SOALAN:
SAYA merasa pelik, ada orang miskin yang
begitu mudah meminta-minta. Mereka merasa gembira menjadi penerima, malah
seolah-olah bersyukur pula dengan kemiskinan yang menimpa. Namun, saya juga
melihat ada kelompok fakir dan miskin yang cuba menyembunyikan kemiskinan dan
mereka malu menerima bantuan. Apakah penjelasan ustaz terhadap kewujudan dua
fenomena ini?
JAWAPAN:
Memang benar kenyataan saudara, bahawa
wujudnya dua kelompok berbeza dalam kalangan orang-orang fakir dan miskin. Ada
kelompok yang meminta-minta dan ada kelompok yang enggan meminta-minta. Dalam
hal ini, cuba kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-Ma'arij, ayat 24
dan 25: Dan orang-orang yang di dalam hartanya ada hak yang tertentu (bagi
orang-orang fakir dan miskin), yang meminta-minta dan juga yang enggan
meminta-minta.
Sebenarnya, sifat suka menzahirkan atau
menyembunyikan kemiskinan ini mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan tahap
keimanan di dalam diri seseorang. Orang yang teguh imannya, maka mereka
mempunyai suatu senjata rahsia, iaitu 'kaya jiwa' atau 'kekayaan hati', yang
menjadikan mereka cukup tinggi maruah dirinya.
Natijahnya, mereka amat malu menyatakan
kemiskinan, bahkan seboleh-bolehnya mereka akan cuba menyembunyikan
kemiskinannya daripada pengetahuan orang lain, walhal orang lain memang tahu
bahawa mereka memang miskin. Jujurnya, sikap ini mampu menerbitkan rasa hormat
masyarakat kepada mereka dan sekali gus mengangkat martabat mereka pada kaca
mata manusia.
Allah SWT menukilkan di dalam al-Quran
dengan firman-Nya: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat
(oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang
tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana (mereka) memelihara diri daripada
meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak
meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu
nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah:
273)
Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan
seperti mana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah RA: Yang dinamakan orang
miskin (itu) bukanlah orang yang berkeliling-kelalang meminta-minta kepada
orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang (dengan) sesuap dua suap
(makanan), atau sebutir dua butir kurma. Lalu bertanya para sahabat:
"Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?"
Jawab baginda: "Orang miskin itu sesungguhnya ialah orang yang tidak
memiliki apa-apa untuk menutupi keperluannya, namun keadaannya itu tidak
diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya dan tidak pula dia
meminta-minta ke sana-sini. (Muslim)
Apa yang patut disedari oleh orang-orang
miskin, bahawa kemiskinan yang menimpa mereka adalah suatu ujian. Seandainya
mereka bersabar, maka mereka beroleh pahala yang besar. Bahkan orang-orang
miskin amat sedikit hisabnya di sisi Allah di mahkamah akhirat. Lalu, ia
memudahkan mereka memasuki syurga Allah lebih awal berbanding orang-orang kaya
yang panjang hisabnya.
Ibnu Abbas telah melaporkan bahawa Nabi
Muhammad SAW pernah menukilkan suatu hadis: (Kala baginda dibawa melihat neraka
dan syurga pada peristiwa Israk wal Mi'raj): Aku melihat ke syurga, maka
kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku
melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah
wanita. (Muslim)
Oleh itu, orang-orang miskin hendaklah
menyemai benih kekayaan hati, yakni menyuburkan jiwa dengan zikrullah dan ilmu,
mengukuhkan tauhid dalam dada dengan jitu, tidak berprasangka dengan Allah atas
kemiskinan mereka itu, bahkan cuba berusaha merubah kehidupannya selagi mampu.
Andai mereka berusaha, maka tidak mustahil
Allah SWT akan mengurniakan kekayaan kepada mereka, sama ada kekayaan zahir
atau fizikal, juga kekayaan hati yang lebih praktikal dan kekal. Hakikatnya,
orang yang kaya hati itulah sebenar-benarnya kaya, kerana mereka memandang
kekayaan dunia tidak lebih hanya sementara cuma. Apa yang utama bagi mereka
adalah kaya hati dengan iman dan takwa. Bahkan orang yang kaya hatilah yang
akan melestarikan harta kekayaannya atas nama sedekah, infak dan zakat.
Tepatlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad
SAW: Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang
sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa. (Bukhari dan Muslim). Wallahua'lam.
ARKIB : 22/02/2013