pintu masuk ke gua Ashabul Kahfi |
Oleh DR ZULKIFLI
MOHAMAD AL-BAKRI
SEGALA puji bagi Allah SWT, atas segala
kurniaan dan nikmatnya yang tidak terhingga. Dalam surah
al-Kahfi ini penulis hanya membincangkan ayat-ayat yang berkaitan dengan kisah
yang dipaparkan dalam surah tersebut. Antara kisah tersebut ialah Ashab
al-Kahfi atau Penduduk Gua. Selepas tamat kisah tersebut akan berpindah pula
pada kisah yang lain dan begitulah seterusnya.
Firman Allah SWT:
Adakah engkau menyangka (hai Muhammad), bahawa kisah 'Ashabul Kahfi' dan 'Al-Raqim' itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (al-Kahfi [18] : 9)
Ibnu Kathir berkata: Yang demikian itu
merupakan pemberitahuan daripada Allah SWT mengenai kisah Ashab al-Kahfi secara
global dan ringkas.
Ibnu Juraij menceritakan daripada Mujahid
mengatakan: "Di antara tanda-tanda Kami (Allah SWT) terdapat apa yang
lebih aneh daripada hal tersebut."
Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam
berpendapat: "Al-Raqim bererti Kitab."
Al-Maraghi berkata: Janganlah kamu
menyangka kisah penghuni gua dan pemilik batu bertulis seperti yang disebut
dalam kitab lama, ketika mereka hidup dalam waktu yang lama, adalah suatu
keajaiban jika hendak dibandingkan dengan perhiasan yang Kami jadikan di muka
bumi.
Ini disebabkan kisah tersebut bukan sahaja
mengagumkan antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang lain, malah kejadian
perhiasan bumi dengan segala keajaibannya adalah indah daripada kisah penghuni
gua itu.
Oleh itu, para ketua agama lain pun
termangu-mangu kehairanan melihat kisah serupa itu, justeru Aku mengajakmu dan
umatmu untuk memandang yang lebih besar lagi daripada peristiwa itu iaitu
memandang alam semesta dan segala keajaiban yang berupa penciptaan langit dan bumi,
silih bergantinya malam dan siang, peredaran matahari, bulan dan bintang.
Begitu juga dengan ayat-ayat lain
seumpamanya yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT menurut kehendak-Nya tanpa ada
yang menghalangnya.
Namun, kisah yang berisi keanehan itu tidak
cukup untuk menarik perhatian mereka melakukan kebaikan dan kebahagiaan seperti
yang diingini oleh manusia untuk dijadikan sebagai cita-citanya yang luhur
supaya memperoleh kebaikan dunia atau akhirat.
Oleh yang demikian, selidikilah apa yang
ditulis dalam lembaran alam semesta ini, tetapi bukan hanya menyelidik apa yang
tertulis di lembaran gua tersebut.
Menurut pendapat al-Zujaj, Allah SWT
menerangkan kisah Ashab al-Kahfi bukanlah sesuatu yang menghairankan jika
dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Ini disebabkan penciptaan langit dan bumi
serta segala yang ada lebih mengagumkan lagi daripada kisah mereka.
Hamka berkata: Maksud ayat ini adalah
apakah engkau menyangka atau manusia menyangka bahawa manusia yang dicipta
Allah tertidur beratus tahun di dalam gua yang sunyi terpencil itu sudah
sebahagian daripada kuasa Allah SWT? Padahal banyak lagi takdir Allah SWT di
dalam alam ini yang lebih menakjubkan dan lebih ganjil.
Sungguhpun kisah penghuni gua ini belumlah
suatu yang ganjil di sisi Allah SWT, Yang Maha Kuasa mengatur alam menurut
kehendak-Nya, demi untuk memuaskan kehendak orang yang bertanya, pertanyaan
tentang penghuni gua yang diterangkan Allah SWT sebagai wahyu.
Firman Allah SWT:
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. (al-Kahfi: 10)
Al-Maraghi berkata: Para pemuda itu
berlindung di dalam gua untuk melindungi agama mereka supaya tidak mendapat
bencana daripada penyembah patung dan berhala dengan berdoa: Tuhan kami, dengan
keredaan-Mu yang kami harapkan dan ketaatan kepada-Mu, berikanlah kepada kami
petunjuk dalam setiap urusan untuk menuju ke jalan kebenaran bagi melakukan apa
yang kami sukai kemudian anugerahkan kepada kami keampunan dan keamanan
daripada musuh.
Hamka berkata: Allah SWT mewahyukan bahawa
ada beberapa pemuda yang sedang ditimpa kesusahan, lalu meninggalkan kampung
halaman mereka dan bersembunyi ke dalam sebuah gua. Dan ketika dalam perjalanan
itu, mereka tidak pernah lupa memohon rahmat perlindungan daripada Allah SWT,
disertai pula dengan tuntutan dan pimpinan agar mereka tidak tersesat dari
jalan yang benar.
Firman Allah SWT:
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. (al-Kahfi: 11)
Al-Maraghi berkata: Kami tutup telinga
mereka dengan penghalang yang mereka tidak mendengar dan Kami juga menjadikan
mereka tidur lelap tidak bangun-bangun lagi walaupun di dalam gua itu bising
dengan pelbagai suara sehingga bertahun-tahun lamanya yang tidak dapat
dihitung.
Hamka berkata: Ditakdirkan oleh Allah SWT
bahawa mereka tertidur, sehingga tidak suatu pun yang didengar mereka dalam
tempoh bertahun-tahun. Dan tiada pula orang lain yang tahu kerana gua tersebut
terletak jauh dari tempat kediaman manusia.
No comments:
Post a Comment