بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, January 13, 2013

Maahad Tahfiz al-Hidayah (Matah) - Pusat Pengajian Tahfiz

Lokman Abdul Hamid (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata sebagai tanda kenangan kepada ulama Mesir, Dr. Sayyid Nafi' al-Arabi al-Sanusi (dua dari kiri) kerana menyempurnakan majlis perletakan batu asas Maahad Tahfiz al-Hidayah. Turut hadir Mohd. Ashraf Muslim (kanan).


Matah naikkan taraf institusi tahfiz
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI



ABU Musa al-Asya'ari berkata bahawa Rasullullah SAW bersabda: "Di antara perbuatan mengagungkan Allah adalah menghormati orang Islam sudah tua, menghormati orang yang menghafal al-Quran yang tidak berlebih-lebihan mengamalkannya dan tidak membiarkan al-Quran tidak diamalkan serta menghormati penguasa yang adil."

Salah satu inti pati hadis berkenaan ialah amalan mengagungkan para penghuffaz al-Quran. Tindakan berkenaan merupakan perbuatan mengagungkan keesaan Allah kerana mengangkat kemuliaan darjat kitab suci yang diturunkan Ilahi.

Objektif hadis berkenaan juga dilihat mengajak umat Islam untuk memuliakan para huffaz yang boleh dilakukan dengan pelbagai cara, sama ada menghormati mereka, menghulurkan bantuan dana pendidikan atau mendirikan pusat pengajian tahfiz seperti mana dilakukan oleh beberapa pihak pada hari ini.

Bagi mengorak langkah merebut pahala dan keredaan Allah SWT dengan memuliakan para huffaz demi untuk mengagungkan kitab suci al-Quran, pelakon dan pengacara Mohd. Ashraf Muslim bersama Pengerusi Yayasan al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid menubuhkan sebuah pengajian tahfiz yang dikenali Maahad Tahfiz al-Hidayah (Matah) di Janda Baik, Pahang.

Mohd. Ashraf ketika ditemui pada majlis perletakan batu asas Matah, baru-baru ini berkata, hasrat untuk menubuhkan pusat pengajian tahfiz itu sudah lama dipendamkan oleh Lokman selaku bapa mertuanya sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya, usaha menubuhkan pusat pengajian Islam bukan merupakan satu tindakan yang mudah kerana memerlukan dana yang tinggi selain pengalaman dan pengetahuan berkenaan soal pengurusan, apatah lagi yang hendak dibina itu adalah sebuah institusi tahfiz.

Sehubungan itu tambah Mohd. Ashraf, cetusan ideanya bersama Lokman itu akhirnya dapat direalisasikan setelah mengadakan kerjasama bersama Yayasan al-Sofa dengan dimeterai satu memorandum persefahaman (MoU) pada 30 November tahun lalu.

"Melalui MoU berkenaan, Yayasan al-Sofa yang diasaskan oleh ulama terkenal Syeikh Datuk Muhammad Fuad Kamaludin, di mana beliau juga merupakan ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan bersetuju membekalkan tenaga pengajar dan sukatan pelajaran dalam bidang hafazan al-Quran, pengajian Islam dan akademik.

"Manakala soal pengurusan dan kewangan adalah di bawah bidang kuasa Yayasan al-Hidayah," kata Mohd. Ashraf.

Menerusi visi untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akhlak berteraskan al-Quran dan al-Sunnah, artis berkenaan memberitahu Matah merupakan satu kesinambungan daripada penubuhan Pusat Perubatan Islam al-Hidayah terletak di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Ujarnya lagi, dengan kewujudan Matah, sukatan pelajaran utama maahad tahfiz tersebut adalah pengajian Islam dengan menjadikan hafazan al-Quran dan hadis sebagai mata pelajaran teras serta dibekalkan teknologi moden.

"Pendekatan kami berbeza dengan institusi pengajian Islam lain apabila sistem sekolah pondok moden diterapkan dalam kaedah pengajaran, sama ada di dalam atau di luar kelas. Hal ini bertujuan mengangkat dan meletakkan kualiti maahad tahfiz setanding pusat pengajian moden.

"Malah tujuan kami adalah meletakkan tahfiz sama taraf dengan pengajian sains, perubatan dan lain-lain lagi. Ini kerana masyarakat hari ini meletakan pengajian tahfiz pada tahap kelas kedua dengan di mana para ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke mana-mana maahad sekiranya tidak berjaya dalam pengajian," kata Mohd. Ashraf.

Beroperasi
Dengan hasrat murni tersebut, Lokman selaku peneraju utama Yayasan al-Hidayah dalam pada itu berkata, buat permulaan Matah akan beroperasi sementara di Sum Sum Valley, Janda Baik, Pahang dengan menempatkan para pelajar pertama seramai 50 orang pada Januari ini.

Mengulas lanjut berhubung Matah, Lokman berkata, dana untuk membeli dua daripada empat hektar tanah yang terletak di Ulu Ceringing, iaitu sebuah lokasi tidak jauh dari tapak sementara merupakan sumbangan daripada kutipan derma para pesakit Pusat Rawatan al-Hidayah manakala selebihnya adalah wakaf seorang pesakit pusat perubatan alternatif tersebut.

"Premis rasmi Matah seluas empat hektar akan dibina dengan berkonsepkan infrastruktur moden dan kondusif yang menelan kos RM2 juta. Tapak tersebut bakal menempatkan bangunan pengurusan asrama, dewan kuliah, surau dan kemudahan asas bagi sesebuah institusi pengajian sistematik.

"Dijangka dengan pembinaan premis baru, Matah boleh menampung seramai antara 250 dan 300 pelajar bermula daripada tingkatan satu sehingga lima. Untuk perancangan lima tahun seterusnya, kos penyelengaraan dianggarkan sekitar RM10 juta," kata beliau.

pengajian
Kata Lokman, tempoh pengajian selama lima tahun dan mereka dibekalkan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta setiap pelajar mestilah menghabiskan 30 juzuk al-Quran dan 300 hadis sahih mengikut tempoh pengajian ditetapkan.

Tambah Lokman, sijil pendidikan Matah yang merupakan jaringan pendidikan Yayasan al-Sofa bakal membuka peluang kepada kepada para pelajar untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sama ada di luar dan dalam negara.

"Setiap pelajar yang memohon ke Matah harus memenuhi syarat yang ditetapkan untuk memulakan pengajian daripada tingkatan satu.

"Mereka harus mengikut syarat ditetapkan sebelum ditempatkan sebagai pelajar iaitu menduduki ujian seperti mana diaturkan oleh pihak maahad tahfiz," ujar beliau.

Tambah Lokman, semua pendidik merupakan kelulusan pengajian Islamselain pengalaman luas dalam bidang pendidikan.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...