بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, March 12, 2013

Tiga Faktor Pendorong Manusia Derhaka

Sumber



Allah menciptakan makhlukNya (malaikat, jin dan manusia) supaya taat kepada-Nya. Malaikat tidak diberi bahagian untuk derhaka, kerana malaikat dicipta untuk sentiasa taat, tunduk, patuh dan selalu beribadah kepada-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: 
“Mereka tidak pernah bermaksiat kepada Allah dalam apa yang Allah perintahkan kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Dua makhluk lagi (manusia dan jin) banyak melakukan derhaka dan maksiat kepada Allah SWT. Keduanya dibebankan taklif, beban syariat yang apabila keduaduanya mahu menjalankannya dengan baik selama hidup di dunia, kelak akan beroleh kenikmatan abadi yang tiada tara.

Sebaliknya, apabila kedua-duanya enggan, kesengsaraan dan derita tiada terperi telah menanti.

Manusia dan jin, Allah ciptakan secara syarie untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah SWT:
“Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, ayat 56)
Tiga punca derhaka

Antara manusia dan jin, ada menjadi hamba Allah yang taat, namun lebih banyak lagi yang derhaka. Derhaka dan kemaksiatan yang dilakukan dua makhluk ini akan terus terjadi berpunca daripada tiga perkara iaitu ambisi, hasad (iri, dengki) dan kibr (sombong).

Ambisi ialah berasa tidak puas dengan apa yang telah diperoleh malah terus ingin menambah dan menambah. Sifat inilah yang menyebabkan bapa kita Adam dikeluarkan daripada jannah (syurga) ke bumi sebagai negeri yang memang telah dipersiapkan untuk dihuni bangsa manusia.

Iblis yang menyimpan dendam kepada Nabi Adam berusaha menyesatkan Adam dan Hawa dengan tipu muslihatnya, tatkala ia melihat ambisi Adam untuk tetap abadi di syurga dan terus merasakan kenikmatannya.

Hasad adalah tidak suka terhadap nikmat yang Allah berikan kepada seseorang. Apabila perasaan hasad muncul dalam hati, tahanlah lisan dan perbuatan kita. Jangan kita tunjukkan apa yang tersimpan dalam dada.

Sabda Rasulullah SAW: “Sombong adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” (Riwayat Muslim)

Iblis kafir kerana sombong

Kesombongan menyebabkan iblis jatuh dalam kekafiran. Tatkala Allah memerintah malaikat ikut bergabung bersama iblis untuk sujud penghormatan kepada Adam, seluruh malaikat sujud patuh perintah Allah, namun Iblis enggan.

Al-Hafiz Ibnu Katsir mengatakan bahawa Iblis hasad kepada Adam kerana kemuliaan yang Allah berikan kepada Adam. Ia mengatakan dirinya daripada api lebih baik daripada Adam yang diciptakan daripada tanah.

Rasulullah SAW mengancam orang sombong dengan sabdanya: “Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada kesombongan walau seberat semut yang kecil.” (Riwayat Muslim)

Menyedari hakikat ini, maka buanglah rasa sombong daripada hati kita dengan cepat menerima kebenaran dan hargailah hamba Allah. Sesungguhnya, sifat terlalu ambisi, hasad dan sombong akan menjerumuskan pemiliknya ke dalam jurang kesengsaraan.

Oleh : Hashim Ahmad
Berita Harian

2 comments:

Bin Muhammad said...

Assalamualaikum,
Semoga di jauhkan dari sifat yg mendorong manusia menjadi derhaka.
Jika dpt di tambah cara utk menghindar/mengatasinya, amat saya hargai.

daniel said...

Wa'alaikumussalam

Apa yang kita boleh buat, insyaAllah dengan sentiasa mengingati Allah SWT, "daripada Dia kita datang dan kepadaNya kita akan kembali", (kita tak punya apa-apa), kita hina diri dengan Allah SWT dan tawadh' dengan manusia, mensyukuri nikmatNya dengan cara yang betul, dan sentiasa berlindung dengan Allah SWT daripada syaitan yang setiap saat cuba menggelincirkan kita.

Wallahua'lam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...