بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, January 3, 2013

Muhammad bukan penyair

al-Quran itu mempunyai keistimewaan dan mukjizat yang luar biasa. - Gambar hiasan


Oleh DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


DALAM ayat-ayat yang sebelumnya, Allah SWT berbicara tentang keesaan-Nya menyatakan tentang hari kebangkitan manusia, selanjutnya dalam ayat Allah SWT berbicara pula tentang risalah yang dibawa oleh rasul-Nya.

Firman Allah SWT: 

A069

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepada-Nya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan. (Yasin: 69)

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT berfirman menyatakan tentang Nabi-Nya Muhammad SAW bahawa Dia tidak mengajar syair kepada baginda."

Abu Zur'ah al-Razi berkata: :Ismail bin Mujalid bercerita kepada kami daripada ayahnya bahawa al-Sya'bi berkata, Abdul Mutalib tidak pernah mendapatkan anak-anak lelaki dan perempuan melainkan pasti mengucapkan syair kecuali Rasulullah SAW. Hal ini disebutkan oleh Ibnu Asakir dalam biografi Utbah bin Abi Lahab."

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Abu Naufal berkata: "Aku bertanya kepada Aisyah ra apakah Rasulullah SAW menguasai syair? Maka beliau menjawab syair adalah kalimat yang paling dibenci baginda."

Al-Maraghi berkata: "Syair merupakan sejenis ungkapan yang mempunyai peraturan tertentu. Setiap barisnya berakhir dengan huruf tertentu yang disebut sajak. Ungkapan itu diucapkan berdasarkan irama yang dilahirkan oleh perasaan dan nafsu tanpa dipandu oleh akal dan ilmu logik."

Oleh yang demikian, kenyataan Allah SWT bahawa Dia tidak mengajar syair kepada Nabi Muhammad SAW bermaksud Dia hendak menegaskan bahawa al-Quran bukanlah syair.

Al-Quran adalah petunjuk yang diturunkan Allah SWT untuk memberi bimbingan kepada hamba-Nya keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Al-Quran bukanlah rekaan manusia.

Firman Allah SWT: 

A070

Supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar. (Yasin: 70)

Ibnu Kathir berkata: "Al-Quran jelas memberi peringatan kepada makhluk yang hidup di muka bumi. Sedangkan yang dapat mengambil manfaat daripada peringatan itu hanyalah orang yang hidup dan mata hatinya bersinar. Al-Quran adalah rahmat bagi orang yang beriman dan hujah bagi yang kafir."

Qatadah berkata: "Yang hidup kalbunya dan hidup mata hatinya."

Al-Dahak berkata: "Iaitu orang yang berakal."

Al-Maraghi berkata: "Al-Quran memberi manfaat kepada orang yang mempunyai hatinya yang hidup dan sanubari yang jernih, mengetahui kebaikan di sebalik petunjuk dan bimbingan-Nya serta mengikut bimbingan dan petunjuk tersebut."

Itulah orang yang dianugerahkan Allah SWT dengan taufik dan hidayah, malahan tergolong dalam golongan manusia yang bakal memperoleh kemenangan dan kebahagiaan.

Azab itu pasti akan menimpa orang kafir yang tidak mempercayai al-Quran. Orang itu seolah-olah mati kerana hilang kepekaan dan kesedaran jiwanya, padahal tabiat jiwanya adalah mengikut kebenaran yang disampaikan kepadanya.

Saya dapat mengambil pengajaran daripada ayat di atas dan jelas menunjukkan sifat al-Quran yang mempunyai keistimewaan dan mukjizat yang luar biasa.

Perbincangan ini ditutup dengan nukilan daripada kitab Tafsir al-Misbah: "Dapat dikatakan bahawa perintah untuk berfikir yang mengakhiri ayat yang lalu, menunjukkan bahawa manusia walau tidak dapat mengelak daripada sifat tua dan lemah yang diakibatkan oleh lemahnya fizikal seseorang, namun itu bukan bererti bahawa sifat tua itu menghalang seseorang daripada mencantikkan potensi rohaniah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini dapat diraih oleh mereka yang memerhatikan isi al-Quran dan sifat tauladan Rasulullah SAW. Kerana itulah agaknya sehingga ayat 69 di atas berbicara tentang Rasulullah SAW dan al-Quran.

Ayat tersebut menegaskan bahawa: "Kami telah utuskan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu al-Quran melalui wahyu dan kami tidak mengajarkannya iaitu mewahyukan kepadanya dalam bentuk syair."

Baginda adalah seorang Rasul yang jauh lebih hebat daripada seorang penyair. Apa yang disampaikan oleh baginda tidak lain kecuali peringatan dan al-Quran yang jelas iaitu dalam bacaan yang sempurna yang diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya.

Apa yang disampaikan itu bertujuan untuk memberi peringatan kepada sesiapa yang hidup iaitu akal dan fikirannya terbuka sehingga bersedia menerima kebenaran dan hatinya tidak dikotori oleh kederhakaan sehingga nasihat dan peringatan dapat berbekas di dalam jiwanya.

Sebaliknya akan menjadi wajar jatuhnya ucapan iaitu ketetapan seksaan Allah SWT atas orang-orang kafir yang enggan menerima peringatan dan pengajaran daripada al-Quran itu."

Semoga kita menjadi golongan yang benar-benar memahami isi kandung al-Quran untuk kita mengamalkannya.

ARKIB : 28/12/2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...