SETIAP amalan manusia
itu akan dihitung di akhirat kelak. Jika baik amalan seseorang itu maka baiklah
balasan yang diterima dan begitulah sebaliknya. - Gambar hiasan |
TIADA apa yang didambakan oleh jiwa-jiwa
yang bergelumang dengan dosa di akhirat, melainkan rahmat Allah SWT serta syafaat
rasul-Nya Muhammad SAW, tatkala manusia berduyun-duyun ke hulu ke hilir mengharapkan
ada di kalangan para nabi dan rasul yang mampu melepaskan kesusahan mereka.
Baginda Rasulullah adalah pemilik al
Syafa'ah al 'Uzma (syafaat agung) yang mampu menjadi penyelesai dan
tindakan penyudah membereskan segala kemelut, gegak-gempita dan huru-hara pada
hari tersebut dengan penuh belas ihsan dan kasih sayang.
Sesungguhnya benarlah perutusan-Nya ke alam
ini sebagai rahmat yang berterusan dan dikecapi manfaatnya di dunia dan di
akhirat.
Secara umumnya syafaat terbahagi kepada
empat bahagian.
Yang Pertama ialah syafaat untuk
mendapat kerehatan daripada huru-hara pada Hari Perhimpunan (Mahsyar) dan
mempercepatkan perbicaraan mahkamah keadilan tuhan. Ini adalah suatu kedudukan
terpuji yang dijanjikan kepada nabi Muhammad SAW.
Allah SWT berfirman: Dan bangunlah
pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajud padanya,
sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu
pada Hari Akhirat di tempat yang terpuji. (al-Isra': 79)
Syafaat kedua ialah bagi golongan yang
diwajibkan mendapat seksaan neraka. Maka Allah SWT mensyafaatkan mereka melalui
syafaat orang-orang yang dimuliakan-Nya daripada kalangan para nabi, siddiqin,
ulama, syuhada dan solihin. Maka mereka masuk ke dalam syurga dengan rahmat
Allah SWT.
Yang ketiga syafaat bagi mengeluarkan
golongan yang mentauhidkan Allah SWT dari neraka. Maka Allah SWT mensyafaatkan
sesiapa sahaja hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sehingga tidak tinggal dalam
neraka orang yang terdapat dalam hatinya keimanan walaupun sebesar zarah.
Syafaat yang keempat ialah syafaat bagi
menambah darjat golongan yang kurang amal kebajikan untuk menyusuli ahli
keluarga mereka. Maka Allah SWT mempertemukan mereka dengan zuriat mereka dan
lain-lainnya.
Kesemuanya ini telah dijelaskan melalui
nas-nas yang jelas dan hadis-hadis yang sahih.
No comments:
Post a Comment