Soalan
ZAKAT adalah hukum Islam yang asasi dan
tertentu sifatnya serta tidak boleh dilaksanakan sesuka hati, itulah yang saya
fahami. Persoalan yang ingin saya bangkitkan ialah, apakah perkara yang menjadi
pantang-larang bagi seorang pembayar zakat demi menjamin amalannya diterima di
sisi Allah SWT?
Jawapan
Terima kasih atas pertanyaan. Jujurnya,
bukan sekadar ibadah zakat sahaja yang perlu dilaksanakan sesuai dengan
ketetapan, malah semua ibadah boleh cacat jika seseorang Muslim itu tidak
menjaga adab dan melanggar pantang larangannya.
Ibadah adalah sebahagian daripada Syariah
Islamiah dan tata cara perlaksanaannya sudah ditetapkan oleh Allah SWT dan
sunnah Rasulullah SAW. Jika kita tidak mematuhi kaedah, boleh jadi ibadah kita
menjadi rosak, terbatal dan paling dibimbangi dianggap sia-sia di sisi Allah
SWT.
Syariah Islamiah pula, merujuk kepada
hukum-hukum yang disyarakkan (ditetapkan dan dipikulkan) oleh Allah SWT untuk
seluruh hamba-Nya, sama ada yang berkaitan dengan akidah, ibadat, akhlak,
muamalat dan sistem-sistem kehidupan dalam pelbagai aspek (secara menyeluruh)
segalanya demi kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. (rujuk Mohd. Saleh Hj.
Ahmad, Pengantar Syariat Islam, hal, 1).
Kerana itu, orang Islam yang sudah cukup
kemampuannya melaksanakan sesuatu ibadah, dianggap berdosa jika mengabaikannya,
kerana ini adalah taklifan (ketetapan) Allah SWT sebagai tanggungjawab kita di
atas dunia.
Allah SWT menyatakan:
Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat. (an-Nisa: 105)
Maka, apabila menyentuh tentang ibadah
zakat, sudah pasti mempunyai ketetapan khusus dalam perlaksanaannya. Apatah
lagi, berbanding dengan ibadah rukun yang lain - solat dan puasa misalnya -
maka, zakat dianggap lebih berat dalam perlaksanaannya dan kesannya juga lebih
besar jika gagal dilaksanakan dengan sempurna seperti mana yang dimahukan
(secara piawai) oleh Islam.
Jika solat, seseorang itu tidak boleh
dihukum secara sewenang-wenangnya oleh pemerintah, kecuali dia sengaja
mengabaikannya secara terbuka, misalnya sengaja meninggalkan solat Jumaat.
Hal ini kerana, solat boleh dilakukan
secara sendirian di rumah dan pihak berkuasa, tidaklah diberati sengaja
mencari-cari kesalahan sehingga memerhatikan dirinya ketika di rumah.
Begitu jua puasa Ramadan, hanya menjadi
kesalahan yang dikenakan hukuman takzir jika orang berkenaan makan dengan
sengaja di khalayak awam.
Tetapi, jika dia makan secara
sembunyi-sembunyi di rumah maka dia hanya berdosa dan pemerintah tidak diberati
mencari-cari kesalahannya untuk didenda.
Berbeza dengan ibadah zakat, pemerintah
wajib memastikan mereka yang kaya melaksanakannya. Ini kerana, selalunya
kekayaan manusia sukar disembunyikan daripada pemerintah. Maka, wajarlah
pemerintah memantau agar harta itu dikeluarkan zakat tanpa sebarang alasan dan
helah.
Di samping itu, telah dinyatakan juga
dahulu bahawa zakat adalah ibadah ijtimaiyyah (keadilan sosial), yang
amat berkait rapat dengan keperluan manusia.
Jika zakat dibuat sambil lewa, maka akan
memberikan kesan langsung secara negatif kepada manusia yang lain.
Misalnya, akan merebaklah kemiskinan dan
akan membenihkan wabak penyakit sosial (yang berpunca daripada kemiskinan) dan
membarah jugalah ketamakan manusia dalam berharta.
Hal ini perlu dibanteras oleh pemerintah,
dan salah satu kaedahnya adalah dengan mekanisme zakat yang betul.
Apa yang dipaparkan ini hanyalah sebahagian
daripada perkara-perkara yang ditegah daripada dilakukan oleh seseorang itu
dalam melaksanakan ibadah zakat.
Mudah-mudahan dengan pemahaman ringkas ini,
maka kita dapat memastikan ibadah zakat yang dilaksanakan itu benar-benar
menepati roh zakat dan manfaatnya juga betul-betul sampai kepada sasaran yang
tepat dan memenuhi kehendak syariat.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment