Keras hati satu celaan
DALAM kitab Sahih Al-Bukhari, terdapat
satu kisah yang pengajarannya sangat penting untuk kita renungkan bersama.
Seorang laki-laki dari Mesir datang kepada
Ibnu Umar untuk bertanya tentang Khalifah Usman bin Affan. Rakyat Mesir pada
saat itu kebanyakannya sangat membenci khalifah dan merencana untuk memberontak
kepada kerajaan.
Orang itu berkata: "Benarkah bahawa
Usman melarikan diri pada perang Uhud?"
Ibnu Umar menjawab: "Ya."
Orang itu bertanya lagi: "Benarkah ia
juga tidak hadir pada perang Badar?"
Ibnu Umar menjawab: "Ya."
Berkata lagi orang itu: "Benarkah
bahawa dia juga tidak hadir pada peristiwa Bai'atul-Ridwan?" Sekali lagi
Ibn Umar menjawab: "Ya."
Orang itu segera bangkit sambil bertakbir:
"Allahu Akbar."
Dia menyimpulkan bahawa kebenciannya kepada
Khalifah Usman memang beralasan dan menjadi semakin yakin Khalifah Usman adalah
seseorang yang tercela kerana maklumat yang telah disahkan oleh Ibnu Umar tadi.
Melihat gelagat tidak kena ini, Ibnu Umar
berniat meluruskan kefahaman. Beliau memanggil kembali orang itu dan berkata:
"Ke sinilah kamu agar aku jelaskan perkara sebenarnya. Usman memang
melarikan diri daripada perang Uhud, namun aku bersaksi bahawa Allah telah
memaafkannya (sebagaimana firman Allah di surah Ali Imran: 155).
Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
"Ia memang tidak hadir pada perang
Badar, namun itu kerana isterinya Ruqayyah puteri Rasulullah SAW tengah sakit.
Baginda memerintahkan Usman merawat isterinya dan bersabda: "Kamu berhak
mendapat pahala dan rampasan perang seperti orang yang menghadiri perang
Badar."
"Ia memang tidak hadir pada
Bai'atul-Ridwan, namun itu kerana Rasulullah telah mengutus beliau ke Mekah.
Andai ada orang lain yang lebih dihormati di Mekah daripada Usman, nescaya
baginda akan mengutus orang itu."
Selepas penjelasan ini, persepsi tentang
Khalifah Usman berbalik 180 darjat. Beliau sama sekali bukan orang yang buruk,
malah tokoh yang sangat mulia di sisi Rasulullah SAW.
Ibnu Umar lalu berkata: "Sekarang,
pergilah engkau membawa maklumat ini."
Jangan cepat menghukum
Saya menyimpulkan pengajaran yang sangat
berharga daripada kisah ini, iaitu jangan mudah menghukum atau menilai sebelum
difikirkan seluruh aspeknya.
Seringkali kita bersikap seperti laki-laki
dari Mesir ini. Kita cepat menilai dan menghukum seseorang dengan maklumat yang
tidak sempurna. Kita hanya mendengar daripada satu sudut, lalu tergesa-gesa
menarik kesimpulan. Tergesa-gesa menyimpulkan hanya akan melahirkan kesimpulan
tergesa-gesa.
Berkata 'Amr bin Al-'As (seorang sahabat
Nabi SAW): "Seseorang hanya akan memetik buah penyesalan daripada sikap
tergesa-gesa."
Islam sangat membenci sikap terburu-buru (al-'ajalah).
Sebaliknya, Islam sangat menganjurkan bertenang (al-anah) dalam setiap perkara.
Itu sebabnya, Islam memberi kesempatan cerai (talak) hingga tiga kali.
Islam juga memberi kesempatan bagi pasangan
yang bercerai untuk memikirkan kembali keputusannya dengan meletakkan hukum 'iddah.
Begitu juga berbagai hukum-hukum Islam lainnya yang terlalu banyak untuk
disebutkan di sini.
Semua ini mengajarkan kita agar kita tidak
berucap atau bertindak sebelum memikirkan semua masak-masak semua aspek dan
kesannya.
No comments:
Post a Comment