Nasib boleh berubah jika ada usaha perbaiki
diri
Segala peristiwa dan kejadian yang berlaku terhadap insan sama ada kecil atau
besar, mudah atau susah, semua sudah tertulis di Luh Mahfuz sejak azali lagi.
Jika takdir ini telah ditetapkan maka timbul persoalan adakah ketetapan itu
boleh berubah menerusi doa.
Hendaklah ditegaskan bahawa perintah untuk
berdoa bersumberkan daripada Allah SWT seperti mana firman-Nya:
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghaafir, ayat 60)
“Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan." Surah al-Nahl, (ayat 61)
Jika amalan berdoa ini tidak mampu mengubah nasib seseorang insan, mana mungkin
Allah SWT menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu perbuatan sia-sia. Firman yang
lain, Allah SWT turut memerintahkan hamba-Nya berusaha memperbaiki diri dan
tidak hanya menyerah urusan hidup kepada takdir-Nya.
Firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)
Takdir boleh berubah ikut usaha
Oleh itu dapat kita fahami takdir dapat berubah mengikut usaha yang dilakukan
insan jika diizinkan Allah SWT bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak
ada yang dapat mengubah takdir selain doa.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi)
Abu Hurairah juga menerangkan: “Bahawasanya Nabi SAW pernah berdoa untuk
berlindung daripada takdir buruk, kesialan, cacian musuh dan ujian yang
menyusahkan.” (Riwayat Imam Muslim)
Menurut Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dalam Majmu’ Fatawa Arkanil
Islam: “Tidak diragukan lagi bahawa doa berpengaruh dalam mengubah apa yang
telah tertulis (takdir). Akan tetapi perubahan menerusi doa ini juga telah
ditulis (ditakdirkan). Janganlah anda beranggapan apabila anda berdoa bermakna
anda meminta sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa anda telah tertulis dan apa
yang terjadi kerananya juga tertulis (termasuk dalam takdir).”
Ini bermakna segala perbuatan manusia itu telah sedia diketahui Allah SWT. Dia
tahu pada sekian masa individu itu akan berdoa dan sama ada doanya dimakbulkan
serta bila dimakbulkan, tidaklah terlindung daripada ilmu pengetahuan Allah SWT.
Dalam erti kata lain, sebab yang kita usahakan, semua itu termasuk dalam takdir
Allah SWT. Dia telah sedia mengetahui sejak azali lagi bahawa seseorang itu
akan melakukan usaha berkenaan termasuklah amalan seperti berdoa yang
dibincangkan ini.
Kematian tidak akan tertunda
Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu mengenai
jampi-jampi yang sering kami gunakan, ubat yang sering kami gunakan untuk
berubat serta pelindung yang sering kami pakai untuk berlindung, apakah hal itu
dapat menolak takdir Allah? Rasulullah menjawab: Bahkan hal itu termasuk takdir
Allah. (Riwayat Imam al-Tirmidzi)
Menurut Syaikh al-‘Utsaimin: “Segala sesuatu terjadi kerana takdir Allah,
begitu juga segala sebab mempunyai pengaruh terhadap musababnya dengan izin
Allah. Maka semua sebab telah tertulis dan semua musabab juga telah tertulis.”
Kematian pasti akan tiba tanpa mengenal bangsa, kedudukan, kekayaan atau
kekuatan. Tiada sesiapa boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan
waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun
sesaat.
Firman-Nya:
“Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.” (Surah al-Nahl, ayat 61)
Timbul pula persoalan kedua, jika waktu ketibaan ajal telah ditetapkan maka
adakah perlu untuk berdoa supaya dipanjangkan umur? Takdir boleh berubah dengan
doa termasuk doa dipanjangkan umur serta kadar umur seseorang itu walaupun
telah termaktub dalam ilmu pengetahuan Allah SWT.
Doa panjang umur
Oleh itu, dibolehkan berdoa untuk dipanjangkan umur bahkan Rasulullah SAW
pernah mendoakan supaya Anas bin Malik dipanjangkan umurnya. Doa Baginda: “Ya
Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anaknya, panjangkanlah umurnya dan berilah
keampunan kepadanya.” (Riwayat Imam al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)
Ternyata dengan izin Allah SWT Anas bin Malik dipanjangkan umurnya dan
diriwayatkan beliau meninggal dunia pada umur 99 tahun. Dalam riwayat lain pula
disebut beliau meninggal dunia pada umur 107 tahun.
Bukan berdoa saja dapat memanjangkan umur bahkan amalan seperti membuat amal
kebajikan dan menyambungkan silaturahim turut berupaya melanjutkan usia
seseorang. Diriwayatkan: “Tidak ada yang dapat merubah takdir melainkan doa dan
tidak ada yang menambah umur melainkan amal kebaikan.” (Riwayat Imam
al-Tirmidzi)
Oleh itu, jangan putus asa berdoa kerana selain satu usaha berkesan untuk
mendapat bantuan Allah SWT, doa juga adalah ibadah yang amat mulia di sisi
Allah SWT dan akan diberi ganjaran pahala bagi mereka yang melakukannya.
3 comments:
Salam,
Berusaha, berdoa dan tawakal... Inyaallah, sesuatu perkara yg baik itu akan anda peroleh bantuan dari Ilahi.
salam...
selalu berusaha untuk menjadi yang terbaik dan moga diberikan peluang untuk menjadi hamba yang baik2
Bin Muhammad
Siti Rohaida Yusof
Salam sejahtera buat sdr/sdri berdua
InsyaAllah kita sama-sama usahakan untuk kebaikan kita juga. Allahumma aamiin
Post a Comment