan dan jalan hidup bersama. Mereka pasti melarikan diri menyelamatkan akidah mereka, kerana mereka bukannya seperti rasul-rasul yang diutuskan Allah tetapi mereka hanya pemuda-pemuda yang mendapat hidayah dalam masyarakat yang zalim dan kafir.

Di samping itu, mereka juga tidak sanggup menurut liut dan bermuka-muka dengan kaum mereka, iaitu dengan menyembah sembahan-sembahan mereka dengan tujuan menyelamatkan diri dan menyembunyikan ibadat mereka kepada Allah. Menurut pendapat yang lebih kukuh, rahsia keimanan mereka telah terbuka dan tiada jalan lain selain daripada melarikan diri mencari perlindungan Allah demi menyelamatkan akidah mereka.

Malah mereka reda memilih gua berbanding kesenangan dan kenikmatan hidup yang indah. Mereka telah mengambil kata sepakat ketika mereka berbincang secara sulit sesama mereka.

Al-Maraghi berkata: "Walaupun kaum kita ini lebih tua daripada kita dan lebih banyak pengalamannya, tetapi mereka benar-benar menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain.

"Apakah mereka tidak mendatangkan hujah yang jelas untuk membenarkan dakwaan mereka sebagaimana kita jelaskan kebenaran pengakuan kita dengan dalil-dalil yang nyata.

"Sesungguhnya mereka adalah manusia yang paling zalim dalam perbuatan dan melakukan pendustaan yang sengaja diada-adakan."

Hamka berkata: "Dalam tafsir-tafsir itu pun disebutkan bahawa raja memujuk mereka supaya kembali kepada agama nenek moyang, tetapi sebaliknya, mereka mengajak raja dan pembesar kerajaan supaya meninggalkan agama yang zalim dan yang gelap itu. Ini adalah kerana, supaya semua mereka menganut kepercayaan yang mereka anuti, agar selamat di dunia dan di akhirat."

Tindakan itu menimbulkan kemarahan raja. Lalu datanglah perintah raja agar segala pakaian dan perhiasan mereka dilucutkan dan ditanggalkan.

Yang tinggal hanya pakaian yang menutup aurat sahaja dan mereka diberi masa untuk berfikir. Kedudukan mereka sebagai anak pembesar yang kemudian hari berhak memangku jawatan-jawatan penting negara akan dikembalikan, berserta dengan pakaian-pakaian sekiranya kembali kepada agama nenek moyang.

Sebenarnya, mereka yang syirik dan dusta kepada tuhan adalah dianggap yang zalim. Ini kerana Allah yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan sebagai rabb al-Alamin yang mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita dalam meneruskan kehidupan sewajarnya bersyukur dan menzahirkan kesyukuran dengan cara mengabdikan diri kepadanya tanpa sebarang sekutu dan syirik.

Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh manusia sebagai beribadat dan berubudiah kepada-Nya yang berhak disembah dengan sebenarnya.

Semoga Allah menjadikan kita daripada hamba-hamba-Nya yang soleh dan solehah sehingga layak meraih mardhatillah.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...