بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, February 7, 2013

Waqaf jaga makna al-Quran

Umat Islam perlu mendalami ilmu waqaf dan ibtida melalui penulisan dalam ilmu tajwid atau guru-guru al-Quran. - Gambar hiasan

RAMAI mengetahui apabila disebut ilmu tajwid, terlintas di pemikiran bahawa itu adalah ilmu berkaitan sifat huruf, makhraj huruf, izhar, idgham, mad wajib dan sebagainya. Kebanyakan guru al-Quran memberi tunjuk ajar dalam ilmu tajwid tertumpu kepada istilah yang disebutkan di atas.

Hakikatnya, ilmu tajwid juga merangkumi waqaf dan ibtida dengan maksud manakah kalimah sesuai untuk berhentikan bacaan dan di manakah kalimah yang sesuai untuk meneruskan bacaan kembali.

Para sahabat menekuni ilmu waqaf dan ibtida dengan bersungguh-sungguh dan mempelajarinya sebagaimana mereka mempelajari hukum halal dan haram dalam al-Quran. Abdullah Ibnu Umar ra berkata: "Sesungguhnya kami pernah hidup sedikit masa lalu di mana kami dikurniakan iman sebelum al-Quran. Surah-surah al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad lalu kami mempelajari hukum halal dan hukum haram di dalamnya, arahan dan tegahannya dan kami juga mempelajari apa yang perlu waqaf ketika membacanya."

Syeikh Mahmud Khalil al-Husari ketika menghurai hadis ini menyatakan amat jelas menunjukkan para sahabat mempelajari waqaf sebagaimana mereka belajar kandungan al-Quran.

Seorang penceramah ilmu tajwid dalam syarahannya menjelaskan, jika pembaca al-Quran waqaf tanpa mengikut kaedah yang tempat seumpama ayat Melayunya, John minum susu kambing dalam gelas. Kalau pembaca berhenti, John minum susu, kemudian disambungkan kambing dalam gelas ini memberi maksud dua perkara yang berbeza.

Pertama cerita tentang orang minum susu dan keduanya, cerita kambing dalam gelas yang mustahil berlaku.

Kepentingan

Kepentingan waqaf adalah untuk menjaga makna al-Quran. Jika waqaf dan ibtida tidak dijaga ketika membaca al-Quran terkadang maknanya berubah menjadi sebaliknya sebagai contoh ayat tujuh surah Fatir bermaksud: 
Orang-orang kafir mereka dikenakan azab yang pedih dan orang-orang beriman yang beramal soleh mereka memperoleh keampunan dan ganjaran yang besar.

Dalam al-Quran ayat di atas ini, terdapat tanda waqaf pada makna kalimah azab yang pedih tetapi jika pembaca tidak mengikut tanda waqaf dengan membaca dari mula ayat dan berhenti pada makna kalimah dan orang-orang yang beriman. Sudah tentu maksudnya azab yang pedih dikenakan kepada orang kafir dan juga orang beriman. (Na'uzubillah)

Ramai ulama yang menulis kepentingan waqaf antaranya ialah Abu Hatim yang menyatakan barang siapa tidak mengenali waqaf, ia tidak mengenali al-Quran. Ibnu al-Anbari juga menyatakan antara tanda seseorang mengenali al-Quran ialah menguasai ilmu waqaf dan ibtida.

Imam al-Huzali dalam kitabnya al-Kamil menyatakan waqaf pakaian bacaan, hiasan pembaca, penyampai pembaca, memberi faham kepada pendengar, kebanggaan si alim, dengannya membezakan dua makna yang berlainan, dua makna yang bertentangan dan dua hukum yang berbeza.

Lantaran itu, kita semua perlu mendalami ilmu waqaf dan ibtida melalui penulisan dalam ilmu tajwid atau guru-guru al-Quran. Selain itu, pembaca al-Quran juga perlu memahami fungsi tanda waqaf yang ada bertaburan dalam al-Quran.

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD - pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...