PADA hari ini, kita dapati banyak golongan
yang mengeksploitasi pakaian dan perhiasan wanita Islam. Terdapat juga pihak
yang cuba memburuk-burukkan dan menghina ajaran Islam yang syumul.
Lebih malang lagi, fesyen atau rekaan
pakaian itu berbentuk moden lalu menjurus ke arah pembukaan aurat yang
melanggar syariat.
Namun Islam sebenarnya tidak menghalang
perkembangan fesyen tetapi biarlah mengikut garis panduan syariat.
Antara faktor kes-kes rogol dan pencabulan
terhadap wanita adalah berpunca daripada pakaian dan perhiasan yang melampau.
Wanita Islam perlu menjadi contoh kepada
agama lain bahawa pakaian mereka melambangkan ajaran Islam mengajak untuk
berlaku sopan, di samping menjaga kesucian dan paling utama mendekatkan diri
dengan Allah.
Bagi memperjelaskan kekeliruan berhubung
persoalan aurat wanita, sebuah buku berjudul Aurat Mahkota Wanita terbitan
Must Read Sdn. Bhd. sebagai garis panduan kepada wanita Islam. Sebanyak tujuh
bab mengupas antaranya pengertian pakaian menurut Islam, syarat-syarat memakai
hijab, aurat ketika bergaul dan lain-lain.
Penulis Haliza Aris dan Rusydi Ramli
membawa kupasan berkenaan dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah selain
hujah-hujah ulama tersohor.
Bahkan kedua-dua penulis turut menyelitkan
cara pemakaian termasuk menjelaskan tudung yang larang dipakai iaitu terlalu
nipis sehingga menampakkan cuping telinga, tidak menutupi keseluruhan rambut
dan lain-lain lagi.
Ilustrasi gambar yang dipaparkan memudahkan
pembaca mengetahui cara pemakaian sempurna serta patuh syarak.
Tidak rugi jika memiliki Aurat Mahkota
Wanita sebagai garis panduan memperoleh manfaat dunia dan akhirat.
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
No comments:
Post a Comment