Menjaga kebersihan adalah satu kewajipan.
Kebersihan melambangkan dan mencerminkan peribadi seseorang. Agama Islam
meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat pertama selepas keyakinan
(keimanan).
Sabda Nabi SAW : “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana
sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas
keyakinan (iman).” (Riwayat Ibnu Majah)
Kebersihan juga melambangkan tarikan kepada
agama Islam yang suci. Jadi, sebagai umatnya kita seharusnya menunjukkan contoh
terbaik kepada orang bukan Islam dengan membuktikan cara hidup Islam berasaskan
kepada kebersihan melalui perbuatan dan perkataan.
Perlu kesedaran tinggi
Namun, semua ini tidak dapat dijalankan dengan sempurna jika hanya segelintir
masyarakat yang sedar pentingnya menjaga kebersihan. Ibu bapa dan golongan
dewasa juga perlu mempunyai kesedaran diri yang tinggi dan memainkan peranan
penting dalam menjaga kebersihan.
Anak-anak juga perlu dididik sejak kecil dengan pakaian yang bersih, makanan
halal serta amalan membuang sampah di tempat yang sepatutnya.
Sifat seorang Muslim yang beriman dan mengikut garis panduan disyariatkan Islam
adalah sentiasa mengamalkan kebersihan daripada pelbagai sudut dan menyucikan
diri daripada segi zahir dan batin.
Dari Abu Malik Al-Asya’ari, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Bersuci
membersihkan diri (zahir dan batin) adalah setengah daripada iman.”
Sifat orang beriman
Kebersihan dan kesucian itu menjadi sifat orang yang beriman. Semasa beribadah,
mereka dikehendaki berkeadaan bersih suci meliputi tubuh badan, pakaian dan
tempat sembahyang. Mereka dituntut membersihkan batin daripada segala perkara
yang dikeji dan dilarang.
Oleh kerana umat Islam diwajibkan mengerjakan solat lima kali sehari, maka
dapatlah difahami bahawa salah satu hikmahnya atau tujuannya ialah untuk
menggalakkan sifat mulia ini iaitu sifat menjaga kebersihan dan kesucian zahir
serta batin supaya menjadi amalan hidupnya.
Sebagai umatnya yang beriman, kita perlu memainkan peranan dalam menjaga
kebersihan rohani dan jasmani demi kesejahteraan masyarakat sejagat.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment