DALAM satu program agama, seorang
penceramah telah mengeluar satu hukum berkaitan masalah membaca tidak cukup
harakat pada mad lazim kalimi muthaqqal dalam solat iaitu pada
kalimah terakhir surah al-Fatihah. Beliau menyatakan hukumnya tidak sah
solatnya.
Penulis dihubungi rakan untuk meminta penjelasan status hukum
tersebut.
Kekeliruan sebegini telah lama tersebar di
kalangan masyarakat dan ini bukan kali pertama penulis mendengarnya. Bagi yang
mendalami ilmu tajwid dan peminatnya mereka selalu mengetengahkan isu ini dalam
membawa hujah kepentingan ilmu tajwid.
Bagi penulis, secara asasnya ketentuan sah
atau batal solat seseorang adalah di bawah ilmu fiqh dan yang perlu
menjelaskannya ialah mereka yang mahir dalam bab fiqh. Manakala guru Quran yang
merupakan golongan terbaik sebagaimana hadis Rasulullah SAW bertindak sebagai
pengajar dan penunjuk kepada bacaan yang tepat.
Ilmu tajwid berperanan menjaga al-Quran
dari sudut ketulenan membaca al-Quran dan mewarisinya daripada generasi
terdahulu dengan sebutan yang tepat. Penekanan guru al-Quran kepada pelajarnya
tentang bab makhraj huruf, sifat huruf, hukum nun sakinah dan lain-lain adalah
untuk meneruskan ketulenan bacaan al-Quran.
Jika semua hukum tajwid ini tidak dijaga
sudah tentu generasi hari ini dan sesudahnya tidak dapat menikmati bacaan
al-Quran yang tepat.
Cuba bayangkan jika semua huruf dibaca
mengikut sesuka hati sahaja, maka bunyi bacaan al-Quran akan menjadi
kedaerahan.
Ali Ibnu Abi Talib ra. menerangkan maksud
kalimah tartila dalam surah al-Muzzammil ayat 4 ialah perelok sebutan
huruf dan mengetahui waqaf. Atas dasar inilah al-Quran terus ditalaqqi daripada
guru yang mahir dalam makhraj huruf, sifatnya dan segala hukum tajwid.
Menariknya dalam ilmu tajwid ini, di
samping ulama menerangkan tentang makhraj huruf, sifatnya, hukum mad, waqaf dan
sebagainya yang menunjuk kepada bacaan yang tepat, ulama juga menjelaskan
kategori kesalahan. Kesalahan tajwid telah dibahagikan kepada dua iaitu; lahn
Jali dan lahn Khafi.
Lahn Jali bermaksud kesalahan yang berlaku
pada kalimah yang mencacatkan uruf bacaan, sama ada merosakkan makna atau
tidak. Merosakkan makna seperti bertukar baris di atas (fathah) kepada baris di
bawah (kasrah) atau hadapan (dhammah) di kalimah an'amta. Tidak merosakkan
makna seperti membariskan huruf yang sukun seperti lam yalid. Dal di hujung
kalimah dibariskan dengan fathah. Dinamakan jali kerana kesalahan ini begitu
jelas dan boleh dikesan oleh ulama dan juga orang awam. Syeikh Makki Nasr
menyatakan kesalahan sebegini adalah haram secara ijmak.
Lahn khafi atau kesalahan tersembunyi ialah
kecacatan yang berlaku pada lafaz al-Quran yang tidak merosakkan makna.
Al-Sakhawi menyatakan seperti tidak menyempurnakan sebutan huruf, sama ada
terkurang sifat huruf atau terlebih sifat huruf.
Dr. Abdul Aziz Abdul Fattah Qari pula
menyatakan lahn khafi ialah kesalahan yang berkaitan tidak sempurna
sebutan huruf dan ia tidak dapat dikesan oleh orang awam kecuali mereka yang
mahir dalam bidang ini. Ini seumpama tidak sempurna menyebut ghunnah atau
dengung pada Idgham, Iqlabatau Ikhfa. Begitu juga menyebut dengan
melebihkan tarqiq atau nipis pada huruf yang sepatutnya ditarqiqkan atau
lebih tafkhim atau tebal pada huruf yang sepatutnya ditafkhimkan.
Kesan lahn khafi ialah
menghilangkan kecantikan bacaan al-Quran namun begitu kebanyakan ulama
menyatakan hukumnya ialah makruh dan tidak berdosa bagi mereka yang tidak
mengetahuinya atau disebut sebagai wajib sinaei.
Seorang tokoh Quran yang masyhur Syeikh
Mahmud Khalil al-Husari dalam bukunya, Ahkam Qiraat al-Quran mengulas
panjang tentang hukum Lahn Khafi dengan menyebut pendapat yang
mengharamkan lahn khafi.
Namun beliau menyatakan pandangannya dengan
mengambil kira semua sudut dengan menyebut contoh kesalahan lahn khafi seperti ghunnah dibaca
dengan kurang dua harakat atau lebih, mad lazim dibaca dengan lima
harakat atau dibaca lebih enam harakat.
Beliau menyebut satu persatu kesalahan lahn
khafi dan akhirnya beliau menutup dengan berkata semua kesalahan tersebut
tidak haram atau makruh tetapi dipanggil sebagai khilaf awla, afdal dan akmal.
Kesimpulannya, mendalami ilmu tajwid amat
penting dan hukum-hakam tajwid memainkan peranan dalam menjaga ketulenan bacaan
al-Quran.
Guru Quran amat perlu menekankan pengajian
hukum tajwid namun perlu berhati-hati dalam mengeluarkan hukum berkaitan fiqh.
Ilmu fiqh amat luas dan pendapat ulama dalam sesuatu hukum biasanya mempunyai
pelbagai pendapat.
Jika ada ulama menyatakan batal dalam
sesuatu hukum akan ada ulama yang menyatakan sah, begitulah sebaliknya.
Dalam isu tidak cukup harakat mad
lazim atau terlebih bacaannya, amat baik jika dipegang pendapat Syeikh
Khalil al-Husari yang berkata tidak haram tetapi khilaf awla. Wallah'alam.
Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD - pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
ARKIB : 09/01/2013
2 comments:
salam kenal & follow sini
salam kenal juga.. terima kasih .. dah follow sana
Post a Comment