Hamba yang mengabdikan diri kepada Allah
SWT sentiasa mengakui bahawa Allah SWT sajalah yang layak disembah dan tempat
memohon segala pertolongan.
Allah SWT berfirman:
yang bermaksud: "Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan". - (Surah al-Fatihah ayat 5).
Dalam ayat ini ada dua ungkapan penting.
Ungkapan pertama: kepada Engkau kami
sembah (iyyaka na'bud),
Ungkapan kedua pula: Kepada Engkau kami mohon
pertolongan (iyyaka nasta'iin).
Bebas syirik
Ungkapan pertama menekankan berkenaan pembebasan seseorang hamba daripada segala
perkara syirik, manakala ungkapan kedua pula menekankan tentang pembebasan
diri daripada pergantungan kepada sesuatu selain Allah SWT.
Menurut al-Raziy dalam al-Tafsir al-Kabir, penggunaan lafaz iyyaka (kepada
Engkau sahaja) pada awal kata kerja na'bud (kami sembah) dan nasta'iin (kami
memohon pertolongan) dalam ayat ini adalah bagi tujuan al-hasr (pembatasan),
manakala al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir pula mengatakan ia bertujuan
al-ikhtisas (pengkhususan).
Pengabdian kepada Allah
Sebenarnya kedua-dua perkara ini tidak bertentangan, malah ia sama saja iaitu
dibatasi bagi tujuan pengkhususan. Oleh itu, jelaslah menyembah dan memohon
pertolongan hanya khusus kepada Allah SWT saja. Inilah yang dikatakan
pengabdian diri kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi kepatuhan, tunduk dan
kerendahan diri kepada Allah SWT.
Menurut tafsiran Ibn Abbas r.a, ayat ini bermaksud Allah SWT sajalah yang layak
disembah dan ditakuti dan kepada-Nya dipohon segala pertolongan sama ada dalam
beribadah, ketaatan mahupun dalam segala perkara yang berkaitan kehidupan.
Dengan pengakuan atau ikrar ini bermakna seseorang hamba Allah SWT itu
membebaskan dirinya daripada mengabdikan diri kepada sesama manusia dan tunduk
kepada segala perkara khurafat dan tahyul.
Hamba yang berikrar menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT saja, akan
berikrar juga untuk mempertahankan apa yang diikrarkan itu, iaitu dengan tidak
menyembah dan mengabdikan kepada sesuatu selain Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
yang bermaksud: "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah" (Surah al-Kafirun ayat 2).
Diriwayatkan oleh al-Tabraniy dan Ibn Abi Hatim daripada Ibn Abbas r.a. bahawa
kaum Quraisy berusaha mempengaruhi Nabi Muhammad SAW dengan menawarkan harta
kekayaan agar Baginda menjadi seorang yang paling kaya di Kota Makkah dan
Baginda akan dikahwinkan dengan perempuan yang Baginda kehendaki. Mereka
menyampaikan semua ini dengan berkata: Inilah yang kami sediakan untukmu wahai
Muhammad, tetapi dengan syarat janganlah engkau memaki hamun tuhan kami dan
memburukkannya atau sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun. Nabi Muhammad
SAW menjawab: Aku akan menunggu wahyu daripada Tuhanku. Penurunan ayat 1-6
daripada Surah al-Kafirun adalah berhubung dengan peristiwa ini dan sebagai
perintah untuk menolak kaum kafir tersebut. Kemudian turun pula ayat 64
daripada Surah al-Zumar sebagai perintah untuk menolak ajakan orang-orang bodoh
yang menyembah berhala (al-Suyutiy, Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul).
Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu: "Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?" (Az-Zumar 39:64)
Berdasarkan peristiwa ini, didapati Rasulullah SAW ditawarkan dengan kemewahan
hidup dan perempuan cantik sebagai syarat supaya Baginda SAW meninggalkan
dakwah Islam dan berkompromi dengan kaum kafir Quraisy.
Hal ini sebagai satu cubaan mengajak Rasulullah SAW yang kuat mengabdikan diri
kepada Allah SWT supaya mensyirikkan Allah SWT.
Kegagalan ini disebabkan oleh Rasulullah SAW yang berikrar mengabdikan diri
kepada Allah SWT itu telah bertindak mempertahankan apa yang diikrarkan. Sikap
yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW inilah ciri orang yang benar-benar
mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana tidak sedikit pun tunduk dan patuh
kepada sesuatu selain Allah SWT.
Oleh : Shukri Hanapi
2012/12/25 - 23:37:46 PM
No comments:
Post a Comment