بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, December 3, 2012

Islam fitrah kehidupan



Oleh AHMAD TERMIZI MOHAMED

KEPERLUAN terhadap agama merupakan naluri manusia. Seseorang yang tidak mempunyai agama dilihat sebagai individu yang menyalahi fitrahnya sendiri.

Agama Islam mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ia bukan sahaja memerintahkan umatnya berpegang kepada syariat dengan teguh, tetapi menyuruh mereka supaya menganut Islam secara keseluruhan.

Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: 

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu". (al-Baqarah: 208)

Sesungguhnya syariat Islam diturunkan dengan matlamat membuka pintu-pintu kebaikan (maslahah) dan menutup pintu-pintu keburukan (mudarat) terhadap manusia.

Konsep ini disebut sebagai maqasid syariah. Secara umumnya, syariah Islam digagaskan oleh Allah SWT melalui lidah nabi-Nya dengan mempunyai lima matlamat asas, iaitu:

  • Hifzu al-Din (memelihara agama), 
  • Hifzu al-Nafs (memelihara diri/jiwa), 
  • Hifzu al-Nasl (memelihara keturunan), 
  • Hifzu al-'Aql (memelihara akal) dan 
  • Hifzu al-Mal (memelihara harta).


Oleh itu, sebagai golongan yang beriman, sepatutnya apabila melihat hukum-hukum yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah, kita berasa tenang dan tidak merasa keberatan untuk mematuhinya.

Ini kerana, sifat orang mukmin apabila bertemu dengan ketentuan dan ketetapan Allah, mereka percaya itu adalah untuk kebaikan umat Islam di dunia dan akhirat.

Keimanan dan keyakinan terhadap syariah Islam sangat-sangat perlu untuk membolehkan kita mematuhi Islam secara keseluruhan.

Orang yang kurang memahami dan meyakini konsep ini akan hanya mengamalkan sebahagian sahaja dari Islam.

Ini disebabkan pengamalan tersebut hanya dibuat setelah mendapati hukum-hakam tersebut sesuai mengikut logik dan pemikiran mereka serta memberikan keuntungan duniawi kepada mereka. Lalu diketepikan perkara-perkara yang lain kerana ia mungkin tidak relevan pada pemikiran mereka.

Sebagai contoh, ada golongan yang mempertikaikan tentang haram mengambil riba kerana beranggapan ia dapat memajukan ekonomi negara, pengharaman arak sedangkan kalau ia diminum sedikit masih tidak memabukkan peminum, pengharaman zina sekiranya dilakukan secara suka-sama-suka, pengharaman judi sedangkan boleh menarik pelancong asing, pembahagian harta pusaka dan banyak lagi hukum-hakam Allah SWT.

Faktor ini terjadi tidak lain dan tidak bukan disebabkan kurangnya keyakinan kepada agama Islam sendiri.

Sepatutnya apabila seseorang Islam itu benar-benar beriman, mereka akan menyatakan sebagaimana dikehendaki oleh Allah SWT dalam surah ali-Imran, ayat 7: 

"Dia-lah yang menurunkan Al-Kitab (al-Quran) kepada kamu. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamat itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari tawilnya, padahal tidak ada yang mengetahui tawilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Rabb kami. Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal."

Mudah-mudahan kita menjadi Muslim yang benar-benar beriman kepada Allah dengan meletakkan pandangan Allah sebagai pandangan yang utama.

Allah SWT adalah pencipta kita dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...