بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, January 13, 2013

Tafsir Surah Yasin - Kebatilan perbuatan orang musyrik


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Allah SWT menerangkan bahawa mereka tidak mensyukuri nikmat-nikmat yang telah dilimpahkan oleh-Nya. Dia selanjutnya menerangkan pula tindakan sesat mereka yang meminta tolong daripada patung-patung sembahan yang tidak mampu memberi manfaat.

Allah SWT berfirman (al-Anbiya: 68) yang bermaksud: (setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu… Padahal sebenarnya patung-patung itu tidak mampu menolong dan ditolong.

Firman Allah SWT: 
Dan tergamak mereka menyembah beberapa Tuhan yang lain daripada Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (daripada makhluk-makhluk itu). (Yasin: 74)

Al-Maraghi berkata: "Orang musyrik itu menyembah tuhan-tuhan selain Allah SWT bagi mengharapkan pertolongan dan mendekatkan mereka kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT pun menerangkan pula kebatilan perbuatan mereka itu."

Sayid Qutub berkata: "Pada zaman dahulu, tuhan-tuhan yang disembahkan itu berupa patung-patung dan berhala-berhala atau berupa pokok-pokok atau binatang-binatang atau berupa malaikat atau jin."

"Agama-agama menyembah berhala masih tetap hidup di setengah-setengah negeri di dunia ini, tetapi orang yang tidak menyembah berhala-berhala ini pun masih belum bersih tauhid mereka kepada Allah SWT."

Kadang-kadang perbuatan syirik pada hari ini dapat dilihat dalam kepercayaan mereka kepada kuasa-kuasa palsu selain daripada kuasa Allah SWT, juga dapat dilihat dalam pergantungan kepada sandaran-sandaran yang lain daripada Allah SWT.

Perbuatan syirik itu beraneka ragam. Ia berlainan mengikut perbezaan masa dan tempat. Mereka menyembah tuhan-tuhan palsu itu dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan. Sedangkan mereka sendiri yang melindungi tuhan-tuhan itu daripada dicerobohi orang atau daripada ditimpa bahaya. Merekalah tentera-tentera dan pelindung-pelindung yang bersedia untuk menolong tuhan-tuhan itu."

Firman Allah SWT: 
Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka. (Yasin: 75)

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu tuhan mereka tiada kuasa untuk menolong penyembahnya bahkan dia lebih lemah dan hina di kalangan mereka. Ini kerana dia adalah sekadar benda yang tidak boleh mendengar dan tidak boleh berfikir serta mati."

Mujahid berkata: "Ketika hisab (hari perhitungan). Ia bermaksud berhala tersebut dikumpulkan dan dihimpun pada hari kiamat menghadiri hari pengadilan penyembahnya."

Al-Maraghi berkata: "Tuhan-tuhan itu tidak mampu menolong mereka kerana ia lebih lemah dan tidak mampu daripada mereka. Orang musyrik marah apabila tuhan mereka diusik dan diganggu."

Mereka bagaikan tentera yang sentiasa bersedia membela tuhan-tuhan itu, sedangkan tuhan-tuhan itu pada hari kiamat kelak tidak akan membela dan memberi pertolongan kepada mereka.

Kemudian Allah SWT menghiburkan hati rasul-Nya kerana Baginda SAW menerima layanan yang tidak sewajarnya daripada kaumnya yang mendakwa Baginda sebagai penyair dan ahli sihir.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...