Lakukan amalan baik untuk bekalan akhirat
tidak kira umur panjang atau pendek
Ramai mengimpikan diberi umur yang panjang. Bahkan, setiap kali menjelang ulang
tahun kelahiran seseorang, pasti ucapan yang diberikan adalah 'semoga panjang
umur'. Siapa yang tidak mahu panjang umur dan jika diberi peluang hidup lama,
pasti banyak keinginan akan dilaksanakan.
Namun, Rasulullah SAW bersabda: “Umur
umatku antara 60-70 tahun, hanya sedikit daripada mereka yang usianya lebih
daripada itu.” (Riwayat Tarmizi)
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang membaca
ayat Kursi selepas menunaikan solat, tidak ada sesuatu pun yang dapat
menghalangnya memasuki syurga kecuali mati.” (Riwayat Muslim)
Lanjut usia untuk beribadah
Jika ada yang menjangkaui 70 tahun, itu adalah satu lanjutan usia yang
diberikan kepada segelintir manusia saja supaya dapat segera bertaubat dan
melakukan amal ibadah dengan sebaik-baiknya untuk bekalan ke akhirat.
Abu Bakar ada meriwayatkan, seseorang berkata: “Ya, Rasulullah, siapakah orang
yang paling baik? Rasulullah bersabda: Orang yang panjang umur dan baik
amalnya. Lelaki itu bertanya lagi: Lantas, siapakah orang yang paling buruk?
Rasulullah bersabda: Orang yang panjang umurnya dan buruk amalnya.” (Riwayat
Ahmad dan Tarmizi)
Hidup dan mati kita adalah rahsia Allah SWT yang tidak dapat disingkapkan sejak
lahiriah sehingga malaikat maut menyambut. Peluang hidup di dunia ini adalah
satu ujian-Nya bagi menggapai kejayaan di akhirat kelak.
Kita perlu menggunakan peluang yang diberikan-Nya bagi meraih bekalan untuk ke
akhirat, kita perlu berjaya di dunia bagi menggapai kecemerlangan di akhirat.
Firman Allah SWT: “Tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah
padamu akan pahala dan kebahagiaan akhirat dan jangan engkau lupa bahagianmu,
keperluan dan bekalanmu dari dunia dan berbuat baiklah kepada hamba-hamba Allah
sebagaimana Allah berbuat baik pada kamu dengan pemberian nikmat yang
melimpah-limpah. Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi ini,
sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang berbuat kerosakan.” (Surah
al-Kasus, ayat 77)
Kajian mengenai kalimah
Cendekiawan Islam Mesir Dr Torik Asuaidi telah membuat kajian mengenai kalimah
dalam al-Quran dan mendapati Allah SWT mengulangi perkataan ad-dunia sebanyak
115 kali dan kalimah al-akhirah juga sebanyak 115 kali, hidup (hayat) diulang
sebanyak 145 kali dan kalimah mati (al-maut), 145 kali.
Persoalannya berapa ramaikah umat akhir zaman ini yang memanfaatkan usia diberi
oleh Allah SWT pada jalan yang diredai-Nya?
Ada sebab tertentu mengapa Allah SWT mengurniakan usia tidak panjang kepada
umat akhir zaman. Antara sebabnya supaya manusia memanfaatkan usia yang
diberikan untuk beribadah kepada-Nya.
Firman-Nya: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan mereka beribadah
kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat, ayat 56)
Umur yang singkat ini bertujuan supaya kita beribadah sebanyak-banyaknya kepada
Allah SWT kerana amalan soleh itu akan dinilai setelah seseorang meninggal
dunia untuk bertemu dengan Maha Penciptanya.
Nilai malam lailatulqadar
Usia pendek yang diberikan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW bukanlah hal
yang sia-sia. Sebaliknya, usia pendek ini telah digantikan dengan hadiah
teristimewa yang tidak pernah diberikan pada umat sebelum Nabi Muhammad, iaitu
malam lailatul qadar.
Disebutkan dalam al-Quran bahawa beribadah pada malam lailatulqadar sama
nilainya dengan beribadah selama 1000 bulan.
Baginda SAW bersabda: “Tidak ada seorang pun yang lebih baik kedudukannya di
sisi Allah daripada seorang Mukmin yang dipanjangkan umurnya dalam Islam dengan
banyak memuji-Nya, mengagungkan-Nya dan mentauhidkan-Nya.” (Riwayat Ahmad dan
al-Bazzar)
Namun, apakah amalan ibadah yang paling agung dan hebat untuk umat Islam di
akhir zaman ini? Rasulullah SAW sentiasa melakukannya setiap waktu dan amalan
itu satu perintah dari Allah SWT kepada hamba-Nya supaya dilakukan dengan
ikhlas dan tawaduk.
Firman-Nya: “Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta
orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan
bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat
35)
Di antara sebaik-baik zikir ialah membaca ayat Kursi setiap kali selesai
menunaikan solat seperti mana sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang membaca ayat
Kursi selepas menunaikan solat, tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalangnya
memasuki syurga kecuali mati.” (Riwayat Muslim)
Oleh itu, jadilah seorang yang sentiasa mengingati Allah walau dalam apa juga
keadaan. Berzikirlah kepada Allah di setiap kesempatan yang ada, tidak kira di
mana dan dalam keadaan apa sekalipun kerana bila kita mengingati-Nya, sudah
pasti Allah SWT akan mengingati hamba-Nya.
Firman-Nya: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan
undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah
kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).” (Surah al-Baqarah,
ayat 152)
Oleh Dr Muhammad Zain - Presiden Institut Al-Quran Malaysia
Berita Harian
No comments:
Post a Comment