SENTIASA mendekatkan diri dengan masjid dan mengingati Allah boleh menghindarkan umat islam daripada godaan iblis. - Gambar hiasan |
SEBAGAI seorang Muslim, kita memiliki musuh
yang terbesar. Siapapun kita, apapun mazhab dan aliran pemikiran, kita
berkongsi musuh yang sama. Musuh terbesar setiap Muslim adalah iblis.
Sejak Allah SWT mengusirnya dari Syurga,
iblis telah bersumpah akan terus memusuhi dan memperdaya manusia. Menarik
manusia sebanyak yang boleh ke neraka adalah misi hidup iblis satu-satunya.
Oleh kerana itu, Allah selalu mengingatkan
kita agar berhati-hati dan menjaga diri daripada tipu daya dan bujuk rayu
iblis.
Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu. Sesungguhnya syaitan-syaitan itu mengajak pengikutnya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala. (al-Fatir: 6)
Agenda iblis
Untuk menjaga diri daripada tipu daya
iblis, kita mesti mengetahui strateginya dalam menyesatkan manusia. Kita mesti
tahu apa sebenarnya yang menjadi agenda utama iblis pada saat ini untuk
menyesatkan umat Islam.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW
menyebutkan bahawa syirik bukan lagi agenda terbesar iblis. Setelah pengutusan
Rasulullah SAW kepada umat manusia, agenda tersebut dilihat sudah tidak lagi
strategik dan relevan. Iblis sedar bahawa syirik tidak akan bertahan di hadapan
cahaya iman yang sangat terang.
Iblis lalu beralih ke agendanya yang lebih
realistik iaitu memecahbelahkan umat Islam dan menjadikan setiap Muslim
memusuhi Muslim yang lain.
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya iblis
telah berputus-asa untuk kembali disembah di Semenanjung Arab. Akan tetapi, ia
terus berusaha untuk mengadu domba mereka. (riwayat Muslim).
Perpecahan
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya iblis
meletakkan singgahsananya di atas lautan. Ia lalu mengutus syaitan-syaitan ke
semua penjuru dunia untuk menyesatkan manusia. Mana-mana yang paling banyak
membuat kerosakan, maka dialah yang paling disukai iblis.
Salah satu daripada syaitan-syaitan kembali
dan berkata: Hari ini aku telah melakukan ini dan itu. Iblis berkata: Engkau
belum melakukan apa-apa. Lalu datang syaitan yang lain dan berkata: Aku telah
berjaya memisahkan antara seorang suami dengan isterinya. Iblis memeluknya
sambil berkata: Engkaulah yang terbaik. (riwayat Muslim).
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa agenda
terbesar iblis adalah memecah belah umat Islam. Perpecahan yang bersifat
individual yang berlaku antara pasangan suami-isteri, mentua-menantu,
abang-adik atau lain sebagainya amat dihargai iblis.
Mana-mana syaitan yang berjaya mencetuskan
perpecahan tersebut akan mendapat pingat penghargaan daripada iblis.
Sudah pasti tidak terbayang kegembiraan
iblis apabila melihat perpecahan itu melibatkan kumpulan yang lebih besar.
Apabila umat Islam saling mengkafirkan, saling memfitnah, saling berburuk
sangka, enggan bertegur sapa, maka pada saat itu iblis tersenyum lebar. Misi
terbesarnya terlaksana seperti mana yang ia inginkan.
Satukan hati
Sebagai Muslim kita mesti waspada dengan
syaitan-syaitan ini. Mereka sangat pandai menipu kita untuk mewujudkan agenda
iblis. Pasukan iblis bukan hanya syaitan-syaitan yang berbentuk halus,
seringkali ia juga berbentuk manusia seperti kita.
Lebih penting daripada itu, berusahalah
untuk menggagalkan agenda iblis ini. Yakni dengan cara merapatkan barisan dan
menyatukan hati demi agama Allah. Jangan biarkan perbezaan pendapat yang
berlaku dimanfaatkan oleh iblis sebagai celah yang akan meretakkan kesatuan
kita.
No comments:
Post a Comment