Corak kehidupan harmoni bersandarkan
al-Quran
Memilih gaya hidup berpandukan al-Quran adalah jalan
yang sesuai untuk mengembalikan corak kehidupan harmonis. Kesempurnaan yang
dicari untuk pengisian sebuah jiwa bukan bergantung kepada insan lain atau
kecenderungan minat.
Kesempurnaan jiwa bermula daripada kebergantungan kita kepada Allah SWT melalui
bacaan al-Quran dengan lidah. Hayatilah maksud ayat suci al-Quran melalui
maksud dan tafsirnya. Mencari ketenteraman jiwa dengan menyebut dan berzikir
nama Allah adalah permulaan kepada kebahagiaan.
Firman Allah SWT:
“Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Al-Ra‘ad, ayat 28)
Membaca al-Quran setiap kali solat yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan
khususnya kepada pelajar. Otak yang segar akan terpancar daripada kemuliaan
lidah yang dibasahkan dengan kalam Allah setiap fajar terbit dan terbenam.
Hati yang berkarat kerana terlalu biasa melakukan dosa juga boleh dipulihkan
dengan bacaan ayat al-Quran.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya hati ini berkarat seperti berkaratnya besi
apabila terkena air. Seorang sahabat bertanya: Bagaimana menghapuskan karat
itu? Jawab Nabi SAW: Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran.” (Riwayat
Ibnu Umar)
Ganjaran membaca ayat suci al-Quran dijelaskan Rasulullah SAW yang diriwayatkan
oleh Ibnu Mas’ud: “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka
baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala. Aku tidak
bermaksud: Alif, Lam, Mim satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf
dan Mim satu huruf.” (Riwayat ad Darimi Tarmizi)
Dewasa ini, banyak remaja atau belia memilih untuk menghadiri pusat hiburan
sebagai tempat mencari kepuasan hidup. Kepuasan hidup yang dicari dalam bentuk
hiburan adalah satu pilihan yang boleh menenggelamkan akidah, maruah diri,
kemuliaan peribadi dan agama.
Kehidupan yang tidak berasaskan al-Quran dalam rutin harian mampu menolak jauh
manusia ke arah kehancuran. Kita semakin khuatir bagaimana generasi akan datang
melihat Islam kerana agama yang diwarisi daripada ibu bapa lebih bersandarkan
kepada nama saja.
Ibu bapa pada hari ini perlu menitikberatkan kecenderungan ke arah memberi
kefahaman anak-anak mengenai al-Quran. Tanggungjawab ini bukan sekadar
menghantar anak belajar mengaji al-Quran tetapi bagaimana mendorong mereka
memahami maksud al-Quran dan boleh menerapkannya sebagai asas pemikiran serta
perlakuan.
Jiwa umat Islam yang membiasakan diri dengan bacaan ayat suci al-Quran begitu
hebat sehinggakan Rasulullah SAW membuat perumpamaan dalam hadisnya.
Daripada Abu Musa Al Asy’ari, Rasulullah SAW bersabda: “Umpama orang Mukmin
yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah (limau besar), baunya wangi dan
rasanya sedap. Umpama orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah
tamar yang tidak ada bau tapi rasanya manis, dan umpama orang munafik yang
membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya
pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu
yang tiada bau dan rasanya pahit. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
2013/02/21 - 04:07:48 AM Berita Harian
No comments:
Post a Comment