![]() |
Mukjizat yang masih kekal sehingga hari ini ialah al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. - Gambar hiasan |
TAK kenal maka tak cinta. Begitulah
ungkapan yang selalu kita dengar yang menggambarkan bahawa cinta itu biasanya
bermula dengan pengenalan. Keimanan yang sejati bukan sahaja dapat dilihat
kepada keyakinan dan kepercayaan yang lahir daripada hati. Namun, dapat
menghasilkan cinta yang hakiki sehingga sanggup berkorban untuknya.
Demikian juga keimanan kepada Rasulullah
SAW. Ia bukan sahaja akan melahirkan keyakinan terhadap ajaran yang dibawa oleh
baginda tetapi akan melahirkan kecintaan terhadap peribadi dan sahsiah, lantas
akan membentuk ummah yang sentiasa mengikuti sunnah.
Apatah lagi kecintaan kepada Rasulullah SAW
merupakan antara bukti kesempurnaan iman.
Daripada Anas ra katanya: "Rasulullah
SAW bersabda tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku menjadi
seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan
manusia seluruhnya." (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Golongan yang sering melemparkan tuduhan
serta cacian kepada Rasulullah SAW sebenarnya terdiri daripada mereka yang
tidak mengenali atau tidak berhasrat untuk mengenali baginda.
Sebaliknya, bagi mereka yang mengkaji lebih
mendalam, akan terpikat dan kagum dengan keperibadian baginda sehingga tidak
tergamak untuk mencaci Baginda walaupun dengan sepatah perkataan sekalipun.
(rujuk al-Taubah: 128)

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.
Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW
adalah manusia biasa yang diutuskan dalam kalangan kita. Baginda bukannya
malaikat yang melangkaui batasan kemampuan manusia biasa sehingga tidak mampu
dicontohi dan diteladani.
Walaupun baginda adalah manusia biasa,
tetapi dikurniakan dengan keistimewaan tertentu yang membezakan baginda
daripada manusia biasa seperti kita.
Antara keistimewaan Rasulullah SAW yang
perlu kita hayati agar dapat meningkatkan lagi rasa cinta kepadanya ialah
baginda ialah pilihan dan lantikan Allah SWT.
Sebagai peringatan kita bersama, Nabi
Muhammad SAW bukan dipilih oleh manusia, sama ada melalui proses syura atau
pilihan raya. Baginda dipilih dan dilantik oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:

Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. (Thaha: 13)
Oleh itu, wajib kita yakin dan percaya
bahawa baginda adalah manusia yang terbaik kerana menjadi pembawa dan penyampai
kalam Allah SWT yang dipilih sendiri olehNya.
Mempertikaikan kerasulan baginda
seolah-olah mempertikaikan pilihan yang telah dibuat oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW juga dibangkitkan sebagai
penghulu bagi nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Telah menjadi syarat kepada
keimanan kepada rasul iaitu dengan beriman dengan semua rasul yang diutuskan
termasuklah Nabi Muhammad SAW.
Terdapat di kalangan ahli kitab yang
beriman kepada nabi-nabi terdahulu, namun enggan untuk beriman kepada Nabi
Muhammad SAW.
Maka, keimanan tersebut tidak diiktiraf
oleh Allah SWT kerana tidak lengkap. Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW
sebagai penutup kepada nabi dan rasul.
Jabir ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: "Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti
perumpamaan seseorang yang membangunkan sebuah rumah. Beliau membinanya dengan
baik dan sempurna, tetapi masih ada satu tempat yang belum diletakkan bata.
Ramai orang yang masuk ke dalam rumah tersebut dan mereka kagum terhadapnya
seraya berkata: Alangkah lebih baik jika kekurangan itu disempurnakan. Kemudiannya
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diibaratkan sebagai bata tersebut di mana
kedatangan aku adalah sebagai penutup para Nabi. (riwayat Muslim)
Mukjizat adalah sesuatu yang berlaku kepada
para Nabi di luar adat dan kebiasaan manusia biasa.
Ia dikurniakan oleh Allah SWT untuk
membuktikan kebenaran risalah yang dibawa dan untuk memeliharanya dari halangan
musuh-musuh.
Semua nabi dan rasul dikurniakan dengan
mukjizat. Antara mukjizat yang terkenal ialah tongkat Nabi Musa as yang
bertukar menjadi ular, Nabi Isa as yang boleh menghidupkan orang mati dan
menyembuhkan penyakit buta, mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh berkomunikasi
dengan jin dan binatang.
Namun, semua mukjizat tersebut hanya
tinggal sejarah dan tidak dapat dilihat lagi pada masa ini.
Hanya satu sahaja mukjizat yang masih kekal
sehingga hari ini iaitu al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Ia
dipelihara oleh Allah SWT.
Tidak terkira bilangan orang yang telah
memeluk agama Islam hanya dengan membaca terjemahan Al-Quran.
Apatah lagi sekiranya mengkaji
rahsia-rahsia yang terkandung di dalamnya yang mendahului zaman, sains dan
teknologi.
Sampai hari kiamat, al-Quran terbuka untuk
dicabar oleh sesiapa sahaja. (rujuk al-Isra': 88)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".
Baginda juga terlalu kasih kepada umat dan
kita perlu sedar bahawa kehidupan Nabi SAW semuanya diinfakkan untuk kebaikan
umat baginda.
Tidak pernah sedetik pun yang dilalui oleh
baginda kecuali akan difikirkan tentang nasib umatnya. Bahkan, sebelum dijemput
pulang oleh Allah SWT,
Baginda masih lagi menyebut "Umatku, umatku".
Bahkan, Nabi SAW akan menggunakan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT
kepadanya untuk membantu umatnya di Akhirat kelak.
Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi
SAW bersabda: Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap Nabi
bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong
untuk umatku pada Hari Kiamat. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)
Berapa banyak peristiwa kekejaman yang
berlaku terhadap baginda. Namun, Baginda SAW tidak pernah berdendam. Dalam
peristiwa pembukaan Mekah, Baginda SAW telah membebaskan seluruh kafir Quraisy
Mekah walaupun mereka pernah menganiaya Baginda dan para sahabat ra.
Demikianlah beberapa bukti kehebatan Nabi
Muhammad SAW. Oleh itu, kekaguman kepada kehebatan ini tidak cukup, melainkan
ia perlu disusuli dengan rasa kasih dan cinta kepada Baginda SAW.
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN dari Jabatan Pematuhan Syariah,
Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment